Sebut saja nama al-Biruni, ramai mengetahui insan luar biasa ini memberi impak yang bukan sedikit terhadap dunia hari ini. Pemilik nama sebenar Abū Raihan Muḥammad ibn Aḥmad Al-Bīrūnī ini merupakan seorang polymath yang cemerlang dalam setiap disiplin ilmu yang diceburinya termasuk geografi, astronomi dan sejarah. Justeru tidak hairanlah mengapa namanya menjadi pujaan bukan saja di dunia Islam tetapi juga di sebelah Barat.

al-Biruni dilahirkan di luar ibu kota kerajaan Khawarizm yang diperintah Dinasti Afrighid iaitu Kath pada 4 September 973 Masihi bersamaan 2 Zulhijjah 362 Hijrah. Bagaimanapun, tempat kelahiran beliau menimbulkan perselisihan dalam kalangan sejarawan. Ada yang berpandangan beliau dilahirkan di Birun, Sindh tetapi tiada rekod sejarah yang membuktikan teori itu. Sejarawan-sejarawan Soviet pula berpandangan al-Biruni dilahirkan di Khiva, Uzbekistan. Manakala satu lagi teori mengatakan beliau lahir di Khawarezm sekaligus menyebabkan sesetengah orang keliru tentang al-Biruni dan ikon matematik Islam, al-Khawarizmi berikutan kedua-duanya berkongsi tanah kelahiran yang sama.

Tidak banyak maklumat yang diperoleh berkenaan zaman kanak-kanak dan pendidikan awal al-Biruni. Bagaimanapun, ramai sejarawan bersetuju beliau menempuh sesi pendidikan yang biasa iaitu maktab dan madrasah serta mempelajari mata pelajaran umum seperti tafsir al-Quran, hadis Rasulullah s.a.w, sejarah, tatabahasa dan nahu Bahasa Arab.

Dalam kebanyakan karyanya, al-Biruni tidak menyebut siapa gurunya dengan pengecualian diberi kepada Abu Nasr Mansur (ulama berdarah raja dari Iraq) dan Abu Sahl al-Taflisi. Melihat kepada semua ini, kelihatan kebanyakan masa kecilnya dihabiskan di Birun sebelum beliau kemudian berkelana ke Rayy untuk melarikan diri daripada kekacauan politik yang berlaku ketika itu. Pada masa sama, Rayy juga merupakan pusat perkembangan ilmu astronomi yang terkemuka ketika itu.

Walaupun berhadapan dengan kesukaran semasa berada di Rayy, al-Biruni menetap di situ selama tiga tahun. Di situ, beliau membangunkan satu kaedah trigonometri yang inovatif dalam mengukur bumi. Beliau kemudiannya berkelana ke Jurjan selepas mendapat jemputan pemerintah Jurjan Sultan Shams al-Ma’ali bin Qabus. Di Jurjanlah, al-Biruni menyiapkan karya ulungnya Kitab al-Athar di mana ia kemudian didedikasikan kepada baginda pada tahun 999 Masihi. Selain Kitab al-Athar, beliau turut mendedikasikan satu lagi kitab kepada Sultan Shams iaitu Risalah al-Tajrid al-Sha’at.

Selepas 10 tahun berada di Jurjan, al-Biruni kemudiannya bertolak ke Khawarizm atas jemputan pemerintah wilayah itu Abu al-Hassan Ali. Di bawah pemerintahan kekandanya Abu al-Abbas dan Abu al-Hassan, Khawarizm merupakan sebuah wilayah yang maju dan makmur. Tetapi era pemerintahan mereka berakhir apabila Khawarizm jatuh ke tangan pemerintah Dinasti Ghaznawi, Sultan Mahmud Ghaznawi pada tahun 1017 Masihi. Kebanyakan cendekiawan dari wilayah-wilayah yang ditakluk dinasti berkenaan dibawa ke ibu kota kerajaan itu di Ghazni termasuk al-Biruni. Kagum dengan kebijaksanaannya, al-Biruni dilantik sebagai ahli astrologi istana dan turut mengiringi Sultan Mahmud semasa kempen baginda di India.

Figure 1: Lukisan suasana istana yang diperintah Sultan Mahmud Ghaznawi.

Semasa Sultan Mahmud melancarkan kempennya di India, al-Biruni pada ketika itu berumur 44 tahun. Berikutan kempen yang dijalankan baginda lama, ini menyebabkan beliau menetap di India selama beberapa tahun dan merekodkan apa yang berlaku semasa keberadaannya di sana. Selain merekodkan apa yang berlaku, al-Biruni turut memanfaatkan tempoh ekspedisi dengan mempelajari bahasa penduduk tempatan dan melanjutkan lagi pengetahuannya dalam disiplin ilmu-ilmu yang diajar di India termasuk astronomi. Ini membolehkannya meraih lebih banyak kemajuan dalam penyelidikannya.

Apabila Sultan Mahmud mangkat pada tahun 1030, tahun itu turut menyaksikan beliau menyelesaikan sebuah lagi kitab bertajuk Kitab al-Hind. Kitab al-Hind merupakan koleksi maklumat sejarah, kebudayaan, agama dan pemikiran warga India dan Pakistan yang dicatat dengan jujur dan tanpa sebarang tapisan. Pengganti Sultan Mahmud yang juga puteranya, Sultan Mas’ud amat mengagumi al-Biruni dan banyak memberi penghargaan kepada beliau termasuk dalam bentuk ganjaran wang. Malah, salah satu kitab beliau didedikasikan kepada baginda bertajuk al-Qanun al-Mas’udi.

Menariknya, wujud satu anekdot kisah menarik membabitkan Sultan Mas’ud dengan beliau. Sebagai membalas budi baiknya mendedikasikan kitab al-Qanun al-Mas’udi kepada baginda, Sultan Mas’ud menawarkan ganjaran berupa lambakan wang perak yang boleh dibawa seekor gajah. Bagaimanapun, al-Biruni menolak dengan baik hadiah kurniaan baginda atas alasan Sultan Mas’ud amat baik terhadapnya selama ini. Dalam satu jalur kisah yang lain, beliau memilih menyerahkan hadiah baginda itu kepada Baitulmal agar ia boleh dimanfaatkan dan mengelak dirinya menjadi sasaran hasad golongan tertentu. Di sebalik itu, kedua-duanya masih mempunyai hubungan baik dengan Sultan Mas’ud menyokong setiap usaha penyelidikan beliau.

Selepas kemangkatan Sultan Mas’ud pada tahun 1041 dan takhta diisi pula oleh puteranya Sultan Maudud, hubungan baik yang terjalin antara al-Biruni dengan pemerintah Dinasti Ghaznawi diteruskan oleh baginda. Seperti mana nenda dan ayahandanya, baginda melihat usaha penyelidikan beliau sesuatu yang harus disokong. Satu kitab yang didedikasikan al-Biruni kepada Sultan Maudud ialah kitab disiplin ilmu berkaitan mineral yang bertajuk Kitab al-Jamahir fi Ma’rifat al-Jawahir. Selepas Sultan Maudud mangkat pada tahun 1049, baginda merupakan sultan terakhir yang menjadi penaung al-Biruni. Cendekiawan Islam itu dikatakan kembali ke rahmatullah pada tahun 1048 tetapi ada juga mengatakan beliau meninggal dunia pada tahun 1050 semasa menulis kitab al-Shoydaliyyah fi al-Tib.

Jumlah sebenar karya yang dihasilkan al-Biruni ialah 180 karya. 103 kitab dihasilkan semasa hayatnya, 12 dihasilkan di bawah namanya oleh Abu Nasr, 12 lagi oleh Abu Sahl dan satu oleh Abu Ali al-Hassan bin Ali Djili. Ini menjadikan semua ini sebanyak 138 kitab tetapi dengan mengambil kira karya-karya yang dihasilkan di kemudian hari, tidak mustahil ia boleh mencapai sehingga 180 kitab. Satu karyanya yang dianggap paling penting tetapi dipandang sepi oleh sejarawan ialah al-Qanun al-Mas’udi. Kitab ini sebenarnya sebuah ensiklopedia yang menyentuh bidang astronomi, geografi dan kejuruteraan.

Teks kitab ini pada awalnya dibuat dalam Bahasa Arab sebelum diterjemah ke Bahasa Parsi. Antara sebab kitab ini dipandang sepi pada awalnya ialah kesukaran usaha penterjemahannya. Walaupun sesetengah kitab al-Biruni berjaya diterjemah ke Bahasa Inggeris seperti Atharul Baqiya (1878) dan Kitab al-Hind (1887) oleh cendekiawan Jerman bernama Edward Sachau, Sachau merasakan kitab berkenaan terlalu sukar untuk diterjemah. Usaha penterjemahan al-Qanun al-Mas’udi hanya berjaya direalisasikan oleh Dairatul Maarif al-Osmani, Hyderabad, Deccan, India dengan seliaan cendekiawan British bernama Dr H.J.J. Winter.

Rupa-rupanya, al-Qanun al-Mas’udi yang dianggap sangat mencabar dari segi penterjemahannya mengandungi pelbagai teori fizik dan sains matematik yang hanya diketahui Barat pada abad ke-18 tetapi sudah lama diketahui oleh al-Biruni menerusi catatan kitabnya itu. Kitab tersebut bukan sekadar merangkumi semua catatan ilmu astronomi pelbagai tamadun dari Yunani hingga India bahkan ringkasan pencapaian saintifik yang dicapai sebelum penemuan yang dibuat olehnya. Dengan tindakan sedemikian, ini menjadikan al-Qanun al-Mas’udi sebagai ensiklopedia astronomi yang paling lengkap berbanding Almagest yang dikarang oleh Ptolemy atau al-Magestiu’sh-Shahi oleh gurunya Abu Sahl.

Antara teori astronomi menarik yang muncul dalam kitab-kitabnya ialah:

  • Bilangan tahun suria

Cendekiawan Yunani Ptolemy dan Hipparchus berpandangan bilangan sebenar tahun suria ialah 365 hari, 5 jam dan 56 minat. Bagaimanapun, pemerhatian pengkaji astronomi Islam termasuk dari era Khalifah al-Ma’mun dari Bani Abbasiyyah mendapati kiraan yang dibuat dua ilmuan Yunani itu lari dari kiraan mereka dan ia sebenarnya lebih sedikit. Kebanyakan cendekiawan terutama al-Battani berpandangan kiraan sebenar tahun suria ialah 365 hari, 5 jam dan 46/47 minit. Tetapi ada juga yang berpandangan kiraan sebenar ialah 365 hari, 5 jam dan 54 minit. Bagi al-Biruni, perbezaan kiraan ini berlaku kerana para cendekiawan tidak mengambil kira pemerhatian-pemerhatian yang dibuat oleh cendekiawan generasi sebelumnya. Untuk mendapatkan pengiraan yang tepat, mereka harus mengambil semua data dari semua pemerhatian sebelum membuat kesimpulan yang tuntas.

Isu ini turut menarik perhatian beliau dan mendorongnya membuat pemerhatiannya sendiri. Untuk memastikan data yang diterima bersifat neutral, al-Biruni turut mengambil data-data pemerhatian para cendekiawan terdahulu. Selepas membuat siri pengiraan yang rumit, beliau menyimpulkan kiraan sebenar tahun suria ialah 365 hari, 5 jam, 46/47 minit dan 46/47 saat. Kiraannya ini tidak jauh daripada kiraan sebenar al-Battani iaitu 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat. Apabila ilmuan-ilmuan moden cuba membuat pengiraan mereka termasuk mengambil kiraan yang dibuat Omar Khayyam, mereka mendapati bilangan hari tahun suria ialah 365 hari, 5 jam dan 49 minit atau mengikut penyelidikan moden 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 47.5 saat.

  • Waktu matahari terbit dan matahari terbenam.

Dua waktu ini menjadi keutamaan pengkaji astronomi silam kerana ini bukan saja menentukan waktu solat Subuh atau Maghrib tetapi juga menentukan permulaan puasa dan waktu berbuka puasa. Berdasarkan pemerhatian Ibnu al-Haitham, waktu matahari terbit atau terbenam bermula apabila matahari berada pada sudut 19 darjah di bawah ufuk dan cuba mengukur ketinggiannya di atas atmosfera. Tetapi berdasarkan pemerhatian al-Biruni, sudut sebenar matahari untuk dua fenomena berkenaan berlaku pada sudut 18 darjah di bawah ufuk. Dan kiraannya ini disokong oleh pengiraan moden. Dalam catatannya, beliau menyebut sesetengah cendekiawan turut cenderung kepada kiraan 17 darjah di bawah ufuk.

  • Geografi

Berdasarkan pengamatannya, al-Biruni mendapati bahagian bumi yang dihuni manusia jauh lebih banyak berbanding bahagian bumi yang tidak dihuni oleh manusia. Beliau percaya wujud banyak petempatan manusia di barat, timur, utara dan selatan. Dengan menggunakan catatan para pengembara dan pelayar ketika itu, al-Biruni turut mengadakan teori wujud tanah-tanah yang terletak di seberang bumi yang diketahui mereka dihuni oleh manusia. Tanah-tanah yang dimaksudkan beliau ialah benua Amerika, Jepun, Kutub Utara dan Kutub Selatan (kedua-dua kutub disimpulkannya sebagai tidak boleh dihuni oleh manusia). Sebut pasal Amerika, hipotesis kewujudan benua itu disebut dalam Kitab at-Tahdidnya. Ini kerana al-Biruni merasakan wujud benua di seberang pesisir pantai timur dan barat yang diketahui ketika itu sekaligus memberi inspirasi kepada ekspedisi-ekspedisi ke Dunia Baru beberapa abad kemudian.

  • Kalendar

Dalam catatannya, al-Biruni berpandangan permulaan tahun Hijrah bersamaan dengan permulaan bulan Ramadan mengikut kalendar pra-Islam. Beliau turut mendedahkan bangsa Arab sudah mengetahui sistem kronologi kalendar ini selepas mempelajarinya daripada kaum Yahudi Yathrib 200 tahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah,  musim haji, bulan-bulan untuk berdagang dan mengadakan pesta. Berdasarkan pengiraannya, 3472 hari berlalu antara peristiwa Hijrah dengan Yezdgerd (berkemungkinan merujuk kisah pembvnvhan Yazdegerd III pada tahun 651 Masihi).

Pada tahun penghijrahan baginda ke Madinah, tarikh haji jatuh pada bulan Syaaban. Perkara tersebut tidak disukai Rasulullah s.a.w lalu baginda memindanya ke bulan Zulhijjah mengikut kalendar pra-Islam selepas peristiwa Fathul Makkah. Cendekiawan Islam itu turut berpandangan tarikh kewafatan baginda sebenarnya jatuh pada 8 Rabiulawal dan bukan 12 Rabiulawal yang menjadi pilihan hari ini. Kesimpulan ini diambil selepas mengira tarikh penghijrahan baginda ke Madinah dengan tarikh kewafatan baginda. Hasilnya, al-Biruni menyatakan tempoh antara dua tarikh berkenaan ialah sembilan tahun, 11 bulan dan 20 hari.

Hari ini, legasinya kepada dunia terutama kepada umat Islam terus harum sehingga hari ini. Pada tahun 1974, Kesatuan Soviet, ya, Soviet menayangkan sebuah filem biografinya yang bertajuk Abu Raykhan Beruni. Di angkasaraya pula, sebuah kawah bulan di bahagian paling jauh bulan dan sebuah asteroid dinamakan sempena namanya. Dan pada tahun 2009, Iran mendermakan sebuah pavilion kepada Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Vienna, Austria iaitu Pavilion Cendekiawan yang terletak di tengah-tengah Memorial Plaza, Pusat Antarabangsa Vienna. Pavilion Cendekiawan itu menampilkan empat tugu cendekiawan Iran yang terkenal iaitu Omar Khayyam, Ibnu Sina, al-Razi dan sudah tentu al-Biruni.

Figure 2: Kawah bulan al-Biruni yang dilihat anggota misi Apollo 14.
Figure 3: Patung al-Biruni di Pavilion Cendekiawan, Memorial Plaza, Pusat Antarabangsa Vienna.

RUJUKAN:

  1. Abdullah, Fatimah, Ardi, Mohammad Noviani dan al-Tamimi, Shihab. (2016). Al-Biruni: A Muslim Critical Thinker. International Journal of Nusantara Islam, Vol. 04 No. 01 – 2016; (1-12). https://www.researchgate.net/publication/318915077_Al-Biruni_A_Muslim_Critical_Thinker
  2. Ahmad, Riaz. (2001). Al-Biruni: A Great Muslim Scientist, Philosopher and Historian (973 – 1050 Ad). Universiti Karachi. http://pu.edu.pk/images/journal/studies/PDF-FILES/Artical%20-%2010.pdf

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.