Bila sebut pasal rampasan kuasa, kita selalu bayangkan negara dunia ketiga dan hal seperti junta tentera, protes jalanan, atau pemimpin diktator digulingkan. Tapi percaya tak, Amerika Syarikat, iaitu negara yang kononnya lambang demokrasi moden. Pernah hampir diguling dari dalam oleh golongan elit?
Ini bukan teori konspirasi. Kisah ini benar-benar berlaku dan tercatat dalam sejarah sebagai Business Plot. Kisah ini jadi antara satu kisah gelap Amerika yang jarang disentuh dalam buku teks sejarah arus perdana.
Tahun 1933, Amerika masih dalam krisis ekonomi besar (Great Depression). Presiden Franklin D. Roosevelt (FDR) baru saja memperkenalkan siri reformasi ekonomi bernama “New Deal” untuk membantu rakyat biasa, termasuk subsidi, pekerjaan awam, dan hak buruh.
Tapi dasar ini tak disenangi oleh sebahagian elit korporat dan kapitalis besar. Bagi mereka, Roosevelt terlalu condong kepada rakyat marhaen dan menggugat sistem kapitalisme tradisional. Di sinilah muncul satu rancangan gila.
Sejumlah tokoh kaya, bank besar dan pemilik industri dikatakan mahu tubuh rejim fasis boneka dan gulingkan FDR secara senyap. Mereka mahukan pemimpin tentera yang dihormati rakyat, dan pilihan mereka ialah Jeneral Smedley Butler, seorang wira Perang Dunia Pertama.
Tapi Butler bukan boneka sesiapa. Bila dia diberitahu tentang rancangan ini dan ditawarkan kuasa, dia tolak mentah-mentah dan terus mendedahkannya kepada Kongres. Keterangan Butler lengkap, disokong saksi dan menyebabkan siasatan khas dilakukan oleh Kongres melalui McCormack–Dickstein Committee.
Keputusannya?
Memang ada asas kukuh wujudnya komplot untuk rampasan kuasa. Tapi yang aneh, tiada seorang pun dituduh secara rasmi. Tiada perbicaraan besar. Tiada hukuman. Kes ini tenggelam begitu saja dalam sejarah. Media pun tidak kecoh. Seolah-olah sistem cuba melindungi mereka yang berkepentingan.
Kisah Business Plot ini jadi pengajaran penting. Ia bukti bahawa bahaya rampasan kuasa bukan hanya milik negara miskin atau autoritarian. Negara paling maju dan demokratik pun tidak kebal bila kuasa ekonomi terlalu kuat dan mula rasa terancam.
Dan inilah realiti pahit dunia moden: bila politik lawan kepentingan elit, maka keutuhan demokrasi pun boleh diperjudikan.




No comments yet