Gelaran Christopher Columbus (1451-1506M) sebagai orang Eropah pertama yang menemukan benua Amerika sudah pun disangkal. Ramai sejarahwan pada hari ini sependapat dalam memberikan gelaran tersebut kepada sekumpulan Viking yang diketuai oleh Leif Erikson, yang menemui Dunia Baru sekitar tahun 1000M.

Namun, terdapat seorang lagi orang Eropah lain yang didakwa pernah tiba di Dunia Baru sebelum tahun 1492, iaitu Putera Wales yang bernama Madoc (Madog). Beliau dipercayai berlayar bersama sebuah armada ke Dunia Baru pada tahun 1170 dan 1171. Lebih daripada itu, terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa beberapa suku asli Amerika merupakan keturunan daripada ahli-ahli ekspedisi ini.

Walaupun tiada bukti konklusif berkenaan dakwaan ini, ia tetap menghadirkan suatu kemungkinan yang menarik.

‘Pengembaraan Pertama’ Christopher Columbus mengucapkan selamat tinggal kepada Ratu Sepanyol semasa berangkat ke Dunia Baru, 3 Ogos 1492

KISAH PUTERA MADOC

Kisah tentang Madoc berasal-usul dari sebuah puisi kurun ke-15. Menurut puisi tersebut, Madoc merupakan putera kepada raja Wales yang bernama Owain of Gwynedd. Owain mempunyai 13 orang anak gahara dan beberapa orang anak bukan-gahara. Madoc termasuk dalam kalangan anak bukan-gahara. Beliau dilahirkan sekitar tahun 1145M.

Pada tahun 1170 Masihi, tahun di mana Owain mangkat, berlaku pertelagahan dalam kalangan putera-puteranya berkenaan hak pewarisan takhta. Hal ini mendorong kepada tercetusnya perang saudara. Madoc merupakan seorang insan yang cintakan keamanan dan tidak menggemari perbalahan.

Justeru, beliau dan saudaranya, Riryd beredar dengan menaiki dua buah kapal lalu membawa diri ke barat dan tiba di Amerika Utara moden, dengan kapal-kapal mereka berlabuh di Teluk Mobile, Alabama.

Mereka kembali ke Wales pada tahun 1171 untuk menceritakan kepada masyarakat tempatan tentang pengembaraan mereka. Mereka turut mengumpul rekrut untuk menubuhkan sebuah kerajaan baru di sana. Lantaran itu, seratus orang lelaki, wanita dan kanak-kanak ikut berlayar bersama Putera Madoc.

Lukisan imaginatif Madog ab Owain Gwynedd di atas kapalnya


KEHADIRAN ORANG WALES DI BENUA AMERIKA?

Dalam kitab pertahunan atau sejarah negara kurun ke-12, langsung tiada sebutan tentang Putera Madoc. Begitu juga dengan sebutan tentang keberadaannya di Teluk Mobile. Namun, legenda ini kekal sebagai sebuah kisah yang masyhur sehingga Zaman Penjelajahan.

Kisah ini bahkan digunakan oleh John Dee, seorang ejen yang berkhidmat untuk Ratu Elizabeth, ketika berhujah mengatakan bahawa orang Inggeris mempunyai hak pemilikan ke atas wilayah-wilayah di Dunia Baru jauh melebihi Perancis dan Sepanyol.

John Dee malah mendakwa bahawa Raja Arthur dan Brutus of Troy, iaitu raja pertama dalam legenda orang-orang British, pernah mendirikan koloni British di Dunia Baru sekaligus mengukuhkan lagi tuntutan Inggeris ke atas benua Amerika.

Pada kurun ke-18 dan kurun ke-19 Masihi, orang Eropah meyakini bahawa kebanyakan suku asli Amerika merupakan keturunan koloni-koloni Wales dari generasi Putera Madoc. Sebahagian peneroka dan pengembara Eropah turut mempercayai bahawa tamadun Maya dan Inca mempunyai kaitan dengan Putera Wales itu. Begitu juga dengan tamadun-tamadun misteri yang membina gundukan-gundukan tanah di bahagian timur Amerika Syarikat.

Selain itu, ketika para pendatang Mormon tiba di Utah, mereka mempercayai bahawa suku-suku Hopi dan Zuni adalah berketurunan dari Wales hinggakan mereka menghantar beberapa orang yang fasih berbahasa Wales ke perkampungan suku-suku tersebut untuk mengenal pasti kalau-kalau ada penutur bahasa Wales di situ.

Suku asli yang paling lazim dianggap sebagai keturunan dari orang-orang Wales ialah suku Mandan. Suku Mandan merupakan suku asli yang menghuni kawasan di sepanjang Sungai Missouri. Pada hari ini, keturunan mereka kebanyakannya tinggal di Dakota Utara dan Dakota Selatan.

Shakoka, Gadis Jelita Mandan, oleh George Catlin 1832

Ramai orang Eropah yang menemui suku Mandan, antaranya seperti George Catlin, mempercayai bahawa mereka itu berasal-usul dari Eropah. Hal ini disebabkan oleh warna kulit mereka yang cerah dan rambut mereka yang berubah menjadi kelabu apabila berusia. Keadaan ini tidak berlaku bagi suku-suku asli lain yang menetap di kawasan berhampiran.

Kebanyakan pendatang Eropah turut mendakwa bahasa bahasa yang dipertuturkan oleh suku Mandan mirip dengan bahasa Wales. Lebih daripada itu, tidak seperti suku-suku asli Amerika lain di kawasan sekitar, suku Mandan mempunyai seni bina yang maju sebagaimana yang dapat dilihat menerusi kubu batu serta bandar dan kampung (petempatan) kekal yang memiliki sistem jalan yang terancang rapi.

 

Perahu-perahu kerbau suku Mandan, oleh Karl Bodmer. Sebilangan pihak berpendapat perahu kerbau suku Mandan ini mirip dengan kapal coracle Wales

Selain itu, terdapat juga legenda-legenda berkenaan orang asli Putih (White Indians) yang mempunyai rambut perang dan mata berwarna biru yang diusir oleh suku-suku asli lain (yang tidak berkulit putih) dalam sebuah pertempuran yang berlaku berhampiran Sungai Ohio. Kisah ini diserap ke dalam legenda Madoc lantaran para penghuni di sekitar kawasan itu mendakwa bahawa orang asli Putih ini berketurunan Wales.

Perahu-perahu kerbau suku Mandan, oleh Karl Bodmer. Sebilangan pihak berpendapat perahu kerbau suku Mandan ini mirip dengan kapal coracle Wales

LEBIH DARI SEKADAR LEGENDA?

Adakah terdapat sebarang bukti arkeologi atau sejarah bagi membuktikan dakwaan ini? Terdapat gundukan-gundukan tanah di Devil’s Backbone yang dikaitkan dengan generasi para pendatang Wales. Terdapat juga kubur besar berhampiran tempat di mana pertempuran antara warga asli Putih dan suku-suku asli lain berlaku. Pihak yang mempercayai legenda ini menegaskan bahawa kubur tersebut merupakan tapak pengebumian mereka yang terkorban dalam pertempuran tersebut.

Selain itu, terdapat sebuah kisah tentang satu penemuan di Jeffersonville, Indiana berkenaan sejumlah tulang manusia yang ditanam dalam keadaan berbaju pelindung loyang (brass). Kebanyakan dakwaan ini tidak dapat disahkan lantaran bukti tersebut sudah tidak wujud dan tidak dapat dianalisa.

Kubur besar yang disebutkan oleh para pendatang pada zaman dahulu telah diratakan oleh sungai (jika dakwaan tentangnya benar) dan baju pelindung loyang itu juga telah pun hilang. Selain itu, ramai ahli linguistik temporari yang tidak yakin dengan kenyataan bahawa bahasa Mandan sama dengan bahasa Wales, melainkan sejumlah kecil perkataan.

Tindakan mengaitkan gundukan-gundukan tanah yang terdapat di wilayah timur laut Amerika Syarikat, seperti di Devil’s Backbone, dengan suku atau tamadun berkulit putih yang misteri merupakan suatu perkara yang sangat lazim pada kurun ke-19 walau dalam lingkungan ahli arkeologi dan antropologi professional.

Sebagai contoh, Kitab Mormon mendakwa bahawa anggota-anggota dari sepuluh suku Israel yang hilang itu membawa diri ke benua Amerika dan membina tamadun di sana. Para pendatang Mormon di zaman awal, termasuklah sejumlah orang Mormon di zaman moden, mengaitkan gundukan dan kota-kota yang dibina oleh tamadun Maya dan Inca dengan orang-orang Israel.

Teori-teori awal sebegini boleh difahami sebagai suatu cubaan untuk merasionalkan pandangan orang-orang Barat terhadap suku-suku asli Amerika pada zaman itu (mereka dianggap sebagai tidak bertamadun) dengan realiti kewujudan tamadun-tamadun di Amerika purba yang memiliki teknologi maju yang setanding dengan tamadun di Eropah.

Ilmuwan Eropah ketika itu tidak memiliki banyak sumber pengetahuan tentang arkeologi suku asli Amerika dan sejarah serta kebudayaan mereka. Justeru, mereka beranggapan mustahil untuk suku-suku asli Amerika ini membina kota-kota dan bangunan-bangunan mapan sebegitu lantaran kemunduran teknologi mereka.

Semenjak itu, ahli-ahli arkeologi dan antropologi Eropah mula mendalami kebudayaan tamadun-tamadun Amerika baik di zaman silam mahupun di zaman moden. Seterusnya, mereka mula mengakui bahawa suku-suku asli Amerika bertanggungjawab membina bangunan-bangunan signifikan sejak sebelum ketibaan Christopher Columbus lagi.

Pemandangan Kampung Mandan (Catlin, 1832)


BUKTI LINGUISTIK

Kebanyakan suku Mandan meninggal dunia akibat diserang penyakit cacar pada tahun 1837. Namun, ada yang terselamat sehingga budaya mereka dapat dikenali dunia. Hal ini membolehkan para penyelidik yang berminat terhadap mereka melakukan penyelidikan, terutama berkaitan hubungan antara suku Mandan dan Wales.

Setakat ini, tidak banyak bukti bagi mengesahkan perkara tersebut. Misalnya dalam penyelidikan tentang kaitan antara legenda Madoc dan mitologi suku Mandan, seperti mitos Lone Man (lelaki sepi), tidak ditemui kemiripan antara keduanya. Lone Man disifatkan sebagai separa-dewa yang terlibat dalam penciptaan dunia dan bertanggungjawab mencipta daratan rata, sambil Pencipta Utama dalam mitologi Mandan menumpu pada daratan tinggi. Satu-satunya perkara di dalam mitos Lone Man yang boleh dikaitkan dengan legenda Madoc adalah Lone Man dikisahkan pernah berjalan di atas lautan purba.

Gambaran Putera Madoc


Sehingga kini, kebenaran di sebalik legenda Putera Madoc masih lagi diragui. Sememangnya tidak dapat dinafikan kemungkinan wujud sekumpulan warga Wales yang tiba di benua Amerika sebelum Columbus. Namun kalaupun ianya benar, terdapat banyak perkara yang dikaitkan secara silap dengan mereka sekaligus menjejaskan kredibiliti legenda Madoc.’

RUJUKAN:

Caleb Strom. (18 April 2017). Did a Welsh Prince Reach the New World Before Columbus? Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/did-welsh-prince-reach-new-world-columbus-007920


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.