Al-Masih bermaksud penyelamat. Di akhir zaman sebelum dunia kiamat, akan berlaku apocalypse. Yakni musnahnya teknologi & peradaban manusia. Tiga figur penting di zaman itu bakal memimpin umat manusia; al-Masih Dajjal, al-Masih Isa dan Imam Mahdi. Bagi orang beriman, penyelamat daripada kekufuran ialah al-Masih Isa alaihissalam dan Imam Mahdi. Bagi orang kafir, penyelamat daripada kesusahan hidup ialah al-Masih Dajjal laknatullah. Dua kelompak ini akan saling memerangi sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Sebelum keluar Dajjal betul, 40 Dajjal kecil keluar dulu. Sebelum keluar Imam Mahdi betul, 40 Imam Mahdi palsu keluar dulu.

Dalam series The Messiah di Netflix, watak al-Masih memainkan peranan penyelamat. Dia muncul di menara masjid Damsyik, Syam dengan berpakaian kuning sepertimana riwayat hadis. Menyerupai mukjizat nabi Isa iaitu berjalan di atas air, bertahan 40 hari tanpa makan minum di dalam ribut pasir dan menghidupkan orang mati. Gayanya berambut panjang kebasah-basahan. Mempunyai raut wajah sama dengan potret Jesus menurut Roman Katholik.

Apa yang menarik, series ini turut menyelitkan kata-kata pak lebai.

“Dia menyalahgunakan ayat al-Quran.” Seorang lelaki memarahi al-Masih apabila dia menggunapakai ayat al-Quran untuk meraih pengikut sedangkan makna ayat itu tidak berpihak kepadanya. Jika al-Quran boleh ditunggang sesuka hati, maka rosaklah makna hakiki ayat. Macam pakcik Kahar, yang mengaku Rasul bila baca Yaasin ayat ke-3. Jaga zoo, jadi Rasul.

“Dia memakai jubah kuning di menara Syam”, kata seorang lelaki. “Sesiapa pun boleh memakai jubah kuning,” jawab seorang Imam. Perkara kebetulan bukan hujjah. Imam Mahdi itu Arab Quraisy, tetapi bukannya semua orang Arab Quraisy itu boleh sesuka hati mengaku Imam Mahdi.

Kristian menganggap Jesus sebagai anak Tuhan, manakala Islam menganggapnya sebagai Rasul. Nabi Isa pernah mengingatkan kaumnya yang dia akan kembali ke dunia. Wasiat ini dijaga rapi walaupun teks Injil lain banyak diselewengkan. Nanti bila turunnya Nabi Isa dari langit dengan pedang atau tombak di tangan, sebahagian orang Kristian yang berhati ikhlas berpusu-pusu memeluk Islam.

The Messiah bukanlah genre dokumentari. Ianya fiksyen daripada imaginasi barat. Adegan di dalamnya bukan fakta yang patut kita taksub atau leretkannya dengan teori konspirasi. Namun, yang kita boleh ambil pengajaran, ialah mudahnya manusia terpegun dengan perkara pelik. Betapa terdesaknya manusia bila di dalam kesempitan hidup, sanggup datang beribu batu semata-mata untuk disembuhkan penyakit kanser anaknya.

Esok lusa bila al-Masih Dajjal keluar, macam ni lah. Masa tu tiada elektrik dan teknologi. Masa tu kita kebuluran, sakit dan berperang sesama sendiri. Al-Masih Dajjal datang dengan makanan, minuman dan kesenangan. Syurga dinampakkan di tangannya. Tetapi, sesiapa yang ikut Dajjal confirm neraka. Sampaikan Nabi suruh ikat anak bini di rumah untuk tak bagi ikut al-Masih Dajjal.

Bagi orang berilmu dan berselawat, tidak sukar membezakan mana al-Masih yang memimpin kebenaran, mana al-Masih yang memimpin kejahatan. Mana Nabi Isa, mana Dajjal. Yang pertama, al-Masih Isa itu semestinya membawa syariat Nabi Muhammad ﷺ. Dia solat, puasa dan berjihad bersama umat Muhammad.

The Messiah dalam Netflix mana buat ni semua. Bila tak amalkan syariat, confirm la bukan Nabi Isa. Simple kan. Cuma yang tak simple tu, kuat tak iman kita nak menahan godaan kesenangan, kesihatan dan kemewahan dari al-Masih Dajjal, yang ketika di zaman itu dunia dipenuhi kebuluran, wabak penyakit dan kemelaratan.

Ada beberapa orang sepanjang sejarah, yang mengaku atau dianggap al-Masih atau al-Mahdi.

Antaranya:

  1. Mirza Ghulam Ahmad pada tahun 1835. Pengasas ajaran sesat Qadiani/Ahmadiah yang kini sudah bertapak di Malaysia ini berasal dari India. British memberikan sokongan dan menyalurkan bantuan kewangan kepadanya, dengan tujuan melemahkan perpaduan umat Islam. Divide & conquer. Dia dipercayai menanggung sakit buang air besar setelah melalukan sumpah mubahalah dengan ulama’ Maulvi Sanaullah. Pengasas Qadiani/Ahmadiah ini mati dalam keadaan dilaknat Allah ﷻ.
  2. Sai Baba pada tahun 1940. Boleh jadi, dia inilah Dajjal kecil yang wujud sebelum keluar Dajjal sebenar. Malahan orang menganggapnya sebagai Tuhan, Imam Mahdi, Jesus dan Krishna. Haaa amik, semua dia nak. Watak dia nak dekat sama dengan al-Masih dalam siri Netflix, semua orang taksub dengannya. Sai Baba dikatakan boleh menghidupkan orang mati, menyembuhkan orang lumpuh dan buta, mampu menurunkan hujan dan mengeluarkan tepung dari tangannya. Ada yang lagi melihatnya terbang. Ia juga berjalan melintasi belahan bumi dalam masa sekejap, menciptakan patung emas, merubah besi menjadi emas dan berbagai-bagai hal pelik lagi. Kalau anda tengok cerita al-Masih dah cuak, ketahuilah memang ada watak yang menyerupainya.
  3. Juhayman ibn Muhammad ibn Sayf al-Otaybi pada tahun 1979. Gerakan ajaran sesat & radikal ni paling power sebab berjaya merampas Masjidil Haram dari tangan Saudi buat 2 minggu. Sampaikan perlu bantuan ketenteraan dari Perancis untuk menawannya semula, agar jemaah haji dapat diselamatkan. Arab badwi ni ingat munculkan diri kat depan Kaabah, automatik jadi Imam Mahdi kot. Sedangkan Imam Mahdi yang betul, lari daripada dibaiat pada awalnya.
  4. Ayah Pin di Malaysia pada tahun 1980. Hat ni paling legend sekali! Korang tentu ingat kerajaan langit, siap dengan teko dan cawan. Power lagi dari Syed Muzaffar. Orang naik ke langit, Ayah Pin buat kerajaan terus. Dia beristeri empat, kau hado? Pengikutnya sampai percaya yang pakcik dari Besut ni, akan kembali sebagai Imam Mahdi.
  5. Winardi di Indonesia pada tahun 2019. Ni lah imam mahdi paling santai, kerja pak guard je. Pria dari Depok ini, mengaku mendapat petunjuk Allah. Orang kata kalau bodoh biar konfiden. Pejabat urusan imam mahdi dia pun, dah dicat sebijik macam Kaabah. Ramai orang berubat dengan mamat ni. Ada la dalam 75 orang pengikut.

Perkara pelik bukan semestinya dalil kebenaran.

“Jika engkau melihat seseorang dapat terbang melayang dan berjalan di lautan dengan mengambang. Tetapi dilanggarnya batas-batas syari’at Allah, maka ia adalah orang yang ditunda (siksaannya) oleh Allah dan ia adalah pelaku bid’ah,” kata Imam Syafie.

Imam al-Laits bin Sa’ad berkata, “Apabila kita melihat seseorang yang bisa berjalan di atas air, janganlah kita langsung menganggapnya sebagai wali Allah sebelum kita mengukur amalannya dengan Al-Quran dan As-Sunnah.”

Imam Syafie menambah, “Jika kalian menyaksikan seseorang dapat berjalan di atas air atau terbang di udara sekalipun, janganlah kalian menganggapnya sebagai wali, sebelum kalian mengukur amalannya dengan Al-Quran dan As-Sunnah.”


SPOILER ALERT!
The Messiah Complex

Ada suatu hal yang menarik dalam series The Messiah. Apabila dibongkar, watak utama yang berambut hitam panjang itu, sebenarnya telah disahkan menghidap The Messiah Complex.

Ianya adalah sebuah mindset dimana seseorang memegang keyakinan bahawa dia ditakdirkan untuk menjadi seorang penyelamat. Istilah tersebut juga ditujukan kepada keadaan fikiran dimana seseorang meyakini bahwa ia bertanggungjawab untuk menyelamatkan atau membantu orang lain. Ia mirip dengan delusions of grandeur. Merasakan diri istimewa.

Mungkin ini juga yang dihidapi ramai pengamal ajaran sesat. Apabila merasakan diri dah bagus, ditambah ramai pengikut, orang ramai pulak puji melambung, maka mulalah claim macam-macam. Kata Syeikh Nazrul Nasir, “Ajaran sesat ni, dia biasanya akan pancing dengan seks. Benda yang nafsu syahwat suka.” Pancing dengan nafsu, nak romen free, nak masuk syurga cukup dengan duit, habis hanyut manusia beramai-ramai.

Dalam series Netflix ni, bila CIA korek balik rupa-rupanya al-Masih itu, bernama Payam Golshiri. Berasal dari Iran dan mempunyai seorang abang. Siap diceritakan yang Mr. Golshiri ni selalu merasakan diri dia spesial. Malah lebih menarik, yang mereka adik beradik banyak belajar helah & tipu muslihat ketika kecil. Ini menimbulkan suatu assumption, adakah sebenarnya mamat al-Masih itu hanyalah seorang con man?

Ok, bagi yang dah tengok habis 10 episod The Messiah season 1, nak tanya ni.

Apa pendapat anda?

Dia itu gambaran Dajjal (Antichrist) ataupun con man?

RUJUKAN:

  1. The Messiah. Netflix.
  2. TIGA WATAK DI AKHIR ZAMAN. http://jaipk.perak.gov.my/index.php/en/kisah-dan-tauladan/114-tiga-watak-di-akhir-zaman
  3. MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS). MENGENALI AJARAN SESAT. Pindaan Fatwa Tentang Ajaran Ahmadiah/Qadiani. http://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-personalisation/fatwa-tahunan/pewartaan/2000-2004/88-pindaan-fatwa-tentang-ajaran-ahmadiah-qadiani
  4. Is Mirza Ghulam Ahmad Qadiani the Promised Imam Mahdi or Promised Messiah? https://m-mahdi.net/english/articles/Articles/0009.htm
  5. Hazrat Mirza Ghulam Ahmad, The Promised Messiah & Mahdi. https://www.alislam.org/book/brief-history-ahmadiyya-muslim/hazrat-mirza-ghulam-ahmad-promised-messiah-mahdi/
  6. Pria Ngaku Imam Mahdi di Depok Bekerja Sebagai Sekuriti. https://news.detik.com/berita/d-4571235/pria-ngaku-imam-mahdi-di-depok-bekerja-sebagai-sekuriti
  7. MUI Nilai Imam Mahdi di Depok Sesat, Winardi Pun Taubat. https://metro.tempo.co/read/1210761/mui-nilai-imam-mahdi-di-depok-sesat-winardi-pun-taubat/full&view=ok
  8. Grand Mosque seizure. https://en.wikipedia.org/wiki/Grand_Mosque_seizure
  9. Ariffin Mohammed. https://en.wikipedia.org/wiki/Ariffin_Mohammed
  10. Sai Baba as the Islamic Saviour ‘Mahdi’? https://robertpriddy.wordpress.com/2007/10/11/sai-baba-as-the-islamic-saviour-mahdi/
  11. Benarkah Sai baba, Salah Satu dari 30 Dajjal Kecil di Muka Bumi Ini ? http://sambalsyaitan.blogspot.com/2017/01/benarkah-sai-baba-salah-satu-dari-30.html
  12. MESSIAH’ ENDING EXPLAINED: WHAT HAPPENED AT THE END AND WHAT IT MEANS FOR SEASON 2. https://www.newsweek.com/messiah-ending-explained-what-happened-end-messiah-al-masih-jibril-1480068

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.