Habis! Habis Baghdad menjadi padang jarak padang terkukur. Kota ilmu ini dibakar dan dihancurkan dek tentera Monggol yang datang seperti belalang juta dari timur, lalu menjadikan setiap bumi yang dihinggapinya seperti tidak pernah berdiri sebuah tamadun pun di situ.
Monggol, nama yang suatu masa dahulu sudah cukup untuk membuat lelaki yang paling berani pun terkencing dalam seluar kerana ketakutan. Mereka datang untuk membunuh, merogol dan membumi-hanguskan tamadun. Mereka diibaratkan seperti syaitan-syaitan yang menunggang kuda dari padang rumput Monggolia!
Penaklukan Baghdad menandakan kehancuran kegemilangan sebuah dinasti yang pernah menaungi zaman keemasan umat Islam. Kesultanan Ayyubi di Syiria pun habis menjadi mangsa Monggol. Lalu tinggalah Kesultanan Mamluk di Mesir sebagai benteng terakhir umat Islam ketika berdepan dengan bala tentera yang tidak pernah kenal erti kematian ini. Kesultanan Mamluk ini juga benteng terakhir sebelum Monggol meluaskan empayarnya memasuki ke benua Afrika.
Maka sejarah pun bercerita kepada kita… ketika Monggol mula menemui lawan sebenarnya dari bumi yang pernah berdiri tamadun hebat yang membina piramid dan binaan-binaan yang memukau, seorang yang pernah dahulu menjadi hamba sebelum akhirnya takdir menjadikan bangsa ini sebagai bangsa yang menjadi raja.
Surat Yang Menaikkan Kemarahan
Mari, saya perkenalkan kepada anda seorang tokoh yang sangat berperanan dalam menghalang kemaraan Monggol ini. Lalu, insan yang bertanggungjawab di sebalik kejatuhan Baghdad iaitu Hulagu Khan pun menghantar utusan kepada Saifuddin Qutuz yang berada di Kaherah. Sebuah surat dikirimkan kepada Kesultanan Mamluk:
“Daripada raja segala raja di Timur dan Barat, Khan Yang Agung mengutuskan surat kepada Qutuz Dari Mamluk yang melarikan diri daripada pedang kami. Kau harus pertimbangkan apa yang terjadi pada negara-negara lain dan silalah tunduk pada kekuasaan kami. Kami sudah menakluk tanah yang luas, dan membunuh jutaan manusia. Kau harus ingat bahawa kamu semua tidak akan mampu lari dari amukan tentera kami. Mana lagi kau boleh lari? Jalan apa lagi yang kau akan gunakan untuk lari?
Kuda kami selaju angin, panah kami sentiasa tajam, pedang kami seperti jeritan halilintar, hati kami sekeras gunung dan bilangan kami sebanyak pasir-pasir di padang pasir. Kubu tidak akan mampu menghalang kami, begitu juga sebarang tentera yang ada di muka bumi. Doa kau pada tuhan kau pun tidak akan mampu menghentikan kami. Kami tidak akan tersentuh pada tangisan dan teriakan.
Hanya yang merayu perlindungan kami sahaja yang akan selamat. Melawan dan kau akan menerima bala yang tidak tergambar seumur hidup kau. Kami akan bakar masjid-masjid kau lalu mendedahkan setiap kelemahan tuhan kau. Kami akan membunuh anak-anak, perempuan-perempuan dan orang tua serentak. Ketika ini, hanya kau sahaja yang berani mendongak melawan kami!” – Petikan Surat
Melihatkan surat yang dikirimkan oleh Hulagu Khan itu menghina agama, tuhan dan bangsanya sendiri, maka Qutuz pun membalas dengan membunuh utusan itu, lalu menayangkan kepala utusan Hulagu Khan di salah sebuah gerbang di Kaherah.
Pakatan Mengalahkan Monggol
Mungkin bantuan dari tuhan untuk Mamluk ketika berdepan dengan pasukan Monggol yang tidak terhentikan, Mongke Khan Agung meninggal dunia ketika ekpedisi meluaskan empayar ke China membuatkan Hulagu Khan dan beberapa orang panglima perang Monggol terpaksa pulang untuk pemilihan waris kepada Khan Agung yang baru. Lantas ditinggalkan 20 000 orang tentera Mongol untuk bersama dengan jeneral perang terhebat yang dimiliki oleh Hulaghu Khan, iaitu Naiman Kitbuqa Noyan.
Dalam masa yang sama, Qutuz yang dapat menyedari pola perubahan yang berlaku pada tentera Monggol terus mengumpulkan tentera-tentera Mamluk untuk memerangi Monggol. Sebelum itu juga, Qutuz turut membersihkan institut kepimpinan Mamluk yang sebelum ini penuh dengan korupsi. Antara ucapan yang dilafazkan oleh Qutuz ketika mahu membangkitkan semangat jihad di kalangan umat Islam yang sudah mula kehabisan motivasi untuk memerangi Monggol, serta menyedarkan pada bangsawan yang selama ini agak kecut perut dengan keberanian Qutuz.
“Wahai pimpinan muslimin! Kamu diberi gaji dari Baitul Mal sedangkan kamu tidak suka berperang. Aku akan pergi berperang. Sesiapa yang memilih untuk berjihad, temankan aku. Sesiapa yang tidak mahu berjihad, baliklah ke rumahnya. Allah akan memerhatikannya. Dosa kehormatan muslimin yang dicabuli akan ditanggung oleh orang yang tidak turut berjihad.”
Selepas ucapan tersebut lahir, maka lahir pula fatwa ketika itu di mana setiap orang termasuk para bangsawan untuk mengerahkan segala harta mereka untuk berjihad melawan Monggol.
Menyedari bahawa hampir seluruh kekuatan Mongol kali ini hilang, maka Mongol cuba mendapatkan bantuan musuh Islam iaitu tentera Salib yang berkampung di Acre. Pope Alexandre yang keempat melarang keras. Namun terdapat sebuah insiden di mana salah seorang orang besar dalam tentera Frank telah secara tak sengaja membunuh salah seorang tentera Monggol membuatkan Kitbuqa memecatnya.
Siapa tahu, dari peristiwa ini tentera Frank sebenarnya berdendam dengan Monggol. Dalam ketika itu, tentera Mamluk mula mara dari Mesir dan melalui wilayah Akka yang hampir dengan tempat pertempuran mereka. Mamluk telah menawarkan kerjasama dengan tentera Frank untuk sama-sama mengalahkan Monggol. Walaupun Frank dan Mamluk memang selalu bermusuh, dalam kali ini mereka telah menjalankan pakatan bersama.
Mamluk menawarkan mereka seandainya berjaya kalahkan Monggol, maka segala kuda-kuda Monggol yang memang dari baka terbaik akan dijual pada Frank. Dalam masa yang sama. Frank akan memberi laluan tanpa menghalang Mamluk mengalahkan Monggol, bahkan menyediakan kem berdekatan dengan Ain Jalut dan Akka untuk mengisi bekalan dalam peperangan.
Monggol Menemui Lawan Sebenar Mereka
Ain Jalut terletak di antara bandar Bisan dan Nablus. Lokasinya 65 kilometer dari lokasi Pertempuran Hittin dan 60 kilometer dari Pertempuran Yarmuk yang berlaku enam kurun sebelumnya. Kedudukannya banyak mengembalikan memori tentera Islam kepada kemenangan tentera Islam sebelum itu.
Dalam membincangkan mengenai Pertempuran Di Ain Jalut ini, izinkan saya sekali lagi untuk memetik beberapa petikan dari buku The Art Of War yang dikarang oleh Sun Tzu. Kita akan memerhati bagaimana aplikasi-aplikasi perang yang digariskan oleh Sun Tzu untuk jeneral-jeneral perang yang hidup selepas beliau digunakan sebaik mungkin oleh Qutuz untuk menghalau
1. “Perang adalah pertarungan persepsi. Ketika kau boleh menyerang, kau mesti kelihatan tidak mampu menyerang mereka. Sebaliknya, ketika kau tidak mampu menyerang, tunjukkan yang memang sangat berkemampuan untuk menyerang. Ketika kita dekat, buat musuh percaya kita jauh dari mereka. Ketika kita jauh, buat mereka percaya yang kita dekat. ” – Sun Tzu
2. “Kalau musuh kau adalah seorang yang agak panas baran, cari jalan untuk membuatkan dia rasa marah. Kalau kau sedang kuat, berpura-puralah menjadi lemah agar dia akan mula sombong.” – Sun Tzu
Anda sudah hadam dua pesanan Sun Tzu untuk jeneral perang dan bagaimana strategi di atas digunakan sebaik mungkin oleh Qutuz untuk menghancurkan bala tentera Monggol? Baik, mari kita mengembara ke detik 3 Disember 1260 (semalam ialah ulangtahun), ketika 20 000 ketumbukan tentera Monggol akan bertembung dengan 20 000 orang tentera Mamluk. Semuanya sama banyak, sama hebat. Namun kebijaksanaan akal akan menentukan siapa yang paling hebat.
Maka, seperti mana yang diperkatakan dalam buku Seni Peperangan, pada strategi nombor satu dan dua, maka Qutuz mahu tenteranya dilihat tidaklah sekuat dan sama kuat seperti tentera Monggol. Memandangkan Qutuz memahami bentuk muka bumi di tempat pertarungan menggunakan sebaik mungkin. Dia menyimpan separuh kekuatan tenteranya di kawasan tanah tinggi, sambil mengarahkan panglima tentera terkuatnya iaitu Baibars untuk memimpin separuh lagi pasukannya.
Jadi, dalam pertempuran ini, Qutuz cuba memberi gambaran kepada Kitbuqa bahawa separuh lagi ketumbukan Mamluk masih jauh daripada Qutuz padahal dia sedang bersembunyi, menunggu masa sahaja untuk membantai tentera Monggol. Inilah yang diajarkan oleh Sun Tzu dalam buku Seni Peperangan. Kalau kita dekat dengan musuh kita, yakinkan musuh kita bahawa kita jauh dari mereka.
Maka Baibar yang memimpin sebahagian daripada tentera Mamluk pun bertembung dengan gagah dengan 20 000 tentera Monggol. Maka terkejutlah Monggol tentera Mamluk yang terlihat sedikit itu mempunyai semangat juang yang tinggi dan mampu memberikan mereka tentangan. Tapi tak cukup dengan itu… Qutuz merencanakan strategi yang lain untuk menghancurkan Monggol.
Sebelum pertempuran lagi, Qutuz mengarahkan untuk membuatkan Kitbuqa untuk marah dan berang dengan temtera Mamluk lalu membuatkan panglima perang itu berfikir berpandukan emosi, bukan lagi akal. Lagipun Qutuz mengenali sifat azali panglima-panglima perang Monggol yang biasanya bengis. Maka diarahkan Baibar untuk melakukan taktik serang dan lari ke atas Monggol. Taktik ini diulang banyak kali oleh Baibar sampai satu ketika, Kitbuqa menjadi terlalu marah.
Maka ketika itu, Baibar akan memimpin tentera-tenteranya naik ke kawasan tanah tinggi di mana ketika itu, sebahagian daripada pasukan Qutuz sedang bersembunyi di sebalik pokok-pokok. Maka ketika tenterta Monggol sampai di tanah tinggi, maka barulah dia menyedari betapa sebenarnya Mamluk melindungi separuh tenteranya lagi. Ketika itu sudah terlambat. Stratgi yang pernah digariskan dalam buku Seni Peperangan tulisan Sun Tzu digunakan lagi. Sifat cepat marah yang dimiliki oleh panglima perang Monggol itu akhirnya memakan diri.
Maka tentera Mamluk pun mengepung tentera Monggol dari segenap arah. Namun, semua mengetahui bahawa tentera Monggol bukan calang-calang pasukan. Setiap tentera Monggol yang dikepung itu melawan seperti serigala. Mereka tdak mahu menyerah. Lantas mereka pun bertempur dengan titisan darah yang terakhir.
Pertempuran yang sepatutnya berpihak pada Mamluk akhirnya seperti bakal bertukar kepada pihak Monggol. Ketika melihat bahagian sayap kiri Monggol sudah hampir kalah dan Monggol mula mahu melarikan diri, Maka Qutuz pun merasakan perlunya dia berbuat sesuatu untuk menaikkan semangat seluruh tenteranya. Dibukanya helmet yang melindungi kepalanya supaya setiap anak-anak buahnya akan mengenali wajahnya. Lalu dengan wajah yang penuh bersemangat, Qutuz berteriak sekuat hatinya.
“Oh agama Islamku! Oh agama Islamku! Oh agama Islamku!”
Laungan daripada Qutuz itu seolah-olah menyedarkan setiap jiwa tentera Islam. Seolah-olah semangat baru lahir dalam tubuh mereka, akhirnya tentangan sengit daripada tentera Monggol itu dapat dipatahkan. Monggol akhirnya terpaksa berundur di Bisan, tetapi dapat dikejar oleh tentera Mamluk. Ketika itu, tentera Monggol cuba untuk mengumpulkan dan menyatukan sisa-sisa tentera Monggol namun dapat ditewaskan oleh tentera Mamlukl. Akhirnya, kemenangan di capai oleh pasukan tentera Mamluk yang merupakan menjadi benteng utama askar Islam.
Sejarah mencatatkan dalam pertempuran ini, hampir seluruh tentera Monggol dihabiskan termasuk panglima tentera terhebat milik Monggol yang bernama Kitbuqa. Dalam pertempuran ini juga, sejarah mencatatkan pengunaan pertama meriam tangan yang bernama Midfa dalam sejarah. Teknologi ini digunakan untuk menakutkan kuda-kuda Monggol.
-HE-
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih