Zaman Penemuan sememangnya merupakan salah satu zaman yang paling dramatik dalam sejarah Eropah. Zaman yang menyaksikan banyaknya perlayaran, penerokaan dan interaksi dengan Dunia Baru.
Ramai ahli navigasi, peneroka dan kapten kapal yang ulung teruja dengan kemungkinan wujudnya sebuah dunia yang terletak di luar sempadan pengetahuan Eropah, dunia yang keberadaannya jauh melangkaui lautan yang terbentang luas. Di Dunia Baru ini tersimpan pelbagai macam kepentingan seperti potensi perdagangan, sumber emas, wilayak penaklukan dan kekayaan.
Pada hari ini, kita mengenali Dunia Baru sebagai Amerika. Namun, daripada manakah datangnya nama tersebut? Seorang ahli navigasi dari Florence, yang namanya sering dibayangi oleh Columbus, merupakan insan yang memberikan namanya kepada benua berkenaan. Beliau ialah Amerigo Vespucci dan ini adalah kisah tentangnya.
KEHIDUPAN AWAL AMERIGO VESPUCCI
Sebelum kita memulakan penceritaan tentang ahli navigasi yang terkemuka ini, mari kita berbicara tentang Dunia Baru terlebih dahulu. Benua Amerika tidaklah ditemui buat kali pertama oleh Columbus mahupun Vespucci sebagaimana anggapan umum. Merentas zaman, sejarah telah mengenali ramai pelaut dan tamadun demi tamadun yang menjelajah lautan luas. Sebaik sahaja lautan luas ini diredahi, para pelayar lambat-laun tentunya dapat menemukan benua Amerika.
Antara pelaut pertama yang tiba di benua Amerika ialah Viking. Di bawah kepimpinan seorang Viking dari Iceland yang bernama Leif Erikson, orang-orang Norse ini berjaya meredahi lautan luas dan tiba di pantai Amerika Utara. Peristiwa ini berlaku sekitar 1000 Masihi, hampir lima kurun sebelum Columbus.
Pada tahun 1492, peneroka Itali yang bernama Christopher Columbus menjadi orang Eropah pertama yang tiba di Kepulauan Caribbean. Namun beliau tersilap anggap bahawa dirinya telah tiba di pinggiran benua Asia, justeru menamakannya sebagai ‘Kepulauan Hindi’. Pelaut senegara dan sezaman beliau, iaitu Amerigo Vespucci kemudiannya membuktikan kesilapan Columbus.
Amerigo dilahirkan pada tahun 1454 Masihi dalam sebuah keluarga yang terkemuka di Florence, Itali. Keluarga Vespucci merupakan sebuah keluarga terhormat dan penduduk tempatan di Florence sejak dua kurun. Ramai yang mengaitkan nama Vespucci ini dengan kebangsawanan Itali.
Namun, hal ini tidaklah memaksudkan bahawa keluarga Vespucci ini kaya. Sebaliknya, mereka merupakan sebuah keluarga yang agak miskin dan lazim bergiat dalam aktiviti perdagangan.
Semenjak awal usianya, Amerigo dididik oleh bapa saudaranya, seorang mubaligh friar di Dominica yang bernama Giorgio Antonio Vespucci. Ketika masih kanak-kanak lagi, Amerigo mempelajari bidang seni, sastera, matem4tik dan geografi. Kemudian, beliau dihantar ke Univesiti Pisa untuk mendapatkan pendidikan lanjut. Pada waktu itu, Florence merupakan pusat kesenian, kesusasteraan dan tapak permulaan Renaissance, yang kesemua ini lantaran jasa Wangsa Medicci.
Amerigo berkesempatan untuk berkenalan dengan beberapa ahli keluarga Medicci yang terkemuka ini, dan seterusnya terlibat dalam dunia perdagangan. Sebagai seorang pedagang, beliau meraih kedudukan dalam pertubuhan perdagangan Lorenzo de Medici yang agak terkemuka.
Pencapaian ini antara lain disebabkan oleh latar belakang keluarganya, di samping keluarga Medicci sendiri sedang mencari bakat-bakat baru. Bergiat dalam perdagangan di Florence memerlukan ketrampilan dalam diplomasi, pertuturan dan kecekapan dalam hal-ehwal komersial. Amerigo menguasai kesemua ketrampilan ini dengan baik.
Selepas meraih kedudukan tersebut, Amerigo mengembara ke Barcelona di Sepanyol atas tuntutan kerja. Pada masa itu, Semenanjung Iberia merupakan salah satu lokasi perdagangan dan pengembaraan yang utama, terutama bagi para peneroka dan ahli navigasi Portugis dan Sepanyol.
Amerigo Vespucci banyak terlibat dalam perniagaan di Sepanyol, terutama di Seville, di mana beliau bertugas menyiapkan bekalan dan menyelenggara kapal-kapal Sepanyol yang bakal digunakan dalam perlayaran-penerokaan. Sekitar waktu itu, hubungan antara Monarki Castile dan Christopher Columbus sudah agak renggang. Lantaran itu, pihak kerajaan mula memberikan lesen dan mencari ahli-ahli navigasi terkemuka yang lain untuk dihantar menerokai Hindia Barat.
PERLAYARAN-PERLAYARAN AWAL VESPUCCI
Amerigo Vespucci amat berminat dengan perlayaran ini. Diperkirakan bahawa pada suatu masa, beliau berpeluan berlayar bersama Christopher Columbus. Namun kemudian, Vespucci memasang hajat untuk melakukan perlayarannya sendiri.
Beliau mempunyai kesemua keperluan – tahap pendidikan yang tinggi, rangkaian hubungan yang luas di Sepanyol dan Itali, latar belakang dalam dunia perlayaran, serta ketrampilan dalam bidang perdagangan, geografi dan astronomi.
Beliau pernah berlayar bersama Alonso do Hojeda dalam salah sebuah pengembaraannya, bertugas sebagai ahli astronomi dan pedagang. Vespucci bukanlah seorang pelaut yang calang-calang. Sebagai seorang yang berpendidikan, beliau banyak menumpu pada bidang astronomi dan mengkaji bintang sambil mengikuti perlayaran dengan harapan dapat menemukan bintang-bintang selatan.
Ramai yang percaya bahawa sebaik sahaja beliau terlibat dalam perlayaran, Vespucci menyahut seruan tersebut dengan bersungguh-sungguh dan berubah sepenuhnya dari seorang ahli niaga kepada seorang ilmuwan dan ahli navigasi.
Sekembalinya di Sepanyol, Amerigo Vespucci menolak tawaran tiga buah kapal dan bekalan-bekalan (atas sebab yang tidak diketahui) untuk sekali lagi berlayar buat kerajaan Sepanyol. Namun tatkala melihat pencapaian pelaut Portugis, Vasco da Gama, yang berjaya mengelilingi benua Afrika, Vespucci bertekad untuk berlayar untuk kerajaan Portugis demi meraih kemasyhuran. Tekad ini juga berputik atas faktor kapal-kapal Portugis yang lebih laju dan kukuh berbanding Sepanyol.
Justeru itu, Vespucci pun meraih kepimpinan ke atas tiga buah kapal Portugis. Pada masa inilah beliau melakukan perlayarannya yang kedua, atau perlayaran pertama beliau yang dianggap oleh sejarahwan sebagai benar-benar terbukti. Beliau berangkat dari Portugal pada bulan Mei 1501. Misi yang disasarkannya adalah untuk menemukan Selat Gatigara, laluan yang kononnya boleh membawa ke Asia sebagaimana yang didakwa oleh Ptolemy dalam penulisannya.
MENEMUKAN SEBUAH DUNIA BARU
Namun, perlayaran ini sebenarnya membawa Vespucci ke pantai Amerika Selatan. Apapun, pencapaian inilah yang kelak menjadikannya masyhur. Sebaik sahaja beliau menyedari bahawa beliau sama sekali tidak berada berhampiran Asia, Vespucci mengetahui bahawa beliau menemukan sebuah benua baru yang terletak di antara Asia dan Eropah.
Memandangkan Vespucci memiliki pengetahuan geografi dan menyedari akan hakikatnya yang tidak sempurna dan tidak konsisten, maka beliau pun berlayar di sepanjang pantai. Pemerhatian secara teliti membolehkan beliau menyimpulkan bahawa daratan yang ditemuinya ini benar-benar sebuah benua yang belum dikenali oleh orang Eropah.
Lantas, beliau pun segera menulis surat kepada Lorenzo Medicci dari tempat yang kini dikenali sebagai Cape Verde. Beliau memerincikan dengan teliti tentang para penghuni kawasan tersebut, flora dan faunanya, serta keadaan daratan itu sendiri. Menerusi surat ini, kita dapat fahami bahawa Vespucci benar-benar seorang yang berpendidikan tinggi dan terkehadapan, melangkaui zamannya.
Dalam surat yang diutuskan kepada Medicci, beliau menyebutkan bahawa beliau telah menemukan sebuah benua baru. Beliau turut memerihalkan tentang jumlah manusia yang dilihatnya di sana, dan beliau menerangkan bahawa kemajmukan penduduk itu menandakan keluasan daratan tersebut, saiz pantainya dan juga saiz sungai-sungainya.
EMPAT BUAH PERLAYARAN DAN SURAT-SURAT PALSU
Secara keseluruhan, Amerigo Vespucci berlayar sebanyak empat kali ke Dunia Baru, walaupun sejarahwan kini tidak begitu pasti tentang dua daripadanya. Kebanyakan catatan tentang perlayaran Vespucci datang daripada beberapa pucuk surat yang ditulis oleh Vespucci sendiri.
Surat pertama mendakwa bahawa perlayaran beliau bermula pada bulan Mei 1497 dan berakhir pada bulan Oktober 1498. Namun daripada maklumat sejarah, didapati bahawa pada masa itu Amerigo sedang bekerja sebagai pembekal dan penyelenggara kapal di Seville. Perlayaran pertama beliau bersama Hojeda pula bermula pada bulan Mei 1499. Lantaran itu, ramai yang percaya bahawa surat ini sebenarnya adalah surat palsu yang direka selepas kem4tian Vespucci.
Sepucuk lagi surat palsu yang terkait dengan Vespuci ialah surat yang dikenali sebagai Mundus Novus. Surat ini hadir sesudah kem4tian Lorenzo Medici dan kandungannya penuh dengan dakwaan-dakwaan palsu. Begitu juga dengan sepucuk lagi surat yang dikenali sebagai Empat Perlayaran, yang kononnya ditulis oleh Vespucci untuk Piero Soderini, ketua majistret Florence.
Dipercayai bahawa Soderini sendiri menulis surat-surat tersebut kerana cemburu terhadap Lorenzo de Medici yang meraih seluruh perhatian Vespucci. Kandungan surat ini mengandungi banyak kesamaan dengan maklumat perlayaran Columbus dan pada hari ini, ia merupakan sumber bagi kebanyakan anggapan palsu berkaitan Vespucci dan perlayaran-perlayarannya.
AHLI NAVIGASI YANG TIDAK LAGI KELUAR MENGEMBARA
Selepas perlayaran demi perlayarannya berjaya menerokai benua Amerika, dan sesudah beliau meyakini bahawa daratan yang ditemuinya itu adalah sebuah benua baru, Vespucci pun pulang ke Portugal dan kekal berada di sana sehingga tahun 1504.
Selepas itu, beliau pulang ke Seville.
Beliau sempat merancang untuk melakukan penerokaan lanjut, namun rancangannya ini terbatal apabila Raja Ferdinand melantiknya sebagai Mejar Pilot Sepanyol pada tahun 1508. Jawatan ini menuntut Vespucci mengajar ahli-ahli navigasi Sepanyol tentang ilmu navigasi, astronomi dan kosmografi yang dikuasai dan dimanfaatkan olehnya sepanjang karier beliau sebagai seorang pelaut.
Jawatan ini memberikannya kedudukan yang sangat tinggi dan penting, di mana beliau mempunyai autoriti ke atas seluruh armada Sepanyol dan perlayaran-perlayarannya. Begitu juga dengan seluruh perdagangan yang dijalankan antara Sepanyol dan koloni-koloni mereka di Dunia Baru.
Namun malangnya, Vespucci tidak dapat memegang jawatan itu dalam tempoh yang lama. Beliau juga tidak berkesempatan untuk melakukan sebuah lagi penerokaan sebagaimana yang diharapkan. Amerigo Vespucci meninggal dunia akibat malaria pada 22 Februari 1512. Walaupun sudah berkahwin, beliau tidak mempunyai anak.
WARISAN YANG KEKAL BERPANJANGAN
Vespucci meninggalkan legasi yang berkekalan. Beliau benar-benar merupakan salah seorang insan ‘pertama’ dunia, peneraju penerokaan trans-lautan dan perlayaran jarak jauh. Beliau menginspirasikan malah melatih generasi baru yang kebanyakannya meneruskan legasi beliau. Generasi yang kelak berusaha mencari laluan laut ke Asia dengan berlayar di penghujung selatan Amerika Selatan.
Amerigo Vespucci, kapal latihan tentera laut Itali, yang didedikasikan kepada peneroka masyhur itu dan masih digunakan hari ini
Pencapaian-pencapaian yang diraih oleh Amerigo berjaya mengubah takdir penerokaan maritim. Beliau merupakan orang Eropah pertama yang tiba dan menyaksikan pantai Brazil, serta meneroka seluruh pantainya.
Sepanjang pengembaraannya, Vespucci telah meneroka pantai yang secara keseluruhannya berjarak 6000 batu (9700 km). Beliau juga merupakan orang Eropah pertama yang menjejakkan kaki ke Colombia, Argentina, dan Uruguay serta menjadi yang pertama menemui Sungai Amazon, Sungai Plata dan Sungai Pavia.
Selain itu, beliau juga orang pertama yang menemui arus khatulistiwa dan memanfaatkan kitaran bulan untuk menentukan longitud secara tepat. Apapun, pencapaiannya yang paling penting adalah beliau menyedari bahawa ‘pinggiran Asia’ yang ditemui oleh Columbus sama sekali bukanlah benua Asia, sebaliknya sebuah benua baru. Dunia Baru ini dinamakan sebagai Amerika, nama feminin bagi Amerigo dalam Bahasa Latin – suatu legasi Amerigo Vespucci yang kekal berpanjangan.
Vespucci memiliki kefahaman yang jauh terkehadapan tentang dunia di sekelilingnya, dan beliau sememangnya lahir pada zaman yang tepat untuk melakukan penerokaan. Beliau lazim mengkaji penulisan-penulisan Marco Polo dan Ptolemy, dan hal ini banyak membantunya dalam memahami bahawa penduduk dan lanskap daratan Amerika Selatan bukanlah benua Asia.
Beliau berjaya melakukan perlayaran jarak jauh, dan lantaran pencapaiannya ini, beliau menyedari bahawa kemajmukan suku asli, keluasan pantai, dan iklim tropika di situ merupakan petanda bahawa ia merupakan sebuah benua baru. Kesedaran terhadap hakikat ini adalah salah satu penemuan paling penting dalam sejarah Eropah.
Namun malangnya, Amerigo Vespucci sering dibayangi oleh Christopher Columbus, insan yang diperakui sebagai ‘penemu’ benua Amerika walau tanpa menyedari status sebenar benua yang ditemuinya itu. Selain itu, catatan tentang kehidupan Vespucci kebanyakannya diiringi dengan perdebatan dan kewujudan surat-surat palsu berkaitan dengannya.
Justeru pada akhirnya, ramai yang berpendapat bahawa Amerigo Vespucci melakukan tiga perlayaran ke Dunia Baru, dan kesemua perlayaran ini berjaya mencetuskan revolusi dalam dunia penerokaan. Namun, kesemua jasa dan penerokaan beliau ini sering dilupakan.
TERJEMAHAN:
Aleksa Vuckovic. (18 Januari 2020). Amerigo Vespucci: The Forgotten Explorer Who Named America. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amerigo-vespucci-0013166
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih