Dengan imej ganasnya semasa memburu haiwan seperti anjing laut, sotong dan burung, amat padan menggelar ikan jerung sebagai pemangsa unggul di lautan. Tetapi satu persoalan yang bermain di fikiran ramai orang ialah adakah jerung tidur seperti haiwan lain?
Soalan ini timbul berikutan sesetengah jerung perlu bergerak sepanjang masa bagi memastikan air yang kaya dengan oksigen mengalir melepasi insangnya. Disebabkan keperluan ini, ada menyangka jerung tidak tidur langsung.
Bagi penulis kajian Michael Kelly, soalan sama ada jerung tidur atau tidak tidak pernah disentuh sebagai subjek kajian. Dan tidak ramai sedar jerung juga merupakan kumpulan vertebra berahang tertua di dunia – satu ciri yang dikongsi dengan manusia. Justeru, ini menjadikan kajian di luar kebiasaan ini sebagai penting.
Subjek jerung yang dipilih ialah ikan jerung draughtsboard atau nama lainnya, ikan jerung permaidani (carpet shark). Diberi nama saintifik Cephaloscyllium isabellum, ikan ini merupakan spesies nokturnal yang hidup di perairan New Zealand.
Ikan ini dipilih sebagai subjek kajian kerana ia merupakan spesies jerung bukal. Bukal di sini bermaksud ia mengepam oksigen untuk bernafas dengan cara menolak air masuk melepasi insang. Ia sama sekali berbeza dengan ikan jerung harimau yang perlu berenang sepanjang masa bagi membolehkan oksigen masuk ke dalam insang.
Bagi melihat sama ada ikan jerung draughtsboard tidur atau tidak, tujuh ekor jerung spesies ini diperhatikan dalam tempoh 24 jam. Antara aspek yang diberi penekanan ialah perubahan postur badan dan kadar metabolisme badan. Kelly percaya sekiranya kadar metabolisme jerung ini menurun, ini bermakna ia sedang tidur.
Pemerhatian mereka mendapati kadar pengambilan oksigen mereka menurun selepas jerung permaidani berehat dalam tempoh lima minit atau lebih. Disebabkan tabiatnya sebagai haiwan pemangsa hendap, kebiasaannya jerung ini menunjukkan sirip dengan kepala memandang ke atas. Tetapi apabila ia tidur, ia akan berada lebih hampir dengan dasar laut.
Mungkin ada menganggap haiwan ini tidur seperti haiwan di darat dengan cara memejamkan mata. Ini berdasarkan pemerhatian saintis yang mendapati jerung memejamkan mata di siang hari dan berjaga pada waktu malam. Tetapi ramai saintis percaya ia didorong oleh faktor pencahayaan berbanding tidur. Ini kerana ada jerung yang tetap membuka mata walaupun dikatakan sedang tidur.
Pasukan penyelidik mahu melihat jika ada spesies jerung lain tidur seperti ikan jerung permaidani. Selain itu, mereka juga mahu mengkaji aktiviti otak jerung semasa tidur bagi menganalisis keadaannya semasa berjaga dan berehat.
Yang pasti bagi Kelly, kajian ini sebenarnya memberi peluang kepada saintis untuk melihat tetingkap masa lalu. Ini kerana jerung telah wujud dalam lautan dunia sejak 400 juta tahun lalu. Dengan mengkaji corak tidur ikan ini, ia membuka lebih banyak kajian tentang fungsi tidur dan bagaimana peranannya berubah mengikut evolusi hidupan.
RUJUKAN
Wetzel, C. (2022, 10 Mac). Sharks Apparently Do Sleep, Even With Their Eyes Wide Open. Smithsonian Magazine.
Funnell, R. (2022, 8 Mac). Do Sharks Sleep? Study Finds First Physiological Evidence For Sleep In Sharks. IFLScience.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih