Sebelum ini ada artikel The Patriots yang ditulis mengenai orang pertama yang hampir-hampir menyatukan kepulauan Jepun iaitu Oda Nobunaga. Kali ini, saya akan cuba membawa fokus pembaca kepada punca utama kejatuhan Oda Nobunaga iaitu tak lain tak bukan seorang individu yang bernama Akechi Mitsuhide. Artikel ini akan mengupas sedikit sebanyak tentang beberapa teori menarik berkenaan punca pembelotan beliau terhadap tuannya dan juga kesannya kepada lipatan sejarah Jepun Feudal secara umum.

Sebelum itu, kejadian ini terjadi ketika Warring States Period (Sengoku Jidai) ataupun Zaman Perang Antara Wilayah yang tercetus selama beberapa ratus tahun di Jepun. Jika di China ada hikayat Romance of Three Kingdoms, di negara matahari terbit juga ada zaman mirip seperti itu. Zaman ini boleh dikatakan penuh dengan episod demi episod yang berlatarbelakangkan peluasaan kuasa kerana pentadbiran Shogun Ashikaga Yoshiteru oleh puak Ashikaga di Muromachi, Kyoto semakin lemah dan juga peperangan antara satu puak dengan puak yang lain. Oleh yang demikian, kebanyakan Daimyo ataupun penguasa wilayah mula giat dalam usaha mereka merebut kuasa pemerintahan tentera yang terletak di Kyoto.

Samurai yang tidak bertuan (ronin) pula direkrut menjadi pegawai dan jeneral bagi Daimyo dengan cara menumpahkan taat setia kepada mereka. Petani dan peladang juga tidak terlepas daripada dikerah bagi berkhidmat dalam unit tentera pejalan kaki tetapi selalunya majoriti petani tidak diusik atau dipaksa berperang kerana mereka sangat penting dalam menghasilkan makanan kepada wilayah masing-masing. Jika tidak, akan berlakulah kekurangan bekalan makanan yang akan membangkitkan keresahan penduduk ataupun tentera Daimyo tidak dapat dihantar ke medan tempur. Hal ini boleh menyebabkan kebangkitan rakyat dan Daimyo juga tidak dapat meluaskan wilayah takluk. Bagi menghadapi zaman getir ini, pakatan sulit antara puak terus dirunding dan ditubuhkan demi mencapai agenda peribadi puak masing-masing dan menjaga keselamatan wilayah. Itu belum ditambah lagi dengan pemberontakan puak petani Ikko-Ikki dengan mazhab agamanya yang lain serta campur tangan pedagang Eropah dalam menyebarkan teknologi luar dan agama Kristian itu sendiri.

Zaman Permulaan

Baiklah. Akechi Mitsuhide dilahirkan di daerah Mino pada tanggal 10 March 1528. Ketika kecil, beliau dipanggil dengan nama Akechi Jūbei seperti kebanyakan kanak-kanak sebayanya yang mendapat nama panggilan berlainan daripada nama ketika datang umur (coming of age). Beliau juga dikenali dengan gelaran Hyuga-no-Kami. Nama penuhnya ialah Akechi Jūbei Minamoto-no-Mitsuhide. Gerangan ini dilahirkan dalam puak Toki-Akechi yang dipercayai berasal dari susur galur keturunan puak samurai agung bernama Minamoto. Mungkin pembaca pernah mendengar kisah tentang Perang Gempei setengah dekad di antara Taira dan Minamoto yang berkesudahan dengan kemenangan bergaya puak Minamoto di bawah pimpinan Minamoto Yoritomo lalu terdirilah Keshogunan Kamakura dan Yoritomo sebagai Shogunnya yang pertama. Kiranya, Mitsuhide ini bukanlah calang-calang keturunannya.

Bapanya Akechi Mitsukuni merupakan pemilik istana Akechi di kawasan timur Mino. Puak Akechi ketika itu berkhidmat untuk puak Saito yang diketuai Daimyo Saito Dosan. Dosan digelar sebagai “Viper of Mino” kerana kelicikannya membolehkan beliau menjadi Daimyo padahal asalnya, Dosan cumalah seorang pedagang biasa yang singgah berjual beli di Mino. Bayangkan seorang peniaga boleh menjadi raja, begitulah bayangan kebijaksanaan Dosan. Mitsuhide pula membesar dengan dilatih dan dididik agar dapat menjadi salah seorang jeneral di bawah Saito Dosan.

Salah seorang puteri Dosan bernama Kicho dipercayai menjadi rakan zaman kanak-kanak Mitsuhide. “Lady Nō of Mino” atau Nōhime (Kicho) digambarkan dalam catatan sejarah sebagai seorang wanita yang sangat cantik dan juga bijak. Teori lain juga mengatakan yang Kicho sebenarnya merupakan sepupu Mitsuhide. Ketika ini, Daimyo Oda Nobunaga sudahpun mencapai kestabilan di wilayah Owari (wilayah di selatan Mino) setelah berjaya mengalahkan tentera puak Imagawa dan bersekutu dengan bekas jeneral Imagawa iaitu Ieyasu Tokugawa. Ironinya, Ieyasu inilah yang akan menyatukan seluruh Jepun pada tahun-tahun yang mendatang.

Oda Nobunaga Si Dungu

Nobunaga kemudian bertindak menandatangani perjanjian keamanan dengan Saito dan puteri Kicho dijadikan isteri Nobunaga. Beberapa purnama berlalu dan suatu insiden telah terjadi, pemberontakan di Mino diketuai anak Dosan sendiri iaitu Saito Yoshitatsu. Pemberontakan ini terjadi kerana Yoshitatsu tidak bersetuju dengan keputusan bapanya mengahwinkan Kicho dengan Nobunaga yang dianggapnya orang gasar. Perspektif ini bukanlah dibuat-buat kerana Nobunaga memang mempunyai gelaran “The Fool of Owari” ataupun Si Dungu dari Owari walaupun secara realitinya, Nobunaga merupakan seorang yang genius cuma beliau tidak suka terikat dengan tradisi. Visi dan misi beliau tidak terhad hanya kepada idea-idea tradisional seperti menguatkan kuasa institusi Maharaja yang semakin longlai ataupun menjadi Shogun. Tidak juga hanya bergantung pada teknologi yang dilihatnya ketinggalan berbanding teknologi Eropah. Nobunaga mahukan sesuatu yang lebih besar daripada itu.

Dalam pemberontakan ini, tentera pemberontak jauh lebih ramai daripada mereka yang setia.  Mitsuhide berpihak kepada Dosan dan bermati-matian memerangi puak pemberontak. Dosan memerintahkannya untuk berundur menyelamatkan diri kerana Yoshitatsu tidak akan membiarkannya hidup. Akhirnya Mitsuhide akur dan bertindak meninggalkan Mino dipercayai untuk berkhidmat untuk puak lain. Sumber catatan seperti Nobunaga Goki menyatakan bahawa beliau mungkin telah menggunakan identiti baru dan berkhidmat dalam ‘Imperial Court’.

Berkhidmat Untuk Oda Nobunaga

Pada satu ketika, Mitsuhide pernah mengiringi “The Wandering Shogun” Ashikaga Yoshiaki (selepas kematian bapanya, Yoshiteru) ke Oda Nobunaga untuk merampas semula Kyoto yang berada dalam kekacauan untuk ditadbir sekali lagi oleh pewaris Keshogunan Ashikaga yang sah. Hal ini memberi sebab kepada Nobunaga untuk menakluk Mino kerana untuk ke Kyoto, Mino mesti dilalui. Pada saat itu, Mitsuhide yang berumur sekitar 38 tahun segera menumpahkan saat setia kepada Nobunaga. Selama berkhidmat sebagai Jeneral kepada Nobunaga, Mitsuhide dikenali sebagai seorang yang adil dalam mentadbir wilayahnya dan disukai penduduknya. Merujuk kepada Akechi Gunki, beliau juga sangat mahir dalam menembak menggunakan senapang istinggar. Ada satu kisah dimana Mitsuhide berjaya menembak seekor buruk dari jarak 45.5 meter.

Di samping itu, Mitsuhide juga gemar menulis puisi Waka dan menghadiri upacara teh. Berdasarkan ini, kita boleh deduksikan bahawa beliau seorang yang pintar dan berdisiplin. Jeneral Oda lain yang berjuang bersama Mitsuhide seperti Maeda Toshiie, Hashiba Hideyoshi, Sakuma Nobumori dan Niwa Nagahide sangat kagum dengan integriti beliau. Namun, ada juga catatan yang menggambarkan beliau sebagai seorang penjahat yang dahagakan kuasa. Luis Frois, seorang missionari Eropah terkenal dalam catatannya menyatakan bahawa beliau merupakan, “seorang lelaki yang suka menipu, suka hukuman mati, mempunyai daya tahan yang tinggi, pakar strategi, taktik dan formasi rumit; pahlawan handal dalam perang.” Walau bagaimanapun, catatan ini masih didebatkan sehingga ke hari ini kerana berkemungkinan bahawa Frois menulisnya selepas kematian Nobunaga. Frois juga didakwa bukan seorang yang rapat dengan Mitsuhide sehingga mampu untuk menulis peribadi lengkap Mitsuhide.

Gunung Hiei Dijilat Api

Akechi Mitsuhide dipercayai turut serta dalam serangan kontroversi Nobunaga ke atas Kuil Eryakuji di Gunung Hiei yang dianggap suci oleh pengikut agama Buddha. Hiei-zan juga menempatkan banyak kuil Buddha purba. Bagaimanapun, Mitsuhide dipercayai cuma berada di bahagian belakang yang tidak terlibat secara terus dalam serangan tersebut. Serangan ini dilakukan kerana pahlawan sami Tendai di situ merupakan sekutu kepada seteru ketat Oda Nobunaga.

Dianggarkan sebanyak 300 kuil dibakar dan seluruh penghuninya dibunuh dengan kejam. Nobunaga mendakwa bahawa ada sami yang berfoya-foya dengan perempuan ketika serangan itu dilakukan. Dengan kekuatan 30,000 tentera Oda, sejarawan British Sir George Samson menyatakan bahawa gunung itu telah menjadi rumah sembelihan dengan pemandangan yang sungguh mengerikan. Kesannya, banyak puak yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Nobunaga ini. Ada juga gelaran yang diberikan penduduk Jepun kepada Nobunaga iaitu, Dairokuten Maō (Demon King of the Six Heavens). Nobunaga dengan senang hati menggunakan gelaran ini untuk menimbulkan rasa gerun terhadap musuhnya.

Selesai serangan ini, Mitsuhide dihadiahkan dengan kawasan Sakamoto dan Kameyama oleh Nobunaga sebagai tanda kepercayaannya. Seterusnya, Mitsuhide terus menakluki dan mengamankan wilayah Tanba dan Tango dengan menumpaskan puak Hatano dan Isshiki.

Bibit-Bibit Kebencian  

Satu kejadian terjadi ketika beliau cuba menakluki Tanba daripada Hatano. Mitsuhide pada mulanya berjaya memujuk Daimyo Hatano Hideharu untuk menyerah diri kepada Nobunaga dengan syarat bahawa puak Hatano tidak akan diapa-apakan. Namun, Nobunaga bertindak melanggar syarat ini dan membunuh Hideharu. Pengikut Hideharu berang dan menculik ibu (ataupun mak saudara mengikut teori lain) Mitsuhide lalu membunuhnya dengan kejam. Ini dikatakan menjadi penyebab pertama hubungan antara Nobunaga dan Mitsuhide regang. Malangnya cerita ini telah dibuktikan cumalah cerita dongeng ciptaan zaman Edo. Berdasarkan sumber catatan tetamu Nobunaga termasuklah pedagang Barat, terdapat beberapa ketika selepas itu Nobunaga memarahi dan mengherdik Mitsuhide di tempat awam.

Pada tahun 1582, terpahatlah satu insiden yang sebenarnya telah mengubah perjalanan sejarah Jepun Feudal. Pada saat itu, Oda berada pada puncak kekuasaan selepas mengalahkan puak Takeda dalam pertempuran Tenmokuzan. Puak-puak berpengaruh lain seperti Uesugi, Mōri dan Hojo yang sebelum ini merupakan cabaran besar kepada Nobunaga telah mulai lemah. Maka, beliau mengambil kesempatan ini untuk meluaskan wilayah takluknya dengan menghantar jeneral-jeneral Oda ke barisan hadapan di beberapa arah. Salah satunya di Chugoku, Hashiba Hideyoshi memimpin satu bala tentera Oda untuk meranapkan puak Mōri untuk selama-lamanya.

Pembelotan Yang Tidak Disangka

Usai menemani sekutunya Ieyasu Tokugawa melawat istana Azuchi yang menjadi istana dengan reka bentuk teragung di Jepun ketika itu, Nobunaga bergerak pula menuju ke Chugoku dengan niat untuk membantu Hideyoshi tetapi berhenti berehat seketika di Kuil Honno, Kyoto. Insiden di Honnō-ji bermula apabila Mitsuhide yang ditugaskan untuk membantu Hideyoshi telah mengumpul bala tentera samurai seramai 13,000 orang dan berarak di bandar Kyoto. Tenteranya yang lengkap bersenjata mara memenuhi jalan-jalan di bandar itu.

Akechi Mitsuhide kemudian mengarahkan tenteranya mara ke Honnō-ji dengan berteriak, “Teki wa Honnō-ji ni ari!” yang membawa maksud, “Musuh berada di Kuil Honnō!”. Sebelum subuh, kuil yang menempatkan Oda Nobunaga dan beberapa orang pengawalnya telah dikepung rapi tanpa sebarang ruang untuk meloloskan diri. Mereka cuba melawan balik namun mereka tahu bahawa mustahil untuk mereka melarikan diri apatah lagi menang.

Pada saat genting ini, setelah semua harapan musnah dan hancur berkecai, Nobunaga dipercayai telah melaksanakan seppuku untuk mengelak ditangkap pemberontak. Sebelum kematiannya, Nobunaga mengarahkan seorang budak suruhan bernama Mori Ranmaru untuk membakar seluruh kuil tersebut supaya mayatnya tidak jatuh ke tangan musuh. Digambarkan bahawa Ranmaru ini merupakan seorang remaja lelaki yang kelihatan feminin dan selalu mendampingi Nobunaga. Kesetiaan Ranmaru sehingga sanggup mati mempertahankan tuannya menjadi satu contoh ikutan buat masyarakat lokal berzaman lamanya. Akhirnya, tinggalan mayat Nobunaga tidak dijumpai dan ini menjadi satu topik hangat yang masih lagi menjadi perdebatan antara para sejarawan dari dulu sehinggalah ke hari ini.

Anak sulung Nobunaga bernama Nobutada juga mati dibunuh tentera Akechi. Pembelotan Mitsuhide ini boleh kita ibaratkan sebagai satu pukulan maut kepada usaha puak Oda kerana sudah dijangkakan bahawa kemaraan Nobunaga dalam proses penyatuan Jepun tidak dapat dihentikan oleh sesiapapun. Khabar pembelotan ini tersebar ke seluruh tanah air dan mendapat pelbagai reaksi yang berbeza. Bagi jeneral-jeneral Oda yang setia seperti Hashiba Hideyoshi, Niwa Nagahide dan Shibata Katsuie, sudah tentu insiden di Honnō-ji menimbulkan amarah mereka. Ramai yang tersentak dan terkejut termasuklah sekutu rapat Nobunaga, Tokugawa Ieyasu. Ramai juga yang bergembira kerana “syaitan” ini telah dihapuskan buat selama-lamanya. Sudah tentu pembelotan merupakan satu perkara hina yang melanggar Kod Bushidō yang dipegang teguh pahlawan samurai.

Dendam Kesumat Hashiba Hideyoshi  

Hideyoshi yang sedang berperang dengan puak Mōri di Takamatsu segera berdamai dengan musuhnya dan terus mara ke Kyoto untuk membalas dendam. Masih terngiang-ngiang di dalam kepala Hideyoshi kenangannya dengan Nobunaga yang sanggup menerimanya berkhidmat sehinggalah kenaikan pangkatnya menjadi seorang jeneral walaupun pada mulanya, Hideyoshi hanyalah seorang petani miskin. Setelah berkhidmat kepada Nobunaga, Hideyoshi menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, sama seperti majoriti jeneral Oda yang lain. Inilah kehebatan Nobunaga; kemampuan untuk mengenal pasti individu-individu berbakat dan merekrut mereka tanpa mengira latar belakang sosial serta perwatakannya yang disenangi orang bawahan. Tiada prejudis. Hanya kebolehan.s

Selesai menguasai kawasan sekitar Kyoto, Mitsuhide mengisytiharkan dirinya sebagai Shogun berdasarkan keturunannya – Minamoto. Beliau juga cuba memenangi sokongan puak-puak di sekitar untuk menyokongnya tetapi betapa kasihannya kerana tidak mendapat sebarang sambutan. Pada tanggal 29 Jun 1582, Mitsuhide dikejutkan dengan berita ketibaan tentera Hideyoshi. Hal ini kerana beliau sangka Hideyoshi sedang sibuk tersekat dalam pertempuran dengan puak Mōri. Ternyata sangkaannya meleset. Mitsuhide mengarahkan tenteranya bergerak ke Yamazaki, Yamashiro untuk bersiap sedia dalam posisi bertahan.

Pertempuran Yamazaki

Empat hari kemudian, bala tentera Hideyoshi yang jauh lebih besar (20,000 – 40,000) tiba dan Pertempuran Yamazaki tercetus. Tentera Akechi (10,000 – 16,000) yang dilengkapi unit tentera arquebus iaitu sejenis istinggar berjaya memberikan saingan sengit. Kedudukan mereka terletak di belakang sebuah sungai, menyebabkan tentera Hideyoshi sukar menyeberanginya. Lama kelamaan, pihak Akechi semakin tergugat dan Hideyoshi melancarkan serangan habis-habisan dari Puncak Bukit Tennōzan. Taktikal Akechi tertewas juga. Mitsuhide melarikan diri tetapi malang nasibnya apabila sekumpulan perompak bersenjatakan batang buluh membunuhnya. Walau bagaimanapun  mayatnya tidak dapat dikenal pasti kerana sudah mereput. Dendam Hideyoshi terbalas jua.

Hanya 13 hari Mitsuhide memerintah sebagai Shogun. Itu pun hanya pada nama. Ini menyebakan beliau digelar Jusan Kubo (Thirteen Days Ruler). Ada juga legenda yang menyatakan bahawa Mitsuhide berjaya melarikan diri dan menjadi seorang sami yang juga seorang penasihat kepada keluarga Shogun Tokugawa dikenali sebagai Nankobo Tenkai. Rekod sejarah menggambarkan Tenkai sebagai seorang sami yang misteri tanpa asal usul yang jelas.   

Teori Punca Pengkhianatan

1. Impian. Mitsuhide ingin menjadi Shogun dan tidak mahu berada dibawah telunjuk sesiapapun.

2. Dendam. Nobunaga pernah mengherdiknya di hadapan tetamu Oda. Ada juga kisah yang Nobunaga membaling set pinggan makan kesayangannya ke dalam sebuah kolam kerana Ieyasu dihidangkan ikan busuk semasa menginap di Istana Azuchi. Dalam catatan Kawasumi Taikōki, Kobayakawa Takakage berpendirian bahawa Mitsuhide tidak mudah memaafkan orang lain dan suka berdendam.

3. Disuruh oleh Nobunaga. Satu legenda menyatakan yang Nobunaga pernah memerintahkan Mitsuhide untuk membunuhnya jika beliau menjadi terlalu zalim.

4. Konspirasi Hosokawa Fujitaka. Hosokawa merupakan seorang bangsawan yang berpengaruh dalam Imperial Court. Anaknya Hosokawa Tadaoki adalah menantu Mitsuhide. Akechi Gracia, anak Mitsuhide yang beragama Kristian ialah isterinya. Teori ini berkisar kepada Fujitaka yang berjanji untuk membantu Mitsuhide menjadi Shogun tetapi sebenarnya hanyalah harapan palsu. Sebaliknya, Fujitaka membuka pekong ini kepada Hideyoshi.

5. Konsep Tenka Fubu. Ramai yang percaya bahawa Nobunaga akan menghapuskan institusi Maharaja dan juga posisi Shogun itu sendiri. Nobunaga menggunakan satu konsep yang agak menarik dipanggil Tenka Fubu yang membawa maksud, “Satu Pemerintah Di Bawah Syurga”. Konsep ini membayangkan bahawa Jepun ataupun seluruh dunia itu sendiri mestilah diperintah oleh satu dan hanya satu pemerintah. Mitsuhide yang pernah berkhidmat untuk Shogun Yoshiaki selain beliau sendiri mempunyai darah Shogun terdahulu, menentang keras agenda Nobunaga dan membunuhnya.

5. Memulihkan semula Keshogunan Muromachi di bawah Ashikaga. Menurut Profesor Tatsuo Fujita dari Universiti Mie, sekeping surat yang berkemungkinan besar ditulis Mitsuhide telah ditemui. Surat ini menandakan terdapat komunikasi antara Mitsuhide dan Ashikaga Yoshiaki yang telah dihalau dan diturunkan takhta oleh Oda Nobunaga. Sebelum insiden di Honnō-ji, Nobunaga dan Shogun Yoshiaki bertelagah kerana Nobunaga mendapat tahu bahawa Yoshiaki telah berkomplot dengan puak-puak lain untuk menjatuhkan Nobunaga kerana pengaruhnya yang sangat hebat ketika itu. Menurut Profesor Fujita, dapat diandaikan bahawa Yoshiaki dalam surat itu meminta bantuan Mitsuhide untuk memulihkan semula Keshogunan Muromachi dan menumbangkan Nobunaga. Mitsuhide bersetuju.   

6. Dairokuten Maō (Demon King of the Six Heavens). Merujuk kepada penerangan sebelum ini, Nobunaga digelar Dairokuten Maō kerana kezalimannya. Dalam interpretasi Buddha terhadap kisah syaitan Shuten Dōji, Minamoto-no-Yorimitsu didakwa merupakan jelmaan bagi Yamantaka, seorang perwira yang berjaya membunuh Shuten Dōji. Mitsuhide merupakan pewaris Minamoto. Maka, beliau membunuh Nobunaga yang dianggap sebagai Raja Iblis seperti mana moyangnya dahulu.

7. Demi Paderi Jesuits. Menurut sejarawan Tachibana Kyoko, Mitsuhide membunuh Nobunaga kerana Nobunaga memanipulasi Paderi Jesuits untuk meluaskan pengaruh kezalimannya. Pelan terakhir adalah untuk mendapatkan bantuan dari Dinasti Ming untuk membantu membebaskan Paderi Jesuits daripada cengkaman Nobunaga.

8. Cinta tidak terbalas. Dalam diam Mitsuhide didakwa menyukai Nobunaga tetapi perasaannya bertukar cemburu apabila Nobunaga memberi lebih perhatian kepada Ieyasu berbanding dirinya. 

Kesimpulan

Tamatlah riwayat dua orang samurai.

Seorang mempunyai impian yang dahsyat. Seorang lagi menghancurkan impian itu.

Seorang berfikiran inovatif dan terbuka. Seorang lagi mahu mempertahankan status quo.

Seorang hampir menyatukan seluruh Jepun. Seorang lagi memerintah hanya 13 hari.

Seorang Raja Iblis, Tirani Zalim. Seorang lagi, Pejuang Keadilan, Pembela Rakyat.

Seorang pemerintah adil berwibawa. Seorang lagi, pengkhianat keji bermuka-muka.

Bergantung kepada pembaca, sama ada Akechi Mitsuhide seorang Pengkhianat ataupun Wira.

Video ilustrasi insiden di Honno-ji, https://www.youtube.com/watch?v=lYhnJHo-Jfg

(Bermula pada minit ke 5:27)

Rujukan:

Kato. (2017, November 12). Akechi Mitsuhide (1528-July 2 1582). Retrieved December 15, 2018, from https://samurai-world.com/akechi-mitsuhide/

Letter apparently written by samurai general Akechi Mitsuhide in 1582 discovered. (2017, September 12). Retrieved December 15, 2018, from https://mainichi.jp/english/articles/20170912/p2a/00m/0na/009000c

Mitsuhide Akechi. (n.d.). Retrieved December 15, 2018, from http://koei.wikia.com/wiki/Mitsuhide_Akechi

Seal. (n.d.). Akechi Mitsuhide. Retrieved December 15, 2018, from http://www.samurai-archives.com/mitsuhide.html

Seal. (n.d.). Oda Nobunaga. Retrieved December 15, 2018, from http://www.samurai-archives.com/nobunaga.html

Seal. (n.d.). Toyotomi Hideyoshi. Retrieved December 15, 2018, from http://www.samurai-archives.com/hideyoshi.html

Artikel sumbangan Noctircus untuk The Patriots.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Comments are closed.