Isnin, 9 November 20269 Nov 2026
Alam Melayu

Ali Wallace aka Buang (1840-1907) – Saintis Melayu Sarawak Yang Dilupakan

Nama
Alfred Russel Wallace mungkin asing bagi orang awam tetapi bagi komuniti
saintifik terutama dalam bidang zoologi dan biologi, beliau merupakan antara
tokoh ulung dalam dua bidang berkenaan. Ini kerana Wallace merupakan tokoh yang
bersama Charles Darwin yang menyokong teori evolusi. Tidak seperti Darwin,
beliau pernah mengadakan ekspedisi penerokaan di Amazon dan Alam Melayu di mana
di sinilah, kebanyakan penemuan berkenaan flora dan faunanya menjadi asas
kepada buku The Malay Archipelago. Tetapi di sini, lebih baik lampu dihalakan
kepada orang kanan Wallace dalam ekspedisi ini iaitu Ali Wallace.

Sejarah keluarga

Dalam
setiap ekspedisi yang dijalankan Wallace, beliau merekrut ramai pembantu untuk
merekodkan semua penemuan semasa sesebuah ekspedisi. Dan sebaik saja menerima
gaji yang dijanjikan, sesetengah pembantu ini tidak menyertai ekspedisi
berikutnya. Tetapi dua individu yang sentiasa meniti di bibir Wallace iaitu Ali
dan Charles Allen dan nama kedua-duanya banyak dicatatkan dalam setiap catatan
beliau semasa berada di rantau itu. Dalam catatannya, Wallace menganggap Allen
yang berasal dari London suka mengambil mudah dan merasakan pembantunya itu
tidak akan berubah. Sementara Ali pula sentiasa dipuji dan dianggap sebagai
pembantu terbaik berdarah orang asal (Melayu) dalam ekspedisi berkenaan.

Berdasarkan
rekod, Wallace dan Allen mula bertemu dengan Ali pada akhir tahun 1855 atau
lebih tepat Disember 1855. Ini anekdot beliau berkenaan Ali, “Bila saya berada
di Sarawak pada tahun 1855, aku mengambil seorang remaja lelaki Melayu bernama
Ali sebagai pembantu peribadi dan untuk membantuku menguasai Bahasa Melayu
sebagai keperluan berkomunikasi kerap dengannya. Dia seorang pembersih dan
memberi perhatian serta boleh memasak dengan baik. Dia kemudiannya belajar
bagaimana hendak menembak burung, membuang kulitnya dengan bersih dan
memakaikan semula ia tanpa sebarang masalah. Dan dia juga seorang pelaut yang
mahir, satu kelebihan bagi mana-mana orang Melayu ketika itu dan bila ekspedisi
berhadapan kesulitan atau bahaya, dia tidak terganggu dan bersedia
menghadapinya.”

Tetapi sejarawan luar dan tempatan berpandangan kisah ini seharusnya dilihat dari berbelas tahun lepas. Ali Wallace atau nama sebenarnya Ali Amit merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik dan dilahirkan pada tahun 1840. Semasa membesar, beliau belajar perubatan tradisional daripada abangnya Tad atau Panglima Putad, satu kemahiran yang dipelajari daripada bapa mereka Amit. Bila berlakunya konflik pertempuran, Panglima Putad merawat mangsa yang cedera dengan Ali bertindak sebagai pembantu. Sementara abang sulung mereka, Osman atau Panglima Seman merupakan orang kepercayaan James Brooke dan turut berperanan sebagai algojo dengan menikam dari bahagian atas belakang di sebelah kanan sehingga menembusi organ jantung pesalah dengan sebilah keris.

Berikutan
jasanya terhadap keluarga Brooke, maka tidak hairanlah mengapa mereka mempunyai
persepsi baik terhadap Panglima Seman. Dalam buku Ten Years in Sarawak
misalnya, Charles Brooke menganggap orang Melayu sebagai teruk kecuali Panglima
Seman dan Abang Ali serta menceritakan kelebihan panglima itu. Bagi Ali pula,
beliau tahu jika bergaul dengan kelompok orang Eropah ketika itu, bintangnya
akan bersinar. Ketika itulah, beliau berkawan dengan penjaga kuda Astana
(kediaman rasmi Brooke) iaitu Edward. Kelibatnya bukanlah asing dalam kalangan
warga Astana kerana beliau juga belajar Bahasa Inggeris dengan Edward.

Selepas
tamat kempen pengukuhan kerajaan Brooke, Panglima Seman diberi ganjaran beberapa
bidang tanah oleh Brooke pada tahun 1852. Ali masih kekal di Kampung Jaie
dengan abangnya Panglima Putad saja yang memilih berhijrah ke kawasan yang
dikenali sebagai Kampung Panglima Seman. Di sini, beliau membuka perusahaan
tempaan besi yang menarik perhatian penduduk untuk berhijrah dan membina
kehidupan baru. Namun, ini mencetuskan iri hati seorang pembesar bernama Awang
Mat atau Pengiran Ahmad. Pembesar itu kemudiannya menyebarkan khabar angin
cubaan Panglima Seman merampas kerajaan dari tangan Brooke. Dakwaan tersebut
mudah dipercayai Raja Putih itu kerana dari bengkel besi yang diusahakan
Panglima Putad boleh saja menghasilkan senjata diperlukan untuk pemberontakan.

Panglima
Seman cuba menjelaskan situasi sebenar kepada Brooke sebanyak lapan kali di
Astana tetapi tidak dilayan. Dan bila Brooke pergi ke Singapura (berkemungkinan
untuk menjelaskan tuduhan aktiviti anti-lanun), wujud pula khabar angin beliau
sudah bersedia menyerang Panglima Seman dan para pengikutnya. Beberapa minggu
selepas itu, sebuah kapal besar berlabuh di muara Sungai Sarawak yang mula
menimbulkan kegelisahan orang ramai. Tatkala itu apabila kedua-duanya akhirnya
bertemu, ia tidak berakhir dengan baik di mana Brooke mengancam keselamatan
Panglima Seman dan keluarganya. Dan dengan kemunculan kapal besar itu, itu
sudah cukup mendorong mereka berhijrah ke Kampung Jaie dan menukar nama kepada
nama Cina atau Barat atas sebab keselamatan. Bagaimanapun, perkara itu langsung
tidak berlaku dan Panglima Seman hilang dalam lipatan sejarah di mana beliau
melarikan diri ke Sambas.

Sepeninggalan
abang sulungnya itu, Ali mengaturkan semua urusan kebajikan anak-anak keluarga
yang terlibat dan kembali ke Kuching untuk bertemu dengan bakal rakan baik dan
majikannya, Wallace. Beliau memanfaatkan keupayaan berbahasa Inggeris,
kemampuan sebagai tukang masak dan pengetahuan perubatan tradisional untuk
menyertai ekspedisi Wallace. Dan sepanjang enam tahun, Ali menjadi sebahagian
daripada ekspedisi Wallace dan memberi kesan mendalam bukan saja kepada majikannya
itu tetapi juga kepada dunia ilmu terutama dunia sains. Perjalanan dua sekawan
ini bermula di Santubong di mana ketika itu, beliau sibuk mengkaji biodiversiti
flora dan fauna yang wujud.

Ekspedisi Alam Melayu

Kedua-dua
Allen dan Ali mula menemani Wallace semasa tempohnya di Sarawak. Tetapi pada 10
Februari 1856, Allen mengambil keputusan meninggalkan kedua-duanya dan tinggal
di Sarawak sebagai guru di sebuah sekolah mubaligh. Dalam suratnya terhadap
kakaknya di Britain, Wallace menulis, “Aku perlu mengajar remaja lelaki China
itu (anggapan kelompok kolonial terhadap orang Asia terutama Melayu) untuk
mengumpul dan melekatkan serangga.” Tetapi seperti mana Awang dengan Ferdinand
Magellan, Ali cepat belajar dan mahir dengan kemahiran barunya. Seminggu
selepas itu, Wallace dan Ali bertolak ke Singapura dan tinggal di situ selama
96 hari. Semasa di sana, mereka melihat harimau yang ditangkap hidup-hidup di
Bukit Timah dan dipamerkan kepada orang ramai. Kisah harimau ini didakwa
Wallace menjadi sumber penceritaan harimau oleh kepada penduduk Maluku iaitu
kisah harimau jadian. Kisah sebegini mungkin dianggap pelik oleh ahli zoologi
British itu tetapi elemen mistik sebegini sememangnya diketahui penduduk
Kepulauan Melayu.

Mereka
kemudiannya singgah di Bali selama dua hari sebelum meneruskan perjalanan ke
Lombok. Di Bali, Wallace mengambil seorang lagi pembantu bernama Manuel
Fernandez, seorang lelaki berbangsa Portugis yang mahir menyingkirkan kulit
burung. Selepas tiba di Lombok pada Jun 1856, mereka meneruskan perjalanan ke
Makassar dan Aru. Semasa ekspedisi, Ali jatuh sakit sekaligus memperlahankan
usaha pengumpulan spesimen yang dilakukan Wallace. Sementara menunggu
pembantunya kembali pulih dengan makan kuinina di Pulau Aru, beliau mengambil
seorang remaja bernama Baderoon (Badrun atau Badrul) dari Makassar sebagai
pembantu. Walaupun dianggap baik oleh Wallace, Baderoon juga mempunyai tabiat
kaki judi dan berat tulang sehingga mengundang kemarahannya. Pembantu itu
meninggalkan ekspedisi akibat masalah hutang dan sejak itu, satu-satunya
individu yang paling dipercayai ahli zoologi British itu ialah Ali.

Dari
Aru, ekspedisi Wallace mula bergerak ke Maros di utara Makassar dan pada
November 1857, mereka meninggalkan Makassar menuju ke Ternate. Selepas tiba di
Ternate pada Januari 1858, Wallace menulis esei tentang evolusi dan pilihan
semulajadi versinya sebelum menghantarnya kepada rakan dan pakar zoologi,
Darwin. Esei tersebut mendorong Darwin bertindak segera dan menulis versinya
tentang evolusi yang kita kenali dengan tajuk On the Origin of Species. Semasa
di Ternate, Ali bertemu jodoh dengan seorang wanita tempatan dan memilih untuk
tidak mengikut ekspedisi Wallace pada tahun 1859. Semasa tahun-tahun ini, wujud
kemungkinan beliau kembali ke Sarawak untuk menjenguk sanak-saudara di sana.
Ali hanya kembali menyertai mereka pada Mei hingga Julai 1861 semasa di Pulau
Buru. Tetapi bagaimana beliau tahu lokasi sebenar ekspedisi Wallace? Besar
kemungkinan orang yang menyampaikan berita ekspedisi mereka ialah kenalan
Wallace, Johann Alexander Jungmichael. Anak kepada seorang vikar, beliau
merupakan orang kepercayaan ahli zoologi itu dalam soal kewangan semasa
ketiadaannya. Dari situ, mereka menuju ke Ternate, Manado, Makassar, Jawa (dari
Surabaya ke Betawi), Sumatera (dari Bangka ke Palembang) dan akhirnya
Singapura.

Selepas
tiba di Singapura pada tahun 1862, Wallace mula membuat persiapan untuk kembali
ke England. Sebelum kembali ke sana, beliau sempat menghadiahkan banyak barang
kepada Ali termasuk senapang, peluru dan duit. Sebagai tanda kenangan, beliau
turut mengambil gambar orang yang dianggap sebagai rakan baik sepanjang
ekspedisi. Menerusi gambar yang diambil ini menunjukkan Ali memakai pakaian
Barat bersesuaian dengan kehendak majikannya. Dalam satu catatan pada tahun
1905, Wallace menulis, “Dia memakai pakaian Eropah buat kali pertama, dia
tidaklah sesegak seperti mana memakai pakaian asalnya. Tetapi seorang rakanku
masih berjaya mengambil gambarnya yang terbaik. Dengan ini, aku mempersembahkan
kepada para pembaca rupa pembantu asalku yang terbaik dan peneman setia
sepanjang ekspedisiku ke pulau-pulau di Timur Jauh.” Gambar potret Ali bersama
pakaian yang digunakan untuk sesi bergambar itu kini dipamerkan di Muzium
Sejarah Alam Semulajadi di London.

Berdasarkan
rekod, terdapat 125,600 spesimen yang dibawa Wallace dari serata dunia termasuk
Alam Melayu. Dan sepanjang ekspedisinya, beliau mengupah 100 orang dengan 30
daripadanya ialah pembantu pengumpul. Walaupun Allen dan pembantu-pembantu
Wallace yang lain mengumpul 40,000 spesimen, wujud teori bahawa sebahagian
besar koleksi spesimen semulajadi di Britain dan Eropah sebenarnya disediakan
oleh Ali. Mengapa teori sebegini timbul? Daripada 8,050 spesies burung yang
dikumpul, spesimen yang dikutip Allen hanya 2,900 sahaja dengan bakinya oleh
Ali. Perkara ini tidak mustahil berlaku walaupun sesetengah hasil kerjanya
tidak menunjukkan sebarang tanda pengenalan. Jika saintis dapat mengenalpasti
tanda pengenalan Ali dan membezakannya dengan tanda pengenalan Wallace, ia
sekaligus menjadikan Ali sebagai saintis Melayu pertama di dunia. Antara
spesimen yang dikatakan diperoleh oleh beliau tetapi diletakkan di bawah nama
majikannya ialah beruang matahari Borneo dan beberapa spesies serangga.

Rajah 1: Lakaran burung standardwing Wallace oleh Daniel Giraud Joseph yang dikumpul dan diterangkan cirinya oleh Ali semasa ekspedisi Wallace.

Rajah 2: Lakaran medan elektrik dalam buku nota Ali. Kredit https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/

Rajah 3: Lakaran penggunaan durian bila menjana elektrik. Kredit https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/

Rajah 4: Lakaran dan nota berkenaan biji benih keruing. Kredit https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/

Legasi

Tidak diketahui lokasi sebenar kubur lelaki yang selayaknya digelar cendekiawan ulung Melayu abad ke-19. Pada mulanya, wujud dakwaan Ali dikebumikan di Ternate atau Papua New Guinea. Tetapi lokasi sebenar kuburnya turut mendedahkan cerita pasca-ekspedisi Wallace. Menurut seorang ekspatriat Tom McLaughlin yang juga penulis buku Borneo Tom: Stories and Sketches of Love, Travel and Jungle Family in Tropical Asia, Ali memutuskan untuk pulang ke Sarawak atau lebih tepat Kampung Jaie untuk membina kehidupan baru dan terus tinggal di situ sehingga ke akhir hayatnya.

Beliau menambah sebagai penghormatan kepada tokoh ulung Melayu ini, satu sayap Muzium Sarawak seharusnya didedikasikan kepada beliau. Sementara penulis Haslina Bujang menyifatkan cadangan kewujudan Pusat Wallace seharusnya turut memperuntukkan satu bahagian khas yang didedikasikan kepada Ali sebagai penghormatan kepada jasanya itu. Manakala Datu Dr Sanib Said pula menyatakan kerajaan negeri patut memikirkan cara untuk memberi kredit hasil kerjanya agar ia diketahui umum.

Rajah 5: Kubur Ali Wallace di Kampung Jaie. Kredit https://imaginedmalaysia.wordpress.com/2017/03/14/the-mysterious-ali-of-the-malay-archipelago/

SUMBER

1.
Borneo Post Online. (2016). Proposed Wallace Centre should also honour legacy
of local assistant Ali — Historian. https://www.theborneopost.com/2016/06/12/proposed-wallace-centre-should-also-honour-legacy-of-local-assistant-ali-historian/

2.
M. Drawhorn, Gerrell dan van Whye, John. (2015). ‘I am Ali Wallace’: The Malay
Assistant of Alfred Russel Wallace. Journal
of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. http://darwin-online.org.uk/people/2015,%20John%20van%20Wyhe,%20I%20am%20Ali%20Wallace.pdf

3.
Bujang, Haslina. (2017). BUANG WALLACE @ ALI AMIT ASAL KPG JAIE – Buang Wallace
“Saintis Anak Sarawak Yang Hilang”. Borneo Oracle. https://www.facebook.com/BorneoOracle/posts/buang-wallace-ali-amit-asal-kpg-jaie-buang-wallace-saintis-anak-sarawak-yang-hil/1512038118843067/

4.
McLaughlin, Joe. (2017). The Mysterious
Ali of the ‘Malay Archipelago’. Imagined Malaysia. https://imaginedmalaysia.wordpress.com/2017/03/14/the-mysterious-ali-of-the-malay-archipelago/

5.
Van Whye, John. (2017). ‘I am Ali Wallace’, the Malay assistant of Alfred
Russel Wallace: an excerpt. The Conversation. https://theconversation.com/i-am-ali-wallace-the-malay-assistant-of-alfred-russel-wallace-an-excerpt-85738

6.
Mail, Rintos. (2017). Call to give Wallace’s Sarawakian assistant due
recognition. Borneo Post Online. https://www.theborneopost.com/2017/09/09/call-to-give-wallaces-sarawakian-assistant-due-recognition/

7. Ong, Tanya. (2017). A Malay teenager helped naturalist Alfred Russel Wallace collect specimens for 7 years. Mothership.sg. https://mothership.sg/2017/10/a-malay-teenager-helped-naturalist-alfred-russel-wallace-collect-specimens-for-7-years/

8.  Isabelle Desjeux. (2015). Buang, The Lost Malay Scientist. Isabellecreates.
https://isabellecreates.wordpress.com/projects/buang-the-lost-malay-scientist/?fbclid=IwAR0X17oGm3S0Q1-CmdcS9to95VcoSFIT5F77BeZn5yTvFU8BX-_FgFiwnl8#jp-carousel-992

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet