Ya, kalian tak salah baca! Sepanjang manusia hidup di Bumi, telah banyak lokasi yang telah dijelajah kemudian menetap dalam tempoh masa yang panjang, tak kira cuacanya panas, sejuk, bergunung-ganang, dan pulau.
Tapi di Siberia yang terletak di Rusia, wujudnya dua buah bandar yang diisytiharkan sebagai bandar paling sejuk dunia, iaitu Yakutsk dan Oymyakon.
Kota Yakutsk mempunyai populasi seramai 336,200 orang penduduk dan kebanyakan penduduk bekerja sebagai pelombong berlian di bawah syarikat perlombongan Alrosa.
Asalnya kota ini dibina oleh orang asal bernama Yakuts yang bermigrasi ke Siberia sekitar abad ke-13 dan ke-14 Masihi. Kemudian penempatan mereka menjadi sebuah bandar pada tahun 1632.
Suhu di Yakutsk boleh mencecah -60 darjah Celsius. Kalau kita yang biasa hidup di kawasan Khatulistiwa, ramai yang jatuh sakit kalau tinggal dalam kota Yakutsk ni!
Tetapi bagi penduduk tempatan, mereka percaya itu bukan suhu terendah pernah dicatatkan di situ. Ini kerana mereka pernah mengalami cuaca sejuk melampau di mana suhunya mampu mencecah -63 darjah Celsius!
Bandar kedua yang juga dinobatkan sebagai bandar paling sejuk ialah Oymyakon. Suhu terendah yang pernah dicatatkan bandar yang hanya mempunyai populasi seramai 500 orang ialah -71.2 darjah Celsius pada tahun 1924!
Oymyakon pula dibina pada era Perang Dunia Kedua, di mana kawasan penempatan dahulu ialah pusat lapangan kapal terbang perang Soviet. Sekarang, bandar ini dihuni oleh penduduk yang bekerja sebagai nelayan dan penjual bulu.
Jarak kedua-dua kota Oymyakon dengan Yakutsk ialah 928 km. Jika ada cuba memandu antara dua bandar ini, perjalanan dijangka mengambil masa lebih 21 jam. Jadi, mengapa kedua-duanya dianggap tempat paling sejuk di dunia?
Menurut Profesor Alex DeCaria dari Universiti Millersville yamg terletak di Pennsylvania, AS, suhu kedua-dua bandar yang sangat rendah ini terjadi berikutan kedudukan latitudnya yang tinggi dan keluasan tanah yang dimiliki wilayah Rusia itu.
Suhu global melampau – tanpa mengira sama ada suhu tertinggi atau terendah – berlaku di kawasan benua. Ini kerana tanah dalam benua lebih cepat panas dan sejuk berbanding laut.
Dalam kes Siberia, salji dan liputan ais turut memainkan peranan dalam menyejukkan wilayah tersebut. melalui pantulan radiasi matahari kembali ke angkasa lepas.
Kerana faktor inilah wujudnya zon berskala besar yang digelar sebagai Siberia High. Zon bertekanan tinggi ini kebiasaannya mempunyai suhu yang stabil, kelembapan yang rendah dan langit cerah sekaligus menghasilkan suhu permukaan yang amat sejuk.
Faktor topografi juga menyumbang kepada cuaca sejuk di Oymyakon dan Yakutsk. Menurut Jouni Raisanen dari Institut Penyelidikan Sistem Bumi dan Atmosfera (INAR) dari Universiti Helsinki, dua kota ini dibina di atas kawasan lembah yang dikelilingi oleh tanah tinggi.
Ini membawa kepada pembentukan poket udara sejuk yang dikenali sebagai ‘tasik udara sejuk’. Poket udara ini boleh terperangkap sekiranya udara mengalir berhampiran dengan kawasan lembah.
Dalam kes bandar Oymyakon yang dikelilingi kawasan gunung-ganang, terbentuknya ‘tasik udara sejuk’ yang bercampur dengan udara yang lebih panas. Dari fenomena inilah mengapa Oymyakon mempunyai suhu paling rendah pernah dicatat!
Jadi, mengapa ada manusia sanggup duduk di tempat sebegini? Bagi pakar biologi antropologi Cara Ocobock, manusia telah berjaya beradaptasi dengan kawasan sekitarnya dan menggunakan kebijaksanaan untuk memastikan mereka sentiasa hidup di kawasan ekstrim seperti dua kota tersejuk dunia ini.
Jadi, inilah sejarah dua bandar paling sejuk di dunia. Kalau anda nak pergi ke dua-dua kota ini, pastikan badan anda tahan dengan keadaan sejuk melampau!
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih