Nenek, Nenek Si Bongkok Tiga,
Siang mengantuk malam berjaga,
Mencari cucu di mana ada,
Nenekku kahwin dengan anak raja,
Cucu tak dapat lari,
Nenek tua banyak sakti,
Sekarang juga nenek mencari,
Siapa kena dia yang jadi.
Saya tak pasti jika generasi hari ini tahu atau tidak tentang lagu ini, tapi ini antara lagu popular yang dilagukan oleh kanak-kanak pada zaman dahulu. Malah, ia juga antara lagu yang diingati dalam filem Musang Berjanggut.
Permainan nenek si bongkok tiga ni juga antara permainan popular bagi kanak-kanak kampung suatu ketika dahulu. Kiranya, ia lazim dalam kalangan kanak-kanak dahulu.
Tapi, adakah anda tahu apa sebenarnya yang cuba disampaikan daripada lagu ini?
Sebenarnya, ramai juga penganalisis yang mengatakan bahawa lirik lagu nenek si bongkok tiga ini ada kaitan dengan makhluk ghaib, iaitu nenek itu sendiri. Yang mana liriknya itu menceritakan tentang saka si nenek kebayan.
Jadi, siapa sebenarnya nenek kebayan bongkok tiga ini?
Dalam cerita rakyat Melayu, nenek kebayan ini antara watak ikonik yang selalu ada atau tiba-tiba muncul dalam sesebuah kisah. Ia digambarkan sebagai seorang wanita tua bongkok, bertongkat dan memiliki wajah berkedut.
Berbeza dengan wanita tua dalam mitologi barat, nenek kebayan dalam mitologi Melayu ini bukanlah watak jahat, sebaliknya watak yang baik. Namun, sikap nenek kebayan ini hidup terpencil terasing, menyebabkan susuk nenek kebayan ini menyeramkan dan penuh misteri.
Nenek kebayan dikatakan seorang manusia biasa, namun mempunyai kesaktian yang tersendiri dan bijaksana. Nenek kebayan juga tinggal di kawasan yang terasing daripada manusia. Kediamannya biasanya digambarkan sebagai pondok kecil di tengah hutan atau gunung. Hanya manusia terpilih sahaja boleh bertemu dengan nenek kebayan ini.
Dalam mitologi Melayu, peranan nenek kebayan ini adalah membantu manusia untuk mendapatkan kesaktian daripada alam ghaib. Jadi, dia adalah seumpama perantara yang berperanan sebagai pembimbing yang memberi nasihat kepada wira atau protagonis dalam cerita rakyat.
Inilah juga yang dirakamkan melalui lirik lagu rakyat ini yang mana ‘nenek tua banyak sakti’ sebagai penunjuk bahawa nenek kebayan ini sebagai orang yang mampu berulang alik antara alam ghaib dan alam manusia.




No comments yet