Siapa tidak mengenali dua tunjang utama dalam siri animasi terkenal Upin Ipin yang sudah menemui penonton hampir 12 musim di TV9 (kini bersiaran di Astro). Siri animasi popular ini bukan sahaja memikat hati rakyat Malaysia, malahan sambutannya jauh lebih luar biasa di Indonesia. Penerimaan masyarakat Indonesia merupakan salah satu platform terbaik bagi animasi tempatan untuk mengembangkan lagi karya anak seni diperingkat lebih tinggi.
Penulis gemar membaca pandangan mereka sendiri tentang kritikan Upin Ipin terutama sekali penerimaan masyarakat di sana terhadap penayangannya. Hampir keseluruhan memuji dan mendukung tinggi animasi tersebut yang dianggap sangat mendekati kehidupan sosio masyarakat dengan mengambil latar belakang kampung sebagai lokasi utamanya.
Bagi penulis pula, sebenarnya bukanlah sesuatu pekara yang mudah untuk drama-drama mahupun terbitan Malaysia menembusi pasaran ke sana. Berbanding penerimaan masyarakat kita yang jauh lebih terbuka. Dan apabila siri animasi Upin Ipin ini berjaya mendapat tempat di hati masyarakat Indonesia hal ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan.
Walaubagaimanapun, benarkah animasi Upin Ipin memberi satu ancaman tidak bersenjata kepada rakyat Indonesia? Baru-baru ini, penulis ada membaca beberapa penulisan blog dan artikel daripada negara seberang mengenai pengaruh besar animasi tersebut yang memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak di sana. Seperti di ketahui, tayangan animasi tersebut menggunakan bahasa Melayu sebagai dialek percakapan meskipun tayangannya di kaca televisyen Indonesia.
Penerimaan masyarakat di seberang sana yang tinggi, sedikit sebanyak menimbulkan kebimbangan terutamanya penularan bahasa Melayu di kalangan anak-anak Indonesia. Di tambah pula, tayangannya tiga kali sehari dan setiap episod ditayang secara berulang-ulang sehingga mempengaruhi kanak-kanak di sana untuk bertutur menggunakan loghat bahasa Melayu walaupun tidak secara keseluruhan.
Antara perkataan-perkataan yang dituturkan seperti tak nak, takde pun, iye ke, takde je. Malahan berdasarkan pemerhatian, kebanyakan anak-anak Indonesia yang bersekolah SD iaitu sekolah dasar (di Malaysia dikenali sebagai sekolah rendah) sentiasa bertutur ala-ala gaya Upin Ipin dan penularan bahasa Melayu ini sebenarnya mengugat penggunaan bahasa Indonesia yang dianggap sebagai bahasa nasional.
Sifat kanak-kanak yang suka meniru dengan apa yang mereka melihat merupakan faktor mengapa pengaruh Upin Ipin memberi kesan yang besar terhadap psikologi kanak-kanak. Namun, benarkah penayangan Upin Ipin memberi sebuah ancaman kepada Indonesia? Bagi penulis, ancaman itu bergantung kepada anggapan individu itu sendiri dalam mengekang masalah yang dicipta. Penulis percaya, media merupakan sebuah alat komunikasi yang efektif dalam menyediakan info mahupun hiburan dari semasa ke semasa. Dan jika dilihat dari sudut positif, penularan Bahasa Melayu ini adalah satu kaedah yang berkesan kepada anak-anak untuk mengenali aneka ragam dan kepelbagaian bahasa serantau. Selain mempelajari tentang budaya di negeri tetangganya yang tidak jauh berbeza dengan Indonesia meskipun wujud perbezaan antara kedua-duanya.
Selain di anggap memberi ‘ancaman’ terhadap penularan bahasa Melayu, animasi tersebut dianggap mengancam budaya mereka. Sebenarnya isu dan pertelingkahan ‘budaya serumpun’ ini sukar untuk dipatahkan kerana pemahaman tentang konsep budaya antara setiap persepktif masyarakat adalah berlainan. Tambahan pula, iadipisahkan oleh dua buah negara yang ber ‘identiti’ negara berbeza, iaitu secara amnya berdasarkan kebudayaan kaum dan bangsa tanpa dibataskan sempadan politik kini. Kurangnya pemahaman mengenai konsep budaya ini menyebabkan segelintir penulisan dari seberang yang menganggap episod Upin Ipin iaitu ‘Rasa Sayang Hey’ merupakan satu alat ancaman kerana Malaysia dilihat seperti mem’promosi’ budaya mereka tanpa izin.
Mereka juga percaya, episod Rasa Sayang Hey yang diudarakan pada musim keempat itu, merupakan sebuah alat propaganda yang dilakukan oleh Malaysia untuk mengakui hak cipta tersebut berasal dari sini. Sebuah petikan yang dipetik dari Ahmad Mujahid Ramli iaitu seorang Direktor Jeneral Hak Kekayaan Intelektual ada mengatakan;
‘…untuk penggunaan lagu daerah, khususnya untuk tayangan komersil, semestinya mereka sudah minta izin ya sama pemerintah Indonesia. Atau mungkin mereka sudah membuat perjanjian dengan pencipta lagu kita tidak tahu…’
Kenyataan ini sebenarnya ‘agak tidak masuk akal’ bagi pandangan penulis sendiri. Bagaimana budaya yang sudah lama berkembang boleh wujudnya satu bentuk istilah hak permilikan bagi sesebuah negara. Sedangkan, sebelum Perjanjian Inggeris Belanda dilaksanakan pada tahun 1824, masyarakat ketika itu bebas berpindah randah tanpa mengambil batasan politik moden seperti hari ini. Justeru itu, secara tidak langsung penyebaran sesebuah budaya itu akan berlaku dan mewujudkan kesakmaan budaya yang sama.
Bukan sahaja episod Rasa Sayang Hey yang dianggap memberi ancaman, namun beberapa episod lain seperti adegan Tok Dalang memainkan wayang kulit juga antara episod yang mendatangkan kerisauan mereka. Kebimbangan terhadap isu ancaman budaya ini bukan sahaja mendatangkan satu kesan tidak munasabah, tetapi bagi penulis sendiri, kemunculan wayang kulit ini terutamanya di Tanah Melayu (kini dikenali Malaysia) telah muncul sebelum tahun 1824 lagi dan pengaruh seni tersebut sudah bertapak di Kelantan. Oleh itu walaupun Indonesia dan Malaysia berkongsi budaya yang sama, masih wujud perbezaan di antara kesenian kedua-duanya.
Justeru itu, secara kesimpulannya penulisan ini tidak menghukum keseluruhan masyarakat Indonesia dengan menganggap mereka terancam melalui penyiaran animasi Upin Ipin. Sebaliknya penulis akui, nilai patriotism rakyat Indonesia sebenarnya jauh lebih tinggi dan ekoran dari itu rasa kecintaan terhadap tanah air menyebabkan wujudnya sentimen yang mendatangkan kerisauan terutamanya melibatkan isu-isu budaya dan penularan pengaruh terhadap kanak-kanak di sana. Walaubagaimanapun, hal tersebut tidak bermakna Malaysia tidak boleh aplikasikan budaya nusantara, kerana kebudayaan yang wujud ini memiliki hak bersama dan tidak seharusnya dijadikan pemilikan bagi sesebuah negara. Begitu juga dengan penularan bahasa, yang sememangnya tiada isu perlu diwujudkan kerana ianya bukanlah sebuah permasalahan besar.
Rujukan:
Anon. Pakai Lagu Rasa Sayange Tanpa Izin, Malaysia Langgar UU Hak Intelektual. Repbulika.Co.
Amril Amrullah. 2017. Jurnal: Pengaruh Tayangan Upin dan Ipin terhadap Penggunaan Bahasa Melayu Murid SDN 001 Sambutan Samarinda. EJou
Asyikin Mat Hayin. ‘Televisyen’ zaman silam. Harian Metro. 23 Mei 2018.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih