Isu pengklonan manusia sentiasa menarik perhatian ramai walaupun ia mencetuskan perdebatan dalam banyak aspek terutama saintifik, etika dan moral. Dan ia menjadi subjek fiksyen pilihan ramai pengkarya seni dari anime Jepun hinggalah industri perfileman Hollywood. Antara anime, filem dan drama televisyen yang menyentuh isu ini ialah Gundam Seed, The Sixth Day, siri filem Jurassic World, Star Wars dan Oblivion. Tetapi apa itu pengklonan sebenarnya?
Pengklonan pada dasarnya ialah penghasilan semula salinan genetik sesebuah organisma yang sama dengan yang original. Perkataan klon itu sendiri berasal dari perkataan Yunani klon yang bermaksud ranting. Organisma sel tunggal seperti yis dan bakteria secara semulajadi menghasilkan klon dari sel induk melalui kaedah percantuman atau belahan dedua.
Sementara sel-sel badan individu dalam haiwan dan tumbuhan sebenarnya klon yang terjadi semasa proses penghasilan sel yang dikenali sebagai mitosis. Kebanyakan negara dunia melarang aktiviti pengklonan dengan 30 negara secara spesifik melarang pengklonan atas sebab pembiakan. Walaupun beberapa negara seperti Singapura, Sweden dan Israel membenarkan aktiviti pengklonan atas sebab perubatan, mereka masih tegas dalam soal larangan pengklonan atas sebab pembiakan.
Aktiviti pengklonan bukanlah sesuatu yang baru bagi saintis. Antara aktiviti yang jatuh dalam soal ini ialah menghasilkan salinan sel atau fragmen DNA untuk tujuan penyelidikan. Kadangkala, mereka juga turut melakukan aktiviti pengklonan haiwan. Haiwan pertama yang direkodkan dalam sejarah sebagai haiwan klon pertama ialah Dolly si kambing biri-biri. Untuk menghasilkan Dolly, saintis mengambil sel somatik dari kambing jantan sebelum ianya disuntik ke dalam sel telur yang telah dikeluarkan semua maklumat DNAnya. Sejak itu, lebih banyak haiwan menjadi subjek pengklonan seperti anjing, kucing, kuda dan monyet.
Melihat kepada semua maklumat yang diraih daripada aktiviti ini, ia mengundang persoalan bolehkah pengklonan manusia dilakukan? Rupa-rupanya, sesetengah organisma dianggap tidak sesuai untuk pengklonan kerana proses meniru semula struktur genetiknya yang sukar. Berdasarkan pengamatan saintis, anjing lebih sukar diklon berbanding kucing dan tikus lebih sukar diklon berbanding kedua-dua haiwan yang dinyatakan sebelumnya. Dan manusia boleh dikategorikan dalam kategori sama tetapi itu bukan bermakna ia merupakan sesuatu yang mustahil. Proses pengklonan manusia boleh dilakukan tetapi masih lagi sukar.
Tetapi jika anda sangka klon manusia akan mempunyai personaliti dan rupa sama seperti induknya seperti mana dipaparkan dalam Star Wars: Attack of the Clones, maka bersedialah untuk merasa hampa. Klon yang dihasilkan berkemungkinan besar mempunyai personaliti dan rupa yang berbeza dengan induk mereka. Mengapa perkara ini berlaku? Manusia bukan sekadar berkisar kepada kod genetiknya sahaja tetapi membabitkan personaliti, rupa dan perwatakan di mana ia dipengaruhi oleh persekitarannya. Salinan kod genetik bukan satu isu tetapi menyalin semula pengalaman dan memori dianggap sesuatu yang mustahil.
Dan perlu diingat, apabila proses pengklonan dijalankan, klon yang keluar bukan versi dewasa seperti dipaparkan dalam Attack of the Clones dan The Sixth Day tetapi versi bayi manusia. Jika bernasib baik, mereka boleh membesar hingga sampai ke usia yang matang tetapi itu bukan sesuatu yang mudah. Ini kerana kebanyakan klon yang lahir bakal berhadapan dengan pelbagai isu kesihatan sihat seperti kecacatan organ dan sistem imuniti badan yang lemah.
Dan dalam kebanyakan kes haiwan-haiwan yang diklon, sel mereka berumur dan merosot jauh lebih cepat berbanding sel haiwan normal. Jika itu diaplikasikan kepada konteks klon manusia, ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan seperti dipaparkan oleh Rau Le Creuset dalam Gundam Seed. Dan jika ia dibiarkan berterusan, klon manusia kerap jatuh sakit dan mati pada usia muda.
Tetapi itu tidak menghalang usaha pengklonan terus digiatkan terutama atas sebab perubatan. Sudah wujud usaha untuk mengklonkan organ-organ yang sihat untuk mengatasi masalah kekurangan organ yang digunakan untuk proses pemindahan organ. Saintis juga turut menggunakan kaedah klon untuk mencari penawar kepada penyakit-penyakit seperti diabetis dan kanser seperti kes jutawan Alan Meeker.
Meeker yang dikenali kerana usahanya mengklon kuda-kuda bersama rakan kongsi merangkap pemain polo nombor satu dunia, Adolfo Cambiaso melibatkan diri dalam usaha pengklonan kerana mahu mencari penawar untuk penyakit keturunan seperti diabetis. Menurutnya, pengklonan dilihat langkah terbaik bagi saintis untuk mengurangkan kemungkinan keturunan mana-mana individu berhadapan beban sebegini pada masa akan datang. Dalam temubualnya bersama program National Geographic, Explorer, Meeker turut mendedahkan sudah wujud usaha oleh kelompok tertentu yang mahukan dirinya terlibat dalam usaha pengklonan manusia tetapi enggan melayan permintaan mereka itu.
RUJUKAN:
1. Explorer. (2018). Game of Clones. https://www.facebook.com/watch/?v=258675161463595
2. Brenner, Laurie. (2018). The Pros & Cons of Cloning. Sciencing. https://sciencing.com/pros-cons-cloning-5453902.html
3. What If. (2018). S2:E11 – What If You Could Clone Your Body?. https://www.facebook.com/What.If.science/videos/2611288235763147/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih