Al-Quran merupakan kitab suci umat islam. Ia merupakan sumber perundangan yang utama sebagai pendukung kepada setiap mereka yang beragama Islam. Sebagaimana yang diketahui, Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W. secara beransur-beransur selama 23 tahun. Proses penurunannya bermula dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah Di langit dunia. Kemudian dari baitul izzah kepada Nabi secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Antara keistimewaan Al-Quran adalah dari aspek keunikan dan keajaiban yang terdapat di dalamnya kerana isi kandungan yang kekal relevan sepanjang zaman. Ianya masih terus dikaji sehingga ke hari ini oleh bukan sahaja umat Islam, bahkan oleh orang bukan Islam juga. Atas maksud keunikan tersebut, ramai golongan mula melakukan interaksi dengan Al-Quran. Impaknya, lahir sebahagian golongan yang melihat Al-Quran sebagai ayat syifa’ (ayat penawar), solusi kepada sekian banyaknya penyakit yang tidak ditemui penawar. Sebahagian melihat Al-Quran sebagai kitab sains dan teknologi. Wujud juga sebahagian yang melihat Al-Quran sebagai kitab bahasa. Tak terlepas juga, ada golongan yang melihat Al-Quran sebagai kitab sejarah.

Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku? Hal ini kerana intipati dan isi kandungan Al-Quran mengandungi kesemua elemen yang disebutkan tadi. Adakah perkara ini bertentangan dan salah? Tidak, namun harus kita sedar dan fahami bahawa adakah ianya sekadar terhenti di situ? Adakah sekadar apabila kita sudah mendapat sekian-sekian manfaat, maka ianya sudah tidak relevan. Sedang, Al-Quran disebut sebagai “hadiah” dan petunjuk yang akan sentiasa bermanfaat sama ada kita merasakan ianya perlu untuk kita atau tidak. Kerana yang lebih mengetahui apa yang kita perlukan itu adalah kita atau Tuhan kita?

Tambahan, tahukah anda bahawa 1/3 daripada isi kandungan Al-Quran adalah elemen sejarah, yakni menceritakan kisah-kisah Para Nabi, kisah tokoh-tokoh dan kisah lampau. Kenapa terlalu banyak sehingga 1/3 daripada isi kandungan Al-Quran adalah elemen sejarah? Mari kita lihat apa itu sejarah sehingga ia dimuatkan dan dirakamkan dalam Al-Quran.

Sejarah adalah sebuah disiplin ilmu yang dipelajari secara amnya untuk mengetahui tentang peristiwa dan kejadian masa lampau secara kronologi ataupun tidak dengan pelbagai bentuk ungkapan dan perumpamaan. Ia bertujuan membantu memahami hal ehwal kemanusiaan, keadaan bentuk perubahan, bagaimana kerajaan atau dinasti-dinasti tertentu memperluas wilayahnya dan bagaimana mereka memakmurkan bumi sehingga waktu mereka telah tiba untuk melakukan suatu perjalanan yang jauh. Namun adakah sejarah sekadar itu?

Kata Ibn Khaldun dalam karya agungnya, Mukadimah: hakikat sejarah itu dengan kata lainnya, mengandungi penelitian dan usaha mencari kebenaran (tahqiq), penjelasan yang halus tentang sebab dan asal sesuatu; pengertian dan pengetahuan tentang substansi, esensi dan pengetahuan tentang bagaimana dan sebab terjadinya peristiwa-peristiwa. Ia adalah sebuah kritikan dan kajian terhadap apa yang pernah berlaku, dan bagaimana untuk mengambil pelajaran dan pengajaran daripadanya. Itulah sejarah.

Maka, kita fahami betapa besar sebenarnya nilaian sejarah. Nilaian sejarah bukan sekadar mengenal karakter dan tokoh,kronologi peristiwa dan tarikh bahkan ia lebih besar daripada itu. Ia merupakan sebuah asas dan tapak dalam memahami pelbagai cabang falsafah yang terwujud. Justeru, penting untuk kita tahu dan sedar bahawa sejarah itu termasuk dalam kandungan Al-Quran kerana pelajaran dan pengajaran penting yang seharus kita ambil berat daripadanya. Bukan untuk kita jadikan ia sebagai kitab sejarah. Ia lebih besar daripada itu. Kerana manusia itu hakikatnya akan berulang dan sama pada sikap dan karakter walaupun lain pada bangsa dan nama.

Al-Quran menggunakan elemen sejarah bukan terhenti untuk menceritakan kisah. Kerana itu kisah dalam Al-Quran sangat tidak mengikut prosedur dan rukun sebagaimana metode penceritaan dan penulisan manusia. Ianya adalah metode penulisan Tuhan yang sangat indah dan puitis untuk capaian akal manusia yang dahagakan sebuah perasaan tahu. Al-Quran dengan keajaiban dan keistimewaannya menggunakan sejarah untuk memberi pelajaran dan pengajaran kepada seluruh umat manusia.

Artikel dikirimkan oleh Fakhrul Islam untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.