Pagoh merupakan satu pekan yang kian pesat membangun sebagai Bandar Universiti merupakan satu kawasan yang sangat terkenal dalam sejarah Melayu. Pagoh yang telah wujud lebih 500 tahun lamanya menyimpan 1001 kisah dan saksi kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Namanya disebut dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang menerangkan perihal pengunduran Angkatan Perang Melaka ketika Portugis merampas Kota Melaka pada 1511. Siapa yang sangka, kawasan kampung yang kecil ini suatu ketika dahulu pernah berlaku beberapa siri peperangan yang dasyat dan bertahan selama bertahun – tahun.

Antara penulis-penulis hebat yang pernah menulis berkenaan Pagoh ini adalah tidak lain dan tidak bukan, Bapa Pensejarahan Malaysia   Buyong Adil, Sejarawan Muar Dato’ Abdul Shukor Ismail, Haji Aris Md Tahir, Shaharom Hussein dan beberapa yang lain. Sedikit perkongsian dalam pembacaan beberapa buah buku berkaitan sejarah Johor, Melaka dan beberapa cacatan lain berkenaan beberapa siri pertempuran yang pernah berlaku di bumi Pagoh ini suatu ketika dahulu.

SEJARAH RINGKAS PAGOH

Saya mengambil dari beberapa tulisan Dato’ Haji Shukor Ismail dari Buku Sejarah Ringkas Muar. Pagoh satu tempat yang terletak hulu Sungai Muar dan kira-kira 30 Km dari Bandar Maharani Bandar Diraja mendapat namanya daripada perkataan “BAGUS”. Perkataan “BAGUS” dikatakan satu perkataan lama orang asli di kawasan ini ( kini masih ada lagi perkampungan orang asli terutama di Lenga seperti Kampung Sentosa dan Kampung Tui ). Manakala, ada yang mengatakan Pagoh mendapat namanya daripada perkataan “Pagar yang sangat kukuh.” Mungkin pagar itu merujuk sebagai pagar kota yang dibina di tebing Sungai Muar dan Sungai Pagoh.

Pagoh dibuka semula oleh Bendahara Dato’ Wan Sulaiman dari Kota Tinggi pada kira-kira 1702 dan seterusnya diganti oleh Dato’ Bentara Hassan . Sedikit kekeliruan penulis disini kerana pada 1702 Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV ( Sultan pertama johor dari nasab Bendahara selepas ketiadaan waris Sultan Mahmud Syah 2 ) dan Bendahara ketika itu adalah Bendahara Seri Maharaja Tun Mas Anum dan selepas kemangkatannya, diganti pula oleh Bendahara Paduka Raja Tun Jenal.  Penulis ada terbaca berkenaan Dato’ Wan Sulaiman bin Tun Mutalib dari Pahang. Maaf jika saya ada kekhilafan disini. Mohon diperbetulkan kepada yang mengetahui. Malahan, Pagoh sudah lama wujud dah buktinya apabila Sultan Alauddin Riayat Syah ibni Sultan Mansur Syah pernah bersemayam, mangkat dan dimakamkan di bumi Pagoh. Sultan Alauddin Riayat Shah memerintah dari 1477 hingga 1488. Sudah hampir 530 tahun usia Pagoh dan saya percaya malah lebih tua lagi usianya. Makam Sultan Alauddin Riayat Syah 1 kini berada di atas sebuah didalam kawasan Masjid Kampung Raja.

PENAWANAN KOTA MELAKA

Kita terus tumpukan kepada beberapa pertempuran yang berlaku sewaktu Angkatan Melaka bertahan apabila Portugis menawan Kota Melaka pada 1511. Apabila Angkatan Portugis dibawah pimpinan Alfonso de Albuquerque dapat menawan Kota Melaka, Angkatan Melaka dibawah Sultan Mahmud Syah dan Sultan Ahmad Syah telah meninggalkan Kota Melaka dan bergerak lebih ke hulu Sungai Melaka.  Sultan Ahmad Shah berhenti di Bertam manakala ayahandanya Sultan Mahmud Syah di Batu Hampar. Batu Hampar dipercayai terletak bederkatan dengan Naning kini. Sultan Ahmad Syah telah berbuat kubu di Bertam dan ingin merampas semula Kota Melaka akan tetapi Portugis telah bertindak menyerang Bertam pada September 1511 selepas mendapat perkhabaran bahawa Sultan Ahmad Syah mahu menyerang semula dari situ. Sultan Ahmad Syah dan pasukannya undur lagi dan bergabung dengan pasukan ayahandanya Sultan Mahmud Syah di Batu Hampar. Maka, bermulalah peranan Pagoh sebagai benteng pertahanan angkatan Melaka apabila Angkatan Melaka dengan melalui Sungai Muar dan telah memilih Pagoh untuk bertahan. Baiklah, Buyong Adil dalam karyanya “Sejarah Johor” menyatakan mereka berkota di Pagoh dan berkubu di Bentayan. Saya fikir satu jarak yang agak jauh dari Pagoh untuk ke Bentayan dengan melalui Sungai Muar yang berlekok-lekok bentuk geografinya. Penulis juga pernah menaiki bot dari Kundang Hulu hingga Brohol yang jaraknya tidak berapa jauh jika mengikuti jalan darat, itu pun sudah mengambil masa hampir 40 – 50  minit. Mungkin juga Bentayan dipilih kerana ianya ibarat pintu masuk dari Kuala Sungai Muar untuk ke hulu dan bertujuan menghalang Portugis melalui yang datang dari Selat Melaka.

PERTEMPURAN 1511

Pada peringkat ini, Kuala Sungai Muar memainkan peranan sangat penting. Apabila Alfonso de Albuquerque mendapat tahu bahawa Angkatan Perang Melaka ini telah siap siaga di Muar, lalu Portugis menjadi gentar dan terancam. Dengan ini, Portugis mengambil keputusan dengan menghantar seperti berikut :

  • 400 Askar Portugis
  • 600 Askar Jawa (Japara) – upahan
  • 300 Askar Burma/Myanmar kini (Pegu) – upahan

Seterusnya, bala tentera Portugis ini dihantar untuk menyerang Kubu Bentayan di Kuala Muar. Apabila selesai di Bentayan, mereka menghulu Sungai Muar dan menyerang pula Pagoh. Ketika inilah pertempuran dasyat telah berlaku antara Portugis dan orang Melayu di Pagoh.  Malangnya, pasukan Melaka di Pagoh telah mengalami kekalahan dan Sultan Mahmud berundur ke Pahang .

Jika mengikut Sulalatus Salatin penyelenggara A. Samad Ahmad , Sultan Ahmad Shah berundur ke Hulu Muar dan ke Pagoh, Sultan Mahmud Shah pula ke Batu Hampar dan Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok) di Lubok Batu. Bendahara Paduka Tuan telah mangkat disitu (Bendahara Tepok mengasaskan nama segamat melalui perkataan “Segar” “Amat”). Lalu, Sultan Ahmad Shah membuat kota di Bentayan .  Portugis telah datang menyerang Pagoh dan dalam pertempuran ini Sang Setia telah terkorban dan Pagoh pun kalah dalam pertempuran pertama ini. ( Perihal Sang Setia, ada pelbagai pendapat mengenai lokasi makamnya. Ada mendakwa di Bentan, ada pula mendakwa di Pagoh). Seterusnya, Sultan Ahmad dan ayahandanya Sultan Mahmud  berundur ke hulu dan melalui laluan Penarikan dan terus ke Pahang bertemu Sultan Pahang, Sultan Abdul Jamal.

Laluan Penarikan laluan pintas menghubungkan timur dan barat semenanjung. Laluan ini antara Sungai Serting dan Sungai Jempol sejauh 0.5 km. Untuk ke timur adalah dari Sungai Serting, melalui Sungai Bera dan seterusnya Sungai Pahang keluar di Kuala Pahang.  Manakala, untuk ke barat pula dari Sungai Jempol ke Sungai Muar di Kuala Sungai Muar.

Sedikit perkongsian gambar semasa penulis menyertai Ekspedisi Menyelusuri Laluan Penarikan  pada 2-6 Oktober yang lalu. Ekspedisi ini melalui Sungai Pahang dari Pekan, ke Sungai Bera, ke Pertemuan Sungai Jempol dan Sungai Muar , seterusnya di Sungai Muar di Pagoh dan berakhir di Muara Sungai Melaka.

PERTEMPURAN 1512

Pada tahun berikutnya, Jun 1512, Sultan Mahmud dan angkatannya ikut jalan laut ke Muar dan bersemayam serta berkota di Bentayan. Ini mengikut riwayat Fernao Peres de Andrade dalam buku Sejarah Johor tulisan Buyong Adil . Penulis sedikit musykil, kenapa Angkatan Sulatan Mahmud Syah perlu melalui jalan laut yang agak jauh memusing dan tidakkah angkatan laut Portugis tidak berkawal di Kuala Sungai Muar?? .

Dalam Sulalatus Salatin hanya menyatakan :

“Hatta berapa lamanya di Pahang, lalu berangkat ke Johor, duduk di Pekan Tua, membuat kota di Kota Kara, maka sembah segala rakyat, “ Tuanku, jauh amat ke hulu negeri ini,”. Maka baginda pun lalu ke Bintan bernegeri di Sungai Bukit Batu pelabuhan namanya. Sulatan Mahmud Shah di Tebing Tinggi, Laksamana Khoja Hassan duduk di Pantar”

Maksudnya. Tiada pula menyatakan bahawa Sultan Mahmud pergi ke Pagoh semula.

History Of Malaya (1400-1959) tulisan Joginder Singh Jessy :-

“Sultan Mahmud never became reconciled to the loss of his capital and, with the resources of the rest of his empire behind him, he made many attempts to recover it. In 1512, the Portugese heard that he was in Muar, preaparing to attack. Without waiting for him to make the first move, the Portugese fleet took the initiative. Mahmud was driven up the Muar River as far as Pahang. In 1513, following a misunderstanding with Pahang’s ruler, Sultan left for Bintang (Bentan), where established his new headquarters.”

Berbalik kepada tulisan Buyong Adil pula, pada Julai 1512 Sultan Mahmud menghantar angkatan perang yang diketuai oleh Laksamana Hang Nadim ke Kota Melaka. Lalu, berlaku pertempuran dengan Portugis yang diketuai oleh Fernao Peres de Andrade. Pertempuran berlaku tidak jauh dari kuala Muar , mungkin di perairan Selat Melaka (boleh jadi di perairan Umbai, Telok Ketapang, Merlimau dan Kuala Kesang). Malangnya, pasukan Hang Nadim kalah dan pulang semula ke Muar. Dalam Ogos 1512, angkatan portugis  pimpinan Fernao Peres de Andrade menyerang Pagoh  dan serangan ini telah menyebabkan Sultan Mahmud bersama pengikutnya pergi berundur meninggalkan Muar. Baginda pergi semula ke Bentan dan bersemayam di tempat bernama Kopak. Disini jugalah Sultan Ahmad Syah mangkat dan dimakamkan di Bukit Batu dan baginda dikenali sebagai “Marhum Bukit Batu”.

SEKATAN BEKALAN MAKANAN DI KUALA MUAR 1515 – 1518

Walaupun baginda di Bentan, semangat baginda untuk mendapatkan semula “Little Venice in Asia”  ini masih belum luntur. Baginda mengaplikasikan strategik perang yang diperkenalkan Sun Tzu dalam bukunya “Art Of War” iaitu :

“Bila askar musuh dalam keadaan serba cukup, maka bikinlah mereka kebulur. Ketika mereka sedang kelaparan, pastikan mereka kekenyangan.” – Sun Tzu

Dalam tahun 1515 hingga 1518, baginda telah menghantar beberapa buah perahu perang ke Kuala Muar untuk menyekat perahu-perahu yang membawa barangan dan makanan dari kawasan-kawasan sepanjang Sungai Muar ke Melaka. Sekatan makanan ini juga didorong oleh faktor pembunuhan Raja Abdullah (Bendahara Pertama Melaka di bawah pemerintahan Portugis) yang dituduh “Tikam Belakang” terhadap Portugis. Pembunuhan tanpa usul periksa itu dianggap tidak adil dan pemerintah sekeliling Melaka melakukan bantahan dengan menyekat bekalan sumber ke Melaka.

PERTEMPURAN 1519

Serangan seterusnya adalah pada 1519. Portugis dapat tahu bahawa Sultan Mahmud dan angkatannya dari Bentan telah datang semula ke Pagoh. Sultan Mahmud tidak putus harap untuk menentang balik Portugis dan merampas semula Kota Melaka. Dengan ini, Portugis telah menghantar Duerte de Millo untuk menyerang Pagoh melalui Sungai Muar, akan tetapi dapat dipintas oleh pasukan Sultan Mahmud. Serangan demi serangan melalui darat dan laut ke Melaka dilakukan. Akan tetapi, saban tahun bertambah sukar terutama dengan terbinanya kota batu  iaitu “A Famosa”/ Fort de Santiago di Kota Melaka.

PERTEMPURAN 1520

Siri pertempuran ini adalah paling dasyat. Portugis sudah melihat bahawa Pagoh adalah bukan calang-calang punya tempat. Pagoh yang menjadi kubu kuat Angkatan Melaka ini harus dimusnahkan dan tidak lagi menjadi satu ancaman kepada kestabilan kedudukan Portugis di Melaka. Pada 1520, satu angkatan Portugis diketuai oleh Antonio Correa dengan kekuatan seperti berikut :

  • 500 askar campuran ( 150 Portugis )

Pertempuran dasyat yang berlangsung berhari-hari ini telah menyebabkan kedua-dua belah pihak mengalami kerugian teruk. Akan tetapi, keputusan memihak Portugis dan Pagoh telah tumpas.

PERTEMPURAN HULU SUNGAI MUAR 1535  ?

Dalam tulisan Leonard Y. Andaya Kerajaan Johor 1641-1728, ada menyatakan satu pasukan penggempur Portugis telah membakar sebuah Kubu Pertahanan Johor yang terletak di Hulu Sungai Muar pada 1535 .  Tetapi penduduk disitu sempat melarikan diri lebih ke hulu dan membawa barang yang sempat dibawa sahaja. Apabila serangan kembali reda, mereka masih mampu berhimpun semula dan terus menyerang Portugis dan perkapalan tempatan yang mahu ke Melaka. Kemudian, keadaan masih tidak berubah dan Portugis menghantar satu pasukan lagi ke Sungai Johor dan memusnahkan bandar itu pada 1536. Ketika ini, telah 7 tahun pengasasan Kesultanan Johor dan Johor dibawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah II ibni Sultan Mahmud Shah.

Sedikit penulis rasa keliru disini, iaitu pada 1535 Portugis menyerang Hulu Sungai Muar dan 1536 di Sungai Johor ?? . Mungkinkah wujud jaringan laluan sungai yang menghubungkan aliran Sungai Johor dan Sungai Muar atau mungkin Sungai Batu Pahat ( melalui Sungai Simpang Kiri/kanan) disini ?? . Apa yang pasti, Laluan Penarikan bukanlah satu-satunya jalan pintas menhubungkan timur-barat semenanjung, akan tetapi kira-kira 6 jalan pintas purba lain wujud seperti yang diketahui dan ramai pengkaji bebas sejarah menyatakan iaitu laluan antaranya Bernam – Pahang, Batu Pahat – Endau (Sembrong) , Kedah – Patani, Perak – Patani dan beberapa yang lain.

Jika benar Hulu Sungai Muar itu merujuk kepada Pagoh, ini menunjukkan Pagoh masih lagi bertahan sebagai Kubu Pertahanan walaupun sudah beberapa kali selama bertahun – tahun dilanggar Portugis. Jika dikira dari 1511 hingga 1535, hampir 24 tahun ia bertahan.

KUBU – KUBU PERTAHANAN

Terdapat 3 buah kubu di Pagoh iaitu :

  • Kubu Kuala Pagoh
  • Kubu Melini
  • Kubu Wak Nayan / Kubu Nayan

Kawasan-kawasan bekas kubu kini terletak di sekitar Kampung Brohol, Kampung Olak Sepam, Kampung Melini dan Kampung Raja. Menurut kenyataan Ketua Kampung Brohol, Johari Abdul Hamid dipetik dari BH Plus bertarikh 16 Disember 2016 , beliau sempat melihat kesan kubu pertahanan itu ketika zaman kanak-kanak dan tambahnya kubu itu berbentuk segi 4 yang diperbuat daripada tanah yang tinggi. Namun, telah diruntuhkan bagi pembinaan jalan raya seperti yang ada kini yang dilaksanakan pada 1950-an . Beliau juga menyatakan  ketika kerja merobohkan kubu pertahanan , penduduk kampung dan pekerja ada menemui  beberapa barang tinggalan sejarah seperti keris dan tombak. Tambahnya pula, arwah bapanya iaitu Allahyarham Abdul Hamid Abdul Raof menyimpan sepucuk Lela yang dipercayaai milik Sultan Mahmud Syah .

KESAN – KESAN SEJARAH YANG DAPAT DILIHAT KINI DI PAGOH

Terdapat beberapa monument sejarah yang masih boleh dilihat generasi kini di Pagoh. Kebanyakannya berada di Kampung Raja, Kampung Olak Sepam dan Kampung Brohol . Antaranya adalah Makam Sultan Alauddin Riayat Syah 1 ibni Sultan Mansur Syah  dan Makam Raja Merlang di atas sebuah bukit bersebelahan Masjid Kampung Raja, Makam Panglima Mat Berani di tebing Sungai Muar bederkatan Kuala Sungai Pagoh dan Papan Peringatan 500 tahun Pagoh juga di Kuala Sungai Pagoh.  Sesungguhnya, banyak lagi sebenarnya khazanah-khazanah yang belum terungkap di bumi Pagoh ini. Penulis berharap tulisan ini dapat dibaca oleh semua terutama anak kelahiran bumi Pagoh agar mereka tahu serba sedikit akan sejarah tanah dimana mereka membesar. Segala kekhilafan dalam penulisan ini dapat dimaafkan dan sebarang tambahan maklumat amat dialu-alukan.

  • Syarifuddin Sukor

Sumber Rujukan :

  • Sejarah Johor, Buyong Adil
  • Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19, Buyong Adil
  • Sulalatus Salatin Selenggara A.Samad Ahmad
  • Tawarikh Johor, Shaharom Hussein
  • Kerajaan Johor 1641-1728 Pembangunan Ekonomi Dan Politik, LY Andaya
  • Sejarah Ringkas Muar, Abdul Shukor Ismail
  • Sejarah Pergolakan Dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, Suzana Othman
  • History Of Malaya (1400-1959), Johidder Singh Jessy
  • Jurnal Yayasan Warisan Johor Jilid III

BUKIT KERAMAT YANG MENEMPATKAN MAKAM SULTAN DARI ARAH SUNGAI PAGOH]
MAKAM PANGLIMA MAT BERANI
MAKAM SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SYAH 1
MASJID KAMPUNG RAJA. DISINILAH DIPERCAYAI BEKAS TAPAK ISTANA SULTAN ALAUDDIN RIAYAT SYAH 1
SUNGAI PAGOH

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang anak jati Muar yang amat mencintai sejarah, warisan dan budaya. Aktif dalam menulis artikel sejarah tempatan walaupun kini sedikit menyepi kerana menumpukan dahulu pada kerjaya hakiki. Telah menubuhkan Persatuan Sejarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (PASEM) pada 16.11.16 sebagai medium memupuk minat terhadap Sejarah terutama sejarah ketenteraan serta minat menulis dalam kalangan ahlinya. Penulis juga merupakan AJK Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Muar dan Penasihat 2 Persatuan Sejarah UPNM (PASEM) . Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi dari UPNM.

Comments are closed.