Siapa yang tidak mengenali Dubai, metropolis abad ke-21 yang megah dengan Burj Khalifa, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia? Mungkin, tiada yang akan menyangkal jika Dubai disifatkan sebagai epitome kemajuan, lebih-lebih lagi apabila ia berjaya menggamit kunjungan 13 juta manusia setiap tahun sekali gus menjadikan lapangan terbangnya sebagai antara yang paling sibuk di dunia.
Bagaimanapun, ramai yang mungkin akan menggaru kepala jika Dubai secara khusus dan Emiriyah Arab Bersatu secara umum disinonimkan dengan tamadun-tamadun padang pasir. Iya, bandar metropolitan itu kaya dengan khazanah silam yang berkongsi kemegahan serupa sejak zaman-berzaman. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan nama-nama bandar purba yang pernah berdiri di bumi Dubai bersama secebis pemerihalan tentangnya.
TAMADUN MARJAN DAN BINAAN-BINAAN AWAL DI BUMI DUBAI
Lima ribu tahun dahulu, Pergunungan Hajar di bahagian timur Dubai menyaksikan berlakunya beberapa pembangunan yang mengubah dunia. Setelah sekian lama rantau tersebut menampung kelangsungan hidup masyarakat pengumpul-pemburu, kawasan berhampiran sempadan Oman moden kemudiannya menempa nama sebagai pembekal sumber tembaga yang langka. Perlahan-lahan, manusia di sana mula belajar cara melombong, mengesktrak, dan mengadunnya dengan timah bagi menghasilkan gangsa.
Pengeluaran gangsa ini secara efektif meletakkan Tamadun Magan sebagai pembekal utama dalam industri persenjataan dan peralatan di rantau Timur Tengah. Antara pembeli utama mereka adalah Ur dan Uruk, dua buah kota pertama yang muncul di Sumeria. Kehadiran teknologi gangsa membuatkan aktiviti pertanian berjalan dengan lebih efisien, sekali gus membajai benih ketamadunan di rantau tersebut.
Pada era mutakhir ini, pasukan arkeologis berjaya menemukan beberapa buah bangunan, makam, dan saluran air dari Tamadun Magan di sebuah tapak penyelidikan berkeluasan 50 ekar, Hili. Hili berlokasi di utara al-Ain, bandar ketiga terbesar di UAE dan merupakan satu-satunya bandar di negara tersebut yang menerima pengiktirafan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.
Antara peninggalan arkeologi yang paling menarik perhatian adalah sebuah makam berbentuk bulat yang berdiamater kira-kira 10 meter, dilengkapi gerbang yang diukir dengan imej dua ekor oryx. Binaan ini dianggap unik kerana bongkah-bongkah batunya dipotong dengan begitu sempurna, membuatkan ingatan kita melayang ke Machu Picchu binaan Tamadun Inca. Cuma, Machu Picchu dibina sekitar 500 tahun yang lalu sementara makam purba yang dijumpai di Hili ini pula berusia 4,700 tahun.
KOTA-KOTA ZAMAN BESI: MLEIHA, TELL ABRAQ DAN AD-DUR
Berganjak 2,000 tahun ke hadapan, teknologi besi mengambil-alih teknologi gangsa dan memperbaharui corak kehidupan di Semenanjung Arab. Salah sebuah lokasi penting yang mengeluarkan sumber besi di sana ialah Mleiha, bandar berkubu yang terletak di kawasan penghujung gurun, berhampiran al-Dhaid yang berjarak kira-kira sejam pemanduan dari Dubai.
Mleiha mengecapi zaman perdananya pada era Kristian dan ketika itu, ia berbangga sebagai salah sebuah petempatan terbesar di Timur Tengah – dengan keluasan satu batu, cukup untuk menempatkan ratusan buah rumah dan kilang logam. Kota tersebut dihuni selama kira-kira 500 tahun, bermula dari pertengahan Zaman Besi sehingga kurun pertama Masehi. Sewaktu ditinggalkan, tembok-tembok kota dibiarkan run-tuh dan dilitupi pepasir.
Hasil ekskavasi pada tempoh kebelakangan berjaya menjumpai dua buah kilang peleburan besi, masing-masing menghasilkan sen-jata dan matawang syiling. Kilang-kilang tersebut ditempatkan di dalam sebuah kubu dan dikelilingi oleh sejumlah rumah, mengisyaratkan betapa ramainya manusia yang hidup dan bekerja di sana.
Jongkong-jongkong besi dan produk-produk akhir lain kemudiannya diangkut dari Mleiha ke Tell Abraq dan Ad-Dur. Dai sana, ia seterusnya dinaikkan ke dalam kapal lalu mengharungi Teluk Parsi sebelum sampai ke tangan para pelanggan di Mesopotamia dan Levant.
Tell Abraq dan Ad-dur masing-masing mempunyai ciri tarikan sejarah yang tersendiri. Tell Abraq misalnya, dihuni selama dua ribu tahun dan merupakan tapak arkeologi yang aktif dikaji. Ad-Dur yang terletak berhampiran, tepatnya di pantai seberang Umm al-Quwain moden pula mempunyai keluasan sebesar 4 batu. Penyelidikan di sana lebih mudah, dengan bongkah-bongkah batu pada binaan rumah-rumah purbanya masih terpelihara dan tidak berusik.
JULFAR : HUB PERDAGANGAN ZAMAN PERTENGAHAN
Harimau ma-ti meninggalkan tangisan, manusia ma-ti meninggalkan nama. Kota lama takkan luput dek ingatan, kalau namanya diabadikan dalam tinta. Salah sebuah kota purba yang paling masyhur di Tanah Arab ialah Julfar. Walaupun jejak tinggalannya tidak pernah dijumpai kecuali pada tempoh terkini, sejarahwan meyakini kewujudannya dengan berlandaskan catatan-catatan yang dititipkan dari Zaman Pertengahan.
Julfar tersohor sebagai kampung halaman Ahmed ibn Majid si pelaut legenda dan juga Sindbad, watak fiksyen dari Alfun Laila wa Laila (Hikayat Seribu Satu Malam). Sebelum lenyap ditelan padang pasir, Julfar dipercayai berdiri selama seribu tahun sebagai sebuah kota pelabuhan yang mapan. Tidak keterlaluan, ada yang menamakannya sebagai hub perdagangan di rantau selatan Teluk Arab pada Zaman Pertengahan.
Menurut catatan sejarah, Julfar terletak di pantai utara Dubai. Lokasi sebenarnya berjaya ditemui pada 1960an, dengan petempatan-petempatan terawalnya didapati berusia dari kurun ke-6 Masehi. Sekitar waktu itu, para penghuninya sudah pun menjalankan aktiviti perdagangan jarak jauh, hingga ke India dan Timur Jauh.
Kurun ke-10 hingga ke-14 Masehi menandakan titik zenith buat Julfar, dengan pedagang-pedagangnya secara rutin melakukan perlayaran selama 18 bulan ke belahan timur dan barat dunia. Jauh sebelum pelayar Eropah mengenali Lautan Hindi dan Teluk Parsi, pedagang-pedagang Arab dari Julfar sudah pun berinteraksi dengan mereka, sambil membawa segala macam barang dagangan yang diimpikan manusia. Hampir seribu tahun lamanya, Julfar berdiri megah sebagai kota pelabuhan paling besar dan paling penting di rantau selatan Teluk Parsi.
Seiring dengan kedudukannya sebagai sebuah pusat komersial, kota Julfar sering menjadi sasaran beberapa buah negara seteru. Pada kurun ke-16 Masehi, Julfar yang ketika itu dihuni oleh kira-kira 70,000 penduduk ditak-luki oleh Portugis.
Sekurun kemudian, Parsi pula yang menguasainya sebelum ia jatuh ke tangan suku Qawasim dari Sharjah pada tahun 1750. Suku Qawasim kemudian menubuhkan sebuah entiti politik yang tersendiri di Ras al-Khaimah dan kekuasaannya masih bertahan sehingga ke hari ini. Apa yang luput hanyalah ingatan terhadap kota Julfar yang kian lama kian surut ditenggelami pepasir Dubai.
Padang pasir yang menyelimuti bumi Emiriyah Arab Bersatu umumnya masih menyimpan banyak khazanah arkeologi. Saban tahun, penemuan-penemuan signifikan berjaya dilakukan. Setiap satunya umpama serpihan kaca yang dahulunya bersepai dari sebentuk cermin utuh. Cermin yang bernama ‘sejarah silam Dubai’, yang perlahan-lahan cuba dicantumkan kembali.
TERJEMAHAN
David Millar. (25 Ogos 2015). The Lost Desert Cities of Dubai: The Hidden History. Ancient Origins.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih