Para pelajar terutama yang bersekolah di sekolah berasrama atau pelajar yang sering menyertai usrah pasti amat kenal dengan satu kitab kecil yang dinamakan sebagai Risalah al-Ma’thurat. Al-Ma’thurat berasal dari perkataan Arab iaitu “Ma’thur” dan “Athar”. Zikir atau wirid ma’thur pula bermaksud, “Sesuatu amalan yang lahir dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah”.

Amalan membaca zikir serta wirid al-Ma’thurat pada waktu pagi dan petang ini sebenarnya mempunyai perkaitan dengan sejarah Tarekat asy-Syadziliyyah. Untuk memahaminya dengan lebih mendalam, elok kita ketahui dahulu apa itu Tarekat Sufi asy-Syadzili ini.

Tarekat Syadzili ini adalah Tariqah Ahlul Maghrib kerana ianya berkembang pesat di barat wilayah Islam iaitu dari Mesir hingga ke Morocco (Maghribi). Tarekat ini diasaskan oleh Imam Abul Hassan asy-Syadzili. Berikut merupakan sanad emas Tarekat Syadzili ini :-

Nabi Muhammad
Saiyidina Ali bin Abi Talib
Saiyidina Hassan bin Ali
Syeikh Abu Muhammad Jabir bin Abdullah
Syeikh Said al-Ghazawani
Syeikh Abu Muhammad Fath al-Su’ud
Syeikh Abu Muhammad Said
Syeikh Abul Qasim Ahmad bin Marwani
Syeikh Sayyid Ishaq Ibrahim al-Basri
Syeikh Zainuddin al-Qazwini
Syeikh Syamsuddin
Syeikh Muhammad Tajuddin
Syeikh Nuruddin Abul Hassan Ali
Syeikh Fakhruddin
Syeikh Taqiuddin al-Fuqayr
Syeikh Abdul Rahman al-Madani
Syeikh Abdul Salam bin Mashish
Imam Abul Hassan asy-Syadzili

Manakala sanad Tarekat Syadzili dari jurai lain pula adalah sebegini :-

Nabi Muhammad
Saiyidina Ali bin Abi Talib
Syeikh Hasan al-Basri
Syeikh al-Ajami
Syeikh Daud at-Tai
Syeikh Ma’ruf al-Kharkhi
Syeikh Sirri as-Saqati
Syeikh asy-Shibli
Syeikh at-Tartusi
Syeikh Abul Hasan al-Hukkari
Syeikh Abu Said al-Mubarak
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani
Syeikh Syuaib Abu Madyan
Syeikh Muhammad Salih
Syeikh Muhammad bin Harazim
Syeikh Abdul Salam Mashish
Imam Abul Hasan asy-Syadzili

Nama penuh pengasas Tarekat Syadzili ialah Abul Hassan asy-Syadzili bin Abdullah Abdul Jabbar bin Tamim bin Hurmuz bin Hatim bin Qusay bin Yusuf bin Yusya’ bin Ward bin Bathal bin Ahmad bin Muhammad bin Isa bin Muhammad bin Saiyidina Hassan bin Saiyidina Ali dan Saiyidatina Fatimah al-Zahra binti Rasulullah.

Imam Abul Hassan asy-Syadzili ini lahir pada tahun 1196 dan meninggal dunia pada tahun 1258. Beliau merupakan Ulama Sufi termasyhur dari Morocco. Beliau terkenal dengan kitab berjudul Hizb Bahr iaitu sebuah kitab himpunan wirid dan zikir bagi Ahli Sufi. Tarekat Syadzili amat dipengaruhi oleh ilmu Tasawwuf Imam al-Ghazali melalui karyanya Ihya’ Ulumuddin.

Imam Abul Hassan asy-Syadzili kemudiannya melantik Imam Abul Abbas al-Mursi sebagai Khalifah Tarekat Syadzili. Imam Abul Abbas al-Mursi ini lahir di Murcia, Andalucia, Sepanyol pada tahun 1219 dan meninggal dunia pada tahun 1287. Imam Abul Abbas al-Mursi memiliki ramai murid antaranya Imam al-Busiri iaitu seorang ulama Sufi berbangsa Berber Bani Sanhaji yang lahir pada tahun 1211 dan meninggal dunia pada 1294. Imam al-Busiri terkenal dengan karyanya iaitu Qasidah Burdah.

Imam Abul Abbas al-Mursi pula kemudiannya melantik Imam Ibn Ataillah as-Sakandari sebagai Khalifah Tarekat Syadzili yang seterusnya. Imam Ibn Ataillah as-Sakandari lahir pada 1259 dan meninggal dunia pada tahun 1310. Beliau berasal dari Iskandariah, Mesir dan mengajar di Masjid al-Azhar, Mesir. Beliau terkenal dengan Kitab al-Hikam iaitu karya Tasawwuf aras tinggi.

Kitab al-Hikam Ibn Ataillah as-Sakandari ini disyarah oleh Imam Ahmad Zarruq iaitu ulama berbangsa Berber Bani Barnusi yang lahir pada tahun 1442 dan meninggal dunia pada tahun 1493. Imam Ahmad Zarruq adalah sezaman bahkan sahabat kepada Imam Muhammad al-Jazuli iaitu seorang lagi ulama Sufi berbangsa Berber Bani Jazulah yang terkenal dengan karyanya yang berjudul Dalail al-Khairat.

Kesemua Imam Tarekat Syadzili ini beraqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah mengikut manhaj Imam Abul Hassan Asyaari dan bermazhab Maliki dalam Fiqh. Selain bidang tasawwuf, para ulama Syadziliyyah ini juga pakar dalam hal ehwal fiqh Malikiyyah, Akidah, Tafsir, Hadis dan sebagainya. Bahkan, kebanyakkan Ulama Hadis akan berbaiat dengan Tarekat Syadzili.

Selain kitab Qawaid Tasawwuf, Imam Ahmad Zarruq juga terkenal dengan karyanya yang berjudul Safinah an-Naja liman Ila Allah iltaja’ (Bahtera Penyelamat Bagi Mereka Yang Menuju Kepada Allah) yang juga dikenali sebagai Wazifah Zaruqqiyyah. Ianya merupakan kitab himpunan zikir harian dalam Tarekat Syadzili.

Daripada Wazifah Zaruqiyyah inilah Syeikh Hassan al-Banna menyusun risalah al-Ma’thurat yang terkenal itu. Syeikh Hassan al-Banna yang lahir pada tahun 1906 di Mesir ini mengambil baiat Tarekat Syadzili daripada gurunya iaitu Syeikh Abdul Wahhab bin Syeikh Hassanain al-Husofi. Bagi Syeikh Hassan al-Banna, tarbiyah sufi untuk rohani amatlah penting bagi membangunkan semula umat Islam selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada 1924.

Syeikh Hassan al-Banna mengasaskan Haraki Ikhwanul Muslimin pada tahun 1928 untuk tujuan dakwah berunsurkan kesufian. Mereka fokus kepada isu-isu pendidikan agama dan khidmat sosial bagi melawan kerosakkan tamadun yang dibawa oleh penjajah British di Mesir pada ketika itu. Apabila jemaah Ikhwanul Muslimin semakin ramai, maka barulah mereka mula mengorak langkah melawan penjajah British secara langsung dalam arena politik.

Dalam kitab Muzakkirat ad-Dakwah wad-Da’iyyah, Syeikh Hassan al-Banna berkata, “Tidak syak bahawa dengan ilmu Tasawwuf, golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan golongan sufi.”

Kepincangan masyarakat Islam turut melibatkan masalah kerohanian. Dakwah semata-mata dengan perkataan tidak banyak membantu dalam menyembuhkan penyakit rohani masyarakat Islam. Ini kerana, penyakit rohani perlu dirawat dengan manhaj Tarbawi Nabawi iaitu dakwah dengan kalam dan ahwal (keadaan hati). Proses tarbiah sufi mempunyai dasar dan manhaj yang bersambung salasilahnya kepada Rasulullah.

Para murabbi sufi yang mewarisi manhaj Nabawi secara muktabar sanadnya ini adalah ahli-ahli yang berkelayakan dalam bidang tarbiah kerohanian umat Islam. Bahkan, ianya sangat perlu kepada masyarakat Islam secara umum dan para pendakwah secara khusus. Syeikh Hassan al-Banna sentiasa memerlukan nasihat khusus dari ulama turath yang Sufi terutamanya di al-Azhar agar dakwahnya terus berkembang. Antara ulama tersebut yang beliau dampingi ialah Syeikh Yusuf Ad-Dijiwi, Syeikh Muhammad Hafiz At-Tijani, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan selainnya.

Setelah berlalunya zaman pimpinan Syeikh Hasan Al-Banna dan Syeikh Umar At-Tilmisani dan gerakan Ikhwanuk Muslimin kian besar, masyarakat Islam hanya kenal Ikhwanul Muslimin dari sudut politik sahaja tanpa sedar bahawa asas pembentukkan Ikhwanul Muslimin sebenarnya adalah Tarbiyyah Sufiyyah.

Sedangkan Syeikh Hassan al-Banna sering menegaskan bahawa “Haqiqatuna as-Sufiyyah” yang bermaksud “Intipati Ikhwanul Muslimin ini asasnya adalah tarbiyyah tradisi ahli sufi terdahulu”. Syeikh Said Hawwa, seorang ulama Sufi yang aktif mengembangkan dakwah di Syria banyak menerapkan unsur kesufian dalam Ikhwanul Muslimin khususnya melalui kitab beliau Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah.

Syeikh Abu al-Hasan Ali an-Nadwi memuji manhaj dakwah Syeikh Hassan al-Banna dalam at-Tafsir as-Siyasi lil Islam :-

“وقد حدثني كبار رجاله و خواص أصحابه أنه بقى متمسكا بهذة الأأشغال و الأوراد إلى آخر عهده
“Pemimpin besar dan teman-teman rapatnya memberitahuku bahawasanya beliau (Syeikh Hasan al-Banna) sentiasa berpegang dengan wirid-wirid dan amalannya (Tarikat Syadzili) sehingga akhir usianya.

* Sebarang soal jawab dan perkongsian boleh follow penulis di https://instagram.com/khairiasyraf_17

RUJUKAN
– An-Nafahat ar-Rabbaniyyah al-Aliyyah, Ustaz Tengku Ahmad Saufi
– Mukadimah al-Ma’thurat
– rajamukhlis.blogspot.com


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.