Ia adalah amalan kuno Jepun yang sering dipaparkan dalam cerita rakyat Jepun tentang orang tua atau saudara sakit yang dibuang jauh ke tempat terpencil bagi menunggu mati. Tapi, persoalannya, adakah ia masih wujud pada hari ini?
Meskipun ubasute ini memang wujud dalam catatan legenda Jepun, namun, ia masih tidak jelas adakah ia benar-benar satu amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat pada zaman dahulu.
Ubasute yang juga disebut sebagai “obasute” atau “oyasute,” ialah amalan Jepun purba yang berlaku apabila ibu bapa tua atau lanjut usia dikatakan dibawa ke gunung atau tempat terpencil lalu dibiarkan mati sendirian, kononnya untuk meringankan beban keluarga.
Istilah ubasute ini sendiri menggabungkan dua perkataan, iaitu “uba” (wanita tua) dan “sute” (untuk meninggalkan), dan berakar umbi dalam cerita rakyat dan kesusasteraan Jepun dan bukannya bukti sejarah yang konkrit. Rujukan kepada ubasute boleh didapati dalam pelbagai teks, termasuk cerita “Ubasuteyama” (Gunung Tempat Wanita Tua Ditinggalkan) dan cerita rakyat lain.
Salah satu tempat yang dipercayai menjadi tapak popular untuk ubasute pada masa lalu ialah hutan tebal di kaki barat laut Gunung Fuji, yang dikenali sebagai Aokigahara (juga dikenali sebagai Jukai, yang bermaksud ‘Lautan Pokok’).
Amalan ini sebenarnya menjadi simbolik yang kuat dalam budaya Jepun, yang menunjukkan kepatuhan anak, pengorbanan dan dilema yang dihadapi keluarga yang susah suatu ketika dahulu. Dalam cerita rakyat Jepun, ubasute sering digambarkan dengan kombinasi tragedi dan penghormatan.
Namun, pada zaman moden ini, adakah amalan ubasute ini pernah berlaku?
Sebenarnya, terdapat bukti hari ini bahawa ubasute sedang ‘dihidupkan semula’ di Jepun pada zaman moden, walaupun dalam bentuk yang sedikit berbeza. Kita ambil contoh yang berlaku pada tahun 2015, ada laporan menyebut bahawa seorang lelaki berusia 63 tahun dituduh meninggalkan kakaknya yang lebih tua dan kurang upaya di lereng gunung untuk meninggal dunia sendirian.
Dalam laporan lain, pada tahun 2018, seorang wanita telah ditangkap kerana meninggalkan bapanya yang sudah tua di stesen servis lebuh raya.
Ia sesuatu yang bukan mustahil, kerana dengan kedudukan Jepun sebagai negara yang mempunyai kadar kelahiran yang rendah serta peningkatan warga tua (super aging), beban penjagaan golongan warga emas ini banyak ditanggung oleh keluarga.
Situasi ini telah membawa kepada peningkatan dalam tekanan kewangan, dan juga contoh penderaan atau pengabaian warga tua. Keadaan terdesak ini juga mungkin menjadi faktor kenapa mitos amalan ubasute ini kembali menjadi popular dalam kalangan masyarakat.
Mungkin, pada masa depan, tidak mustahil amalan ini boleh menjadi kebiasaan sekiranya keadaan yang sama berlanjutan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih