Dalam banyak perkara, Jepun dianggap pendahulu dalam bidang ekonomi dan teknologi terkini. Justeru, atas sebab ini juga mendorong banyak negara terutama Malaysia mahu belajar dan mencontohi tindak-tanduk Tokyo yang menjadikan mereka sebagai antara kuasa ekonomi dunia. Tetapi dari segi hak asasi manusia terutama membabitkan orang asli Ainu, ia merupakan sesuatu yang memalukan kerana sehingga hari ini, hak mereka terutama dari segi budaya dinafikan.

Sejarah

Siapa orang Ainu ini? Mereka ini dikatakan berasal dari orang Jomon yang tinggal di Jepun semasa era Jomon. Manakala budaya mereka merupakan gabungan budaya Jomon, Okhotsk dan Satsumon. Mereka bertutur dalam Bahasa Ainu dan ditawan oleh orang Jepun pada abad kesembilan Masihi.

Pada pertengahan abad ke-13, mereka menyerang orang Nivkh yang ketika itu diperintah oleh Dinasti Yuan sekaligus mencetuskan perang antara orang Ainu dengan dinasti berkenaan. Pada abad sama juga, orang Ainu yang berada di Ezochi (kini Hokkaido) mula mengadakan hubungan aktif dengan orang Jepun. Seperti mana-mana puak asli lain, orang Ainu menjalankan kegiatan memburu dan perikanan serta mengamalkan ajaran animisme.

Hubungan antara orang Ainu dengan pihak Jepun bukan saja meningkatkan pengaruh ekonomi tetapi juga konflik antara mereka. Bukan sekali dua kedua-dua pihak berperang dengan pemberontakan paling terkenal semasa Keshogunan Muromachi ialah Pemberontakan Koshamain pada tahun 1456.

Pihak Ainu melancarkan serangan mengejut ke atas puak Matsumae yang berkuasa di Ezochi ketika itu tetapi berjaya dipatahkan selepas Takeda Nobuhiro membunuh ketua puak Ainu, Koshamain. Sementara era Tokugawa pula menyaksikan hubungan kedua-dua pihak bertambah baik. Namun, itu tidak menghalang beberapa lagi pemberontakan timbul Pemberontakan Shakushain (1669-1672) dan Pertempuran Menashi-Kunashir (1789).

Bermulanya sebuah derita

Bagaimanapun, semua itu berubah semasa era pemerintahan Maharaja Meiji. Sebagai sebahagian daripada usaha memodenkan Jepun dan melihat orang Ainu sebagai tidak bertamadun, maka Tokyo bertindak menggubal Akta Perlindungan Orang Asli Hokkaido 1899. Akta ini merupakan satu cara untuk memaksa orang Ainu berasimilasi dan menghapuskan sistem pemilikan tanah puak berkenaan.

Mereka dipaksa bertutur dalam Bahasa Jepun dan mengamalkan budaya Jepun, satu bentuk jenayah kebudayaan ke atas mereka. Jika mereka enggan berbuat demikian, maka mereka akan disisihkan kerana mengamalkan budaya yang berbeza. Dan disebabkan kerajaan memaksa mereka melakukan aktiviti tani turut mengakibatkan mereka kehilangan sumber pendapatan yang datang dari aktiviti memburu dan perikanan.

Diskriminasi mengarut bersifat undang-undang ini hanya berakhir apabila Perlembagaan Jepun yang baru pasca-Perang Dunia Kedua digubal pada tahun 1947. Menerusi perlembagaan ini, semua bentuk diskriminasi ke atas puak berkenaan dihapuskan. Tetapi kerosakan yang dicetuskan oleh akta lama itu mengakibatkan ramai orang Ainu memilih menyembunyikan identiti etnik mereka. Ini kerana mereka bimbang jika mereka mendedahkan diri mereka yang sebenar, diskriminasi menanti bukan saja di sekolah tetapi juga di tempat kerja.

Salah seorang yang pernah mengalami diskriminasi ini ialah bekas guru Yuji Shimizu. Bekas guru yang berusia 78 tahun ini mendedahkan semasa kecil, dia selalu dibuli dan dipanggil anjing oleh kanak-kanak lain. Untuk mengelak diskriminasi dan prejudis melampau masyarakat, ibu bapanya tidak pernah mengajarkan budaya dan bahasa Ainu.

Ini mengakibatkan puak ini menjadi halimunan dan tidak menyampaikan tradisi budaya mereka kepada generasi seterusnya. Buktinya, Endangered Language Project mendedahkan hanya dua orang yang boleh bertutur dalam Bahasa Ainu di seluruh dunia. Isu pengangguran dan kemiskinan turut menjejaskan kemajuan sosial puak berkenaan dengan peratusan orang Ainu menghadiri sekolah menengah dan universiti jauh lebih rendah berbanding purata warga Hokkaido yang lain.

Populasi orang Ainu juga semakin berkurangan dari tahun ke tahun. Pada tahun 2013, populasi orang Ainu seramai 17,000 orang atau 2% daripada populasi Pulau Hokkaido. Tetapi pada tahun 2017, bilangan mereka berkurangan kepada 13,000 orang.

Namun menurut Jeffry Gayman, usah terlalu bergantung kepada angka rasmi yang dikeluarkan kerajaan. Ini kerana bilangan orang Ainu berkemungkinan lebih ramai dari angka yang dinyatakan kerana dua senario iaitu enggan memperkenalkan diri mereka sebagai orang Ainu atau tidak tahu bahawa mereka mempunyai latar belakang Ainu. 

Antara individu yang terkesan dengan semua ini ialah pemuzik Jepun berdarah Ainu, Oki Kano. Kano tidak tahu bahawa dirinya berdarah Ainu dan hanya mengetahui fakta berkenaan semasa berusia 20 tahun. Bila beliau mengetahui latar belakangnya, Kano kembali ke Hokkaido untuk mengkaji sejarah keluarga sebelah bapanya itu.

Namun, tidak semua yang menerima beliau kerana berpandangan Kano orang luar dan tidak pernah faham tentang penderitaan yang dialami mereka akibat akta-akta menindas yang dilaksanakan Tokyo. Ini mendorongnya berpindah ke New York pada akhir tahun 1980-an.

Di sana, beliau bertemu dan berkawan dengan beberapa orang asli Amerika yang menyaksikan puak-puak asli Amerika mahukan hak mereka dikembalikan dan mereka diberi pengiktirafan di seluruh dunia. Pengalaman mereka membangkitkan kesedaran politik dalam dirinya sebagai seorang Ainu.

Kano berkata, “Saya tahu saya perlu berhubung semula dengan warisan Ainu saya.” Sekembalinya ke Jepun, beliau menemui satu alat muzik tradisi puak berkenaan yang dikenali sebagai tonkori. Tonkori ialah sejenis alat muzik yang mempunyai lima tali dan dianggap simbol kebudayaan puak berkenaan.

Kano menambah, “Saya membuat beberapa lagu menggunakan tonkori dan menyangka saya ada bakat menggunakannya.” Walaupun tidak mempunyai latar belakang muzik, beliau boleh menggunakannya dengan baik. Tetapi Kano juga sedar selepas seabad tekanan dan diskriminasi yang dikenakan ke atas puak Ainu selama seabad, agak sukar untuknya berguru dengan pakar tonkori. Jadi, alternatif seterusnya ialah mendengar kaset-kaset lama muzik Ainu sebagai rujukan. Beliau menambah, “Ini seperti cuba meniru Jimi Hendrix sambil belajar menggunakan gitar.”

Kegigihannya membuahkan hasil pada tahun 2005, beliau menubuhkan satu kumpulan bernama Oki Dub Ainu. Kumpulan ini menggabungkan pengaruh muzik Ainu dengan genre reggae, elektronik dan muzik rakyat. Kano juga turut mengasaskan syarikat rakaman label sendiri untuk memperkenalkan muzik Ainu kepada dunia.

Sejak itu, beliau sudah membuat persembahan di Australia dan mengadakan konsert jelajah di Eropah. Beliau juga merupakan sebahagian daripada anggota Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Populasi Orang Asli di mana kumpulan ini menjadi platform untuknya bersuara berkenaan nasib orang Ainu.

Rajah 1: Kano dan kumpulannya Oki Ainu Dub semasa membuat persembahan di Jerman pada tahun 2007

Antara ketidakpercayaan dan pengiktirafan

Ramai orang Ainu merasa skeptik dengan keikhlasan Tokyo yang mahu memulihkan semula hak dan budaya mereka. Dan mereka ada sebab untuk berbuat demikian. Akta 1899 itu digantikan dengan satu akta baru pada tahun 1997 yang mendesak kerajaan melindungi budaya Ainu tetapi tidak menyatakan sokongan kepada pengiktirafan mereka sebagai orang asli.

Perkara ini nyata menimbulkan kehampaan dalam kalangan orang Ainu. Ini disusuli satu resolusi yang diluluskan Diet Jepun pada tahun 2008 yang mendesak kerajaan pimpinan Yasuo Fukuda mengiktiraf orang Ainu sebagai orang asli dan menghentikan semua bentuk diskriminasi terhadap mereka. Sebagai respon, kerajaan mengeluarkan kenyataan berbunyi, “Kerajaan dengan rasa rendah diri mengakui fakta sejarah bahawa ramai orang Ainu didiskriminasi dan terjerumus dalam kemiskinan dengan kemajuan pembangunan walaupun diberi hak sama dengan orang Jepun.”

Akhirnya pada Februari 2019, buat pertama kali dalam sejarah orang Ainu, Tokyo meluluskan undang-undang yang mengiktiraf mereka sebagai orang asli selepas bertahun-tahun berhadapan dengan diskriminasi melampau masyarakat. Ini disusuli dengan satu lagi akta yang mengiktiraf orang Ainu di Hokkaido sebagai orang asli.

Akta sama turut membenarkan sebuah muzium budaya Ainu dibuka di Hokkaido. Tetapi ramai mempunyai pandangan berbeza terhadap akta yang diluluskan pada April tahun ini. Bagi Shimizu, akta ini kekurangan satu perkara: kemaafan. Tiada sebarang permohonan maaf rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan terhadap orang Ainu seperti mana yang dilakukan Australia terhadap orang asli Australia pada tahun 2008. Dia menambah akta itu juga mahu menjadikan orang Ainu seperti bahan pameran muzium dan mengeksploitasi mereka lebih-lebih lagi menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Pandangan ini turut disokong oleh Dr Hiroshi Maruyama menerusi artikel Japan’s new policy on the Ainu is misleading bersama rakan penulis Leni Charbonneau. Ini kerana akta baru ini diluluskan tanpa sebarang rundingan dengan orang Ainu di Diet kerana majoriti anggota parlimen ialah orang Jepun dan jika ada sekalipun wakil Ainu, bilangan mereka terlalu sedikit.

Kedua, akta berkenaan langsung tidak memberi peluang kepada autonomi yang diberikan kepada mereka sebagai orang asli dan memberi definisi sempit berkenaan budaya Ainu itu sendiri. Ini sekaligus bertentangan dengan Deklarasi PBB tentang Hak Asasi Orang Asli yang melindungi hak orang asli terutama soal autonomi puak orang asli yang seharusnya ditentukan oleh mereka dan bukan pihak kerajaan.

Maka tidak hairanlah sehari selepas akta pengiktirafan orang Ainu diluluskan pada bulan Februari, aktivis Ainu Mamoru Tazawa mengkritik kerajaan dengan berkata, “Tiada sebarang bantuan diberi kepada orang Ainu lebih-lebih lagi bagi pecahan puak seperti Karafuto Ainu.” Ironinya, Jepun banyak menandatangani kebanyakan deklarasi berkenaan hak asasi manusia tetapi gagal mengiktiraf hak orang asli Ainu mengikut peruntukan konvensyen antarabangsa.

Yang pasti, orang Ainu memerlukan bantuan untuk membantu mereka memadam stigma sosial yang dilabel selama ini. Kerajaan ada menghulurkan bantuan dari segi biasiswa bagi yang mahu mengkaji bahasa dan budaya di sesetengah universiti swasta yang terpilih.

Tetapi menurut Kano, bantuan ini harus diterjemahkan dalam bentuk bantuan pendidikan bagi membolehkan orang Ainu bukan saja menjadi orang terpelajar tetapi juga mempunyai kesedaran politik berkenaan kedudukan bangsa mereka. Jika itu tidak berlaku, dominasi Jepun ke atas mereka akan terus berlaku dan mereka akan terus terpinggir.

Maka, di sinilah pihak kerajaan dan pembangkang hari ini harus mengambil berat isu orang asal terutama golongan bumiputra. Ini kerana dengan situasi hari ini, ramai merasakan hak golongan bumiputra semakin terhakis berikutan pelbagai isu ‘diskriminasi’ yang dibangkitkan pihak tertentu demi meraih modal politik murahan. Isu-isu ini dilihat sebagai cubaan menghalalkan kesamarataan tanpa mengambil kira kesannya kepada negara secara keseluruhannya.

Jika berkehendakkan sangat kesamarataan, pastikan kaum bumiputra sudah mempunyai kemampuan permainan sama dengan kaum bukan bumiputra di negara ini termasuk dalam soal ekonomi. Jika itu pun masih terkulat-kulat, usah bermimpi di siang hari. Jangan ulang kesilapan Jepun yang menekan bangsa orang asal hanya kerana mahukan mereka berasimilasi dan mengaplikasikan budaya sama seperti orang lain.

Kesilapan ini bukan saja mencalar maruah Jepun yang menggelar diri mereka sebagai juara hak asasi tetapi juga mengukuhkan lagi keinginan orang Ainu berpegang kepada nilai budaya yang membentuk siapa diri mereka.

SUMBER

1. Jozuka, Emiko. (2019). Japan’s ‘vanishing’ Ainu will finally be recognized as indigenous people. CNN. https://edition.cnn.com/2019/04/20/asia/japan-ainu-indigenous-peoples-bill-intl/index.html

2. Maruyama, Hiroshi dan Charbonneau, Leni. (2019). Japan’s new policy on the Ainu is misleading. DownToEarth.org.in. https://www.downtoearth.org.in/blog/governance/japan-s-new-policy-on-the-ainu-is-misleading-63309

3. Steger, Isabella. (2019). Who are the indigenous Ainu people of Japan? Quartz.com. https://qz.com/1551496/who-are-the-indigenous-ainu-people-of-japan/

4. Murakami, Sakura. (2019). Japan’s Ainu recognition bill: What does it mean for Hokkaido’s indigenous people? The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2019/02/25/reference/japans-ainu-recognition-bill-mean-hokkaidos-indigenous-people/#.XL5QtU7VJ1s


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.