Dalam sejarah, baginda memang dikenali sebagai seorang insan yang banyak mengetuai banyak pertempuran dalam sejarah. Justeru, bagi saya adalah penting juga untuk kita mengkaji sisi kemanusian Rasulullah itu sendiri, sama penting untuk kita mengkaji tentang sisi keajaiban dan kenabian baginda ketika perang.

Ini adalah penting kerana kita umat akhir zaman perlu tahu bahawa keajaiban tidak mungkin akan mendatangi mereka kecuali dengan izin ALLAH. Maka sisi kemanusiaan Rasulullah perlu juga dipelajari oleh kita, untuk kita menyediakan diri kita dalam perang seperti mana Rasulullah S.A.W. Antaranya ialah Rasulullah tidak turun berjihad semata-mata berdoa kepada ALLAH atau melaungkan ALLAH MAHA BESAR dan selepas itu, mengharapkan keajaiban berlaku.

Sebaliknya, sebelum pertempuran berlaku, Rasulullah sendiri menyediakan taktikal dan strategi perang untuk melawan musuh. Maka mari bersama saya, kita selami sejarah yang maha hebat ini. Perlu diingatkan bahawa dalam artikel ini, kami tidak menceritakan secara terperinci sebaliknya sekadar analisis dan kemudian memaparkan keputusan yang diperolehi daripada analisis itu.

1. Pertempuran Badar 9 (624 Masihi)

Pertempuran ini berlaku ketika 17 Ramadhan 2 Hijrah. Apa yang saya mahu perkatakan tentang pertempuran ini ialah kebijaksanaan Rasulullah. Rasulullah tahu bahawa dalam pertempuran yang berlatarkan padang pasir, yang paling penting ialah sumber air.

Justeru sebelum pertempuran ini bermula, maka Rasulullah memanggil semua para sahabatnya untuk mewujudkan sebuah “war council” memandangkan kemaraan angkatan tentera Musyrikin dari Mekah. Strategi tentera Islam adalah mudah. Menghampiri kumpulan telaga air yang berdekatan yang di Medan Badar.

Ini kerana pertempuran dijangka akan bertempat di kawasan sekitar Madinah, maka nabi tahu bahawa dalam sebuah pertempuran di tengah padang pasir, sesiapa yang menguasai sumber air, maka kemenangan seperti sudah berpihak separuh kepadanya. Maka nabi memilih sebuah telaga air di Badar sebagai tempat tentera Islam berkampung.

Namun para sahabat mencadangkan agar tentera Islam mara lebih atas sedikit, ke sebuah lagi telaga air dalam medan Badar yang lebih strategik kerana kedudukannya lebih dekat dengan tentera Musyrikin.

Rasullulah selaku seorang pemimpin yang hebat, pasti menerima cadangan strategi daripada para sahabatnya yang dilihatnya jauh lebih baik dari cadangan pertama. Maka berangkatlah Rasulullah dan tentera Badar ke telaga yang dimaksudkan. Sampai sahaja di situ, Rasulullah kemudian mencadangkan agar semua telaga air di medan Badar dikambuskan dengan tanah.

Kalau kita analisis rancangan Rasululullah ini ialah sebenarnya untuk mengheret tentera Quraisy menyerang satu-satunya lokasi air di sekitar Madinah yang masih lagi terjaga. Tentera Islam pula walaupun dalam jumlah yang lebih kecil dari tentera Quraisy, tetapi mempunyai kelebihan yang jauh lebih besar daripada kelebihan yang dimiliki oleh Quraisy.

AIR.

Jangan pandang rendah pada kelebihan air dalam medan pertempuran kerana pada zaman terkemudiannya, terbukti bahawa air memang memainkan peranan yang sangat besar. Antara jeneral perang dalam sejarah Islam yang menjadikan air sebagai titik fokus strategi perangnya ialah Salahuddin Al-Ayyubi dalam Pertempuran Hattin di mana tentera Salib dimain-mainkan oleh Salahudin dengan sangat bijak sekali.

Kenapa saya berpendapat bahawa air adalah sumber yang sangat strategik dalam pertempuran di tengah padang pasir? Kerana tanpa air, sebuah penaklukan ke atas sebuah kota adalah kelihatan sangat mustahil kerana tentera tidak akan mampu bertahan lama. Mungkin sebab itu juga, tentera Quraisy hanya mampu bertahan selama tiga jam dalam pertempuran ini sebelum melarikan diri kerana pertahanan ampuh oleh tentera Islam. Tanpa air di tengah padang pasir, sebuah pasukan tentera itu tidak mempunyai masa yang lama atau mereka akan mula mengalami dehidrasi lalu menjadi lemah.

Tentera Quraisy yang jauh dari sumber air di padang pasir, harus menyerang tentera Islam yang sedang berjaga di satu-satunya sumber air. Akhirnya, dengan bantuan ALLAH yang mengirimkan malaikat terbaiknya, serta taktikal genius Rasulullah menyuruh seluruh telaga air dikambus, maka kemenangan pun berpihak kepada tentera Islam. 313 ahli Badar menewaskan lebih 1000 tentera kafir.

2. Pertempuran Uhud (625 Masihi)

Dalam pertempuran ini, tentera Islam mempunyai lebih kurang 700 orang tentera tetapi hanya sekadar 4 orang tentera berkuda. Sebaliknya tentera Quraisy pula membawa lebih kurang 3000 orang tentera, bersama dengan 200 unit tentera berkuda.

Seperti mana yang kita tahu, untuk pertempuran ini, ia berlaku adalah atas niat balas dendam yang mahu dilunaskan oleh Abu Sufyan ke atas tentera Islam yang berjaya membunuh banyak tokoh penting Quraisy di dalam Pertempuran Badar.

Lalu seperti mana yang diberitahu di atas, Abu Sufyan pun membawa lebih kurang 3000 askar Quraisy, bersama dengan beberapa orang jeneral perang seperti Khalid Al-Walid yang memimpin unit berkuda tentera Quraisy.

Dalam pertempuran ini, apa yang cuba dilakukan oleh Abu Sufyan dalam pertempuran adalah menempatkan taktik ‘double enveleopment’ di mana, Abu Sufyan cuba menguatkan bahagian sayap kanan dan kiri daripada bahagian tengah askar Quraisy. Apa yang cuba dilakukan oleh Abu Sufyan ialah memastikan bahawa tentera Islam akan terus masuk ke bahagian tengah barisan askar Quraisy sambil bahagian sayap kiri dan kanan Mekah masib bertahan.

Konon-kononnya nanti bahagian tengah tentera Quraisy akan berundur ke belakang lalu terus memasuki ruang kosong yang ditinggalkan di tengah, tetapi di kiri dan kanan tentera berkuda masih kukuh bertahan. Tentera Islam akan memasuki ruang kosong yang ditinggalkan di bahagian tengah tentera Quraisy ini. Ini secara tak langsung membuatkan tentera Islam akan terkepung di kiri dan kanan mereka. Lalu tentera berkuda yang memang jauh lebih kukuh daripada tentera pejalan kaki umat Islam akan terus membantai tentera umat Islam di kiri dan kanan.

Dan Rasulullah S.A.W selaku seorang taktikal genius perang yang sangat menakjubkan telah menyediakan pelan tersendiri untuk menentang taktik “double envelopment” yang di bawa oleh Abu Sufyan. Selaku pasukan yang bertahan, maka kelebihan memilih geografi medan tempur dimanfaatkan sehabis baik oleh Rasulullah.

Lalu baginda memilih kawasan di lembah Bukit Uhud. Kelebihan kawasan lembah Uhud ini ialah terdapat dua buah bukit yang mengapit kawasan kiri dan kanan tentera Islam. Dan baginda sendiri telah meletakkan pasukan askar pemanah di salah satu puncak bukit itu untuk neutralkan habis kelebihan askar berkuda yang dimiliki oleh tentera Quraisy.

Taktikal baginda ini membuatkan taktikal “double enveleopment” yang cuba digunakan oleh pasukan tentera Quraisy berhasil dengan kegagalan. Sebab itu baginda menyatakan kepada pasukan pemanah itu untuk kekal di posisi mereka meski apa sahaja berlaku, sama ada tentera Islam sedang menempah kegagalan dan kemenangan.

Dan malangnya, mereka turun dari puncak bukit dan… Khalid Al-Walid yang melihat bahawa senjata utama taktikal perang Rasulullah kini sudah tiada di tempatnya, terus memimpin unit berkuda yang sebelum ini dineutralkan oleh pasukan pemanah itu.

Akibatnya… kekalahan terus menyapa pasukan tentera Islam! Tetapi apa yang saya nak sampaikan dalam analisis taktikal perang kali ini, betapa Rasullulah begitu bijak menyimpan pelan untuk menafikan terus taktikal perang terkenal yang bernama “double envelopment” itu. Tidak hairanlah kalau baginda adalah tokoh paling berpengaruh dalam sejarah dunia. Baginda seorang politikus, jeneral perang, ayah, tokoh spiritual, cendekiawan dan suami yang hebat!

3. Pertempuran Khandaq (627 Masihi)

Dalam sejarah peperangan orang Arab, pengepungan adalah sangat jarang berlaku kerana sebelum ini, pertempuran biasanya berlaku dalam skala yang lebih kecil. Namun, memandangkan ajaran Islam yang dibawakan oleh Rasulullah semakin diterima oleh seluruh umat Islam.

Dalam Pertempuran Khandaq jugak, dapat dilihat bagaimana buat pertama kalinya, strategi yang sangat terkenal di dunia parsi dipakai oleh tentera Islam berkat cadangan Salman Al-Farisi dan ketoleransian Rasulullah mendengarkan cadangan sahabatnya.

Salman mencadangkan agar dibinakan sebuah parit mengelilingi Kota Madinah demi mempertahankan kota itu daripada serangan gabungan tentera Ahzab yang berjumlah 10 ribu banyaknya melibatkan orang Quraisy dan juga puak-puak arab di sekitar Jazirah Arab. Tentera Islam pula ketika itu memiliki ketumbukan askar sebanyak 3 ribu orang.

Dalam sejarah Parsi, taktikal ini memang selalu diguna pakai. Tetapi ia sangat asing dalam sejarah peperangan orang Arab. Sebab itu ketika Abu Sufyan sampai sahaja ke kota Madinah untuk melakukan pengepungan sekaligus menggerakkan penaklukan ke atas Madinah, terkejut apabila melihatkan parit yang digali di sekeliling kota Madinah.

Pertahanan umat Islam di dalam parit itu sangatlah ampuh apabila selama 27 hari usaha untuk menakluk parit tersebut mengalami kegagalan. Setiap kali tentera Quraisy cuba untuk melintasi parit itu, mereka akan dihadiahkan dengan hujanan panah dan batu dari tentera Islam.

Parit digali di bahagian utara sahaja memandangkan timur dan barat serta selatan Madinah dipenuhi oleh bukit bakau dan juga kawasan berpokok yang menyusahkan penggerakkan bala berkuda Mekah. Dalam masa yang sama, segala hasil tuaian umat Islam diambil lebih awal bagi memastikan tentera musyrikin kebuluran dan hanya bergantung pada kelengkapan makanan yang dibawa dari Mekah.

Dalam masa yang sama, Rasulullah turut merancang pelan alternatif sekiranya pertahanan berbentuk parit itu berjaya ditembusi oleh tentera musyirkin apabila memilih sebuah bukit bernama Sala sebagai kem utama tentera Islam dan tempat mengatur serangan kembali sekiranya parit tersebut berjaya ditembusi. Memandangkan kedudukan bukit tersebut itu sangat strategik, maka sekali lagi kebijaksanaan Rasulullah terbukti.

Namun, pengkhianatan yang dibuat oleh Bani Quraizah yang tiba-tiba berpaling tadah pada gabungan tentera Ahzab tersebut merisaukan Rasulullah. Ini juga menjatuhkan semangat tentera Islam. Namun, seorang tokoh ternama dari tentera Ahzab yang menyerang Madinah dikatakan memeluk Islam secara rahsia kemudian ditagih kudratnya oleh Rasulullah.

Kata Sun Tzu dalam buku perangnya The Art Of War:

“The supreme art of war is to subdue the enemy without fighting.”

Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah. Baginda memecahkan kesatuan tentera Ahzab hanya dengan senjata rumor sahaja, yang diakui merupakan sangat penting dalam membicarakan tentang peperangan. Tidak perlu berlawan, tidak perlu menumpahkan darah, jeneral perang yang hebat mampu menundukkan lawan tanpa berlawan.

Rasulullah telah mengarahkan Nuaim memporak-perandakan gabungan Bani Quraizah dan juga tentera Ahzab. Nuaim telah pergi ke Bani Quraizah lalu menyebarkan khabar angin bahawa sekiranya pengepungan itu gagal, maka tentera Ahzab tidak akan membantu langsung Bani Quraizah sekiranya diapa-apakan oleh tentera Islam. Lalu Nuaim mencadangkan agar diambil beberapa orang ternama dari tentera Ahzab lalu dijadikan tawanan demi menjamin keselamatan Bani Quraizah.

Lalu sampai kepada tentera Ahzab, Nuaim menyebarkan khabar berita yang lain pula. Kononnya Bani Quraizah telah berpaling tadah dan kembali berpakat dengan Rasulullah. Nanti Bani Quraizah akan berpura-pura meminta tawanan dari tentera Ahzab, dan meminta tawanan perang daripada mereka, sebaliknya nanti akan serahkan kepada tentera Islam.

Lalu persengketaan berlaku antara gabungan tentera Ahzab dan puak Yahudi Bani Quraizah ini. Ketika Ikrimah dihantar kepada mereka untuk menuntut janji menyerang tentera Islam bersama, Bani Quraizah pula meminta beberapa orang tawanan daripada tentera Ahzab.

Namun mengenangkan kembali khabar angin yang disebarkan oleh Nuaim, maka tentera Ahzab menolak permintaan Bani Quraizah. Bani Quraizah pula menyangka bahawa tentera Ahzab telah mengkhianati perjanjian mereka. Lalu pakatan antara mereka berpecah.

Berpalingnya Bani Quraizah daripada tentera Ahzab telah menimbulkan perpecahan di kalangan tentera Ahzab sendiri. Kebanyakan puak-puak arab yang bergabung bukanlah menyerang Islam dengan niat membenci Islam tetapi djanjikan dengan harta rampasan perang. Namun strategi pengepungan yang dilakukan ke atas Madinah ini agak asing bagi mereka. Mereka tidak sabar dan strategi pengepungan ini memerlukan masa lama dan kesabaran. Lalu mereka pula yang berpecah.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan Nuaim ini sangatlah berkesan. Akibat dari perpecahan, akhirnya tentera Ahzab pun menyerah dan memilih untuk kembali ke tempat masing-masing. Maka sekali lagi Madinah berjaya dipertahankan.

Kesimpulan

Rasulullah membuktikan kepada kita bahawa perang bukan sahaja melibatkan semangat semata-mata. Doa dan tawakkal kepada yang maha esa harus diiringi oleh usaha. Antara usaha yang dibawakan oleh Rasulullah ialah taktikal-taktikal perang yang sangat genius yang seperti mana dipaparkan dalam artikel ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Leave A Reply