Filem Airlift adalah sebuah filem Bollywood yang diangkat dari sebuah kisah benar yang berlaku dalam pasca Perang Teluk I di antara kerajaan Iraq dan kerajaan Kuwait. Filem yang diarahkan oleh pengarah terkenal, Raja Krishna Menon, berjaya mendapat kutipan pecah panggung sebanyak USD 42.25 juta melebihi biaya pembuatan filem ini iaitu hanya sebanyak, USD 5.67 juta.
Filem yang dilakonkan semula oleh Askhay Kumar sebagai karakter fiksyen, Ranjit Katyal, iaitu diambil daripada watak sebenar salah seorang usahawan India yang bekerja di Kuwait, Mathunny Matthew yang berjasa dalam misi menyelamatkan seramai 175,000 orang pelarian India keluar dari bumi Kuwait menuju ke Jordan dan pulang dengan selamatnya ke India melalui jalur udara dengan bantuan sebanyak 488 buah pesawat komersial Air India selama tempoh dua bulan.
Filem yang ditayangkan pada tanggal 29 Januari 2016 ini mendapat banyak kritikan dari rakyat India kerana kandungan filem ini dikatakan banyak berfantasi daripada maklumat sebenar sehingga filem ini dijuluki sebagai ‘Seperti dari peristiwa Exodus yang dimana watak Ranjit Katyal digambarkan sebagai Moses yang memimpin pelarian India (Bani Israil) keluar dari bumi Mesir (Kuwait)’.
Filem ini juga tidak dibenarkan untuk ditayangkan di negara Kuwait setelah ramai peminat filem Bollywood di negara itu menyatakan beberapa benda yang tidak sepatutnya terdapat di dalam filem tersebut. Akibat dari kontroversi itu, pihak Kuwait National Cinema Company secara rasminya membuang Airlift dari daftar filem ‘Coming Soon’ di seluruh pawagam di negaranya. Walaupun filem ini mendapat kritikan orang ramai dan dilanda banyak kontroversi, ianya memang sebuah filem yang wajib ditonton kerana ianya terselit suatu nilai yang amat besar. Kemanusiaan dan semangat patriotisme.
Selamat membaca peristiwa yang disediakan secara ringkas dan padat ini.
MISI PENYELAMATAN TERBESAR BAKAL TERCATAT DI DALAM LEMBARAN SEJARAH DUNIA
1. Pada tanggal 2 Ogos 1990 tepat pada pukul 2 pagi waktu Kuwait, segerombolan bala tentera Iraq memasuki kota Kuwait dan melancarkan serangan melalui jalur darat secara besar-besaran ke atas pasukan tentera Kuwait. Dalam hanya tempoh beberapa jam, pasukan Kuwait berhasil dikalahkan dan setelah dua hari pembersihan, secara rasminya kota Kuwait jatuh sepenuhnya ke dalam genggaman Presiden Saddam Hussein.
Dengan bangganya, Presiden Saddam memasukkan Kuwait sebagai wilayah ke-19 ke dalam peta negara Iraq dan melantik Ali Hassan al-Majid sebagai gabenor sementara.
Pemerintah Kuwait, al-Ahmad al-Jaber as-Sabah melarikan diri bersama keluarga diraja beserta beberapa orang pegawai penting ke negara Arab Saudi (berlindung di sana).
Penaklukan Iraq ke atas Kuwait menyebabkan secara tidak langsung Presiden Saddam menguasai hampir 20% persediaan bekalan minyak mentah dunia dan mendapatkan kekuasaan ke atas jalur pantai yang panjang di sekitar pantai Teluk Parsi.
2. Setelah berita serangan penaklukan pasukan Iraq pimpinan Presiden Saddam ke atas negara Kuwait, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara sebulat suara mengutuk serangan Presiden Saddam dan pada tanggal 6 Ogos 1990, PBB mengeluarkan arahan kepada seluruh negara untuk menghentikan segala akses perdagangan dengan negara Iraq.
Dalam pada masa yang sama, Presiden Saddam menempatkan pasukan tenteranya seramai 300 ribu orang di Kuwait.
3. Dalam tempoh serangan pasukan Iraq ke atas negara Kuwait, seramai 175.000 orang rakyat India yang menetap mahupun yang bekerja di sana tersepit di dalam konflik pertempuran saudara Iraq-Kuwait.
Beberapa warganegara India hartawan di Kuwait seperti Mathunny Mathews dan Harbajan Singh Vedi yang juga menjadi mangsa dalam konflik Iraq-Kuwait telah memulakan pelbagai usaha untuk membawa 175 ribu warganegara India yang menjadi pelarian di negara Kuwait pulang ke negara India.
4. Menteri Luar Negeri India pada tahun 1989-1990, Inder Kumar Gujral (bakal Perdana Menteri India ke-12) bertungkus lumus untuk menyelamatkan warganegaranya di Kuwait dengan mengadakan perjumpaan bersama pihak Presiden Saddam Hussein di Baghdad setelah Mathunny Mathews dengan kerjasama Harbajan Singh Vedi menemui kedutaan India di Baghdad, Iraq untuk memohon bantuan pengangkutan darurat.
Setelah melalui beberapa proses kesepakatan dengan pihak kerajaan Iraq, pihak India dan wakil dari PBB yang dimeterai di antara ketiga pihak ini, pihak kerajaan Iraq mengeluarkan kenyataan rasmi menjamin keselamatan ke atas semua warganegara India dengan menyediakan beratus buah bas untuk memudahkan pihak India membawa rakyat mereka pulang ke tanah air.
Pengangkutan yang disediakan oleh Presiden Saddam Hussein bertolak dari Basrah, Baghdad memasuki perbatasan Jordan menuju ke lapangan terbang antarabangsa Queen Alia, di Amman, Jordan dengan selamatnya. Kesepakatan lain yang dimeterai adalah, pihak India berbincang beberapa masalah mengenai hubungan dua hala dalam urusan perdagangan mereka setelah pihak Barat melancarkan ‘blockade’ secara besar-besaran ke atas Iraq.
KP Fabian berkata dalam ‘Indian Foreign Affairs Journal’, pertemuan di antara pihak IK Gujral dan pihak Saddam Hussein sepatutnya tidak dikritik mengenai kerjasama mereka melainkan pertemuan ini lebih memfokuskan sifat ihsan dan sopan santun dari pihak Saddam Hussein dalam menyediakan pengangkutan untuk pihak India melicinkan proses perpindahan ini.
5. Perpindahan melalui udara yang memakan waktu selama dua bulan bermula pada tanggal 13 Ogos 1990 sehingga berakhir pada tanggal 20 Oktober 1990 memerlukan sekurang-kurangnya 488 buah pesawat komersial milik syarikat penerbangan Air India (India Airlines) termasuk beberapa buah pesawat pengangkut milik Angkatan Udara India dan mendapat bantuan kerjasama juga dari syarikat penerbangan Pakistan Airlines.
6. Pada fasa pertama proses perpindahan melalui udara ini, pihak kerajaan India menghantar beberapa buah pesawat pengangkut ketenteraan untuk membawa pulang warganegaranya yang terdiri daripada orang tua, wanita dan kanak-kanak.
Setelah beberapa lama tempoh, pihak kerajaan India menghentikan penggunaan pesawat ketenteraan dan beralih kepada pesawat komersial hasil kerjasama dengan pihak Air India.
MP Mascarenhas yang pada masa itu menguruskan syarikat penerbangan Air India di cawangan Teluk dan Timur Tengah melaporkan:
“Kami mengendalikan operasi ini dengan jadual yang padat melalui kerjasama dari beberapa orang pihak. Walaupun kami menghadapi beberapa masalah dan mendapat bantuan yang sedikit pada masa ini daripada pihak kedutaan (kerana masalah pasport: ada warganegara India yang datang ke Kuwait tanpa permit), tetapi penduduk setempat (di sekitar Amman) mempunyai hubungan baik dengan kami lalu ada diantara mereka menghulurkan segala bantuan yang diperlukan dengan ikhlas.”
Kesulitan yang dihadapi oleh kedutaan India di Jordan pada masa itu diantaranya adalah:
a. Majoriti warganegara India yang bekerja di Kuwait tidak mempunyai pasport kerana mengikut laporan, pasport kepunyaan mereka hilang ketika malam serangan Iraq ke atas Kuwait.
b. Pasport mereka dipegang oleh majikan masing-masing, dan ada majikan di antara mereka yang mati terbunuh pada malam serangan itu.
7. Pihak kerajaan Jordan melalui hubungan kerjasama dengan pihak kerajaan India menyediakan ruangan-ruangan hotel untuk menempatkan para pelarian India ini. Ada juga diantara mereka yang membina kem sementara di sekitar lapangan terbang Amman.
Rita Nair, salah seorang krew Air Indian melaporkan pada hari kejadian ketibaan para pelarian India ke lapangan terbang Amman:
“Para pelarian tiba di Amman dengan beratus-ratus buah bas dari Kuwait melalui Iraq. Suasana lapangan terbang ini dibanjiri dengan lautan manusia dan para pelarian ini berlari kearah kami setelah mereka melihat kami dan Airbus A300 dari syarikat penerbangan Air India.”
Margaret D’Lima yang bersama Rita Nair pada ketika itu, juga merupakan krew Air India menambahkan:
“Majoriti daripada kalangan mereka tidak mempunyai pasport dan bertangan kosong sahaja. Yang lebih menyedihkan, dari kalangan hanya berkaki ayam. Mereka kelaparan dan suasana ini meremukkan hati sesiapa yang melihatnya.”
8. Mengikut laporan, hanya 10,000 orang rakyat India yang tidak mahu pulang negara asal dan lebih memilih bertahan hidup di Kuwait.
9. Setelah berakhirnya proses perpindahan ini, Air India mendapat pengiktirafan dari Guiness Book of World Records sebagai pengangkutan awam yang berjaya memindahkan beribu manusia melalui jalur udara dalam sejarah dunia.
10. Mathunny Mathews pula diangkat sebagai ‘hero’ di negara India setelah beliau memainkan peranan yang besar dalam misi kemanusiaan dan patriotisme menyelamatkan saudaranya dari terlibat dalam konflik yang berdarah ini.
Kesimpulannya, jika anda masih menginginkan sebuah gambaran yang jelas mengenai bagaimana proses dan suasana perpindahan bersejarah ini, anda disarankan untuk menonton filem Airlift.
– TAMAT –
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih