Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi orang beriman selepas berpuasa selama sebulan pada bulan yang dicintai Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Namun dalam keghairahan kita menyambut ketibaan Syawal, usah dilupa beberapa amalan sunnah Nabi Muhammad s.a.w pada bulan tersebut. Ini kerana Syawal merupakan pemangkin untuk meneruskan amalan-amalan soleh pada tahun-tahun berikutnya, seterusnya membentuk kita menjadi insan bertaqwa di sisi-Nya. Di sini ada beberapa amalan sunnah baginda yang patut diketahui dan diraikan pada bulan kemenangan itu:
1. Bertakbir.
Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah s.w.t dalam ayat 185, Surah Al-Baqarah mafhumnya, “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” Kita juga disunatkan bertakbir sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani rahimahullah, “Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” (Rujuk Kitab Meneladani Rasulullah s.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, muka surat 32) Antara sebab mengapa kita disunatkan bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.
2. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri.
Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin’. Namun, ucapan yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya, “Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).” (Rujuk Kitab Fathul Bari, al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, , jilid 5, muka surat 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.)
3. Meneruskan qiamullail.
Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.
4. Mandi pada pagi hari raya.
Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Talib r.a pernah ditanya mengenai soal mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab, “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis Riwayat Imam Syafie dalam Musnad al-Syafi’i, jilid 1, muka surat 118-119) Dalam satu hadis lain, Nafi r.a (hamba Ibnu Umar r.a) menceritakan Abdullah bin Umar r.a akan mandi pada Hari Raya Aidilfitri sebelum berangkat ke tempat solat. (Hadis Riwayat Malik)
5. Makan sebelum solat Aidilfitri.
Sebelum keluar menuju ke masjid, surau atau tempat lapang yang dijadikan tempat solat sunat Aidilfitri, kita disunatkan menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab rahimahullah, “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” (Rujuk Fathul Bari, jilid 5, muka surat 272)
Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata, “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Hadis Riwayat Bukhari) Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.
6. Memakai pakaian yang indah.
Orang Islam turut disunnahkan menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafie rahimahullah berkata, “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” (Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jilid 1, muka surat 327)
Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie menambah, “Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” (Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jilid 1, muka surat 327)
Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w, “Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i).
Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitikberatkan kebersihan dan kesihatan diri. Maka tiada masalah bagi kaum wanita untuk memakai wangian sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi pula hanyalah khusus untuk suaminya.
7. Berjalan kaki menuju tempat solat hari raya.
Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Dalam satu hadis, Ali bin Abi Talib r.a berkata, “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” (Hadis Riwayat Tirmidzi) Namun bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Dan kita juga disunatkan mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdullah r.a, “Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Menurut Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman, ada beberapa hikmah yang kita boleh lihat apabila kita berjalan kaki melalui jalan berbeza semasa pergi dan balik dari tempat solat hari raya dijalankan. Antara hikmahnya ialah:
– dua jalan berkenaan menjadi saksi kepada perbuatan baik yang dilakukan si polan di hadapan Allah s.w.t pada hari akhirat kelak.
– menzahirkan syiar-syiar agama Islam.
– menyakitkan hati dan menakutkan musuh-musuh Islam yang kagum dan bimbang dengan bilangan orang Islam yang ramai keluar.
– membuka ruang kepada orang Islam untuk saling bertanya khabar, membantu pihak mana yang ditimpa kesusahan dan menguatkan hubungan silaturahim yang sedia terjalin.
8. Tempat perlaksanaan solat hari raya.
Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musolla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata, “Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” (Hadis Riwayat Bukhari)
Antara hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla menurut Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata, “Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin boleh berkumpul bersama (bersua muka) sekurang-kurangnya dua kali dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimah (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” (Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, muka surat 394)
9. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri
Antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibnu Abbas r.a berkata, “Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” (Hadis Riwayat Bukhari) Dan selepas solat sunat Aidilfitri, disunatkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” (Hadis Riwayat Bukhari)
Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Sa’ib r.a, “Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
10. Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri
Islam adalah agama yang begitu praktikal dan munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan.
Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata, “Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” (Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jilid 2, muka surat 290)
Semasa zaman Rasulullah s.a.w sendiri, baginda membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik r.a, “Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) pada masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis Riwayat An-Nasa’i)
Dalam satu hadis lain Aisyah r.a meriwayatkan semasa hari raya, orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Beliau tidak ingat sama ada hendak menontonnya atau Nabi s.a.w yang bertanya, “Apakah kamu ingin melihatnya?” Aku menjawab, “Ya.” Lalu Aisyah disuruh berdiri di belakang baginda di mana pipinya amat dekat dengan pipi Nabi s.a.w. Baginda kemudian bersabda, “Biar yang lain, wahai Bani Arfidah!” Apabila beliau merasa bosan, baginda bertanya kepadanya, “Sudah cukup?” Aku menjawab, “Ya.” Lalu baginda menambah, “Pergilah.” (Hadis Riwayat Bukhari) Melihat kepada semua hujah ini, menampakkan kegembiraan pada hari raya merupakan sebahagian daripada syiar agama selagi mana ia dilakukan secara bersederhana dan tidak mengandungi elemen-elemen bersifat maksiat.
11. Mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal
Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” (Hadis Riwayat Muslim) Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah, baginda menambah, “Kerana sesiapa saja yang melakukan kebaikan, maka ia akan dibalas dengan 10 kebaikan semisal.” Hadis itu diklasifikasikan sebagai sahih menurut Al-Hafiz Abu Thohir. Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada dua Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah rahimahullah dan Imam Syafie.
Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bidaah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.
Jika ada yang merasa bimbang mahu berpuasa enam tetapi takut hari puasanya jatuh pada hari Jumaat atau Sabtu, Imam Nawawi rahimahullah memberi solusi. Beliau berkata, “Ulama mazhab Syafie makruh berpuasa pada hari Jumaat secara bersendirian. Namun jika puasanya itu dilakukan sebelum atau selepas atau bertepatan dengan kebiasaan puasa seperti puasa nazar kerana sembuh dari penyakit dan ianya jatuh pada hari Jumaat, maka tidak jatuh hukum makruh.” (Rujuk Kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhaddzab, jilid 6, muka surat 309) Berpuasa pada hari Sabtu juga dibenarkan sekiranya bersebab dan ia jatuh juga pada hari Sabtu seperti berpuasa pada hari Arafah di mana ia jatuh pada hari Sabtu.
Satu kebimbangan orang kita pada bulan Syawal ialah berpuasa sunat enam hari tetapi pada masa sama, menerima undangan ke rumah terbuka yang dianjurkan rakan-rakan atau organisasi. Pertama sekali, usah jadikan puasa sunat enam hari sebagai alasan untuk tidak memenuhi undangan yang diberi. Ini kerana dalam sesetengah kes, ada sahabat seperti Abdullah bin Umar r.a tetap hadir ke satu majlis walaupun beliau ketika itu berpuasa. Dalam satu hadis, Nabi s.a.w bersabda, “Jika dijemput salah seorang daripada kamu ke jamuan, maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia berpuasa, maka doakanlah tuan rumah. Jika dia tidak berpuasa, maka hendaklah dia menjamah makanan.” (Hadis Riwayat Muslim)
Jika kita hendak membatalkan puasa, lihat pula puasa apa yang kita lakukan. Jika puasa yang dilakukan itu puasa qada Ramadan atau puasa nazar, maka haram baginya untuk berbuka. Jika puasa itu ialah puasa sunat, tiada masalah baginya berbuka dan sunat baginya berbuka sekiranya tuan rumah merasa tersinggung sekiranya kita tidak menjamah makanan yang disediakannya. Bahkan dalam satu hadis, Nabi s.a.w bersabda kepada seorang lelaki yang berpuasa sunat bila menghadiri sebuah majlis, “Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah-payah untuk kamu.” Kemudian baginda menambah, “Berbukalah dan gantikan puasamu pada hari-hari lain sekiranya kamu mahu.” (Hadis Riwayat Baihaqi) Justeru bagi meraikan semua pihak termasuk yang sedang berpuasa sunat, adalah elok sekiranya program rumah terbuka dijalankan antara 3.00 petang hingga waktu malam. Tindakan ini dilihat mewujudkan suasana yang lebih harmoni dan meraikan semua pihak.
SUMBER
- Mohamed Saat, Muhamad Adib. (2005). Utusan Malaysia. 12 jenis mandi sunat. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1101&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm
- Subandi, Nawawi. (2007). Fiqh & Sunnah. 037 – Bergembiralah di Hari Raya. http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2007/09/037-bergembiralah-di-hari-raya.html
- Mohd Yunus, Mohd Yaakub. (2007). Karya Bestari. Menyambut Ramadan dan Aidilfitri Menurut Sunnah Rasulullah s.a.w.
- Abdul Rahman, Abdul Basit. (2011). Blog Abu Anas Madani. Adab-Adab Menyambut Hari Raya. http://abuanasmadani.blogspot.com/2011/08/adab-adab-menyambut-hari-raya.html
- Tuasikal, Muhammad Abduh. (2013). Muslim.or.id. Tata Cara Puasa Syawal. https://muslim.or.id/17782-tata-cara-puasa-syawal.html
- Mohd Zin, Mohd Radzi. (2017). Utusan Malaysia. Puasa enam dan rumah terbuka. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/puasa-enam-dan-8232-rumah-terbuka-1.497378
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih