Bayangkan sebuah aisberg sebesar bandar Chicago terpisah dari daratan Antartika. Bukan sahaja aisnya yang mencair, tetapi dasar laut yang selama berabad-abad tersembunyi kini terdedah. Lebih mengejutkan lagi, di bawah ais tebal itu rupanya ada kehidupan yang menakjubkan! Inilah yang terjadi apabila aisberg raksasa bernama A-84 terpisah dari George VI Ice Shelf pada 13 Januari 2025. Kejadian ini bukan sekadar perubahan geografi, tetapi juga satu pembongkaran rahsia alam yang selama ini kita tidak pernah tahu.
Pasukan saintis dari Schmidt Ocean Institute yang menjalankan ekspedisi dengan kapal penyelidikan R/V Falkor (too) segera menukar rancangan mereka apabila mendengar berita pemisahan aisberg besar itu. Kawasan dasar laut yang baru terdedah ini meliputi keluasan kira-kira 540 kilometer persegi, yang sebelum ini tersembunyi di bawah ais tebal. Tiada siapa sangka bahawa di bawah lapisan ais beku itu wujud sebuah dunia kehidupan yang begitu unik dan kompleks. Kapal penyelidikan tiba di kawasan tersebut pada 25 Januari 2025 dan mula menjalankan kajian menyeluruh terhadap ekosistem yang baru ditemui itu.
Setelah sampai ke lokasi, para saintis mula menurunkan peralatan khas untuk merakam keadaan dasar laut pada kedalaman sehingga 1,300 meter. Apa yang mereka temui betul-betul mengejutkan — ekosistem yang berkembang pesat termasuk terumbu karang besar, span laut pelik, ikan ais dengan badan lut cahaya, labah-labah laut gergasi, dan juga sotong yang muncul secara tiba-tiba. Hidupan-hidupan ini kelihatan seolah-olah makhluk dari planet lain — hidup dalam gelap, air sejuk beku, dengan suhu bawah sifar.
Salah satu hidupan paling menarik ialah ikan ais dengan badan lut cahaya yang mampu bertahan dalam air hampir beku. Rahsianya terletak pada protein khas dalam darah mereka yang berfungsi sebagai antibeku semula jadi. Selain itu, labah-labah laut gergasi dengan kaki panjang dan menyeramkan dilihat bergerak perlahan-lahan, seolah-olah menjadi penjaga dunia beku yang sunyi itu. Terumbu karang besar yang ditemui pula dihiasi dengan span laut berbentuk unik, menandakan sebuah ekosistem yang berkembang dalam kegelapan mutlak. Kemunculan sotong juga sangat mengagumkan kerana ia membuktikan kepelbagaian biota di kawasan ini yang selama ini dianggap mati dan beku.
Para saintis terkesima melihat bagaimana hidupan ini mampu bertahan dalam keadaan ekstrem — suhu yang sangat rendah dan tanpa cahaya matahari selama berabad-abad. Mereka mengesyaki bahawa arus laut yang membawa nutrien dari kawasan yang lebih cetek mungkin memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan di situ. Ekosistem ini berkembang tanpa gangguan manusia, menjadikannya antara habitat paling terpencil dan asli di dunia.
Namun, sehingga kini, belum ada pengesahan rasmi mengenai spesies baru yang ditemui, dan kajian lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti ciri-cirinya secara lebih terperinci.
Disebalik penemuan menakjubkan ini, timbul juga kebimbangan besar. Aisberg A-84 terpisah disebabkan oleh suhu global yang semakin meningkat. Jika lebih banyak aisberg besar pecah seperti ini, kita mungkin akan kehilangan lebih banyak ekosistem purba sebelum sempat dikaji dengan lebih mendalam.
Ketua saintis ekspedisi, Patricia Esquete, sendiri tidak menyangka akan menemui kehidupan sebesar dan sekompleks ini di kawasan yang selama ini dianggap mati dan beku. Beliau menyifatkan fenomena ini sebagai peringatan betapa rapuhnya ekosistem Antartika — apabila bumi semakin panas, lebih banyak perubahan akan berlaku yang mungkin kita tidak jangka.
Fenomena pemisahan aisberg besar bukanlah perkara baru, tetapi saiz A-84 yang luar biasa ini amat merisaukan saintis. Apabila suhu bumi semakin meningkat, semakin banyak aisberg besar yang akan hanyut ke laut terbuka, mengganggu arus laut, ekosistem, dan mungkin juga mengubah landskap lautan yang selama ini stabil. Kesan perubahan iklim terhadap kawasan kutub semakin nyata, dan pemisahan aisberg ini adalah bukti betapa gentingnya situasi perubahan cuaca global.
MasyaAllah, betapa hebatnya ciptaan Allah yang menunjukkan bahawa walaupun dalam keadaan paling ekstrem, kehidupan tetap mampu berkembang. Dari ikan ais dengan badan lut cahaya hingga terumbu karang besar yang bertahan tanpa cahaya, Allah memperlihatkan bahawa kehidupan akan terus mencari jalan walaupun dalam kesukaran. Kita sebagai manusia harus lebih peka, kerana perubahan kecil dalam alam sekitar boleh membawa impak besar kepada kehidupan yang kita tidak pernah sangka.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.