Bila kita sebut berkenaan Abraham Lincoln, pasti bagi warga Amerika dan pencinta kebebasan menganggap beliau sebagai tokoh dunia yang ulung. Jasa beliau dalam menamatkan amalan perhambaan dan Perang Saudara antara pihak Kesatuan dengan Konfederasi menjadikan Lincoln presiden Amerika paling popular mengatasi pengasas negara Uncle Sam, George Washington dan Franklin Delano Roosevelt. Tetapi di sebalik ini, tersembunyi pelbagai fakta menarik berkenaan presiden Amerika ke-16.

1. Juara World Wrestling Entertainment (WWE)!

WWE belum wujud pada era beliau tapi itu tidak menghalang Lincoln dikenali sebagai jaguh gusti. Ini berlaku disebabkan oleh anggota badannya yang panjang sekaligus membantunya lebih pantas dan dapat menumpaskan mana-mana lawannya. Buktinya, Honest Abe (gelaran Lincoln) hanya kalah sekali dalam 300 perlawanan. Dan Lincoln juga tak keberatan untuk bercakap besar seperti dilakukan mana-mana jaguh hebat seperti Allahyarham Muhammad Ali. Dalam satu perlawanan selepas menumpaskan seorang lawan, beliau mencabar penonton yang menonton perlawanan tersebut melawan tersebut. Tiada siapa berani melawan Lincoln lebih-lebih lagi bila melihat statistiknya. Rekod mengagumkan beliau ini juga mendorong Dewan Kemahsyuran Gusti Kebangsaan memberi gelaran kehormat ‘Outstanding American’ kepada beliau.

2. Pengasas Perkhidmatan Rahsia.

Pada 14 April 1865, Lincoln menandatangani satu perundangan yang membenarkan kewujudan Perkhidmatan Rahsia. Dan pada malam hari tersebut, beliau mati dibunuh oleh John Wilkes Booth di Ford’s Theatre. Jika Perkhidmatan Rahsia berfungsi mengikut standard Perkhidmatan Rahsia hari ini, mungkin beliau boleh diselamatkan dan cubaan bunuh ke atas Lincoln dan anggota kabinetnya juga dapat dielakkan. Namun, hakikatnya peranan Perkhidmatan Rahsia pada ketika itu ialah membanteras aktiviti pemalsuan duit yang berleluasa di Amerika. Peranan perkhidmatan ini hanya dikembangkan pada 1901 selepas berlakunya tragedi pembunuhan Presiden James A. Garfield dan Presiden William McKinley iaitu melindungi Presiden secara rasmi.

3. Dilindungi selepas mati.

Perkhidmatan Rahsia akhirnya dapat melindungi Lincoln walaupun selepas kematian beliau. Sebelas tahun selepas kematian Lincoln, sekumpulan pemalsu dari Chicago cuba mencuri mayat beliau dari kuburnya di Perkuburan Oak Field, Springfield, Illinois. Kubur tersebut hanya dilindungi dengan sebuah mangga sahaja. Tujuan di sebalik cubaan ini ialah mendapatkan wang tebusan sebanyak $200,000 dan memaksa pihak berkuasa melepaskan pemalsu mereka dari penjara. Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dipatahkan anggota Perkhidmatan Rahsia yang menyusup masuk dalam organisasi tersebut. Selepas itu, mayat Lincoln dipindahkan ke satu kubur tidak bertanda, dilindungi oleh sangkar besi dan ditanam di bawah 10 kaki lapisan konkrit.

4. Penyelamat anakku ialah abang pembunuhku.

Beberapa bulan sebelum pembunuhan Lincoln, anak sulung beliau, Robert Todd sedang berdiri di atas satu platform keretapi di Jersey City, New Jersey. Dan tanpa semena-mena, sekumpulan penumpang mula menolak Robert Todd ke belakang sehingga menyebabkan beliau terjatuh pada satu ruang antara platform dengan sebuah keretapi yang bergerak. Tiba-tiba, seseorang menghulurkan tangan dan menarik Robert Todd dari ancaman bahaya tersebut. Apabila beliau melihat siapa yang menariknya, Robert Todd amat mengenalinya. Lelaki yang menyelamatkannya ialah seorang pelakon terkenal bernama Edwin Booth dan dianggap sesetengah sejarawan sebagai Putera Hamlet abad ke-19. Tindakan beliau menyelamatkan Robert Todd memberi sedikit kelegaan kepada Booth selepas peristiwa pembunuhan Lincoln yang dicetuskan oleh John Wilkes.

5. Kuat dan cerdik

Selain dikenali sebagai juara gusti dan petah berpidato, Lincoln turut mencipta sejarah sebagai satu-satunya presiden Amerika Syarikat yang mempunyai paten ciptaannya sendiri. Ketika zaman mudanya, Lincoln menceritakan bagaimana kapal stim yang dinaikinya terpaksa berlabuh apabila keadaan air cetek dan memindahkan kargo yang dimuatkan. Kegemaran Lincoln yang suka mengkaji struktur mekanikal mendorong beliau mencipta satu alat yang membantu kapal meneruskan perjalanan walaupun dalam keadaan air cetek. Seorang mekanik dari Springfield bernama Walter Davis bertanggungjawab membantu Lincoln mencipta model paten tersebut. Tetapi satu misteri berkenaan paten beliau ialah ketiadaan tandatangan Lincoln yang terkenal itu. Ini menunjukkan wujud peminat beliau yang sanggup mengoyakkan sebahagian dari dokumen tersebut untuk mendapatkan tandatangannya. Paten Lincoln untuk ciptaan ini ialah Paten No. 6469 pada tahun 1849.

6. Penguji raifal

Selain gemar mengkaji mekanikal mesin, Lincoln turut dikenali kerana suka menguji senjata api terutama raifal. Hobi ini bukanlah sesuatu yang asing kepada beliau kerana ini antara kegemarannya pada masa lapang seperti yang diceritakan oleh salah seorang setiausaha sulitnya, William O. Stoddard. Tetapi ada ketikanya ia diuji sebagai bukti ianya boleh jadi senjata berguna kepada pihak tentera. Antara individu bertuah di mana Lincoln menguji raifalnya ialah seorang pencipta bernama Christopher Spencer dari Connecticut. Beliau pernah bekerja di kilang pengeluar pistol terkemuka, Samuel Colt tetapi Spencer merasakan raifal yang boleh ditembak berulang kali boleh diisi semula dengan mudah dan pantas. Ini mendorongnya mengadakan ujian di hadapan Pengarah Kelengkapan Tentera Laut, John Dahlgren dengan bantuan Setiausaha Tentera Laut, Gideon Welles. Hasil ujian tersebut mendapati raifal Spencer boleh menembak sebanyak 250 kali dan hanya gagal menembak sekali saja.

Begitupun, ujian tersebut masih belum mengagumkan Ketua Kelengkapan Jabatan Perang, Jeneral James Ripley yang menganggapnya ia satu ciptaan bodoh. Tetapi untuk dua tahun berikutnya, ujian demi ujian dilakukan di hadapan komander-komander tentera darat dan laut termasuk bakal Presiden Amerika Syarikat, Jeneral Ulysses S. Grant, Spencer sekali lagi mendapat peluang untuk memasarkan raifalnya kepada pihak tentera. Kali ini, Lincoln mahu menguji sendiri raifal tersebut. Ditemani oleh Robert Todd, Spencer dan seorang pegawai tentera laut, mereka menuju ke lapang sasar sementara di Rumah Putih. Dan untuk beberapa jam selepas itu, Lincoln menembak beberapa sasaran yang diletakkan dan berpuas hati dengan prestasi senjata tersebut. Peristiwa ini berlaku pada 18 April 1863.

Sebulan selepas ujian tersebut, Ripley dipaksa bersara dari tugasan lapangan dan dilantik sebagai pemeriksa kubu di New England oleh Setiausaha Perang, Edwin Stanton. Menjelang akhir Perang Saudara, lebih 80,000 raifal Spencer digunakan oleh pihak Kesatuan dan ia turut membantu mereka menang dalam Pertempuran Chickamauga. Tetapi legasinya juga sedikit tercemar oleh pembunuh presiden, Booth. Semasa dia ditembak dan ditahan pihak tentera kurang dua minggu selepas pembunuhan Honest Abe, Booth mempunyai sebilah pisau Bowie besar, dua pucuk pistol dan selaras raifal Spencer.

7. “TUNDUK, BODOH!”

Pihak Konfederasi menyerang Washington D.C pada Julai 1864, satu tindakan berani atau terdesak yang dibuat oleh Jeneral Konfederasi, Robert E. Lee. Lee melihat tatkala musuhnya, Grant sibuk menyerang kubu Konfederasi di Richmond, beliau meninggalkan ibu negara Kesatuan dalam keadaan terdedah. Ini mendorongnya menghantar Jeneral Jubal Early dan 15,000 tentera menyerang Washington. Menyedari keadaan bahaya menanti, semua diarah mengangkat senjata termasuk kakitangan kerajaan di mana mereka dibekalkan dengan senapang lantak. Sementara 3,000 askar yang cedera atau tempang keluar dari hospital untuk membantu menjaga pertahanan. Untuk menunjukkan pendiriannya kepada Konfederasi, Lincoln mengetuai sendiri pasukan Kesatuan ke medan perang di Fort Stevens. Walaupun diasak bertubi-tubi oleh tentera Konfederasi, pertahanan Kesatuan terus utuh terima kasih kepada pelbagai penambahbaikan yang dilakukan pada pertahanan Washington. Dan pada hari kedua pertempuran, apabila bilangan tentera Kesatuan semakin ramai, Early sedar serangan ke atas Washington sudah tidak lagi boleh dilakukan. Bagaimanapun, pertempuran terus dilakukan sehingga ke waktu malam untuk membantu mereka berundur.

Pada tengah hari hari yang sama, Lincoln kembali semula ke medan perang bersama isterinya, Mary Todd. Pasangan ini memberi semangat kepada tentera-tentera yang tercedera dan memberi galakan kepada pakar-pakar perubatan yang merawat mereka. Sementara Mary Todd kembali ke kereta kudanya, Lincoln seperti biasa menunjukkan ketenangannya dan tidak mempedulikan bahaya menurut salah seorang jeneral Kesatuan, Horatio G. Wright. Tiba-tiba, kedengaran bunyi satu tembakan dan terkena seorang pakar bedah yang berada tiga kaki di sebelah kana beliau. Pada mulanya, Lincoln enggan berundur tetapi selepas dipujuk atau bahasa kasarnya diancam untuk dipindahkan, barulah beliau beralih dan kembali ke tempat selamat. Menurut satu legenda, Kolonel Oliver Wendell Holmes Jr. yang merupakan bakal Hakim Mahkamah Agung menjerit, “Tunduk, bodoh!” Lincoln meninggalkan medan perang tanpa mengalami sebarang kecederaan dan sempat memberi kebenaran membedil rumah yang menjadi tempat persembunyian penembak curi Konfederasi.

Pada malamnya, Early dan saki-baki tentera Konfederasi berundur dan kembali menyeberangi Sungai Potomac dua hari kemudian. Itulah percubaan mereka mengancam Washington dan Early berbicara bila mengenang Fort Stevens, “Kami gagal menawan Washington tapi kami amat takut dengan Abe Lincoln.”

8. Illinois

Illinois sememangnya negeri yang mempunyai hubungan kuat dengan Lincoln tapi hakikatnya, semasa kecil, masanya banyak dihabiskan di Indiana. Beliau dilahirkan pada tahun 1809 di Hodgenville, Kentucky sebelum berpindah mengikuti keluarganya ke Indiana pada tahun 1816. Lincoln hanya kembali ke Illinois 14 tahun selepas itu iaitu pada tahun 1830.

9. Nancy dan Sarah Bush Lincoln

Dua wanita yang memberi impak besar kepada pertumbuhan Lincoln ialah ibu kandungnya, Nancy dan ibu tirinya, Sarah. Semasa kecilnya, Nancy menerapkan unsur kejujuran, belas kasihan dan kecintaannya kepada ilmu. Walaupun Nancy tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal, beliau mengingatkan Lincoln kepentingan pembelajaran dan pembacaan. Dan apabila bondanya meninggal dunia akibat minum susu tercemar, ia mengakibatkan beliau mengalami kesedihan teramat.

Namun kesedihannya terubat apabila bapanya, Thomas berkahwin dengan Sarah Bush pada tahun 1819. Selepas mereka berkahwin, Thomas membawa Sarah dan tiga anak tirinya ke Indiana untuk duduk bersama Lincoln dan adiknya, Sarah. Di situ, Sarah Bush memberi sentuhan kewanitaan pada isi rumahtangga Lincoln dan meneruskan didikan yang diterapkan oleh Nancy. Malah Sarah Bush sentiasa menegaskan Lincoln tidak pernah berbohong dan sentiasa menjaga integritinya. Dan seperti Nancy, beliau turut menambah minat Lincoln dalam aspek pembacaan dan pendidikan. Hubungan mereka berdua amat erat di mana Sarah Bush menganggapnya seperti darah dagingnya sendiri. Sementara Lincoln pula menyifatkan ibu tirinya itu sahabat karib dan ibu yang paling dikasihinya.

Selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 1851, Lincoln berusaha menjaga ibu tirinya termasuk mengekalkan plot tanah 40 ekar untuk Sarah Bush di Illinois. Dan semasa beliau meninggalkan ibu tirinya selepas mengadakan lawatan pada tahun 1861, air mata mengalir dari ibunya itu. Sarah Bush tidak mahu Lincoln menjadi presiden kerana bimbang sesuatu buruk akan menimpanya. Apa yang dibimbangi beliau menjadi kenyataan pada tahun 1865 apabila Lincoln dibunuh oleh John Wilkes Booth di Ford’s Theatre. Apabila mendengar berita tersebut, Sarah Bush menangis dan meletakkan apron pada mukanya sambil berkata, “Mereka membunuh dia. Aku tahu mereka akan melakukannya. Aku tahu mereka akan melakukannya.” Empat tahun selepas kematian Lincoln, Sarah Bush meninggal dunia dan dikebumikan dengan baju kapas berwarna hitam pemberian anak tirinya yang dikasihi itu.

10. Tak pernah tidur di Bilik Tidur Lincoln

Semasa menetap di Rumah Putih, Lincoln tidak pernah tidur di Bilik Tidur Lincoln. Sebaliknya, bilik tersebut digunakan sebagai pejabat peribadinya. Di sinilah, beliau mengadakan mesyuarat dengan ramai anggota Kabinet dan menandatangani pelbagai dokumen penting. Antara dokumen penting yang ditandatangani ialah Dokumen Emansipasi yang mengharamkan amalan perhambaan di Amerika Syarikat.

SUMBER

1. Klein, Christopher. (2012). History.com. 10 Things You May Not Know About Abraham Lincoln. https://www.history.com/news/10-things-you-may-not-know-about-abraham-lincoln

2. Morrisson, Jed. (2013). The New York Times. Target Practice With Mr. Lincoln. https://opinionator.blogs.nytimes.com/2013/08/19/target-practice-with-mr-lincoln/

3. Klein, Christopher. (2014). History.com. The Two Mothers Who Molded Lincoln. https://www.history.com/news/the-two-mothers-who-molded-lincoln

4. Klein, Christopher. (2014). History.com. Lincoln’s Battlefield Brush with Death, 150 Years Ago. https://www.history.com/news/lincolns-battlefield-brush-with-death-150-years-ago


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.