Dalam lima filem Indiana Jones, Temple of Doom dianggap filem yang paling kontroversi. Ini kerana ia cuba menutup kekejaman British di India dengan memaparkan mereka sebagai penyelamat pada akhir cerita. Selain itu, ia turut menunjukkan naratif sejarah palsu berkenaan mafia pembunuh bersiri pertama dunia Thuggee.
Thuggee yang bermaksud penyembunyian dalam Bahasa Sanskrit sekali pandang hampir mirip dengan sebuah lagi kumpulan pembunuh terkenal dalam sejarah, Hashashin/Assassin. Tetapi kedua-duanya berbeza dalam banyak segi.
Misalnya dari segi operasi dan sasaran, Hashashin membunuh individu berprofil tinggi yang menjadi musuh mereka tanpa mengira kerajaan, fahaman politik atau agama yang dianuti. Sementara Thuggee pula lebih cenderung kepada pembunuhan yang dibuat atas nama dewi perang, penciptaan dan masa Hindu, Kali. Selepas membunuh sasaran mereka, ahli Thuggee akan merompak semua barang milik mangsa mereka sebelum menghilangkan diri.
Begitu juga dari segi fahaman yang dianuti oleh ahli dua organisasi itu. Bagi Hashashin, majoriti ahlinya terdiri daripada pengikut Syiah Ismailiyah (ajaran Syiah yang turut dikenali sebagai Mazhab Imam Bertujuh dan banyak menekankan unsur kebatinan). Bagi kumpulan Thuggee pula, walaupun majoriti ahlinya beragama Hindu, difahamkan ada juga ahli mafia berkenaan yang beragama Islam dan Sikh.
Walaupun datang daripada pelbagai latar belakang agama berbeza, semua ahli Thuggee berkongsi ritual dan kepercayaan tahyul yang sama. Wujud dari abad ke-13 hingga abad ke-19, kumpulan ini mula menarik perhatian para pemerintah menerusi satu kisah yang berlaku pada era Jalaluddin Khalji yang memerintah Delhi dari 1290 hingga 1320.
Selepas mendapat tahu tentang kewujudan mereka, baginda tidak mengarahkan kumpulan itu dibunuh tetapi dihantar ke negeri lain tanpa sebarang soal. Tetapi jika kumpulan Thuggee merasakan ini berlaku disebabkan keinginan baginda menunjukkan belas kasihan terhadap mereka, sangkaan tersebut meleset sama sekali. Jalaluddin memberi amaran kepada mereka agar tidak menjejakkan kaki ke Delhi lagi atau berdepan hukuman mati sekiranya mereka cuba kembali.
Kebiasaannya, orang Thuggee akan menyamar sebagai pengembara dalam perjalanan pulang. Mereka akan mendekati mana-mana pengembara yang berjalan secara berseorangan dan menawarkan diri sebagai teman perjalanan bagi menjamin keselamatan mereka berdua. Apabila mereka berhenti di satu tempat untuk bermalam, si polan akan dihiburkan dengan makanan dan hiburan yang disediakan si Thuggee ini. Bila dah leka dan letih, barulah si pembunuh ini akan menjerut mangsanya dengan sehelai tuala.
Pihak berkuasa tidak akan tahu tentang pembunuhan sebegini. Ini kerana ahli Thuggee telah dilatih cara untuk melupuskan mayat sama ada dengan ditanam di tempat terpencil atau mencampakkannya dalam perigi atau sungai (makanan binatang buas termasuk buaya). Bila waris mangsa tidak mendengar sebarang berita daripadanya, maka mereka menyangka mangsa mati dibaham binatang buas atau akibat wabak penyakit.
Kebiasaannya, kerja sebegini membabitkan tiga atau empat orang ahli bagi memastikan ia berjalan lancar. Setiap ahli yang mensasarkan mangsa mempunyai peranan tersendiri daripada menjadi umpan hinggalah sebagai pembunuh dan pelupus mayat. Setelah semua itu selesai, semua barang berharga mangsa mereka diambil dan dibahagikan sebelum menghilangkan diri.
Geng Thuggee aktif memburu mengikut musim tertentu. Misalnya bagi geng Thuggee yang beroperasi sekitar Sungai Ganga, mereka aktif mengejar mangsa sekitar musim sejuk. Tetapi jika tidak keluar memburu, mereka akan melakukan pekerjaan rencam dan sentiasa bersama keluarga.
Disebabkan penglibatan mereka sebagai ahli Thuggee, keluarga termasuk isteri tidak mengetahui perilaku mereka sebagai pembunuh bersiri. Dan ini membawa kepada satu hakikat menyedihkan: anak-anak orang Thuggee tidak pernah diberi pilihan tentang kehidupan yang merbahaya ini. Pada mereka, anak-anak ini merupakan penyambung legasi mereka sebagai pembunuh bersiri sekaligus khadam terbaik buat dewi mereka, Kali.
Di sebalik perilaku kejam mereka, Thuggee rupanya tidak sembrono dalam memburu mangsa mereka. Mereka tidak dibenarkan membunuh orang faqir (ahli sufi yang melepaskan pemilikan bersifat duniawi demi pengabdian kepada-Nya), wanita, pelawak, pemuzik, penari, orang Brahmin (kasta pendeta dan guru agama Hindu), orang cacat atau sakit. Jika ada yang cuba melanggar ketetapan ini, maka geng Thuggee akan memburu si pelaku sampai ke lubang cacing dan membunuhnya mengikut cara dia membunuh mangsa terlarang yang dinyatakan.
Selama ratusan tahun, orang Thuggee bukan sekali menyusahkan para pemerintah India baik dari Kesultanan Delhi dan Empayar Mughal hinggalah kerajaan Sikh dan Maratha. Bahkan, semasa Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) bertapak di India, kegiatan mereka berleluasa sehingga menyukarkan usaha mereka mengeksploitasi hasil bumi negara itu.
Satu contoh insiden Thug-SHTI ialah insiden yang berlaku pada 1812 di Uttar Pradesh. Pada satu hari, seorang Thuggee bernama Ghasee Ram berselisih faham dengan seorang pemerintah tempatan bernama Tejun. Tidak mahu mengambil risiko dikejar sang bangsawan, si Thuggee ini mendapat perlindungan seorang lagi Thuggee bernama Laljee. Berang Ghasee Ram terlepas daripada cengkamannya, Tejun kemudiannya melaporkan perihal mereka kepada seorang pegawai SHTI bernama Nathaniel Halsted.
Halsted kemudiannya memerintahkan majistret British di Etawah ketika itu, Thomas Perry mengumpulkan sekumpulan tentera untuk memburu Laljee. Kumpulan tentera SHTI kemudiannya menggempur perkampungan Murnae yang dihuni Laljee dan menyaksikan lebih 100 ahli Thuggee terbunuh. Ketua Thuggee itu cuba melarikan diri ke wilayah berhampiran tetapi ditahan oleh orang-orang kerajaan Maratha. Mereka kemudiannya menyerahkan Laljee kepada pihak British.
Tetapi orang yang dianggap pencetus kemusnahan geng Thuggee ialah seorang pegawai tentera British bernama Mejar Jeneral Sir William Henry Sleeman. Sleeman tahu bukan sedikit ahli Thuggee dicekup tetapi jenayah pembunuhan membabitkan mereka masih tinggi. Walaupun ada yang menganggap kewujudan kumpulan ini sebagai mitos semata-mata, beliau mahu membuktikan mereka bukan imaginasi yang bermain di kepalanya.
Dan ini menjadi kenyataan pada 1835 semasa Sleeman berkhidmat sebagai majistret di Sagar. Pada tahun tersebut, pihak British berjaya menahan seorang ahli Thuggee bernama Feringhea. Feringhea yang menggunakan pelbagai nama samaran berjaya dipujuk untuk menjadi saksi kerajaan dan mendedahkan segala rahsia tentang Thuggee. Ini termasuk menunjukkan kubur-kubur besar tempat mangsa-mangsa mafia ini dibunuh dan menamakan semua ahli Thuggee yang terlibat.
Dari situ, Sleeman mula menggunakan kaedah perisikan termasuk menukar mereka yang berpaling tadah sebagai saksi kepada semua ahli mafia berkenaan. Kaedah ini ditambahbaik selepas beliau dilantik sebagai ketua jabatan khas SHTI yang memburu ahli Thuggee pada tahun 1839. Bagi menjamin kerjasama mereka, ahli-ahli yang berpaling tadah diberi jaminan akan dipenjarakan di tempat yang berasingan daripada rakan-rakan mereka.
Hasilnya, lebih 1,400 orang ahli Thuggee yang dipenjarakan atau dihukum gantung sampai mati. Salah seorang daripada mereka iaitu Bahram mengaku membunuh lebih 125,000 orang dari 1790 hingga 1840. Menjelang 1870-an, mafia Thugee dianggap pupus sepenuhnya. Selain tindakan keras pihak berkuasa, mereka turut menasihati orang ramai agar berwaspada dan sentiasa ingat tentang ciri-ciri mereka.
Masalah geng ini turut membawa kepada penggubalan Akta Puak Penjenayah pada 1871. Walaupun akta tersebut dibatalkan selepas India mencapai kemerdekaan pada 1947, ia digantikan dengan Akta Pelaku Tabiat Jenayah pada 1959 di mana ia mengelaskan puak-puak tertentu sebagai puak yang patut diperhatikan. Kelompok ini diwajibkan mendaftarkan diri dengan pihak berkuasa sepanjang masa.
Sekiranya itu gagal dilakukan, maka mereka akan didakwa mengikut undang-undang jenayah India. Menjelang 2007, badan anti-diskriminasi PBB, CERD menggelar akta tersebut sebagai satu bentuk diskriminasi India secara terang-terangan terhadap mereka.
Di sebalik semua ini, itu masih tidak mengubah hakikat kewujudan Thuggee sebagai mafia pertama di dunia. Pembunuhan-pembunuhan yang dibuat atas nama Kali sememangnya sesuatu yang menakutkan – lebih teruk daripada Hashashin sendiri. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Walau selicik mana mereka sebagai perompak dan pembunuh, tiada siapa dapat lari daripada neraca keadilan Tuhan…
Ada banyak lagi buku-buku menanti ada di pautan Shopee kami. Pelbagai jenis genre dan jenis tersedia untuk dibeli. Kalian dipelawa layari Shopee kami: https://shopee.com.my/thepatriotsasia
RUJUKAN
Gillan, J. (2022, 16 Julai). Thuggees – The Cult Assassins of India. Ancient-Origins.
Khan, R. (2020, 14 Ogos). Thuggee: The serial killer cult of India. The Business Standard News.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih