Bila kita sebut nama Alexander The Great atau Iskandar Agung, pasti kita akan ingat pencapaiannya membina empayar sejauh timur dan barat. Dan kerana kemahsyuran itu juga, kebanyakan riwayat-riwayat membabitkan raja-raja Melayu mencatatkan kebanyakan raja-raja ini berasal dari keturunan Alexander. Contohnya, kisah Hikayat Merong Mahawangsa yang menceritakan sejarah negeri dan pemerintah Kedah. Kejayaan baginda menggabungkan taktik peperangan yang inovatif dengan strategi pembinaan empayarnya menyebabkan bahagian timur dan barat bersatu melalui pertukaran budaya. Atas sebab itulah, apabila Alexander mati secara mengejut pada usia 32 tahun, ramai masih melihat baginda memiliki aspek kedewaan. Namun terdapat beberapa perkara menarik berkenaan penakluk agung dari Macedonia ini.
1. AHLI FALSAFAH
Alexander dilihat mempunyai minat mendalam terhadap ilmu falsafah. Dan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pada usia 13-14 tahun, ayahanda baginda, Raja Philip II dari Macedonia telah mengupah ahli falsafah terkenal, Aristotle sebagai tutornya. Tidak diketahui apa yang berlaku antara mereka berdua semasa Aristotle mengajarnya di istana selama tiga tahun. Namun pengajaran beliau yang bijak ini dilihat memberi kesan mendalam kepada pandangan dunia Alexander terutama dalam soal ilmu pengetahuan.
Menurut satu mitos, ketika baginda masih lagi bergelar putera raja di Greece, Alexander mahu bertemu dengan seorang ahli falsafah terkenal bernama Diogenes. Diogenes walaupun dikenali sebagai filsuf terkenal, mempunyai tabiat suka bercakap kasar dan tidur dalam satu tembikar tanah liat yang besar. Baginda bertemu dengan Diogenes di sebuah dataran dan bertanya apakah yang dimahukan beliau dalam khazanah baginda. Diogenes menjawab, “Ya, boleh. Minta ketepi sebab anda menghalang cahaya matahari saya.” Kasar kan jawapan beliau? Tetapi ini sebenarnya refleksi kepada falsafah Diogenes sendiri di mana apa yang diperlukan manusia untuk hidup ialah ketahanan. Kagum dengan jawapan beliau, Alexander membalas, “Jika aku bukan Alexander, aku akan jadi seperti Diogenes.”
Selepas ekspedisi baginda berjaya meluaskan pengaruh empayarnya hingga ke India, Alexander menghentikan seketika ekspedisi untuk berdiskusi dengan ahli-ahli falsafah di sana. Ahli-ahli falsafah yang ditemui baginda ini ialah ahli falsafah beragama Hindu atau Jainisme yang menolak apa-apa yang melambangkan kemegahan manusia termasuk pakaian. Maka tidak hairanlah semasa mereka bertemu dengan Alexander, mereka berada dalam keadaan tiada seutas benang menutupi tubuh mereka.
2. TIDAK PERNAH KALAH
Sepanjang tempoh 14-15 tahun ekspedisi perluasan kuasa yang dijalankan oleh Alexander, baginda tidak pernah kalah dalam peperangan. Ini menyebabkan taktik dan strategi baginda masih menjadi bahan kajian ahli-ahli akademik dan tentera hari ini. Dari kejayaannya pada usia 18 tahun, baginda mempunyai reputasi mengetuai tenteranya dengan pantas dalam medan peperangan di mana pasukan lebih kecil dihantar untuk sampai dan memecahkan pertahanan musuh sebelum seterunya bersedia menghadapi ketumbukan mereka. Namun di sebalik kejayaan taktik ini, baginda turut dilabel sebagai semberono dan tidak mempertimbang kebajikan askarnya. Tetapi itu tidak menghalang ramai dari terus mengagumi dan mengkaji strategi yang digunakan. Contohnya, semasa Alexander melancarkan kempen ke atas Empayar Parsi diketuai Darius III, baginda mengarahkan 15,000 tentera dari unit phalanx Macedonia menggunakan tombak berukuran 20 kaki bernama sarissa bagi mematikan ancaman tentera Parsi yang mahir dengan permainan pedang mereka.
3. NAMA DIABADIKAN PADA TEMPAT
Sepanjang tempoh sama, Alexander telah mengubah sepenuhnya dunia di sebelah Asia dan Eropah, dengan kebanyakan kerajaan tumbang atau terpaksa menyerah kalah kepada kekuatan tentera baginda. Dengan kekuatan tentera infantri seramai 43,000 orang dan tentera berkuda seramai 5,500 orang, ia merupakan ekspedisi ketenteraan terbesar yang pernah disaksikan dunia ketika itu. Dalam tempoh baginda memusnahkan penentangan dan menguasai kerajaan, Alexander menubuhkan 70 bandar baru di lokasi-lokasi yang berbeza. Dan kebanyakan tempat ini dinamakan Alexandria atau Iskandariah sempena nama baginda. Semua bandar yang dinamakan sempena nama Alexander ini boleh ditanda sepanjang ekspedisi ketenteraannya dari Eropah hingga ke India.
Dan bandar yang paling terkenal antara 70 bandar ini ialah bandar kedua terbesar di Mesir, Iskandariah atau Alexandria yang ditubuhkan di muara Sungai Nil pada 331 Sebelum Masihi (BC). Di sinilah lokasi perpustakaan terhebat dan terbesar pernah disaksikan dunia, Perpustakaan Agung Alexandria dan satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba, Rumah Api Pharos. Selain itu, berhampiran dengan tapak Pertempuran Hydaspes, pertempuran paling berdarah dalam kempen baginda di India, Alexander turut menubuhkan sebuah bandar bernama Bucephala sempena nama kuda, Bucephalus yang terbunuh dalam pertempuran tersebut.
4. CINTA PANDANG PERTAMA
Ah, tiada siapa dapat lupakan cinta pandang pertama, kan? Perkara sama boleh juga diperkatakan terhadap Alexander. Selepas berjaya menawan kubu di Sogdian Rock pada tahun 327 BC, baginda melihat tawanan-tawanan Bactria yang dikumpul oleh tenteranya. Tatkala asyik melihat tawanan-tawanan ini, tiba-tiba Alexander terpandang wajah seorang jelitawan bernama Roxanne, anak kepada seorang pembesar Bactria. Pada ketika itulah, baginda jatuh cinta pandang pertama dan tidak lama selepas itu, Alexander berkahwin dengan Roxanne. Sebagai meraikan perkahwinan baginda secara tradisional, Alexander memotong sebuku roti kepada dua dan berkongsi roti tersebut dengan isterinya. Beberapa bulan selepas kemangkatan Alexander, Roxanne melahirkan satu-satunya cahaya mata mereka, Alexander IV.
5. WANGI
400 tahun selepas kemangkatan Alexander, Plutarch menulis sebuah buku bertajuk ‘Lives of the Great Greeks and Romans’. Dalam buku tersebut, beliau menyatakan kulit baginda sangat wangi sehinggakan tidak perlu memakai wangian pada pakaiannya. Nampak macam mengarut jika kita baca tetapi hakikatnya, ini sebenarnya sebahagian daripada taktik propaganda untuk menaikkan imej baginda termasuk menambah elemen mistik dan kedewaan pada Alexander. Ini bukanlah sesuatu yang asing pada zaman purba kerana ini turut dilakukan oleh penakluk dan pembina empayar lain serta tidak eksklusif kepada Alexander saja. Dan jika ada yang kata elemen ini sengaja direka-reka oleh penulis-penulis baginda, jawapan anda salah. Hakikatnya, baginda sendiri yang menggalakkan elemen ini ditambah. Buktinya, semasa baginda melawat ke sebuah kuil di Siwa, Mesir, Alexander menggelarkan dirinya anak Dewa Zeus pada 331 BC.
6. BUCEPHALUS
Kita tahu betapa kasihnya Alexander terhadap Bucephalus, kuda kesayangan baginda sehingga sebuah bandar dinamakan sempena namanya. Tetapi sebelum itu, ia merupakan seekor kuda yang liar dan sukar dijinakkan. Bukan sedikit wang dibelanjakan Raja Philip II untuk mengupah ramai penjinak kuda untuk menjinakkan Bucephalus tetapi tidak berjaya. Tatkala Alexander melihat mereka bergelut menjinakkan kuda tersebut, baginda perasan Bucephalus sebenarnya takut dengan bayang-bayangnya sendiri. Lalu baginda bertaruh dengan ayahandanya siapa yang lebih bagus menjinakkan Bucephalus. Alexander dengan tenang menghadapkan kuda tersebut ke arah matahari, naik dan menunggang kuda tersebut. Melihat keadaan tersebut, Raja Philip II bertitah, “Wahai anakku, ada satu kerajaan yang hebat dan bernilai kepada kamu, Macedonia ini terlalu kecil untuk kamu.” Tidak diketahui sama ada kisah ini benar-benar berlaku atau sekadar satu mitos tetapi ia cukup menceritakan kehebatan Alexander untuk tahun-tahun kemudian.
7. TIRU MACAM KAMI’
Selepas enam tahun berperang di tanah Parsi, pada 330 BC, Alexander akhirnya berjaya menawan bandar Persepolis, bandar paling penting dalam empayar tersebut. Bandar ini merupakan pusat kebudayaan Empayar Parsi. Alexander sedar sekiranya mahu memastikan orang Parsi terus taat setia kepada baginda dan kerajaannya, baginda perlu meniru budaya tempatan termasuk dari segi pakaian dan tradisi. Maka tidak hairanlah bagi mendapat sokongan mereka, Alexander membuang persalinan diraja Macedonia dan memakai persalinan diraja Parsi, sesuatu yang dianggap jelik oleh pengkritik baginda di Macedonia. Dan bagi mengukuhkan lagi kesetiaan mereka, baginda menganjurkan perkahwinan beramai-ramai membabitkan 92 pembesar Macedonia dengan wanita Parsi di Susa. Alexander sendiri mengahwini dua orang wanita Parsi iaitu Stateira dan Parysatis.
8. IKATAN GORDIAN
Dalam satu mitos, pengasas bandar Gordium, Gordius mengikat tali pedatinya dengan satu ikatan yang paling rumit dan sukar. Sesiapa yang berjaya merungkai ikatan tersebut diramalkan bakal menjadi penguasa sebenar benua Asia. Maka ramailah mencuba tetapi ramai yang pulang hampa. Dan semasa ekspedisi ketenteraanya, Alexander tiba di bandar tersebut dan mendengar mitos ini. Melihat mitos ini peluang bagi menambah kekuasaannya, Alexander mahu mencuba juga. Dan seperti yang diramalkan, baginda bergelut merungkai ikatan rumit yang dibuat Gordius itu. Alexander akhirnya hilang sabar dan segera memotong ikatan tersebut dengan pedang. Insiden ini seperti mengetahui perjalanan Alexander sebagai antara komander tentera terhebat dalam sejarah.
9. MISTERI KEMATIAN ALEXANDER
Pada 323 BC, Alexander gering selepas minum semangkuk wain dalam satu keraian. Selepas gering selama dua minggu, Alexander menghembuskan nafas terakhirnya. Ramai berspekulasi Alexander sebenarnya mati dibunuh oleh orang yang dikenalinya iaitu Jeneral Antipater dan anak lelaki, Cassander atau bekas tutor baginda, Aristotle. Sejarawan-sejarawan moden yang mengkaji kematian baginda berpandangan Alexander berkemungkinan mati akibat penyakit seperti demam malaria, jangkitan paru-paru, kegagalan hati atau demam tifoid. Walau apapun teori yang dipersembahkan, ia merupakan antara misteri terhebat dalam sejarah purba.
10. DIAWET DENGAN MADU.
Selepas Alexander mangkat, Plutarch melaporkan mayat baginda diawet di Babylon terlebih dahulu oleh pengawet-pengawet Mesir. Ahli kaji Mesir Purba era Victoria, berpandangan mayat Alexander berkemungkinan besar diawet dengan madu bagi mengelak mayat jadi cepat reput. Setahun atau dua tahun selepas kemangkatan baginda, mayat akhirnya dihantar ke Macedonia untuk proses pemakaman. Namun hasrat tersebut berkecai apabila mayat baginda dipintas dan dirampas oleh salah seorang jeneralnya, Ptolemy I dan pengasas Dinasti Ptolemy Mesir. Ptolemy berbuat demikian kerana melihat sesiapa yang berjaya mengawal mayatnya dianggap pewaris kepada takhta Macedonia yang ditinggalkan Alexander.
SUMBER
- Barksdale, Nate. (2014). History. 8 Surprising Facts About Alexander The Great. http://www.history.com/news/history-lists/eight-surprising-facts-about-alexander-the-great
- Adhikari, Saugat. Ancient History Lists. Top 10 Amazing Facts about Alexander The Great. http://www.history.com/news/history-lists/eight-surprising-facts-about-alexander-the-great
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih