Ketika Tokyo sedang mengalami kekurangan bekalan elektrik, akibat bencana tsunami dan gempa bumi yang berlaku pada tahun 2011[1], netizen Jepun mengambil inisiatif mereka sendiri, melancarkan kempen penjimatan elektrik di Twitter. Dengan nama Operation Yashima, netizen menyebarkan imej, poster dan juga pautan meminta penduduk di Tokyo agar menghentikan penggunaan elektrik, terutama sekali di waktu puncak.[2]
Yang menariknya, nama Operation Yashima itu diambil dari siri anime popular, Neon Genesis Evangelion. Di dalam anime itu sendiri, Operation Yashima merujuk kepada satu operasi di mana seluruh Jepun bergelap, demi membekalkan tenaga elektrik kepada mecha EVA-01 yang sedang bertarung dengan raksasa Angel. [3]
Neon Genesis Evangelion, sebuah anime karya Hideaki Anno, merupakan sesuatu yang layak dipanggil sebagai mahakarya. Ianya bukan sahaja meninggalkan kesan dan impak kepada industri anime secara keseluruhannya, malah berjaya meninggalkan jejaknya dalam budaya masyarakat Jepun.
Tapi mengapa anime yang dilancarkan lebih daripada 20 tahun yang lalu ini, masih lagi segar dalam ingatan peminat (lebih-lebih lagi apabila ia ditayangkan semula di Netflix)? Kenapa anime ini masih lagi dibedah dan dikaji melalui rencana dan juga jurnal kajian? Itu semua kerana anime ini merupakan alegori dan cerminan terbaik terhadap realiti dan masalah yang kini sedang dihadapi masyarakat Jepun.
Hanya Mecha Di Permukaan
Neon Genesis Evangelion dilancarkan pada tahun 1995. Ketika itu siri-siri mecha dipenuhi dengan sub-genre Real Robot yang memaparkan mecha sebagai senjata peperangan. Jadi apabila Evangelion ditayangkan, ia menawarkan kelainan kepada mereka yang menontonnya.[4]
Evangelion menceritakan tentang Ikari Shinji, yang dikerah oleh NERV, sebuah organisasi paramilitari rahsia untuk memandu robot gergasi yang dipanggil sebagai EVA. Lebih merumitkan lagi keadaan adalah Ikari Shinji baru berusia 14 tahun, dan pada umur yang mentah seperti itu dia sudahpun dipaksa untuk bertarung dengan raksasa yang dipanggil Angel, yang ketinggiannya menyamai bangunan 23 tingkat.[5]
Kesemua ini berlaku di Tokyo-3 sebuah bandar yang dicipta khas untuk kemandirian manusia dalam menghadapi serangan Angel. Dunia ketika itu baru sahaja mengalami malapetaka yang maha dahsyat yang dipanggil sebagai Second Impact yang menghapuskan separuh daripada populasi bumi. Pada masa yang sama juga, paksi bumi berubah menyebabkan perubahan iklim yang teruk di seluruh dunia.[6]
Jika dilihat begitu sahaja, plot Evangelion ini lebih kurang sama sahaja dengan banyak anime yang lain (terutama sekali Gundam). Di mana seorang remaja dicampak ke medan peperangan dan terpaksa menghadapi realiti yang berlaku di sana. Tapi Evangelion memaparkan dengan baik sekali tekanan dan juga kesan psikologi yang dihadapi remaja yang memandu mecha ini.[7]
Shinji Ikari pada mulanya enggan memandu EVA. Kerana EVA merupakan satu-satunya senjata yang mampu menghalang kemaraan Angel, makhluk yang membawa kepada kehancuran manusia. Shinji Ikari tidak mahu menanggung beban yang besar seperti itu, namun dia tidak mampu untuk menolak, kerana Pengarah kepada NERV, adalah ayahnya sendiri, yang kasihnya selama ini didambakan Shinji.[8]
Oleh kerana itulah, dengan berat hatinya, Shinji akhirnya memandu EVA dan bertarung dengan Angel. Membawa kita menelusuri pertarungan demi pertarungan, pendedahan demi pendedahan, sehingga kita mula sedar ada sesuatu di bawah permukaan yang cuba ditonjolkan dalam Neon Genesis Evangelion. Siri ini bukan sekadar siri pertarungan mecha semata-mata.[9]
Inilah yang tidak ditonjolkan oleh banyak anime-anime mecha ketika itu. Bahawa beban yang ditanggung oleh pemandu mecha ini amatlah berat, dan mampu menganggu psikologi mereka, lebih-lebih lagi apabila melihatkan umur mereka yang masih lagi remaja. Dan ini ditunjukkan dengan jelas sekali, dalam Evangelion, apabila Shinji mula mengalami tekanan dan kemurungan (depression) melampau akibat terlalu lama memandu Eva.[10]
Di pertengahan cerita pula kita mengetahui, seperti namanya, Neon Genesis Evangelion membawa plot yang penuh dengan simbolisma Kristian. Dengan nama seperti Adam, Lilith dan juga Eva (konotasi untuk Eve), Evangelion cuba untuk menceritakan semula asal-usul kejadian manusia,tapi dengan menokok tambah unsur sains bagi menjustifikasikan rasional di sebaliknya.[11]
Pun begitu, seperti yang saya sebut di atas tadi, Evangelion bukan hanya sekadar anime dengan simbolisma Kristian semata-mata. Bagaikan tasik yang dalam, ada sesuatu di bawah permukaan anime ini yang perlu kita selami untuk memahami mesej dan pengajaran yang cuba disampaikan. Terutama sekali mesej penting yang ditujukan buat masyarakat Jepun.
Hikikomori dan Hedgehog’s Dilemma
Sebelum kita menyelam ke dasar, perlulah kita ambil tahu dahulu, apa yang kita boleh jangka berada di dasar. Kerana di dasar itu adalah mesej yang ditinggalkan oleh Hideaki Anno untuk masyarakat Jepun. Untuk itu mari saya bawa anda sebentar, untuk mengenal mengenai masalah yang kini dihadapi oleh masyarakat Jepun, Hikikomori.
Hikikomori, merupakan satu fenomena pengasingan diri yang kini sedang melanda golongan muda di Jepun. Perkara ini cukup merisaukan kerajaan Jepun kerana ia berisiko tinggi dalam memberi impak terhadap sosial dan juga ekonomi negara maju itu. [12]
Kerajaan Jepun mendifinasikan Hikikomori sebagai mereka yang mengasingkan diri dari masyarakat dalam tempoh lebih dari 6 bulan. Dan kebanyakan dari mereka ini berumur di antara 15-39 tahun. Ada beberapa sebab yang dikenalpasti menjadi punca kepada kewujudan hikikomori ini, dari tekanan masyarakat sehinggalah ke masalah mental.[13]
Jika kita melihat dengan lebih teliti masalah hikikomori ini, kita boleh merumuskannya menggunakan satu alegori yang mudah. Ianya dipanggil sebagai Hedgehog’s Dilemma, ataupun Dilema Si Landak yang sering digunapakai oleh ahli psikiatri terkemuka, Sigmund Freud. Menurut Freud, seperti si landak yang takut untuk tercedera, atau mencederakan yang lain apabila bersama ataupun mendekati sesama mereka, begitu jugalah manusia, yang takut untuk terluka hati, ataupun melukakan hati yang lain. [14]
Ia merupakan satu analogi yang mudah untuk menggambarkan betapa rapuhnya hati manusia, dan betapa mudahnya untuk kita melukakan hati yang tersayang. Samalah juga seperti pepatah Melayu, “Sedangkan Lidah lagi tergigit”, begitulah yang dihadapi oleh belia Jepun yang mengamalkan hikikomori. Tuntutan dan stigma masyarkat Jepun yang memandang serong pada mereka yang tidak berjaya memaksa sang Landak ini untuk menjauhkan diri dan hidup terasing berseorangan.[15]
Tapi apa kaitan Hikikomori, Dilema Sang Landak dan juga Neon Genesis Evangelion yang sedang kita bincangkan? Untuk pengetahuan anda, Hedgehog’s Dilemma merupakan tajuk dan juga tema perbincangan utama dalam salah satu episod Evangelion (Episod 4). Tapi ianya bukan hanya dibincang pada takat itu sahaja, malah ia akan berkembang menjadi tema utama di pengakhiran animasi mahakarya ini.[16]
Human Instrumentality Project
Di akhir Evangelion, kita didedahkan tentang punca sebenar Second Impact. Di mana ia merupakan insiden yang berlaku hasil eksperimen SEELE (organisasi di belakang NERV) yang cuba untuk berlagak sebagai tuhan. Tapi kita juga didedahkan yang SEELE juga merancang untuk membawa semua manusia ke tahap evolusi yang lebih tinggi melalui Human Instrumentality Project.[19]
Evangelion memaparkan Shinji Ikari sebagai watak yang mengalami Dilema Sang Landak. Kerana ditinggalkan oleh ayahnya sejak kecil, Shinji dambakan perhatian dan kasih sayang dari mereka yang berada di sekitarnya, tapi pada masa yang sama dia takut untuk melukakan hati mereka yang berada di sekelilingnya. Disebabkan itulah konflik dalam diri Shinji diterjemahkan dalam plot pengakhiran Evangelion, yang dipanggil sebagai Human Instrumentality Project.[17][18]
Human Instrumentality Project direka dengan tujuan untuk mengumpulkan semua manusia, dari entiti individu dengan identiti yang berbeza, bercampur menjadi satu kelompok cecair, seperti sup primordial yang wujud di permulaan kewujudan bumi. Dan ia seperti satu penyelesaian yang bijak buat Shinji, kerana jika mereka bersatu dan berkumpul bersama, dalam satu identiti sahaja, maka tiada lagi risiko untuknya menyakiti di antara satu sama lain.[20]
Human Instrumentality Project ini boleh diibaratkan seperti golongan hikikomori, yang cuba mengasingkan diri mereka dari manusia lain, dan duduk bersama dengan anime ataupun permainan video yang sudah pastinya tidak akan terluka ataupun melukakan hati mereka. Kerana tidak sanggup menahan diri dari terluka, ataupun menanggung kesakitan dengan bersama manusia yang lain, mereka lebih suka menyendiri, seperti cecair yang tiada fungsi, hanya termendap tanpa bergerak.[21]
Di episode akhir Shinji diberi pilihan, sama ada ingin meneruskan Human Instrumentality Project, memastikan semua manusia bercampur menjadi sup primordial,ataupun kembali kepada asal, dengan risiko untuk terluka dan melukakan hati yang lain. Jika semua manusia kekal sebagai sup primordial, mereka boleh hidup bersama, saling faham memahami antara satu sama lain, tapi mereka tidak lagi mempunyai identiti tersendiri, sebaliknya hanya dikenali sebagai satu entiti sahaja, iaitu manusia.[22]
Tapi jika mereka kembali kepada asal, masing-masing dengan identiti yang berbeza, mereka akan kembali bertengkar ataupun melukakan antara satu sama lain, sesuatu yang ditakuti dan tidak diingini oleh Shinji. Ia adalah satu dilema yang dihadapi oleh Shinji, Sang Landak, dan juga mereka yang mengamalkan hikikomori di Jepun.[23]
Mujurlah di akhir cerita, Shinji mengambil langkah untuk membawa manusia semua kembali kepada asal, walaupun dengan risiko untuk disakiti. Kerana padanya identiti dan kewujudan individu itu lebih penting,dari kesakitan yang dirasai oleh hati. Kerana dengan identiti yang berbeza dan kerjasama di antara setiap individu ini, memungkinkan mereka untuk mewujudkan tamadun manusia yang hebat, dengan pencapaian teknologi yang ulung seperti EVA dan juga Tokyo-3.
Dan itulah mesej yang cuba disampaikan oleh Hideaki Anno melalui mahakarya-nya ini.
Mesej Sepanjang Zaman
Agak ironik bila difikirkan yang karya yang sepatutnya membawa masyarakat Jepun keluar dari budaya otaku dan juga Hikikomori secara tidak lansungnya menyumbang kepada tersebarnya budaya itu. Dengan penjualan patung permainan, dan banyak lagi barangan yang diinspirasikan dari anime ini, Evangelion akan terus menerus meninggalkan jejaknya dalam budaya masyarakat Jepun.[24]
Pun begitu, agak menyedihkan apabila mesej yang cuba disampaikan dalam Evangelion tidak sampai kepada mereka yang menontonnya. Data dari kerajaan Jepun menganggarkan terdapat sehingga 1.55 juta orang Jepun berpotensi menjadi hikikomori. Dengan jumlah yang banyak seperti itu, ia bakal memberi kesan yang besar kepada ekonomi Jepun, dengan kurangnya sumber tenaga manusia tempatan.[25]
Ini secara tidak lansung akan membawa masuk pekerja dari luar dan mengancam identiti negara matahari terbit itu. Mesej yang disampaikan melalui Neon Genesis Evangelion 20 tahun yang lalu jelas, dan masih lagi terpakai, lebih-lebih lagi di waktu genting seperti ini.
Operation Yashima (yang fiksyen dan juga realiti) menunjukkan apabila manusia berlainan identiti ini bekerjasama, mereka mampu melakukan sesuatu yang menakjubkan. Golongan hikikomori juga perlu keluar dari sup primordial mereka dan bekerjasama walaupun dengan risiko untuk disakiti bagi mengekalkan identiti Jepun sebagai salah satu negara maju di Asia.
RUJUKAN:
Abbas, M. (2019, August 26). Hikikomori- Fenomena Pengasingan Diri Dalam Masyarakat. Retrieved from The Patriots: https://thepatriots.asia/hikikomori-fenomena-pengasingan-diri-daripada-masyarakat/
Ashford, S. (2019, July 26). 10 Best Mecha/Giant Robot Anime Of The ’90s. Retrieved from CBR.com: https://www.cbr.com/anime-best-mecha-series-1990s/
Broderick, M. (2002). Anime’s Apocalypse:Neon Genesis Evangelion. Intersections: Gender, History and Culture in the Asian Context, Issue 7.
CNN Library. (2019, March 4). 2011 Japan Earthquake – Tsunami Fast Facts. Retrieved from CNN: https://edition.cnn.com/2013/07/17/world/asia/japan-earthquake—tsunami-fast-facts/index.html
Conrad, A. (2018, November 6). People in Japan are increasingly shutting themselves off from society. Retrieved from GQ Magazine: https://www.gq-magazine.co.uk/article/hikikomori-japan
Crandol, M. (2002, June 11). Understanding Evangelion. Retrieved from Anime News Network: https://www.animenewsnetwork.com/feature/2002-06-11
Frank, A., & Romano, A. (2019, Jun 21). 8 things to know about Neon Genesis Evangelion, the legendary anime now streaming on Netflix. Retrieved from Vox: https://www.vox.com/2019/6/21/18683621/neon-genesis-evangelion-netflix-release-explained
Loo, E. (2011, 3 12). Evangelion Inspires Real Operation Yashima After Quake. Retrieved from Anime News Network: https://www.animenewsnetwork.com/news/2011-03-12/evangelion-inspires-real-operation-yashima-after-quake
M.A, L. R. (2012, Jan 8). Social Media and the Hedgehog’s Dilemma. Retrieved from Psychology Today: https://www.psychologytoday.com/us/blog/creative-synthesis/201201/social-media-and-the-hedgehogs-dilemma
Oskin, B. (2017, September 13). Japan Earthquake & Tsunami of 2011: Facts and Information. Retrieved from Live Science: https://www.livescience.com/39110-japan-2011-earthquake-tsunami-facts.html
Plata, L. M. (2014). The Crisis of the Self in Neon Genesis Evangelion. Kinema Club Conference for Film and Moving Images from Japan XIII.
Stephen, B. (2019, June 22). Neon Genesis Evangelion is the perfect story for this moment in history. Retrieved from The Verge: https://www.theverge.com/2019/6/22/18701441/neon-genesis-evangelion-hedgehogs-dilemma-shinji
Stewart-Ahn, A. (2019, June 19). Neverending Evangelion. Retrieved from Polygon: https://www.polygon.com/2019/6/19/18683634/neon-genesis-evangelion-hideaki-anno-depression-shinji-anime-characters-movies
Tsang, G. F. (February 2016). Beyond 2015: Nihilism and Existentialist Rhetoric. Journal of International and Advanced Japanese Studies, 35-43.
Tucker, C. (2019, April 2). ‘Neon Genesis Evangelion’: Subversion, Psychoanalysis and the Lasting Appeal of Demanding Art. Retrieved from Vague Visages: https://vaguevisages.com/2019/04/02/neon-genesis-evangelion-subversion-psychoanalysis-and-the-lasting-appeal-of-demanding-art/
Weisberger, M. (2019, May 24). Chernobyl vs. Fukushima: Which Nuclear Meltdown Was the Bigger Disaster? Retrieved from Live Science: https://www.livescience.com/65554-chernobyl-vs-fukushima.html
NOTA KAKI:
[1] (Oskin, 2017)
[2] (Loo, 2011)
[3] (Loo, 2011)
[4] (Ashford, 2019)
[5] (Crandol, 2002)
[6] (Broderick, 2002)
[7] (Stephen, 2019)
[8] (Stewart-Ahn, 2019)
[9] (Crandol, 2002)
[10] (Tucker, 2019)
[11] (Broderick, 2002)
[12] (Abbas, 2019)
[13] (Abbas, 2019)
[14] (M.A, 2012)
[15] (Abbas, 2019)
[16] (Plata, 2014)
[17] (Tsang, February 2016)
[18] (Plata, 2014)
[19] (Crandol, 2002)
[20] (Frank & Romano, 2019)
[21] (Tucker, 2019)
[22] (Tsang, February 2016)
[23] (Crandol, 2002)
[24] (Frank & Romano, 2019)
[25] (Conrad, 2018)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih