Tahukah anda, pada awal zaman kegemilangan tamadun Islam terdapat satu bidang pekerjaan di mana kerjanya hanya terlibat dengan kerja-kerja penyalinan buku? Bidang ini telah diwujudkan untuk memudahkan orang ramai terutamanya penuntut Ilmu untuk membaca karya-karya yang berkualiti dan bermutu tinggi. Hal ini kerana sesetengah kitab atau karya itu susah untuk dimiliki.

Jika ada pun, harganya mesti mahal dan dimiliki oleh para khalifah, para gabenor dan bangsawan. Nama bidang tersebut ialah al-Warraqah (الورّاقة) dan gelaran orang yang bekerja di dalam bidang ini ialah al-Warraq (الورّاق) atau dalam jamaknya ialah al-Warraqun (الورّاقون). Bidang pekerjaan al-Warraqah menurut Ibn Khaldun meliputi 4 perkara :

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

1. Orang yang menyalin semula kitab

2. Orang yang kerjanya membuat buku, seperti susun helaian kertas dan kemudian jahitnya menjadi sebuah buku dan juga menjilidkannya.

3. Orang yang berkait dengan koperasi buku seperti jual beli buku dan memberi pinjam buku.

4. Orang yang menjual alatan yang berkaitan dengan penulisan.

Hal ini menunjukkan beberapa perbezaan yang jelas di antara penyalin (الورّاق) dengan penulis sebuah karya (المؤلّف) walaupun kedua-duanya menggunakan pena, kertas dan dakwat. Antaranya ialah :

1. Penulis Karya (المؤلّف) menggunakan idea asli untuk menghasilkan karya. Manakala penyalin (الورّاق) tidak menggunakan idea tetapi menggunakan kemahiran dia di dalam menulis supaya dapat menulis dan menyalin dengan cermat di tambah pula tulisannya yang cantik untuk mencari duit menyara kehidupan.

2. Penulis karya (المؤلّف) mestilah terdiri daripada orang yang alim. Manakala, penyalin (الورّاق), tidak disyaratkan untuk dirinya menjadi seorang yang alim. Walaubagaimanapun, oleh kerana al-Warraq atau penyalin ini telah berkhidmat dengan ilmu sepanjang masa, maka lama kelamaan naiklah satu darjat mereka iaitu sebagai orang yang bermaklumat yang mana ianya lebih tinggi sedikit berbanding orang awam. Hal ini menyebabkan mereka yang berkecimpung dalam bidang ini berasa bangga dengan kerjaya yang mereka ceburi sehinggakn menisbahkan nama mereka dengan pekerjaan yang sedang mereka ceburi seperti contoh Abu Zakaria al-Warraq.

Antara penyalin atau al-Warraq yang terkenal dalam tamadun Islam ialah Ibn Nadim atau nama sebenarnya Abū al-Faraj Muḥammad ibn Isḥāq al-Nadīm yang muncul pada tahun 978H. Beliau merupakan seorang al-Warraq, seorang pustakawan dan juga seorang penjual buku yang kemudiannya telah  menulis sebuah karya agung berupa ensiklopedia berjudul al-Fihrist yang diakui oleh kalangan tokoh akademik dan ilmuan sebagai karya yang sangat terbaik.

Penghasilan sebuah ensiklopedia berjudul al-Fihrist dan merupakan suatu karya agung yang berisi bibliografi Islam yang menggambarkan perkembangan Islam dan terbitan naskah serta artikel berdasarkan kajian terhadap literatur yang terbit di dunia Muslim.

Data yang dicatat dalam bibliografi antara lain adalah nama pengarang, nama penyunting, judul pustaka, tempat terbit, penerbit, tahun terbit dan edisi, volume, nombor, halaman muka surat (untuk majalah), serta keterangan fizikal dokumen pustaka tersebut, misalnya jumlah halaman, tinggi buku, ilustrasi dan sebagainya.

Kitab Al-Fihrist yang ditulis Ibnu al-Nadim tidak hanya menggambarkan apa yang pernah dicapai atau difahami seseorang terhadap teori Islam, akan tetapi juga menggambarkan bagaimana umat Islam bersentuhan dengan dunia atau faham dan keyakinan lain yang termaktub di dalam suatu literatur sebagai karya orang Islam.

Walaubagaimanapun, pekerjaan yang mulia ini juga ada sisi hitamnya. Antaranya dalam aspek berikut seperti:

1. Apabila orang kaya berlumba-lumba untuk memiliki tukang salinnya yang tersendiri. Maka, dari sini kita akan dapati mereka yang pada mulanya ikhlas dalam bidang ilmu, pada akhirnya sedikit demi sedikit keikhlasannya mula diuji.

2. Untuk bermegah-megah di rak buku dengan menunjukkan bahawa mereka memiliki banyak buku, tetapi bukan untuk membaca tetapi sebagai status sosial kerana banyaknya buku pada masa itu dilihat sebagai orang yang kaya kerana harga sebuah kitab atau buku ketika itu yang agak mahal.

3. Ada di antara waraqah yang sengaja menggugurkan tulisan mereka sebab malas untuk menulis. Hal ini disebabkan kerana :

–  Mereka tahu pekerjaan itu mempunyai keuntungan yang besar

– Niat mereka menceburi pekerjaan itu bukan untuk menyebarkan ilmu tetapi sebagai tempat untuk mencari rezeki dengan cara yang tidak betul.

Walaubagaimana pun, terdapat juga al-Warraq yang melakukan kerja tukang salin itu sebab minat dan sememangnya terdiri dari orang yang memang nak mengembangkan ilmu.

Antara bentuk-bentuk keterlampauan sesetengah golongan al-Warraq yang jahat ialah sebahagian waraqah sengaja melakukan pengkhianatan terhadap kitab di mana mereka tulis sesuatu yg tidak betul seperti contoh, terdapat ada ayat yang sengaja dinisbahkan kepada orang lain. Impaknya jika karya itu kekal sehingga kini, ayat tersebut akan dianggap benar-benar datang dari orang yang telah dinisbahkan itu. Imam al-Khatib al-Baghdadi juga pernah berkata bahawa, ramai orang yang mencipta hadith palsu itu datangnya dari para penyalin (al-Warraqun).

Sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung bantuan pandemik Covid-19. Jom beli: shopee.com.my/thepatriotsasia

Hal ini disebabkan mereka telah melakukan beberapa kelakuan yang tidak Amanah seperti mencampur adukkan sanad dan tiru meniru atau kegiatan plagiarism. Disebabkan berlakunya sedemikian maka wujudlah suatu undang-undang yang dinamakan sebagai Raqabah al-Daulah A’la al-Warraq atau bermaksud Pengawasan negara terhadap pekerjaan waraqah.

Hal ini kerana, penyalinan kitab tersebut amat penting bagi menjaga keharmonian ilmu.  Hal ini juga dapat lihat melalui setengah gabenor setengah kerajaan dalam tamadun Islam, mereka cuba mengawal pergerakan atau aktiviti waraqah tersebut supaya tidak memburukkan keadaan dengan penulis asal kitab dan juga supaya tidak mencemarkan nama baik institusi ilmu tersebut

Akan tetapi, bidang kerjaya ini telah mula tergugat sekitar pertengahan abad ke-15 setelah kemunculan mesin pencetak yang mana ianya jelas lebih memudahkan orang ramai untuk mendapatkan hasil salinan daripada kitab asal. Dengan hadirnya mesin pencetak, maka tugas penyalinan telah diganti oleh mesin pencetak ini walaupun pekerjaan al-Warraq belum terhapus sepenuhnya kerana para ilmuwan Eropah dan Timur masih sering memerlukan jasa mereka melalui karya manuskrip para warraq.

Walaupun pada zaman sekarang tugas penyalin telah digantikan oleh mesin pencetak, namun perdagangan buku masih berlangsung seperti sedia kala, dan penjual buku adalah penerus al-Warraqun. Pada saat ini untuk menemui golongan al-Warraq sudah sangat susah, kewujudan mereka hanya terdapat di daerah-daerah terpencil di beberapa negara timur tengah untuk dapat berjumpa dengan penyalin-penyalin gaya klasik ini.

RUJUKAN:

1. Budhi Sansoto (2019). Peran Al Waraq Dalam Indusri Penerbitan Buku Islam Dan Dampaknya Terhadap Perkembangan Keilmuan Islam. UIN Raden Fatah.

2. Dr Yahya Wahib Al-Juburi (1998). Al-Kitab fi al-Hadharah al-Islamiyyah. Dar al-Gharb al-Islamiy. Ms 63-124.

Mohammad Saiful Nizam
Mahasiswa tahun 2
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.