Isi 1-6 = Memahami ‘Mengasimilasikan Islam ke dlm Anime’
Isi 7 = Transisi
Isi 8 = Recall Babak Berkait
Isi 9-15 = Fokus Artikel
Isi 16 = Penutup
Isi 17 = Nota Tambahan

1. Dalam artikel yang lepas (rujuk: https://thepatriots.asia/anime-menyuburkan-fahaman-ateis/), saya ada menjanjikan artikel yang menyentuh tentang prospek dakwah yang masih terbuka untuk dieksploitasi dalam medium digital. Namun, saya lebih terpanggil untuk terlebih dahulu menulis contoh tentang ‘pengasimilasian Islam’ terhadap anime atau mana-mana karya.

2. Bagaimanakah pengasimilasian Islam atau ‘mengislamkan anime’ itu? Secara ringkas, ia sama seperti anime atau karya itu sendiri mengasimilasikan sejarah, budaya, ideologi (prinsip), fahaman, dan fakta sejarah yang mahu diterapkan oleh penghasil (mangaka). Kita tidak pun buka buku teks atau buku rujukan mengenai sejarah zaman Dunia Baru atau New World, tapi nyatanya, secara tidak langsung, kita diperkenalkan terhadap period itu menerusi pengasimilasian fakta sejarah yang dilakukan oleh Eiichiro Oda ke atas karya One Piece. Hasilnya, tanpa kita sedar, kita memahami gaya-hidup seorang lanun, pelayar, pergolakan dalam pentadbiran, nasib golongan awam dan sebagainya. Kita malah boleh mengenali lanun-lanun realiti seperti Francois Lolonois, Awilda, Chui Apoo, Aruj Barbarossa dll. Tanpa pun kita buka buku teks mengenai sains, menerusi One Piece, kita terbelajar cara awan itu terhasil, bagaimana petir itu berlaku, bagaimana mirage itu berlaku dll.

Tanpa pun kita mahu kenal budaya Jepun, Eiichiro Oda ‘memaksa’ pembaca manganya untuk menyelami sisi budaya Jepun menerusi watak seperti Roronoa Zoro, Kin’emon, Momonosuke (anda tahu Hikayat Momonosuke) dan Kanjuro. Malah, arc yang bakal dimasuki ini, yang Zoro dah lama menunggu bersama Law, iaitu arc Wano, menurut canang-canangnya, turut berlatarbelakangkan budaya Jepun. Tanpa membuka pun rujukan-rujukan mitologi, kita disuakan dengan pelbagai mitologi, seperti makhluk-makhluk pelik di Impel Down yang menyamai UnderWorld, Marco the Phoenix dll.

Situasinya sama seperti Boboiboy Daun yang mengajar-tanpa-sedar para audiensnya tentang nama-nama dan kefungsian tumbuhan-tumbuhan menerusi kuasa elemen Daunnya atau Upin & Ipin yang memaparkan budaya budak-budak kampung tanpa secara naratif. Ya, kemajuan teknologi sekarang membolehkan kita untuk tidak perlu keluar ke laut untuk meraih sisi pandangan (walaupun sedikit) seorang pelayar, lanun atau tentera laut.

3. Ketika menonton mana-mana karya atau anime, kita rasai dapatan-dapatan berbentuk nilai moral yang diterapkan dan dipersembahkan di dalam karya tersebut. Selepas menonton arc mengenai Usopp di kampungnya ‘Syrup Village’, kita mendapatkan nilai moral yang diberikan oleh seorang kaki tipu yang bertindak menyelamatkan kampungnya, dan diakhiri dengan “that’s what liars do” dengan tidak memberitahu jasanya kepada masyarakatnya, atas dasar prinsipnya yang teguh (kaki kencing pun berprinsip tau). Menerusi arc mengenai Chopper di Drum Island, kita mendapatkan nilai moral perikemanusiaan yang dipersembahkan oleh Dr. Hiluluk terhadap Chopper. Menerusi penghujung arc Thriller Bark, kita mendapatkan nilai moral nakama, kesetiaan dan kesiagaan pengorbanan menerusi pengorbanan epik Zoro di episod 377. Galilah forum-forum para peminat anime ini, kita akan temui pelbagai macam kongsian rasa yang diluahkan oleh masing-masing. Melihat review anime selepas menonton anime adalah ibarat mendengar analisis bolasepak selepas menonton perlawanan bolasepak.

4. Namun, walaupun dapatan-dapatan sebegini terasa jelas oleh kita yang menonton, kita tidak ada bahasa untuk mengungkapkannya. Apakah jenis nilai moral yang didapatkan? Bagaimana kesannya terhadap diri kita di hari-hari kemudian? Bagaimana bentukan minda, jiwa dan prinsip kita selepas menonton nilai-nilai tersebut? Peraihan-peraihan nilai ini berbentuk subjektif, dan kemudian, dari kesubjektifan itu terpacul dari mulut kita; “Dari anime ini saya belajar nilai-nilai kehidupan.” “Saya belajar nilai persahabatan.” “Saya belajar nilai kekuatan dan keterusan semangat.” Tapi kita tidak mampu menuturkan dapatan-dapatan itu dengan lebih jelas, dengan menjawab persoalan-persoalan seperti di atas itu. Kita dapat rasa, tapi tidak mampu menuturkan kata-kata. Jadinya, kita hanya boleh berkongsi ‘rasa’ itu dengan kelompok-kelompok yang turut sama menonton seperti kita.

5. Dalam artikel lepas, kita kelihatannya memfokuskan perbincangan ke arah sisi-hitam anime, walaupun jika diteliti, sisi-hitam itu dijadikan batu-loncatan untuk mendedahkan sisi-putihnya. Dalam peperangan atau perentapan strategi, perkara yang paling mengujakan adalah kita menggunakan strategi lawan untuk dikembalikan semula kepada pemiliknya, atau dalam 36 Stratagems, dipanggil ‘Jie Dao Sha Ren’ atau ‘Membunuh Orang Dengan Pisau Pinjaman’. “Bila anda ingin melakukan sesuatu, usahakan agar lawan anda melakukan untuk anda.” Atau dalam bahasa yang lebih Islamiknya, kita sering mendengar ayat; “Kata-kata kamu kelak bukan hujah untuk kamu (yakni hujah untuk membela kamu di akhirat kelak), tetapi hujah ke atas kamu.”

6. Budaya hedonisme (berlebih-lebihan dalam hiburan) itu secara asasnya adalah buruk. Namun, mengambil kaedah pembuangan ‘illah (kecacatan), kita perhalusi situasi permasalahan. Yang kita risaukan itu budaya hedonisme atau kesan dari budaya hedonisme? Yang kita risaukan itu anime atau sisi-hitam anime? Saya mengambil satu contoh mudah, iaitu mencuri. Mencuri adalah perbuatan mengambil barang orang lain tanpa izin. Namun, umum mengetahui bahawa mengambil dengan izin itu dibenarkan. Sekarang, permasalahannya adalah mengambilnya kah atau tanpa izinnya? Sudah tentu yang kedua bukan?

Pokok utamanya, adalah bagaimana kita mahu menjadi seperti kisah pemuda yang menumpu pada putihnya gigi bangkai anjing, despite of kebusukan, kejelekan dan kejijikan bangkai anjing itu sendiri. Jadi, kita dapat kesimpulan bahawa, kita atau paling tidak, golongan yang anti-anime (secara khusus, dan secara umum; karya) atau golongan yang tak suka anak-anak atau budak-budak muda tonton anime atas kerana sangkaannya bahawa medium sebegini adalah sebuah bentuk hedonisme yang tiada nilai-nilai berkualiti padanya, perlu mencari root of the matters [akar urusan], dan mencapai titik harmoni. Untuk membetulkan sangkaan-sangkaan sebegitu seperti yang sering kita penonton anime mahu sampaikan kepada golongan tersebut, titik keharmonian perlu dicapai.

Dan berdasarkan kaedah pembuangan ‘illah seperti di atas, titik keharmonian antara dua golongan ini adalah; (1) Kesedaran bahawa budaya hedonisme sudah terlalu menyebar sehingga sukar dicantas. (2) Terlalu sukar untuk menghalang pemuda atau kaki-hedonisme dari terus berhedonisme. (3) Kesedaran bahawa kita bukan risaukan hedonisme (kes ini, anime), tapi yang kita risaukan adalah nilai-nilai yang dibawa oleh hedonisme yang nyatanya, pandangan terhadap hal ini kontra, satu pihak mengatakan bermanfaat, satu pihak pula menafikan. (4) Kesimpulannya, bukan hedonisme dan pemuda atau kaki-hedonisme yang perlu dicantas, tetapi nilai-nilai dalam hedonisme itu yang perlu diangkat dan diketengahkan, sehingga sangkaan bahawa hedonisme (anime) itu tidak membawa nilai, dapat terhapus dengan sendiri.

7. Dengan tibanya pada point ini, bermakna kita sudah semakin jelas dengan permaknaan ‘pengasimilasian Islam ke dalam anime’ dan kita pun sudah jelas tentang ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’, dan malah, kita bersepakat untuk mengharmonikan sangkaan kedua-dua golongan ini [peminat anime dan anti-anime]. Sekarang, mari kita aplikasikannya pada salah satu babak awesome dalam anime One Piece.

8. Pada episod 4, One Piece mengimbas kembali babak Luffy masa kecil bergurau-senda bersama kru lanun Akagami no Shanks di bar seliaan Makino-san. Hubungan Luffy dan Shanks memang rapat. Shanks gemar menyakat Luffy. Luffy pula suka lepak ngan Shanks dan kru lanunnya sebab nak dengar cerita-cerita pengembaraan mereka di laut. Tapi itu bukan titik utama perbincangan kita. Sedang asyik bergelak-ketawa, bandit gunung datang menendang pintu masuk bar.

“Kitorang datang bukan nak hancurkan bar kau. Kitorang cuma nak 10 tong sake.” ujar ketua bandit itu ‘bagi salam’.

Namun, kesemua stok sake Makino dah pun diminum habis oleh Shanks dan kru lanunnya yang tengah melepak di situ. Selepas minta maaf sebab habiskan semua sake, Shanks pun menghulurkan sebotol sake yang masih belum dibuka penutupnya. Ketua bandit itu pun menghulurkan tangan…. “Pranggg!!!” Tangannya yang pantas dikepal menumbuk botol sake itu.

“Aku lelaki yang dikehendaki. Nilai aku 8 juta Belli. Kau ingat satu botol tu cukup? Jangan memain dengan aku.” kata ketua bandit itu dengan berlagak.

Sake bertumpahan, dan Shanks berkata; “Basah dah lantainya. Maaflah, Makino-san. Awak ada mop tak?” sambil mengutip serpihan-serpihan kaca botol sake tersebut. “Skraahh… Pap pap!!!” Ketua bandit itu menarik keluar pedang dan menyodok jatuh kesemua yang ada di atas meja bar itu. “Nampak gaya kau ni suka mengemas. Meh aku bagi kau kerja lagi.” Shanks yang tadinya mengemas serpihan kacar tersandar di kerusi bar akibat diperlakukan sebegitu. “Jom blah… Buang masa aje. Jumpa lagi, pengecut.” Bandit gunung pun keluar.

Suasana terpaku seketika. Masing-masing membisu. Luffy pula menggetap bibir menahan marah. “Awak okay ke Kapten?” Makino-san meluru ke Shanks. “Aku okay, takde masalah.” Tak semena-mena; “Bhaahaahaaahahaaa!!!” Riuh-rendah bar tersebut dengan dekahan ketawa seluruh kru lanun Akagami.

“Diorang betul-betul angin siot dengan kau, kelakar nak mampos!”

“Malu gila weyh!”

Shanks pun ikut sama gelak…. Eh, dialah yang paling awal gelak…

“Kenapa pula korang ketawa?! Tak cool langsung! Kenapa korang tak lawan balik? Tak kisahlah berapa ramai pun diorang atau betapa kuatnya diorang, kalau korang tak lawan balik, korang bukan jantan! Korang bukan lanun!” tengking Luffy. Naik angin betul dia tengok Shanks dan kawan-kawannya ketawa selepas dimalukan sedemikian.

“Bukannya aku tak faham perasaan kau Luffy. Tapi diorang cuma tumpahkan sake sikit aje. Tak ada apa yang nak dimarahkan pun.” ujar Shanks sambil duduk bersila…..

Dan beberapa waktu kemudian, ketika Luffy yang cuba membela Shanks dipijak-pijak ketua bandit itu, Shanks datang dan berkata, quote yang agak masyhur bagi anime ini:

“Dengar sini! Aku buat rilek aje kalau makanan atau minuman ditumpahkan kat aku, kalau aku kena ludah pun aku tak kisah. Aku cuma gelakkan je pasal tu. Tapi, kalau atas sebab apa sekalipun, korang sakiti kawan aku… aku takkan maafkan kau!!!”

9. Walaupun babak ini mengandungi pelbagai nilai moral, kita cuba fokuskan pada nilai moral pengawalan marah atau kesabaran yang dipamerkan oleh watak yang bernama Shanks ini. Ambil nota dia kena tumpahkan air, ambil nota dia kena perli macam ‘cleaner’, ambil nota dia kena hina sebagai pengecut, kita titikkan kesemua nota itu untuk menekankan dan menimbulkan satu persoalan yang terbit dari frasa yang diucapkan oleh Shanks sendiri; “Bukannya aku tak faham perasaan kau Luffy. Tapi diorang cuma tumpahkan sake sikit aje. Tak ada apa yang nak dimarahkan pun.”

10. Shanks bukan setakat menahan marah, kerana Luffy pun dapat tahan marah sepanjang bandit itu berada di bar Makino. Tapi, Shanks mencapai tingkatan yang lebih tinggi lagi dari menahan marah. Untuk membincangkan titik ke-10 ini, perlu untuk saya merujuk ceramah Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid yang bertajuk ‘Jadilah Orang Yang Pemaaf’.

Secara ringkas, Habib menjelaskan mengenai 3 tingkatan:

Menahan marah
Memberi maaf kepada orang yang dimarahi
Berbuat ihsan (baik) kepada orang yang tadi dimarahi

11. Dalam ajaran Islam, disampaikan kepada kita hadis baginda yang berikut: “Orang yang kuat itu bukanlah orang yang menang bergusti, tetapi orang dapat menahan marahnya.” Menurut 3 tingkatan tadi, menahan marah adalah tingkat atau ajakan Allah yang pertama; “Tahan marah.” Tanpa tahan marah, tidak akan ruang untuk “Khuzil afwa atau ambil maaf”. Dan kemudian, diajak lagi untuk “wallahu yuhibbul muhsinin.”

Dalam kejadian dihina bandit itu, Shanks berjaya mengawal emosinya. Jika diikutkan marahnya, pasti Shanks akan melawan balik bandit itu. Tetapi, Shanks tidak kalah kepada emosi marahnya. Maka, secara ringkas, Shanks telah berjaya mempamerkan sikap ‘tahan marah’.

Kemudian, Shanks memasuki tingkat kedua iaitu memberi maaf kepada orang yang dimarahi, dibuktikan dengan jawapannya kepada Luffy; “Diorang cuma tumpahkan sake sikit aje. Tak ada apa yang nak dimarahkan pun.” Walaupun jika diteliti, yang dilakukan oleh Shanks sebenarnya adalah ‘memahami akar punca yang trigger kemarahan itu’ yakni Shanks memahami, yang dilakukan oleh bandit itu cuma tumpahkan sake, hina dia, dll, namun, dengan mencapai pemahaman sebegini, mudah bagi Shanks untuk memaafkan bandit tersebut. Sebab Shanks kemudian berkata; “Aku cuma gelakkan aje.”

Mengenai peringkat ketiga, One Piece tidak membawa penceritaannya ke hala itu, lebih-lebih lagi, nilai moral sebenar yang mahu diketengahkan ketika itu adalah; “Kau kacau nakama aku, siap kau.” Nilai moral itu pun ada jika kita renungi sirah para as-Sahabah. Cuma, lain kali lah kalau nak cerita bab itu.

Jelasnya, menerusi babak ini, One Piece seolah-olah mahu menyampaikan mesej; “Lihat, Shanks mampu mengawal marahnya, memahami akar yang mentrigger kemarahannya, dan mampu mengambil maaf (khuzil afwa/ambil maaf [surah al-A’raf: ayat 199). Itulah makanya dia itu Yonkou, salah satu dari Empat Maharaja lautan.”

Kes yang sama bagi babak Luffy dihina Bellamy masa dekat Mock Town pada episode 147, dalam arc Jaya.

12. Saya rasa cukup kut, saya sarankan para pembaca untuk menonton channel Cocombee di Youtube berkenaan tajuk ceramah-pendek Habib Ali Zaenal Abidin yang disebutkan tadi; “Jadilah Orang Yang Pemaaf’. Saya juga yakin, para pembaca mempunyai sumber yang lebih lagi untuk mengulas dengan lebih panjang berkenaan menahan marah, menjadi seorang sabar, berbuat baik kepada musuh, dan yang seangkatan dengannya.

13. Shanks dah tolong sampaikan kepada kita mesej mengenai ini, dan dia pun dah jadi Yonkou, (kuat, macam dalam hadis pertama tadi). Ada hadis daripada baginda Nabi: Muadz ibn Anas meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah bersabda: “Seorang yang menahan kemarahannya walaupun berkemampuan untuk melampiaskannya, Allah akan memanggilnya di hadapan seluruh ciptaan dan membenarkannya memilih mana-mana bidadari yang diingininya.”

Jadi, mari kita sama-sama praktikkan sifat tahan marah, dengan memahami akar yang trigger kita jadi marah [root of matter] setiap kali menghadapi situasi yang menaikkan angin kita, sehingga kita pula dapat buah-hasil dari amalan menahan marah, bersabar, memberi maaf, berbuat baik kepada yang dimarahi, seperti Shanks dapat buah-hasil dengan jadi orang yang kuat (hadis pertama tadi) hingga dia jadi Yonkou, kita pula dapat buah-hasil macam dalam hadis di atas.

14. Sekarang, setidak-tidaknya, jika golongan yang tidak menonton One Piece ini bertanya kepada kita; “Apa benda lah kau tengok kartun fantasi macam ni. Apa ajelah yang kau dapat?” kita dah pun boleh jelaskan kepada beliau tanpa lagi hanya di peringkat subjektif; “Dari One Piece ni lah aku belajar nilai moral mengawal kemarahan.” Tapi kita boleh ulas berjela-jela tentang bagaimana Shanks sendiri mengajar kita tentang hadis Nabi kita sendiri Muhammad dan tentang ajaran agama kita sendiri iaitu Islam.

15. Semoga Eiichiro Oda yang menghasilkan babak bermoral tinggi berkaitan sifat sabar ini, yang tak semena-mena, babak hasilannya itu jadi medium untuk menerangkan sabdaan baginda Nabi, dijadikan asbab penerimaan hidayah untuknya. Kita sama-samalah doakan, dan doakan hidayah untuk diri kita sendiri juga. Seronok juga, kalau masa hidup tak dapat jumpa Oda-sensei, kot kalau kita sama-sama dirahmati masuk syurga nanti bolehlah lepak sama-sama sembang pasal One Piece. Islam itu agama indah, agama rahmah (kasih-sayang). Biarlah gelap mana pun sisi hitam satu-satu perkara, kita seboleh mungkin menggunakan Islam yang universal ini, untuk menonjolkan sisi-putihnya pula.

16. Sambil kesemua kepimpinan dunia pergi ke Reverie, kita sama-sama; Off to Wano!!!

17. Nota Tambahan: Pengasimilasian berlaku pada tahap di mana sentiasa mengaitkan satu-satu elemen atau babak dalam mana-mana karya kepada nilai-nilai Islam. Namun, untuk merincikan proses-proses yang berlaku bagaimana Shanks boleh pasang mindset; “Alaa… benda kecil aje, tak perlu pun nak marah-marah.” Tang situ memerlukan falsafah pula.

Rujukan:

36 Stratagems: Secret Art of War (Wang Xuanming)
https://en.wikipedia.org/wiki/Thirty-Six_Stratagems
Hur al-‘Ayn: Maidens of Jannat (karangan Maulana Abdullah Nana)
https://www.youtube.com/watch?v=ahXyfP9EsnQ (Jadilah Orang Yang Pemaaf)
http://civil.utm.my/bahari…/hadith-orang-kuat-menahan-marah/
http://islamic.utm.my/…/koleksi-hadis-4-menahan-marah-diga…/

Artikel kiriman Amirzayyanid untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.