Baru-baru ini warga maya Malaysia telah dikejutkan dengan aksi seakan-akan silat ketika Ultraman Ribut mengalahkan Ultraman Powered dan Ultraman Great di dalam siri Ultra Galaxy Fight: The Absolute Conspiracy.

Hal ini telah memberi keterujaan kerana untuk pertama kalinya silat dipersembahkan di dalam siri milik negara Matahari Terbit itu.

Walau bagaimanapun, terdapat persoalan mengenai penggunaan istilah ‘silat’ dan ‘pencak silat’.

Buat pengetahuan anda semua silat dan pencak silat adalah dua seni mempertahankan diri yang berbeza.

Malahan pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengiktiraf silat sebagai seni mempertahankan diri milik Malaysia, manakala pencak silat pula kepunyaan Indonesia.

Persoalannya, apa beza di antara kedua-dua seni mempertahankan diri ini?

Menurut UNESCO, silat merupakan seni mempertahankan diri yang berakar umbi di Kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman.

Malahan seni mempertahankan diri ini boleh dijejaki seawal era kerajaan Langkasuka yang pernah menguasai bahagian utara semenanjung dan bahagian selatan negara Thailand.

Sejak era kerajaan tersebut sehingga ke hari ini, silat telah berkembang sebagai seni mempertahankan diri yang merangkumi aspek fizikal dan spiritual.

Tahukah anda, terdapat banyak jenis silat yang mengambil ilham daripada pergerakan manusia, haiwan dan alam.

Salah satunya adalah silat harimau yang menggabungkan pergerakan manusia dan serangan harimau.

Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 150 jenis silat yang bernuansakan unsur semula jadi seperti flora dan fauna.

Suatu ketika dahulu, silat digunakan oleh para pahlawan untuk digunakan dalam pertempuran jarak dekat.

Namun hari ini, silat diamalkan bagi mengekalkan warisan tersebut daripada hilang dimamah usia.

Kebiasaannya sesi latihan silat akan diadakan di belah petang atau malam yang diketuai oleh mahaguru.

Bagi pesilat yang sudah terlatih dan layak akan diberikan kebenaran untuk membuka gelanggang di kawasan lain bagi mewariskan seni mempertahankan diri ini kepada anak bangsa.

Pada hari ini, silat bukan sekadar seni mempertahankan diri sahaja bahkan ianya telah dijadikan sukan olahraga sebagaimana taekwondo dan wushu.

Lebih menakjubkan lagi silat ini telah tersebar ke serata dunia sehingga kita menyaksikan ramai peserta daripada Eropah dan Asia Timur menyertai pertandingan silat.

Apa pula yang dimaksudkan dengan pencak silat milik Indonesia pada hari ini?

Menurut UNESCO, pencak silat merangkumi seni mempertahankan diri dan mental-spritual.

Pencak silat sangat dipengaruhi oleh unsur seni melalui pergerakan badan yang diiringi muzik tertentu.

Buat pengetahuan anda semua, istilah ‘pencak’ lebih dikenali di Pulau Jawa manakala silat digunapakai di Pulau Sumatera yang lebih ke arah berbudaya Melayu.

Kedua-duanya memiliki begitu banyak persamaan lalu digabungkan menjadi pencak silat.

Walau bagaimanapun, pencak silat ini dikenali dengan nama yang berbeza di setiap wilayah Indonesia.

Bahkan beberapa pergerakan dan senjata juga berbeza tetapi masih memiliki asas yang sama.

Asas utama dalam pencak silat adalah menjaga hubungan dengan tuhan di samping hubungan sesama manusia dan alam.

Pengamal pencak silat juga dilatih dengan pelbagai teknik untuk menangkis serangan berdasarkan asbab untuk melindungi diri.

Para pengamal dan pelatih juga dilarang menggunakan pencak silat untuk menyakiti lawan dan hanya bertindak apabila diancam.

Senang cerita kedua-kedua seni mempertahankan diri merangkumi aspek pertahanan diri, seni tarian bersama alunan muzik denga gabungan latihan fizikal dan spiritual.

Namun begitu terdapat sedikit perbezaan apabila silat digambarkan sebagai seni bela diri dan sukan olahraga.

Sementara itu, pencak silat lebih kepada nilai-nilai budaya seperti seni, falsafah hidup, nilai rohani dan juga bela diri.

Walaupun, kedua-dua seni mempertahankan diri ini miliki nama yang berbeza tetapi akarnya tetap sama.

Ianya tidak begitu pelik kerana Malaysia dan Indonesia berkongsi begitu banyak aspek budaya yang sama.

Jadi, silat dan pencak silat adalah sama cuma berbeza nama serta pemiliknya sahaja.

Apa-apa pun kita seharusnya berbangga kerana seni mempertahankan diri silat dan pencak silat semakin dikenali dunia.

Kejohanan-kejohanan silat peringkat antarabangsa juga menerima beberapa peserta daripada Eropah dan Asia Timur.

Malahan pencak silat juga sudah mula diperkenalkan di industri perfileman antarabangsa melalui Iko Uwais, Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman.

Ianya diteruskan oleh Ultraman Ribut melalui aksi silat yang menakjubkan melalui siri popular Jepun iaitu ultraman.

Kesimpulannya, silat dan pencak silat tetap dimiliki bangsa yang berakar umbi diseluruh Kepulauan Melayu.

#iSportsAsia

RUJUKAN:

Amanda Ng. (2019, Disember 16). Perbezaan Silat Malaysia & Pencak Silat Indonesia yang kedua-duanya diiktiraf UNESCO. Toodia.my. Dipetik daripada https://toodia.my/…/perbezaan-silat-malaysia-pencak…/

Intangible Cultural Heritage. (2019). Silat. Unesco. Dipetik daripada https://ich.unesco.org/en/RL/silat-01504

Intangible Cultural Heritage. (2019). Traditions of pencak silat. Unesco, Dipetik daripada https://ich.unesco.org/…/traditions-of-pencak-silat-01391

Mae Yen Yap. (2019). It’s official. The Silat and Pencak Silat are now part of UNESCO’s intangible cultural heritage list. Mashable Se Asia. Dipetik daripada https://sea.mashable.com/…/its-official-the-silat-and…


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Comments are closed.