Menarik kiranya untuk saya mulakan artikel ini dengan memetik laporan Live Science, “Dalam permainan catur, bidak rook boleh bergerak seberapa banyak langkah pun bagi satu hala. Ia boleh berada kukuh di posisinya sambil melindungi bidak-bidak lain di sekelilingnya, walau untuk sepanjang permainan – atau bahkan bagi kes arkeologi ini, selama lebih seribu tahun!”
Pada tahun 1991, ahli-ahli arkeologi yang diketuai oleh John P. Oleson, seorang profesor arkeologi dari University of Victoria, British Columbia, Kanada telah menemui sebuah bongkah batu pasir bersaiz kecil berwarna putih yang lengkap dengan ukiran. Penemuan ini dilakukan di celah-celah runtuhan yang dahulunya merupakan sebahagian daripada pos perdagangan awal tamadun Islam di Humayma, Jordan. Humayma berkedudukan di antara Petra, ibu kota tamadun Nabatea dan pelabuhan Aqabah yang menjadi laluan perhubungan antara India dan Timur Dekat serta Timur Tengah.
Walaupun penemuan ini tidaklah mengubah sebarang pengetahuan tentang asal-usul permainan catur, di mana ianya dicipta di India pada tempoh peralihan kurun ke-6 Masehi dan kemudiannya tersebar ke dunia Parsi, seterusnya dunia Islam dan Eropah, penemuan ini berupaya memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan kadar penyebaran dan penerimaan oleh masyarakat dunia terhadap permainan ini.
Relik bersaiz sekitar 2.5cm dan berbentuk segi empat tepat dengan memiliki dua tonjol yang memberikan imej seakan-akan tanduk ini ditemui di sebuah tapak yang dipercayai pernah berdiri di atasnya pada suatu masa dahulu gereja Byzantine, sebelum ia diubah menjadi rumah ladang semasa Humayma berada di bawah penguasaan Islam pada kurun ke-7.
Pada mulanya, relik yang berasal dari lewat kurun ke-7 atau awal kurun ke-8 ini dianggap sebaai replika mini bagi sebuah altar dari tamadun Nabatea, yang berfungsi tidak jauh berbeza dengan alat keagamaa. Lebih-lebih lagi apabila bentuk rupanya sama sekali berlainan dengan bidak rook yang kita kenali pada hari ini.
Walau bagaimanapun, relik tersebut mirip dengan set catur Iran kurun ke-12, yang mana bidak rook bagi set tersebut memiliki dua tonjol yang menyimbolkan sebuah pedati yang ditarik oleh dua ekor kuda. Perkataan rook itu sendiri berasal daripada rukh, perkataan berbahasa Parsi yang membawa maksud ‘pedati’. Lantaran itu, ahli-ahli arkeologi berpendapat dan berkeyakinan bahawa relik tersebut merupakan sebuah bidak catur rook. Lokasi penemuannya menambahkan lagi kekuatan dakwaan itu.
Seandainya dakwaan ini benar, maka relik berkenaan meraih status sebagai bidak catur tertua yang pernah ditemui setakat ini dengan usianya mencecah 1300 tahun. Lebih daripada itu, penemuan ini memiliki signifikasi tersendiri apabila ia menghadirkan gambaran bahawa permainan catur tersebar secara pantas dari Parsi memasuki tamadun Islam, meraih penerimaan dinasti kekhalifahan Islam yang baru sahaja dibentuk, dan melibatkan pula seluruh lapisan masyarakat.
Faktor penemuan bidak ini di sebuah ladang di samping bahan buatannya daripada batu pasir tempatan memberi isyarat bahawa relik atau bidak ini bukanlah milik seorang individu elit. Dalam erti kata lain, dalam masa hanya sekurun selepas ia dicipta, permainan catur bukan sekadar tersebar dengan pantas ke dunia barat, malah ia turut meresap ke dalam budaya seluruh masyarakat sosial sehingga ia menjadi hobi masa senggang mereka.
“Dalam karya-karya sastera (Islam), lazim diperihalkan tentang keadaan di mana golongan elit bermain catur yang diperbuat daripada gading, kemuning hitam, emas atau batu kristal. Pemain-pemain kelas bawahan sama sekali tidak muncul dalam karya sastera sebegini, justeru baus apabila kita mempunyai rekod arkeologi sebegini,” ujar Oleson.
“Terdapat banyak sebutan berkenaan permainan catur dalam teks-teks Islam sejak 643M, dan permainan ini meraih kemasyhuran di seluruh dunia Islam,” tambah Oleson dalam penulisan abstraknya semasa membentangkan laporan berkenaan penemuan ini. “Memandangkan permainan ini dibawa ke barat dari India menerusi pergerakan para pedagang dan diplomat, maka tidak hairanlah jika bukti awal permainan catur ditemui di sebuah tapak yang terletak di laluan perdagangan yang sesibuk Humayma,” jelasnya lagi dalam mesyuarat American Schools of Oriental Research 2019 di San Diego tiga minggu lalu.
Walaupun masih belum boleh untuk kita katakan secara pasti bahawa relik yang ditemui ini merupakan sebuah bidak rook, Oleson berpendapat bahawa itu adalah penerangan yang paling munasabah setakat ini, lebih-lebih lagi jika kita mempertimbangkan beberapa faktor seperti lokasi penemuannya (di Humayma) dan kemiripannya dengan set catur kurun ke-12.
Humayma merupakan sebuah lokasi yang mengecapi kemewahan dan kemajuan selama ratusan tahun. Ia pernah dipayung oleh sejumlah kebudayaan dan tamadun. Antara binaan yang terdapat di sana termasuklah sebuah kubu Rom, gereja-gereja Byzanine, masjid-masjid awal Islam dan beberapa makam batu yang berusia sejak dari kurun pertama Masehi lagi.
Tulis Oleson dalam laporannya, Humayma merupakan kampung halaman bagi kerabat Abbasiyah yang kaya lagi berkuasa, di mana keluarga ini kemudiannya bertanggungjawab menggulingkan kekhalifahan Umayyah dan menubuhkan kekhalifahan Islam yang baru. Keluarga ini dicatatkan sering mengikuti trend yang diamalkan di Syria mahupun Iraq, justeru berkemungkinan besar mereka turut menjadi antara pengamal terawal permainan catur sejurus selepas permainan tersebut tiba di rantau berkenaan.
Humayma bukanlah sebuah petempatan biasa – ia merupakan sebuah hentian penting di jalan utama yang dilalui oleh para kafilah dagang, berlokasi di antara pelabuhan Aqaba dan Damsyik. Malahan, tepat di Humayma inilah kerabat Abbasiyah merancang, memulakan dan melaksanakan rancangan mereka untuk menggulingkan dinasti Umayyah yang memusatkan kuasa mereka di Damsyik.
Justeru, Oleson mengatakan bahawa berkemungkinan Abul Abbas as-Saffah dan Al-Mansur yang masing-masing menjadi dua khalifah Abbasiyah terawal mempertajamkan kemahiran mereka dengan bermain catur. Walaupun Humayma kemudiannya ditinggalkan sesudah Abbasiyah menubuhkan ibu kotanya di Kufah dan kemudian di Baghdad, permainan catur cenderung sekali ikut dibawa bersama sebagai amalan kebiasaan para pemerintah kekhalifahan itu.
Untuk meluruskan sebarang kesalahfahaman yang mungkin timbul, bidak ini bukanlah bidak catur pertama yang pernah wujud. Semestinya terdapat banyak lagi bidak catur lain yang wujud setelah sekurun permainan catur dicipta, cuma ia masih belum ditemukan.
Sebelum bidak di Humayma ini ditemui, bidak catur tertua yang berada dalam rekod arkeologis adalah bidak yang ditemui di Afrasyab, Uzbekistan pada tahun 1977, yang berusia tidak jauh berbanding bidak dari Humaym ini, iaitu pada kurun ke-7 atau ke-8 Masehi.
Pada tahun 2002, ahli-ahli arkeologi Albania menemui ‘bidak’ yang diperbuat daripada gading dan memiliki bentuk salib di atasnya. ‘Bidak’ tersebut berasal dari pertengahan kurun ke-5. Memandangkan bentuknya mirip dengan bidak raja moden, maka ia didakwa sebagai bidak catur tertua yang pernah ditemui dengan usianya mencecah 1600 tahun. Namun, ramai pakar mempersoalkan status tersebut lantaran kita sama sekali tidak memiliki rekod berkenaan catur pada kurun itu – apatahlagi rekod dari dunia Eropah. Tambahan lagi, catur-catur awal yang ditemui langsung tidak mempunyai bentuk salib.
Sebaik sahaja Parsi dan Timur Tengah dikuasai oleh umat Islam pada kurun ke-7 Masehi, antara perkara yang meresap masuk ke dalam budaya pemerintah baharu ini adalah permainan catur yang bentuknya lebih bersifat figuratif. Ciri ini tidak bersesuaian dengan ajaran Islam yang melarang membuat patung yang berimejkan benda hidup. Lantaran itu, ketika permainan ini mula tersebar dalam tamadun Islam, bidak-bidak catur diubahsuai bentuknya menjadi lebih abstrak. Bagi bidak rook, ciri dua ekor kuda diubah menjadi simbol ‘tanduk’ sebagaimana yang dapat dilihat pada bidak dari Humayma ini.
Beberapa kurun kemudian, apabila permainan ini tiba di Eropah, ‘tanduk’ tersebut ditafsirkan sebagai ciri yang mewakili bentuk kubu. Maka, bidak rook pun mula dibentukkan sebagai menara istana dan ciri ini terus kekal diguna pakai sehingga ke hari ini. Namun, nama bidak ini masih mengekalkan nama asalnya, iaitu rukh yang membawa maksud pedati dalam bahasa Parsi.
Sebagai trivia, bidak bishop dikenali sebagai alfil dalam bahasa Sepanyol dan alfiere dalam bahasa Itali di mana keduanya itu berasal-usul daripada alfil bagi bahasa Arab yang membawa maksud ‘gajah’.
RUJUKAN
Brandon Specktor. (28 November 2019). Two-Horned ‘Rook’ Might Be the Oldest Chess Piece on Earth. Live Science.
https://www.livescience.com/oldest-chess-piece-humayma-jordan.html
Ashley Cowie. (28 November 2019). Is This The Oldest Chess Piece in the World? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/oldest-chess-piece-0012923
Ariel David. (1 Disember 2019). World’s Oldest Surviving Chess Piece Unearthed in Jordan. Haaretz.
https://www.haaretz.com/archaeology/.premium.MAGAZINE-world-s-oldest-surviving-chess-piece-unearthed-in-jordan-1.8201206
Alaraby. (3 Disember 2019). Oldest chess piece in the world discovered in Jordan.
https://www.alaraby.co.uk/english/news/2019/12/3/oldest-chess-piece-in-the-world-discovered-in-jordan
David Nield. (29 Disember 2019). A Curious Rock Found in Jordan Could Actually Be The Oldest Chess Piece to Date. Science Alert.
https://www.sciencealert.com/this-small-chunk-of-rock-might-be-the-oldest-chess-piece-in-the-world
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih