Semasa Era Keemasan Islam, pelbagai disiplin ilmu bukan saja dikembangkan tetapi juga ditambahbaik menerusi kajian dan penyelidikan yang dibuat oleh cendekiawan-cendekiawan Islam ketika itu. Sesetengah teori yang dikatakan muncul semasa era moden ini sebenarnya telah disentuh beratus-ratus tahun lalu sebelum berlakunya Zaman Renaissance di Eropah. Satu teori yang mengejutkan muncul pada era ini ialah teori evolusi yang dibawa oleh al-Jahiz.

Biografi

al-Jahiz atau nama sebenarnya Abū Uthman ʿAmr ibn Baḥr al-Kinānī al-Baṣrī dilahirkan pada tahun 776 Masihi di Basrah, Iraq. Nama al-Jahiz itu diberi berikutan beliau mempunyai satu mata yang lebih besar. Datuknya merupakan seorang pengendali unta berkulit hitam. Dalam satu bukunya, al-Jahiz menulis bahawa beliau berdarah Bani Kinanah. Walaupun latar belakang dirinya tidak diketahui, yang pasti beliau datang dari latar belakang keluarga yang miskin. Bagi menyara kehidupan keluarganya, al-Jahiz menjual ikan di sepanjang salah satu terusan yang mengalir ke Basrah.

Tetapi itu tidak menghalangnya menunjukkan minat mendalam terhadap dunia ilmu termasuk bercampur dengan para cendekiawan ketika itu. Beliau bersama golongan muda lain menghabiskan masa di masjid utama Basrah di mana mereka akan belajar dan berdiskusi subjek-subjek saintifik yang berbeza. Semua ini tercapai hasil revolusi budaya dan intelektual yang berlaku semasa era kerajaan Bani Abbasiyyah.

Semasa di Basrah, al-Jahiz berguru dengan Abu Ubaidah al-Muthanna, al-Asmai’ dan Said bin Aus al-Ansari. Dalam tempoh 25 tahun pengajiannya, al-Jahiz mempunyai pengetahuan mendalam dalam bahasa dan kesusasteraan Arab, sejarah Arab pra-kedatangan Islam, al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Beliau juga membaca kitab-kitab Yunani yang diterjemah ke Bahasa Arab termasuk karya-karya Aristotle. Dan seperti mana sebahagian guru-gurunya, al-Jahiz juga berfahaman Muktazilah

Semasa masih berada di Basrah, al-Jahiz mula menulis sebuah artikel berkenaan institusi kekhalifahan Islam yang wujud ketika ini. Artikel ini merupakan permulaan kariernya sebagai penulis sepenuh masa. Sehinggakan pada satu ketika, ibunya membawa sebuah dulang yang mengandungi beberapa buah buku nota dan memberitahunya bahawa ini akan menjadi sumber pendapatan utamanya.

Semasa hayatnya, al-Jahiz dikatakan menulis lebih 200 buah buku meliputi pelbagai subjek dari al-Quran hinggalah kesusasteraan dan zoologi. Namun sayang, hanya 30 karyanya yang masih wujud hari ini. Beliau juga merupakan tokoh bahasa Arab pertama yang mencadangkan penambahbaikan secara keseluruhan kepada sistem tatabahasa Bahasa Arab. Tetapi hasratnya itu hanya tercapai 200 tahun kemudian hasil usaha polymath Islam bernama Abu al-Abbas Ahmad bin Abd al-Rahman bin Muhammad bin Sa’id bin Harith bin Asim al-Lakhmi al-Qurtubi (Ibnu Mada).

al-Jahiz kemudiannya berpindah ke Baghdad yang ketika itu merupakan ibu kota kerajaan Abbasiyyah atas galakan Khalifah al-Ma’mun. Baginda menggalakkan ramai cendekiawan dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama berpindah ke Baghdad di mana semua usaha mereka akan disokong.

Selain itu, al-Jahiz memilih Baghdad berikutan kemunculan Baitul Hikmah sebagai pusat penyebaran dan penterjemahan ilmu yang ulung ketika itu. Bagaimanapun, tindakannya mendedahkan pujian al-Ma’mun terhadap dirinya dalam pelbagai perkara mengundang keraguan daripada sejarawan termasuk sejarawan Islam abad ke-10, Ibnu al-Nadim. Ibnu al-Nadim berpandangan puji-pujian itu sengaja diada-adakan kerana berdasarkan penelitiannya, al-Ma’mun tidak pernah berkata seperti yang dikatakan al-Jahiz dalam kitab-kitabnya itu.

Pada satu ketika, al-Jahiz pernah bekerja sebagai sekretariat kerajaan al-Ma’mun menggantikan Ibrāhīm ibn al-‘Abbās al-Ṣūlī. Beliau bagaimanapun hanya bertahan selama tiga hari sebelum meletak jawatan. Pada satu masa yang lain,  baginda turut meminta al-Jahiz menjadi guru kepada putera-puterinya. Tetapi hasrat tersebut terpaksa dibatalkan selepas putera-puterinya merasa takut melihat rupanya itu termasuk matanya yang terjojol. Ini juga yang mengakibatkan mengapa beliau diberi gelaran al-Jahiz, satu gelaran yang amat dibencinya sehingga ke akhir hayat.

Semasa era pemerintahan al-Mutawakkil, beliau bernaung di bawah seorang pembesar istana bernama al-Fath ibn Khaqan yang mempunyai hubungan baik dengan baginda. Tetapi selepas baginda mangkat akibat dibvnvh oleh sekumpulan pemimpin tentera Turki diketuai oleh Wasif al-Turki pada Disember 861, al-Jahiz memilih untuk kembali ke Basrah untuk mengelak ketidakstabilan sosial yang berlaku. Beliau kembali ke rahmatullah pada usia 92 tahun semasa tahun 868 Masihi. Satu kisah kematiannya yang paling popular ialah al-Jahiz meninggal dunia akibat ditimpa buku-buku perpustakaan peribadinya.

Kitab al-Hayawan

Daripada 200 buku yang dihasilkan, satu buku yang dianggap mahakarya ulungnya ialah Kitab al-Hayawan. Buku pelbagai siri ini bukan saja menerangkan kepelbagaian lebih 350 ekor haiwan tetapi juga terdiri daripada sastera pra-kedatangan Islam, pemerhatian peribadi al-Jahiz, jenaka, penceritaan dan pengaruh teks-teks zoologi Aristotle. Di sebalik liputan subjek yang pelbagai, nilai maklumat saintifik yang terkandung di dalamnya sangat bernilai sehingga hari ini.

Rajah 1: Ilustrasi zirafah dari Kitab al-Hayawan.
Rajah 2: Ilustrasi burung unta dari Kitab al-Hayawan.

Di sinilah, al-Jahiz menerangkan konsep teori evolusi biologi hidupan. Selepas memerhatikan telatah haiwan dan serangga, beliau menyimpulkan wujud sesetengah mekanisme yang mempengaruhi evolusi haiwan. Teori yang diutarakan al-Jahiz ini muncul seribu tahun sebelum teori evolusi yang dicadangkan oleh Sir Charles Darwin. Mekanisme-mekanisme yang dinyatakan beliau ialah faktor persekitaran, perjuangan untuk terus hidup dan transformasi spesis menjadi sesuatu yang lain.

Beliau menulis, “Haiwan-haiwan terlibat dalam pertarungan untuk hidup dan untuk sumber, mengelak dari dimakan dan untuk membiak. Faktor-faktor persekitaran mempengaruhi organisma mewujudkan ciri-ciri baru untuk memastikan ia terus hidup sekaligus menukarnya menjadi satu spesis baru. Haiwan-haiwan yang terselamat ini boleh membiak dan mewariskan ciri-ciri baru mereka ini kepada anak-anak mereka.” Tambah al-Jahiz lagi, persaingan bukan saja membabitkan spesis-spesis haiwan yang berbeza tetapi juga membabitkan spesis yang sama.

Walaupun mekanisme teorinya bersifat saintifik, wujud unsur ukhrawi di sebalik teori yang dibangkitkannya itu. al-Jahiz menulis, “Seekor tikus keluar mencari makanan, mencari dan memakannya. Ia akan memakan haiwan-haiwan yang lebih lemah seperti binatang kecil dan burung-burung kecil… ia akan menyembunyikan dirinya dan anak-anaknya dalam terowong-terowong bawah untuk mengelak dimakan ular dan burung. Ular amat suka memakan tikus.

Tetapi ia juga amat takut dengan ancaman beaver dan dubuk, yang lebih kuat daripada mereka. Dubuk boleh menakutkan musang dan musang boleh menakutkan haiwan yang lebih lemah daripadanya. Inilah undang-undang di mana sesetengah haiwan menjadi makanan haiwan yang lain… Semua binatang kecil memakan binatang yang lebih kecil dan semua binatang yang lebih besar tidak boleh memakan haiwan yang lebih besar daripadanya. Sesama manusia antara satu sama lain boleh diibaratkan seperti haiwan… Hanya Allah sahaja yang boleh menjadikan sesetengah manusia itu hidup…”

Selain Kitab al-Hayawan, al-Jahiz juga turut menghasilkan dua karya terkenal yang lain iaitu Kitab al-Bukhala dan Kitab al-Bayan wa al-Tabyin. Kitab al-Bukhala ialah koleksi cerita satira dunia Arab dengan tema utamanya berkenaan ketamakan. Menerusi cerita-cerita ini, al-Jahiz menyindir sesiapa sahaja dari pengemis hinggalah guru yang berkelakuan tamak. Kebanyakan kisah ini terus disiarkan sehingga hari ini termasuk dalam majalah-majalah Arab.

Sementara Kitab al-Bayan wa al-Tabyin pula berkaitan dengan kesusasteraan Arab termasuk ilmu balaghah. Kitab ini dianggap kitab pertama yang mempersembahkan teori kesusasteraan Arab dalam bentuk formal dan tersusun. al-Jahiz turut mendefinisikan kefasihan sebagai keupayaan seseorang itu bercakap menyampaikan mesej penting selagi mana dalam bentuk ringkas atau ucapan penjelasan yang panjang yang diterima oleh pengkritik-pengkritik esusasteraan Arab bertahun-tahun kemudian.

Menariknya, teori evolusi yang dikemukakan al-Jahiz kemudiannya diteruskan oleh ramai cendekiawan Islam lain. Dalam kitabnya al-Muqaddimah, ahli sosiologi Islam terbilang Ibnu Khaldun turut menyentuh soal evolusi. Beliau menulis, “Ciptaan… bermula dengan mineral-mineral sebelum ianya mula berkembang secara beransur-ansur dan pintar menjadi tumbuhan dan haiwan. Peringkat terakhir mineral ini berkait dengan peringkat awal tumbuhan seperti tumbuhan tanpa biji benih dan herba. Peringkat terakhir tumbuhan seperti pokok palma dan tumbuhan menjalar berhubungan dengan peringkat pertama haiwan seperti siput dan kerang-kerangan… peringkat terakhir setiap kumpulan ini sudah bersedia untuk menjadi pringkat pertama kumpulan seterusnya…”

RUJUKAN:

  1. Masood, Ehsan. (2009). Islam’s evolutionary legacy. The Guardian. https://www.theguardian.com/commentisfree/belief/2009/feb/27/islam-religion-evolution-science
  2. Bayrakdar, Mehmed. (2012). AL-JAHIZ AND THE RISE OF BIOLOGICAL EVOLUTION. http://dergiler.ankara.edu.tr/dergiler/37/772/9842.pdf
  3. J. Asher, Robert. (2017). Did Arabic Scholars Discover Evolution in the Ninth Century? Huffington Post. https://www.huffpost.com/entry/did-arabic-scholars-disco_b_11165778
  4. El Zaher, Sumaya. (2018). The Father of the Theory of Evolution: Al-Jahiz and His Book of Animals. Mvslim.com. https://mvslim.com/the-father-of-the-theory-of-evolution-al-jahiz-and-his-book-of-animals/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.