Dalam artikel sebelum ini, kita semua tahu ramai pemimpin, ahli dan pensubahat Nazi melarikan diri melalui jalan tikus sekitar Eropah menuju ke Amerika Selatan. Dan ada sesetengah dari mereka sukar dikesan sehingga ke akhir hayat mereka. Jika ada sekalipun, pasti ada halangan sama ada daripada negara yang melindungi mereka atau organisasi yang mengupah mereka seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA). Namun ada juga yang dapat diheret ke muka pengadilan seperti Adolf Eichmann.

Lahir pada 19 Mac 1906 di Cologne, Jerman, keluarga Eichmann berpindah ke Austria selepas kematian ibunya. Pada zaman mudanya, Eichmann banyak menghabiskan masanya di Linz, Austria. Ironinya, Linz juga merupakan bandar kelahiran ketua parti Nazi, Adolf Hitler. Satu lagi ironi di sini ialah semasa kecil, beliau sentiasa dibuli oleh rakan-rakan sekelasnya dan mereka menggelarnya ‘Yahudi kecil’ kerana rupa dan warna kulitnya.

Selepas menyertai parti Nazi Austria pada 1932, beliau naik dengan pantas dalam struktur parti dan menjadi sebahagian daripada Schutzstaffen (SS) yang bertanggungjawab untuk urusan polis, perisikan dan penguatkuasaan dasar anti-Semitik Nazi Jerman. Pada tahun 1937, beliau melawat Mandate Palestin dan memberi cadangan kepada Britain akan kemungkinan imigrasi orang Yahudi ke Palestin. Cadangan tersebut tidak dilayan oleh Britain, sebaliknya mereka mengarahkan Eichmann untuk meninggalkan Palestin dengan segera. Pada tahun yang sama, beliau berhubung dengan ejen Haganah dan Yahudi Zionis, Feivel Polkes di Berlin untuk membincangkan kemungkinan pihak Nazi Jerman membekalkan senjata api kepada mereka dan isu imigrasi orang Yahudi ke Palestin. Selepas Austria diilhak oleh Jerman pada 1938, Eichmann dihantar ke Vienna untuk menghapuskan populasi orang Yahudi di situ. Ini dibuktikan dengan penubuhan pusat penghantaran orang Yahudi yang cekap. Setahun selepas itu, beliau dihantar ke Prague, Republik Czech untuk tujuan yang sama. Pada tahun yang sama, Eichmann turut dilantik dalam bahagian orang Yahudi untuk pejabat keselamatan pusat SS di Berlin.

Pada Januari 1942, Eichmann bertemu dengan kepimpinan tertinggi Nazi di Persidangan Wannsee berhampiran Berlin dengan tujuan merancang penyelesaian terakhir bagi masalah Yahudi seperti dinyatakan Menteri Udara, Hermann Goring. Hasil daripada persidangan tersebut, beliau cuba mencadangkan penghantaran populasi orang Yahudi ke Madagascar tetapi cadangan tersebut ditolak. Sebaliknya, pihak Nazi memutuskan untuk menghapuskan populasi Yahudi di Eropah dan Eichmann dilantik untuk mengatur pengenalan diri, penyusunan dan penghantaran jutaan orang Yahudi dari negara-negara Eropah yang dikawal Nazi Jerman ke kem-kem maut mereka. Di situ, mereka akan dibunuh melalui bilik gas atau dipaksa bekerja sehingga mati. Eichmann amat cekap dalam tugasnya dan berdasarkan statistik, antara tiga hingga empat juta orang Yahudi mati di kem-kem ini. Sementara dua juta lagi mati dibunuh di tempat lain.

Selepas Perang Dunia Kedua (WWII) berakhir, Eichmann berjaya ditahan tentera Amerika tetapi berjaya melarikan diri dari kem tahanan pada tahun 1946 sebelum dibicarakan di hadapan Tribunal Jenayah Perang Antarabangsa Nuremberg. Antara tahun tersebut hingga tahun 1950, beliau menggunakan pelbagai identiti palsu antara Eropah dan Timur Tengah. Ini termasuk pekerjaannya sebagai penasihat kepada kerajaan Mesir selepas dicadangkan rakan senegara, Otto Skorzeny. Pada tahun 1950, dengan bantuan Bishop Alois Hudal, Eichmann berjaya melarikan diri ke Argentina di bawah identiti baru iaitu Ricardo Klement. Keluarga Eichmann mengikutnya ke Argentina dua tahun kemudian.

Figure 1: Identiti baru Adolf Eichmann iaitu Ricardo Klement yang disediakan oleh Bishop Alois Hudal.

Bagi sesetengah penjenayah ini, mereka boleh saja bersembunyi dalam kalangan komuniti Jerman di negara tersebut seperti di Bariloche. Tapi bagi Eichmann, beliau mengambil keputusan bersembunyi dengan menyamar sebagai orang biasa. Dan kerjaya yang dipilih juga tidak menonjol iaitu sebagai formen di kilang Mercedes-Benz dan membina rumah keluarganya di 14 Garibaldi Street di Buenos Aires. Selepas 15 tahun kejatuhan Berlin dan menerima sepenuhnya kehidupan barunya, Eichmann boleh memaafkan dirinya jika merasakan dirinya selamat. Dan beliau juga mengupah seorang wartawan yang bersimpati dengannya untuk menulis memoir kehidupannya. Dan dalam satu temubual, Eichmann menyifatkan tindakannya menghantar lima juta orang Yahudi untuk mati merupakan satu kepuasan.

Tapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Pada satu hari, seorang individu yang terselamat dari Holocaust melaporkan kepada pihak perisikan Israel bahawa anak perempuannya keluar dengan seorang lelaki yang berbangga dengan masa silam Nazi bapanya. Lelaki itu sebenarnya anak kepada Eichmann atau identiti barunya, Klement. Berikutan itu, Mossad menghantar 12 ejen untuk memerhati dan pada akhirnya, menahan beliau. Alasan Israel berbuat demikian ialah kemungkinan pihak Argentina akan menolak usaha mengekstradisi Eichmann untuk dibicarakan atas jenayah kemanusiaan. Namun Perdana Menteri rejim, David Ben-Gurion masih belum yakin dengan kesahihan maklumat tersebut. Pada 21 Mac, ejen-ejen ini memerhatikan pergerakan beliau pulang ke rumah sambil membawa sejambak bunga untuk isterinya. Sementara anak-anak Eichmann berpakaian cantik untuk sambutan istimewa. Apabila ejen-ejen ini melihat fail beliau, mereka menyedari beliau berkahwin pada 21 Mac 1935. Dan itu saja sudah cukup untuk Ben-Gurion memberi kebenaran pada operasi tersebut.

Pada 11 Mei, mengambil kesempatan akan kehadiran ramai pelancong di negara tersebut sempena ulang tahun ke-150 revolusi Argentina, ejen-ejen ini menculik Eichmann dalam perjalanan pulangnya ke rumah. Apabila beliau tidak kembali ke rumah, keluarganya segera menghubungi hospital tetapi tidak pihak berkuasa untuk mengelak identitinya diketahui umum. Dalam perjalanan, salah seorang ejen terlibat, Rafi Eitan memeriksa calar dan bekas luka pada badan Klement dan mendapati sama dengan Eichmann. Apabila tiba di sebuah rumah selamat, Eichmann disoal-siasat berkenaan identitinya. Pada mulanya, beliau tidak mengaku siapa dirinya sebenar tetapi selepas ditanya buat kali ketiga, Eichmann berkata, “Nama saya Adolf Eichmann. Dan itu sememangnya nama saya.” Menurut Eitan, selepas menjawab soalan itu, beliau meminta segelas wain.

Israel segera melaksanakan pelan untuk membawa mereka keluar tanpa menarik perhatian pihak berkuasa Argentina. Sebuah pesawat penerbangan El Al yang membawa delegasi rasmi Israel dijadikan sebagai samaran untuk membawa sasaran bernilai tinggi ini ke Tel Aviv. Eichmann disenaraikan sebagai kakitangan El Al yang kurang sihat dengan diberi pakaian uniform El Al dan diberi dadah sepanjang masa dalam kabin kelas pertama. Penerbangan tersebut menuju ke Dakar, Senegal sebelum menuju ke Tel Aviv. Identiti beliau disediakan oleh seorang bekas kakitangan El Al, Luba Volk atas permintaan syarikat tersebut. Volk langsung tidak tahu identiti Eichmann sehinggalah berita penahanannya diumumkan oleh Ben-Gurion di Knesset pada 23 Mei. Selepas berita tersebut tersebar, Volk terpaksa kembali ke Israel namun tetap berbangga kerana dapat membantu membawa penjenayah perang ini ke muka pengadilan.

Figure 2: Eichmann menghadapi 15 tuduhan jenayah termasuk jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.

Berang dengan tindakan rejim, Argentina mendesak Israel memulangkan Eichmann tetapi ditolak atas alasan beliau ialah penjenayah perang yang patut dibicarakan. Setahun kemudian, pada 11 April, Eichmann dibicarakan di Baitulmaqdis dan perbicaraan beliau ialah perbicaraan pertama yang disiarkan di kaca televisyen. Eichmann menghadapi 15 tuduhan jenayah termasuk jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan jenayah terhadap orang Yahudi. Semasa perbicaraan, beliau cuba berhujah hanya mengikut arahan kepimpinan tertinggi Nazi tetapi hakim tidak bersetuju dengan hujah pembelaannya. Hakim memutuskan Eichmann bersalah atas semua pertuduhan dan dihukum mati. Pada 31 Mei 1962, beliau dihukum gantung sampai mati berhampiran Tel Aviv dan mayatnya dibakar. Abunya kemudian ditabur di perairan antarabangsa, di luar perairan Israel. Berdasarkan rekod, Eichmann merupakan satu-satunya penjenayah perang Nazi yang dihukum mati dalam sejarah Israel.

SUMBER

1. Sherwood, Harriet. (2012). The Guardian. Adolf Eichmann’s capture, as told by the Mossad, in Israel exhibition.
2. Fraser, Giles. (2016). The Guardian. Why Adolf Eichmann’s final message remains so profoundly unsettling.
3. AFP. (2016). The Guardian. Eichmann claimed he was ‘a mere instrument’ in Holocaust, appeal reveals.
4. Jackson, Andy. (2017). BT News. May 20, 1960: Captured Nazi Adolf Eichmann is smuggled out of Argentina by Israeli agents.
5. History.com. This Day in History: Eichmann captured.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply