Nabi Muhammad SAW bukanlah seorang yang miskin, malahan baginda merupakan individu yang berjaya di dalam perniagaannya sebelum baginda diangkat menjadi nabi dan rasul. Kita sedia maklum bahawa sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi rasul, baginda telah pun mengikuti bapa saudara baginda iaitu Abu Talib berdagang ke Syam. Baginda pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan pernah membantu Saidatina Khadijah keluar berdagang.
Maka, sudah pastilah baginda akan memperoleh hasil daripada pekerjaan yang telah dilakukan tersebut. Justeru, baginda pernah berkahwin dengan Saidatina Khadijah, seorang usahawan yang terkenal dan kaya di zaman Jahiliah dahulu. Semasa Nabi Muhammad SAW berkahwin dengan Saidaina Khadijah, baginda memberikan mahar yang agak besar nilainya iaitu sebanyak 20 ekor unta. Namun, setelah baginda mendapat wahyu, baginda menginfakkan hartanya pula untuk dakwah fi sabilillah. Lalu, apakah kemudiannya beliau jatuh miskin?
Umar al-Khattab pernah mengambarkan bahawa Rasulullah SAW memiliki tiga ladang hasil daripada ghanimah perang. Dari salah satu ladang tersebut, hasilnya baginda membahagikannya kepada tiga bahagian. Antaranya, dua pertiga dibahagikan untuk masyarakat dan sepertiga lagi sebagai nafkah kepada isteri-isteri baginda. Oleh itu, setiap tahun isteri-isteri nabi akan mendapat hasil-hasil yang dikeluarkan daripada gandum dan kurma.
Sheikh Safiur Rahman Mubarakpuri di dalam kitabnya, Ar-Raheeq al-Makhtum menyebutkan bahawa ketika menjelang kewafatan baginda SAW, Rasulullah menyedekahkan harta-hartanya, antaranya baginda membebaskan hamba-hamba yang baginda miliki, bersedekah dengan tujuh dinar dan menghadiahkan senjata-senjata beliau kepada kaum muslimin.
Namun, miskin Rasulullah tidak menjatuhkan martabatnya sebagai seorang Nabi dan Rasul. Justeru, tidak dapat dinafikan juga bahawa baginda pernah menghadapi krisis-krisis ekonomi di dalam kehidupannya. Baginda pernah diuji semasa di awal baginda berdakwah secara terang-terangan. Keluarga dan pengikut baginda dipulau oleh penduduk Mekah dan harta-benda baginda juga turut dirampas oleh pembesar Mekah pada ketika itu. Hal ini menyebabkan kesusahan baginda untuk mendapatkan makanan dan menyebabkan terhalangnya urusan jual beli antara baginda dan penduduk Mekah.
Selain itu, terdapat banyak hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat dan isteri-isteri baginda yang membicarakan tentang kehidupan baginda yang sedang mengalami kesusahan kondisi terbatasnya ekonomi baginda. Antara hadith yang menceritakan kesusahan hidup baginda ialah yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, ia berkata, “Tidak pernah keluarga Rasulullah kenyang dengan makanan dari gandum halus selama 3 hari berturut-turut, sejak baginda tiba di Madinah hingga baginda wafat”. (HR Al-Bukhari dan Muslim). Hadith lain juga yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, “Sesungguhnya kami, keluarga Rasulullah pernah selama sebulan tidak menyalakan api (tidak memasak apa pun), (kami hanya makan) kurma dan air.” (HR Muslim dan At Tirmidzi).
Umar al-Khattab juga pernah menangis kerana melihat keadaan Rasulullah. Saat itu beliau melihat Rasulullah tengah berbaring di atas tikar yang tidak beralas. Bantalnya pula kelihatan keras kerana dibuat daripada kulit kambing yang diisi sabut. Umar al-Khattab berkata, “Aku melihat guratan anyaman tikar di sisi perut baginda, maka aku pun menangis.”, melihat Umar menangis, Rasulullah pun bertanya, “Apa yang menyebabkanmu menangis, ya Umar?”. Umar pun menjawab, “ Ya Rasulullah, kaisar kisra dalam keadaan mereka (selalu berada di dalam kemewahan harta), padahal engkau adalah utusan Allah.” Namun Rasulullah menjawab, “Apakah engkau tidak senang bahawa dunia ini bagi mereka dan akhirat untuk kita?”. (HR Al-Bukhari dan Muslim).
Selain hadith di atas, masih banyak hadith lain yang mengabarkan tentang keadaan ekonomi baginda yang serba susah. Sudah menjadi sunnatullah bagi para nabi dan rasul apabila ditimpa ujian dan rintangan, akan membuatkan mereka lebih patuh dan tunduk kepada-Nya.
Daripada berbagai-bagai riwayat yang menceritakan tentang kondisi kehidupan baginda, dapat disimpulkan bahawa Rasulullah pernah mengalami masa senang baginda di dalam hidupnya dan baginda juga pernah mengalami masa susah apabila menghadapi kesulitan ekonomi. Semasa baginda menjadi ketua negara di Madinah, sudah pasti baginda menerima pelbagai hasil yang dapat menampung kehidupan baginda.
Pelbagai hadiah, ghanimah dan hasil daripada perbendaharaan negara dapat diperolehi dan menjadikan baginda jauh dari kesulitan. Boleh sahaja baginda mahu hidup bermewah-mewahan dengan bermacam-macam nikmat yang baginda kecapi.
Walau bagaimanapun, Rasulullah merupakan seorang yang merendah diri dan bersifat qanaah. Gaya hidup baginda juga tidak pernah berubah baik apabila baginda kaya mahupun apabila baginda miskin. Sifat qanaah inilah yang menjadikan baginda selalu hidup bersederhana.
Biarpun baginda mempunyai banyak harta, tetapi baginda tetap memilih untuk hidup secara zuhud. Harta yang baginda miliki hanyalah untuk jalan Allah. Wafatnya Nabi tidak meninggalkan sebarang dinar atau dirham kerana baginda tidak mahu hartanya di dunia ini menjadi asbab kepada kesusahan di akhirat kelak. Yang baginda tinggalkan hanyalah al-Quran dan juga Sunnahnya yang mampu membimbing umatnya menuju redha Allah.
اللهم صل على سيّدنا محمد، وعلى ال سيّدنا محمد
RUJUKAN:
Al-Raheeq al-Makhtum, Safiur Rahman Mubarakpuri
https://muslimahdaily.com/story/nabi-rasul/item/2097-bagaimanakah-kehidupan-rasulullah,-kaya-atau-miskin.html
Artikel dikirimkan oleh Muhammad Farhan bin Ishak Mahasiswa Tahun 3, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya untuk The Patriots.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih