Jadi baru baru ni saya ada baca post tentang kesatuan atheist di Malaysia. Seperti biasa, saya akan baca komen para netizen berkenaan hal tersebut.

Keputusan yang sangat tak bijak.

Setelah beberapa hari stress, akhirnya saya kembali ke permukaan Facebook untuk melihat komen para pendokong atheisme.

Sekali lagi, tak bijak. Walau bagaimanapun, tahap kansernya tak seteruk komen netizen biasa.

“Admin ni atheist ke nak sokong depa?”

Tak, saya bukan seorang atheist. Saya adalah bekas pemikir agnostik. Sama juga seperti admin Ayman Rasydan Wong dan Helmi Effendy. Mereka juga merupakan bekas agnostik.

“Agnostik ni binatang apa?”

Sebelum saya bercerita tentang agnostisisme, saya fikir lebih elok kalau saya sentuh dahulu fakta ringkas berkenaan atheisme. Memandangkan saya tak suka buat kerja dua kali dan agak pemalas orangnya, saya akan sertakan sekali dialog dan cerita dalam novel falsafah saya yang tengah diedit, Perumpamaan Aki.

Perkataan ‘atheist’ berasal daripada perkataan ‘atheos’ yang bermaksud “tiada Tuhan, menolak sifat atau entiti Ketuhanan”. Pada zaman tamadun purba dulu, golongan atheist ni tak wujud sebab limitasi teknologi tak mampu untuk terangkan perkara aneh dan oleh itu kepercayaan pagan wujud untuk menggantikan ruang kosong tersebut.

Walau bagaimanapun, persoalan skeptik tentang Tuhan telah pun wujud sejak zaman Greek Purba. Sebagai contoh, Aristophanes, sahabat Socrates pernah menulis satira berkenaan Socrates dan rakan-rakannya dalam karya The Clouds. Berikut adalah dialog satira berkenaan dalam olahan Perumpamaan Aki:

“Zeus itu, Zeus ini, Zeus itu bukan Tuhan!” tegas Socrates.

“Jenaka apakah? Apakah Zeus itu sudah mati? Mengapa kau menidakkan ketuhanan Zeus?”

“Zeus? Apa benda tu? Zeus tidak mati, bahkan dia tidak wujud!”

Strepsiades semakin paranoid

“Habis, atas hujah apa yang membenarkan kau berkata begitu? Siapakah yang menciptakan hujan? Haa, jawab, jawab!” tengking Strepsiades.

Socrates semakin berang

“Oh, kamu nak bukti? Aku akan buktikan. Adakah kamu pernah melihat hujan tanpa awan? Mampukah Zeus menyebabkan hujan tanpa awan yang mendung?”

“….Bila aku fikir balik, ada logiknya hujah engkau.”

“Habis, selama ini kau ingat apa?” tanya Socrates.

Situasi mula menjadi tenang.

“Menurut aku, aku selalu membayangkan hujan ialah kencing Zeus dari langit..”

Socrates tergelak kecil. Muka Strepsiades mula kemerah-merahan menahan malu.

“Diam! Sekarang, kau bagitahu aku, siapa yang membuatkan guruh halilintar, yang aku sangat takutkan?” tanya Strepsiades kembali.

“Ini berlaku ketika awan berlanggar sesama sendiri. Bukankah kamu pernah lihat kerbau apabila bergaduh, bunyinya bingit? Umpama batu dihentak batu!”

“Aku masih tak puas hati. Aku mahu jawapan yang lebih mendalam.”

“Begini, pernahkah kau lihat lohong dan saluran air pancut di sekitar Vesevius?

“Ya, aku pernah,” Strepsiades mengiakan.

“Apabila tiba masanya, wap air akan keluar melalui lohong itu. Ia hanyalah wap, tapi berkepul-kepul dan bunyinya nyaring. Bukankan serupa dengan awan-awan mendung yang berarak hitam dan berdentum guruh?”

“Tetapi, yang menggerakkan awan itu bukankah Zeus?”

“Tidak, itu ialah tiupan angin di langit, seperti asap unggun api yang ditiup bayu.”

“Itu tiupan angin? Ya, itu agak masuk akal! Aku terlupa akan wujudnya angin. Ini bermakna, Zeus tak terlibat dengan perkara ini. Oleh itu, dia tidak wujud.”

Strepsieades menggaru kepalanya.

“…Tapi aku masih tak faham. Bagaimana petir berlaku?”

“Kau masih tak faham lagikah? Bukankah sudah kukatakan, awan ketika penuh isinya dengan hujan, berlanggar degan awan mendung yang lain. Melalui itu, tekanan wapnya meningkat dan meletup, dan petir muncul dan berdentum, meledak dengan suara yang pekik,” hujah Socrates.

“Bolehkah aku terima alasanmu ini?”

Socrates menuding jarinya ke perut Stresiades dan berkata, “Kau boleh lihat pada dirimu sendiri. Sewaktu kau kenyang dengan makanan, ada kalanya perutmu sakit. Terasa seperti angin ribut mengamuk di perutmu. Lantas, perutmu memulas dan meletup dengan gema luar biasa kentutmu yang tak putus.”

“Ya, ya! Demi Hera, aku pernah merasai keperitan itu. Makanan di perutku menyebabkan ia bergendang dan akhirnya keluar dengan letupan angin. Pada mulanya, angin itu berbunyi halus seperti ‘Prapap, prapap!’ Selepas itu bunyinya makin kuat, ‘Prapapapap!’ dan ketika aku hendak melabur, kau tahu apa bunyinya? ‘PRAPAPAPAPAPAPAPPRAAAAP!’ serupa halilintar berdentum!” ulas Strepsiades dengan semangat.

Plato dalam penulisannya juga menyebut Socrates banyak mempersoalkan agama pagan Yunani kerana mengarut baginya. Namun, ini tak lah menjadikan Socrates seorang atheist. Dia mempercayai kewujudan Tuhan yang satu. Oleh sebab inilah falsafah Socrates-Plato-Aristotle senang disintesiskan dengan agama Islam sewaktu Zaman Keemasan.

Persoalan seterusnya diutarakan oleh Epicurus. Buat mereka yang mengikuti segmen falsafah anime, barangkali mereka sudah lali dengan Paradoks Epicurus sebab sejak dua menjak ni saya banyak tulis tentang falsafah atheisme dalam anime seperti ERASED, Youjo Senki dan yang bakal dikeluarkan, Berserk. Buat mereka yang tak tahu, saya rasa saya patut huraikan kembali berkenaan paradoks yang telah menghantui dunia falsafah ni lebih DUA RIBU TAHUN.

“Adakah Tuhan berniat untuk menghalang kejahatan, tapi tak mampu? Maknanya Dia maha lemah. Adakah Tuhan mampu, tapi tak mahu halang? Maknanya Dia maha zalim. Adakah Dia mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa ada kejahatan? Adakah dia tidak mampu untuk berniat dan menghalang? Jadi, mengapa panggil-Nya Tuhan?”- ‘Paradoks Epicurus’

Gambar 1: Patung batu Epicurus

Semakin banyak kali anda membaca ayat paradoks ini, saya berani jamin semakin berbelit otak anda akan jadi. Secara esennya, paradoks Epicurus membicarakan tentang permasalahan Kehendak Bebas-Takdir yang juga masih membelenggu masyarakat dunia. Inilah apa yang kita panggil sebagai teodisi. Permasalahan kejahatan. Saya sertakan paradoks Epicurus versi Perumpamaan Aki:

Sekitar 50 tahun yang lalu, sebuah kes jenayah ketenteraan telah menggegarkan seluruh dunia. Segerombolan tentera telah menyerbu sebuah rumah. Jenayah yang dilakukan? Tidak pasti sekiranya patut diceritakan kerana kisahnya meloyakan.

Diceritakan keluarga di rumah itu telah dipanggil keluar. Si isteri ditarik keluar dan dirogol beramai-ramai oleh tentera-terntera tersebut. Si ayah pula telah dipaksa utuk merogol anak kecilnya. Setelah itu, anak kecil itu ditikam bertubi-tubi sambil diperhatikan oleh ibu bapanya yang telah dipasung ke tiang. Meronta-rontalah pasangan malang itu tatkala melihat kekejaman tersebut. Pasangan malang itu akhirnya dibom hidup-hidup. Kejadian ini telah didokumentasi di rantau Eropah. Persoalan di sini ialah apa yang telah dilakukan keluarga itu sehingga dapat takdir yang sebegitu teruk? Di mana Tuhan waktu kekejaman yang sangat dahsyat berlaku?

“Mengikut logik manusia, kekejaman sebegini mampu dihalang oleh Tuhan yang Maha Kuasa tanpa hilang sebarang nilai kebaikan mahupun keburukan. Walau bagaimanapun, Tuhan tak menghalangnya sekaligus memberi maksud Tuhan taklah berkuasa seperti yang disangka. Konklusinya, entiti yang Maha Baik, yang Maha Kuasa seperti Tuhan, tak wujud,” kata Tham.

Tham sambung kembali, “Kalau kau tak faham lagi, nah aku bagi premis yang kontradik berkenaan permasalahan kejahatan.”

1) Tuhan itu Maha Kuasa, sumber kebaikan mutlak

2) Kejahatan dan kesengsaraan wujud di dunia

3) Secara logiknya, Tuhan mampu menciptakan dunia yang sempurna

4) Secara logiknya, Tuhan mampu menciptakan dunia yang sempurna hanya jika Tuhan berupaya serta mahukannya.

5) Secara logiknya, Tuhan menciptakan dunia yang sempurna

6) Jika premis 1 betul, maknanya 2 dan 5 itu betul, tapi bukan kedua-duanya betul (hanya salah satu). Ini ialah premis-premis yang kontradik, bermakna 1 tak betul.

“ Premis 2 dan 5 tak boleh terjadi dengan serentak. Mana mungkin dunia ini sempurna kalau kejahatan masih wujud? Bukankah kebaikan yang mutlak ialah apabila semua orang bahagia?” ujar Tham kepada Teh.

Persoalan Tham itu sudah berlegar berhari-hari di minda Teh. Adakah betul dunia ini memang tak adil?

Seperti yang saya sudah ceritakan sebelum ini, peristiwa penceraian ibu bapa saya telah membangkitkan persoalan ini kepada saya semasa berumur 12 tahun (dan saya tak pernah tahu pun tentang paradoks Epicurus waktu tersebut). Saya yakin saya ni budak baik, saya ikut cakap ibu bapa saya, dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaaan, tapi kenapa mereka tetap bercerai? Saya ada buat salah apa-apakah? Kalau betul Tuhan itu berkuasa dan adil, kenapa Dia tetapkan takdir ini? Adakah Tuhan itu lemah? Kalau bukan lemah, maknanya Dia berkuasa tapi tak mahu halang kejadian tersebut daripada berlaku. Bukankah itu bermakna Tuhan itu zalim? Apakah saya masih perlukan Tuhan?

Kalau anda katakan kejahatan berlaku sebagai ujian, adakah adil bagi kaum wanita China yang tak bersalah dirogol dan dibunuh beramai-ramai oleh tentera Jepun dalam kes Rogol Nanking? Bagaimana pula dengan Unit 731 Jepun? Genosid Joseph Mengele terhadap kaum Yahudi? Dibakar hidup-hidup, pembedahan organ tanpa bius, dijadikan patung ujian senjata api dan letupan? Adakah adil? Di mana Tuhan? Adilkah Tuhan? Apakah betul justifikasi tersebut, ataupun falasi?

Saya yakin atheist yang betul-betul atheist akan bermula dari sini. Kalau anda terjumpa atheist yang menolak kewujudan Tuhan sebab agama mencetuskan kejahatan, yang itu anda boleh hempuk kepala mereka dengan buku. Itu bangang nombor 1. Kalau anda jumpa theist, sang percaya Tuhan, yang kata atheist ni penyembah syaitan, buat korban darah, dan hanya boleh dirawat dengan didikan agama, haa yang ni pun anda boleh hempuk kepala mereka dengan buku. Bangang nombor 2.

Kedua-duanya bangang. Falsafah atheisme adalah lebih rumit dan mendalam berbanding apa yang anda fikirkan. Artikel saya ini pun saya rasa anda dah terbijat-bijat nak baca. Kalau anda nak melawan atheisme, guna falsafah. Kalau anda guna ayat “Tuhan ada la kat atas sana”, itu tak membantu sebab golongan atheist hanya percaya perkara yang dapat dibuktikan secara fizikal sahaja. Jangan bawa masuk hal metafizik yang tak mampu diterangkan dengan alatan sains.

Pada zaman Pencerahan, idea-idea falsafah Ketuhanan mula bercambah dengan pesat. Tokoh seperti Baruch Spinoza telah memperkenalkan falsafah Pantheisme. Menurut beliau, Tuhan itu alam dan alam itu Tuhan. Kedua-duanya berasal daripada satu bahan yang infiniti. Memandangkan Tuhan setaraf dengan alam, maka Tuhan tidak mempunyai sebarang tanggungjawab dalam hal kesan dan akibat. Tindakan kita, pergerakan alam dan Tuhan itu semua sama kerana mengikut sifat bahan yang infiniti. Pegangan ini membawa kepada fahaman Deisme yakni Tuhan itu wujud, tapi kerana alam ini sudah lengkap, maka Dia tidak lagi bertanggungjawab ke atas alam. Tugas tersebut jatuh kepada kita.

Pada zaman tersebut jugalah, falsafah Empirisisme menjadi dominan. Falsafah ini meletakkan kebenaran sebagai sesuatu yang diselidik melalui alatan dan instrumen sains sahaja. Ini bermakna, kebenaran dan realiti itu hanyalah mampu dicerap dengan kaedah saintifik. Oleh itu, entiti seperti Tuhan, malaikat, syaitan dan perkara ghaib lain adalah pseudosains. Benda yang tak saintifik dan menipu. Tokoh empirisisme seperti David Hume mengatakan konsep metafizik yang tak mampu dicerap itu sebagai ilusi dan andaian semata-mata. Kita ambil contoh pengunaan rasionalisasi pisau cukur Occam terhadap realiti:

>Mak Ali sakit sebab dia tersepak busut lepas tu kena sakat hantu

Memandangkan ayat di atas ini mengarut, maka pisau cukur Occam digunakan untuk membuang fakta yang mengarut dan pseudosains:

>Mak Ali sakit sebab dia tersepak busut.

Kenapa?

>>Mak Ali minum air tercemar sebelum tersepak busut

Hal yang sama kita boleh guna dalam menerangkan kekarutan agama menurut atheist:

>Ali ditimpa kemalangan kerana dia tak solat subuh

Kepada

>Ali ditimpa kemalangan.

>>Ali tak servis kereta dan ditimpa kemalangan.

“Nampak tak? Semuanya dalam bentuk fizikal, bukan mental. Oleh itu, diri kita hanya terikat pada konsep fizikal. Kau dengar tak, Teh!” Tham menjerit di akhir katanya.

“Ya, aku dengar! Aku tak pekak..tapi itu tetap tak bermakna roh itu tidak wujud!” Teh membalas kata-kata Tham.

“Kau gilakah? Kau nak suruh aku percaya dengan benda yang engkau sendiri tak mampu buktikan. Aku, Tham, ahli skuad elit Yang Mulia Dapunta Nazeni ini sesungguhnya beriman pada pada konsep argumentum ad ignorantiam!” ucap Tham dengan bangga.

“Argumentum ad..apa? Apa benda tu?” soal Rekrut.

“Argumentum ad ignorantiam. Takkan budak buku kita tak tahu tentang frasa ini?” tanya Tham kembali.

Rekrut menggeleng kepala. Dia memang tak tahu tentang frasa tersebut sekalipun dia pernah belajar bahasa Latin.

“Ia bermaksud kalau benda atau premis tu kamu tak boleh buktikan, maka premis tersebut adalah salah. Macam roh, kamu tak boleh buktikan kewujudan roh. Oleh itu, argumen kamu salah sekali. Kepercayaan terhadap sesuatu yang tak wujud itu seperti kamu percaya ada atuk tua di atas langit sana tu wujud, padahal tak wujud pun.”

“Tapi admin, Islam kan agama saintifik. Kau tak baca ke pasal penemuan sains dalam al-Quran tu?”

Untuk kali ke beberapa ratus entah, JANGAN SESEKALI MENSAINTIFIKKAN AL QURAN. Al-Quran bukanlah kitab sains. Al-Quran ialah kitab wahyu. Sains sentiasa berubah, tapi wahyu itu tetap. Fahaman ini kita panggil sebagai Buccealisme dan ia berbahaya. Anda kata al-Quran ada sebut tentang Big Bang maknanya al-Quran itu betul. Macam mana kalau tiba-tiba para saintis mengatakan Big Bang tu sudah terbukti tak betul, takkan nak kata al-Quran tu tak betul, kan? Anda akan membuka lebih banyak pintu fitnah berbanding gerbang kebenaran. Al-Quran is not a book of science, but a book of signs. Datangnya menjadi panduan kepada masyarakat dalam kehidupan.

Ok, saya sambung balik. Pada abad ke-19, fahaman atheisme menjadi semakin dominan dek kesan limpahan Revolusi Perancis tahun 1789 yang membawa falsafah atheistik ke arus politik. Tokoh ekonomi politik Karl Marx mengatakan agama menyebabkan masyarakat senang dieksploitasi sang penindas dek kedudukan agama sebagai candu masyarakat. Sebagai contoh, apabila msayarakat itu ditindas, mereka bertindak dengan berdoa mengharap pembalasan di akhirat berbanding melawan kembali.

Perkara yang sama diutarakan oleh tokoh falsafah Eksistensialisme Nietzsche melalui ayat yang terkenal, “God is dead”. Beliau mengatakan nilai-nilai lama dalam agama menghalang masyarakat daripada menjadi progressif, lalu menyebabkan mereka hidup terkongkong sampai mati. Oleh itu, adalah releven bagi masyarakat untuk menganggap Tuhan telah mati dan seterusnya membentuk nilai-nilai baru yang bebas daripada nilai-nilai purba yang lapuk.

Sebagai contoh, homoseksualiti. Perlakuan homosekual itu sebenarnya normal dalam kalangan haiwan seperti monyet bonobo dan juga kambing ternakan. Dalam sesetengah kes, kelakuan ini terjadi kerana untuk mengawal populasi yang tak seimbang seperti kambing. Mengikut agama, homoseksualiti itu dilarang. Namun, kalau kita buang agama dan guna nilai prinsip yang kita cipta sendiri, bebas daripada pengaruh agama, anda akan perasan bahawa anda tak mempunyai apa –apa sebab untuk membantah homoseksualiti. Nampak tak apa maksud saya di sini?

 

Gambar Friederich Nietzsche

Pemikiran Nietzsche ini dibawa ke abad seterusnya dan mencetuskan zaman Pasca Moden. Tokoh eksistensialisme Albert Camus mengatakan alam ini terlalu aneh, maka kita tak perlu nak serius sangat dengan semua benda. Apa yang kita boleh buat adalah hidup dan nikmati dunia dengan biasa berpandukan nilai kita. Falsafah ini dikira sebagai eksistensialisme agnostik di mana hal tentang Tuhan ni wujud atau tidak tak penting dan tak mampu untuk diketahui oleh sesiapa pun. Falsafah ini sebenarnya telah wujud lebih lama berbanding atheisme kerana agama seperti Buddhisme adalah agama agnostik. Ajarannya tak mementingkan hal Ketuhanan.

Apa yang penting adalah macam mana manusia nak selamat daripada kesengsaraan. Begitu juga dengan sesetengah ajaran Jainisme dan Hinduisme. Falsafah Eksistensialisme Atheistik-Agnostik ini tujuannya bukanlah untuk menolak kewujudan Tuhan, tapi untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa segala permasalahan di dunia ini akan dapat difahami kita dengan lebih rasional dan logik kalau kita tak masukkan Tuhan. To make more sense of things.

Kemuncak kepada dominasi fahaman atheisme adalah semasa Kesatuan Soviet menjadi kuasa dunia. Adalah dimaklumkan fahaman komunis itu radikal, maka fahaman atheistik itu dipaksa ke atas masyarakat mereka. Golongan theist telah ditindas dan diperangi oleh komuniti komunis atheist yang memegang tampuk pemerintahan negara. Masjid dan gereja dimusnahkan. Penganutnya dicampak ke kem buruh paksa gulag. Oleh sebab itulah sampai sekarang, negara-negara bekas dan masih komunis mempunyai komuniti atheist yang sangat ramai.

 

Gambar 3: Poster propaganda Perancangan 5 Tahun pada zaman Joseph Stalin. Di bawahnya ialah Tuhan-Tuhan agama Ibrahim.

 

Setelah blok komunis runtuh, penganut-penganut agama yang ditindas kembali menganut agama secara terang-terangan. Di bawah pengaruh liberalisme yang dibawa Eropah Barat dan Amerika Syarikat, hak manusia dijaga. Oleh itu, manusia bebas untuk menganut atau tidak menganut agama selagi tak mengganggu keamanan. Perkara ini dikenali sebagai hak kebebasan beragama dan hak kebebasan bersuara.

Demikian itulah sejarah fahaman atheisme secara ringkas. Sebenarnya banyak lagi input yang boleh dimasukkan tapi artikel ini pun sudah meleret kepada lebih 2700 patah perkataan. Secara konklusinya, fahaman atheisme itu mendalam dan kalau anda nak melawan falsafah ini, guna medium falsafah juga. Guna akal bukan guna kepala lutut terus isytihar perang bagai. Kali terakhir saya baca journal demografik rakyat Malaysia, yang menjadi hakim cuma beberapa puluh orang sahaja. Bukan 27 juta orang. Apa anda ingat rakyat hakim negara ke apa? Sejak bila anda ada hak untuk jatuhkan hukuman? Biarkan tanggungjawab tu kepada hakim-hakim kita.

Anda nak lawan golongan atheist? Silakan. Hadamkan sifat 20. Banyakkan belajar tentang ilmu kalam. Haa yang atheist nak debat dengan penganut agama? Silakan tapi jangan bawa hujah mengarut macam Islam itu agama pengganas. Jangan buat malu kaum sendiri. Ekstremisme dalam kalangan ultra fundamentalis penganut agama dan atheist radikal adalah tak diperlukan di sini. Kalau anda tanya saya berdiri di pihak mana, saya akan katakan saya ini neutral. Saya merupakan seorang Muslim ASWJA tapi pada masa yang sama, saya memahami hati dan minda golongan atheist. Menjadi hipokrit adalah benda terakhir yang saya mahu buat.

Saya tamatkan artikel ini dengan hujah seorang watak dalam novel Perumpamaan Aki saya berkenaan permasalahan atheisme-theisme:

“Kalau pakcik berikan hujah ini pada orang yang tak percayakan Tuhan, saya tak rasa dia akan percaya.” Teh tak yakin dengan jawapan Aki.

“Tak percayakan Tuhan? Pfft. Macam mana dia boleh katakan begitu kalau ilmu dia pun setakat bayi baru nak merangkak? Untuk mengatakan Tuhan tak wujud, kamu perlukan Pengetahuan Mutlak. Pengetahuan kita pun setakat ini hanya terbatas pada 3 dimensi sahaja, sedangkan Pengetahuan Mutlak merangkumi pelbagai dimensi, termasuk 4 dimensi dan ke atas! Kalau dia ada Pengetahuan Mutlak, maka dia berhak untuk mengatakan Tuhan tak wujud, sebab dialah Tuhan itu! Bagi makhluk yang tak mempunyai Pengetahuan Mutlak untuk mempercayai kewujudan Tuhan, apa yang diperlukan hanyalah pengalaman atau kefahaman tentang penciptaan alam. Kesimpulannya, hanya dua jenis manusia sahaja yang wujud. Orang yang beriman dan agnostik. Fahaman atheisme itu mengarut,” hujah Aki dengan sinis


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alkisah diceritakan tentang pemuda, yang berdua tiadalah bertiga, yang berjasad dan bertumbuh, juga mempunyai sahabat dalam tubuh. Sebagai seorang pelajar Bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan, Ammar dan sahabatnya, A sentiasa berganding bahu dalam mencari erti kewujudan alam, cuba mengkagumi ciptaan Tuhan melalui kaca mata sains biologi dan falsafah. Impian terbesar mereka adalah untuk menghampiri Ilmu Mutlak, kerana akal yang tak berisi tiadalah dibau kasturi, melainkan debu nista yang berbau jebat.

1 Comment

Leave A Reply