Baru-baru ini ada seorang Muslimah bernama Aina Gamzatova (berumur 46 tahun) telah mencalonkan diri dalam pertandingan pemilihan presiden Rusia pada Mac 2018 kelak. Walaupun tiada harapan dapat menggantikan Vladimir Putin, namun berita tersebut berjaya memperkenalkan nama “Dagestan” kepada dunia luar (Aina merupakan isteri kepada Akhmad Abdulaev iaitu mufti wilayah Dagestan di Rusia).

Mungkin ramai tak tahu di manakah Dagestan, lagi tak tahu bahawa Islam merupakan agama kedua besar di Rusia selepas Kristian Ortodoks. Dalam sekitar 10% penduduk Rusia (14.5 juta daripada 145 juta) adalah Muslim. Majoriti Muslim bertumpu di kawasan Volga-Ural (Tatarstan dan Bashkortostan) dan kawasan North Caucasus (Bahasa Arab: القوقاز / al-Qawqaaz; Bahasa Rusia: Кавказ / Kavkaz) yang merangkumi Dagestan, Chechnya dan Circassia.

Wilayah-wilayah ini ditakluk oleh Rusia semasa pemerintahan Tsar (1547-1917). Rusia mengambil masa 47 tahun (1817-1864) untuk menakluki Caucasus Utara, akibat tentangan hebat daripada pemimpin Caucasus Utara bernama Imam Shamil. Selepas Imam Shamil menyerah kalah, pemerintahan Rusia yang opresif menyebabkan ratusan ribuan hingga jutaan umat Islam seperti kaum Circassian dibunuh dan dibuang. Ramai Circassian berhijrah ke Turki Uthmaniyyah dan ada di kalangan Circassian Turki ini telah berhijrah ke Nusantara seperti Ruqayyah Hanum yang merupakan moyang kepada Tun Hussein Onn, Ungku Aziz dan Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Selepas kejatuhan dinasti Tsar, rejim komunis Kesatuan Soviet turut menzalimi umat di Caucasus Utara. Sebaik saja Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991, Chechnya mengisytiharkan kemerdekaan dan Perang Chechnya Pertama (1994-1996) meletus. Kerajaan Rusia di bawah Boris Yeltsin tidak mampu menundukkan pemisah Chechnya dan terpaksa menandatangani perjanjian gencatan senjata yang dilihat sebagai simbol penghinaan oleh ramai orang Rusia.

Republik Chechnya yang mencapai kemerdekaan secara de facto cuba mencaplok Dagestan untuk mencipta sebuah negara Islam yang merentasi Caucasus Utara. Ekoran serangan Chechnya ke atas Dagestan, Vladimir Putin yang baru menjawat jawatan Perdana Menteri Rusia selama 10 hari telah melancarkan Perang Chechnya Kedua pada 26 Ogos 1999. Dalam masa tak sampai setahun, Putin berjaya merampas kembali Chechnya, mencapai apa yang Yeltsin gagal capai. Dan itu menjadi antara faktor populariti Putin.

Salah satu faktor kejayaan Putin ialah sokongan daripada pemimpin-pemimpin Chechnya dan Dagestan yang beraliran Sufi. Kesufian merupakan tradisi penduduk Caucasus Utara. Imam Shamil sendiri merupakan pengikut tarekat Naqsybandiyyah. Presiden Chechnya sekarang, Ramzan Kadyrov merupakan pengikut tarekat Qadiriyyah. Aina pun seorang pengikut tarekat Naqsybandiyyah.

Penyusupan masuk golongan ekstremis (yang dipercayai didanai oleh Saudi) ke dalam Chechnya dan Dagestan memaksa golongan pemimpin Sufi bekerjasama dengan Moscow kerana golongan ekstremis ini bukan saja melawan Rusia malah turut mengkafirkan golongan Sufi. Putin dan tukang propagandanya (seperti Aleksandr Dugin) mengambil kesempatan ke atas perpecahan umat untuk memperkukuhkan pemerintahan Moscow dengan mempromosi Sufi sebagai versi Islam yang benar dan membanteras ekstremis penganut ideologi “Salafi” yang dilabel sebagai konspirasi US-Saudi.

Walaupun Perang Chechnya sudah tamat, namun golongan ekstremis “Salafi” di bawah panji “Caucasus Emirate” masih beroperasi dan melancarkan serangan ke atas pemimpin penganut Sufi dan orang awam Rusia. Ayah Ramzan Kadyrov dan bekas sumai Aina merupakan antara mangsa pembunuhan “Salafi”. Kini Caucasus Emirate telah berbaiah kepada Daesh menjadi “Vilayat Kavkaz”. Masalah di Caucasus kalau tak diselesai ia boleh menyahstabil Rusia. Sedari hakikat ini, Putin kebelakangan ini mula merapatkan hubungan dengan Saudi agar Saudi tidak lagi menaja pejuang di Chechnya dan Dagestan.

Disebabkan bukan semua orang mempunyai akses kepada Chechnya dan Dagestan, pengkaji luar yang buat kajian lapangan di situ pun tak ramai (yang ada seperti Robert Bruce Ware), kita tak pasti apakah keadaan orang Islam di situ, samada mereka ditindas seperti dakwaan golongan radikal, atau baik-baik sahaja seperti propaganda media rasmi Rusia.

Cuma dalam kebanyakan masa, kita terlalu fokus kepada kejahatan kuasa-kuasa besar seperti Amerika dan Britain terhadap umat Islam, tapi tidak begitu sedar dengan sisi gelap Rusia (Chechnya dan Dagestan) dan China (Xinjiang).

Bacaan lanjut:
[1] Robert Bruce Ware. Dagestan: Russian Hegemony and Islamic Resistance in the North Caucasus. (M.E. Sharpe, 2010).
[2] Shireen Hunter. Islam in Russia: The Politics of Identity and Security. (M.E. Sharpe, 2004).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.