Minamoto adalah nama keluarga kerabat diraja yang dikurniakan oleh Maharaja Jepun. Walaubagaimanapun, kerabat ini tidak tersenarai dalam perlantikan diraja dan pangkatnya seiring dengan pangkat bangsawan dari 1192 ke 1333. Puak Minamoto juga digelar sebagai Genji (源氏), iaitu nama lain dalam bentuk on’yomi atau kanji. Menariknya tentang Minamoto ini adalah puak samurai ini adalah antara 4 buah puak terkenal menguasai dunia politik Jepun semasa Fasa Heian (794 – 1185). Tiga buah puak lain adalah Fujiwara, Taira, dan Tachibana.

Maharaja yang menamakan Minamoto kepada salah satu puteranya adalah Maharaja Saga yang dilaporkan mempunyai 49 orang anak diraja. Kehadiran anak-anak maharaja yang begitu ramai ini mengakibatkan istana mengalami masalah kewangan. Bagi menyelesaikan masalah tersebut, Maharaja Saga terpaksa menjadikan sebilangan anak-anaknya sebagai bangsawan yang keluar dari hubungan diraja.

Gambar 1: Logo puak samurai Minanoto.

Baginda memilih nama Minamoto (bermaksud asal-usul) sebagai nama keluarga untuk puteranya. Pemberian nama ini adalah simbolik bahawa putera dan keturunannya berkongsi darah dengan kerabat diraja. Jadi, putera Maharaja Saga yang memiliki nama keluarga Minamoto adalah Minamoto no Makoto, putera ketujuh baginda. Kemudian Maharaja Jepun seterusnya iaitu Seiwa, Murakami, Uda, dan Daiga melakukan amalan yang sama dengan menamakan anak bukan pewaris diraja sebagai Minamoto.

Puak Minamoto berpecah kepada 21 buah cabang keluarga atau Genji, berdasarkan kepada keturunan dari maharaja yang menamakan Minamoto kepada moyang mereka. Cabang keluarga yang terkenal adalah Seiwa Genji, keturunan dari Minamoto no Tsunemoto (897 – 961), cucu kepada Maharaja Seiwa. Tsunemoto kemudian menjadi pengasas kepada kelahiran keluarga samurai yang terkenal. Pewaris seterusnya iaitu Minamoto no Mitsunaka (912 – 997) membentuk persekutuan dengan puak samurai yang juga terkenal bernama Fujiwara, kemudian bersama-sama menguasai kota Heian-Kyō (Kyoto) selepas pengunduran kuasa maharaja Heian.

Anak sulung Mitsunaka, Minamoto no Yorimitsu (948 – 1021) menjadi anak murid dan pemangku maharaja berdarah Fujiwara iaitu Fujiwara no Michinaga. Manakala anak kedua Mitsunaka iaitu Minamoto no Yorinobu (968 – 1048) berjaya mematahkan pemberontakan puak samurai Taira yang cuba berkuasa pada 1032. Cucu Mitsunaka bernama Minamoto no Yoshije (1039 – 1106) berjaya membawa keamanan di barat daya Jepun sekitar 1051 dan 1087. Ini menunjukkan puak Minamoto memegang kuasa pemerintahan dan mengawal segala aktiviti politik Jepun walaupun puak Fujiwara yang menguasai Jepun.

Kemudian kuasa Minamoto merosot sejak perang sivil Hōgen Rebellion (1156) yang melibatkan peperangan ketiga-tiga puak samurai dominan, di mana Minamoto yang diketuai oleh Minamoto no Tameyoshi telah kalah dan dihukum pancung. Ketua seterusnya iaitu Minamoto no Yoshitomo mengetuai dalam perang sivil seterusnya iaitu Heiji Disturbance (1160) namun telah gugur. Puak samurai Taira mengambil kesempatan dengan meluaskan pengaruhnya, melalui persekutuan dengan bekas maharaja Go-Shirakawa dan Toba, kemudian menguasai politik Jepun. Ketua Taira iaitu Kiyomori mengenakan hukuman buangan kepada puak Minamoto bagi mengelak sebarang pemberontakan dari puak yang telah lama berkuasa di balik kedudukan maharaja Jepun.

Gambar 2: Perang Genpei. Antara perang terpenting dalam sejarah Jepun di mana pemerintahan Shogunate pertama diasaskan setelah kemenangan besar Minamoto.

Pada 1180, Perang Genpei berlaku atas pemberontakan besar-besaran oleh Minamoto yang diketuai oleh Minamoto no Yoritomo dan berakhir dengan penggulingan kuasa puak Taira dan penaklukan timur Jepun selama 5 tahun. Pada 1192, Yoritomo dilantik sebagai Shogun dan menubuhkan pemerintahan Shogunate pertama di Kamakura. Selepas fasa Kamakura Shogunate, beberapa puak samurai lain lahir dari keluarga Minamoto, terutamanya puak Ashikaga yang menubuhkan Ashikaga Shogunate.

Kisah puak Minamoto tidak berakhir saja di sini. Minamoto tidak sekadar terkenal dengan sejarahnya di fasa Heian malah tokohnya juga terkenal sehingga dia dimitoskan dalam mitos Jepun. Tokoh tersebut adalah Minamoto no Yorimitsu.

Yorimitsu atau dikenali sebagai Minamoto no Raikou adalah salah satu ahli Minamoto terawal yang terkenal dengan ekspedisi perang terutamanya menghapuskan ancaman penyamun Ōeyama. Ketaatan terhadap maharaja berdarah Fujiwara menyebabkan beliau memperoleh pelbagai jawatan tertinggi seperti jawatan komander dalam rejimen pengawal diraja dan setiausaha Kementerian Peperangan. Beliau juga memperoleh penguasaan terhadap beberapa negeri seperti Izu, Kozuke, dan Settsu iaitu bekas naungan mendiang ayahnya, Mitsunaka.

Gambar 3: Minamoto no Yorimitsu/Raikou

Sepanjang khidmatnya sebagai pemangku maharaja, Raikou bersama empat orang samurai yang terkenal dengan lagendanya dan mereka berempat ini digelar sebagai Shitennō yang bermaksud “Empat Penjaga Raja”. Empat orang samurai itu adalah Watanabe no Tsuna, Sakata no Kintoki (yang terkenal dari lagenda Kintarō), Urabe no Suetake, dan Usui Sadamitsu.

Raikou kemudian terkenal melalui beberapa kisah lagenda seperti kisah Kintarō. Kintarō (Budak Emas) adalah budak lelaki yang tinggal di Gunung Ashigahara bersama ibunya. Dikatakan zaman kanak-kanak Kintarō amat aktif, mempunyai kulit kemerah-merahan, berisi, dan hanya memakai lapik dada dengan tulisan kanji Emas (金). Kintarō mempunyai kekuatan luar biasa sehingga mampu memecahkan batu, mencabut pokok, dan membengkokan dahan pokok dengan mudah. Kintarō juga dikatakan mampu berbahasa bahasa haiwan.

Kintarō mempunyai kisah pengembaraanya sendiri, termasuk melawan raksasa dan Oni (syaitan), menumbangkan beruang dalam perlawanan sumo, dan membantu penebang pokok dengan menggunakan kedua-dua belah tangan menebang pokok. Masuk ke alam dewasa, Kintarō menukarkan namanya kepada Sakata Kintoki.

Kemudian Kintoki bertemu Raikou ketika dia mengembara di Gunung Kintoki. Raikou kagum dengan kekuatan Kintoki dan menawarkan peluang sebagai pengawal Raikou dan tinggal di Kyoto. Kintoki menerima perlawaan Raikou dan dia belajar seni mempertahankan diri di sana. Kemudian Kintoki menjadi antara ahli Shitennō.

Gambar 4: Illustrasi Sakata Kintoki semasa remaja melawan ikan karp gergasi oleh Yoshitoshi.

Raikou juga hadir dalam kisah lagenda Shuten-Douji. Semasa pemerintahan Maharaja Ichijō, berlaku kes kehilangan kanak-kanak dan setelah disiasat, ketua Oni bernama Shuten-Douji yang bertanggungjawab atas kehilangan tersebut. Kemudian maharaja mengarahkan Raikou dan pengikut untuk menghapuskan kegiatan para Oni serta membakar sarang mereka yang berpusat di Gunung Ōe yang terletak di selatan Kyoto.

Raikou telah melaksanakan misi tersebut dan memenggal kepala Shuten. Kepalanya yang terpenggal masih hidup dan memulakan serangan terakhir dengan mengigit kepala Raikou. Namun serangan itu gagal kerana tindakan pantas pengikut Raikou memakaikan ketuanya dua buah helmet.

Bagi saya, kisah lagenda Shuten-Douji adalah kisah sebenar Raikou menghapuskan kegiatan penyamun di Gunung Ōe, kemudian dimitoskan supaya kisah ini mudah diserap kepada masyarakat Jepun. Raikou tidak terkenal melalui mitos Jepun saja. Dia terkenal melalui pendedahan dari industri video game dan animasi Jepun seperti game telefon Fate/Grand Order (FGO), di mana Raikou hadir dengan versi wanita dan sebagai Servant kelas Berserker.

Gambar 5: Minamoto no Raikou versi wanita dari FGO.

Raikou dari dunia Fate berbeza dengan Raikou sebenar. Dia adalah anak perempuan Mitsunaka yang bersatu dengan ‘kembarnya’ bernama Ushi-Gozen yang mempunyai aura jahat sehingga Raikou mempunyai tanduk lembu ketika bayi. Mitsunaka ingin membunuh anaknya namun diselamatkan oleh isterinya dan melarikan diri membawa Raikou.

Ketika dewasa, Raikou bersyukur atas pengorbanan ibu untuk membesarkan dirinya kemudian menjadikan ibunya sebagai ‘role-model’ dalam hubungan ibu-anak kepada keempat-empat pengawal samurai terutamanya Sakata Kintoki.

Sakata Kintoki juga dimasukkan dalam game FGO di mana dia adalah Servant berkelas Berserker yang mempunyai perwatakan materialism atau taksub terhadap emas dan mempunyai kuasa setanding Dewa Kilat seperti Thor dari mitos Norse.

Gambar 6: Sakata Kintoki dari FGO.

RUJUKAN:

Piggott, J. (1997). Japanese Mythology. London: Chancellor Press.

Sansom, George (1958). A History of Japan to 1334. Stanford University Press. pp. 241–242, 247–252.

Sato, Hiroaki (1995). Legends of the Samurai. Overlook Duckworth. pp. 61–64, 66.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.