Beberapa bulan sebelum itu, seorang negarawan dan tokoh politik mengeluarkan satu kenyataan yang amat kontroversi berkenaan Bugis dan lanun dalam satu perhimpunan. Walaupun kenyataan itu ditujukan kepada tokoh lawan, tetapi ia menimbulkan kemarahan ramai pihak termasuk dari pihak istana dan komuniti Bugis termasuk dari Indonesia. Saya tak nak sentuh itu, sebaliknya saya ingin tahu, apakah benar dakwaan Bugis itu lanun atau itu hanya satu mitos?

ASAL-USUL BUGIS

Sebenarnya, orang-orang Bugis yang berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dari Sulawesi Selatan pada abad ke-17 Masihi bukan terdiri daripada orang Bugis sahaja. Hakikatnya, mereka berasal dari beberapa suku kaum iaitu suku kaum Toraja, ToMenre/Mandar, ToUgi/Bugis dan ToMengkasar/Makassar. Dua suku kaum pertama yang saya sebut ini agak asing dalam konteks kemelut politik negeri-negeri Melayu. Sebaliknya, kebanyakan tokoh yang terlibat berasal dari Bugis dan Makassar. Suku kaum ToUgi/Bugis ini dipecahkan kepada beberapa suku kaum seperti Wajo, Soppeng, Bone dan Balangnipa. Sementara suku kaum ToMengkasar/Makassar yang dipecahkan kepada beberapa suku lain ialah Gowa, Botonompo, Takalara, Janaponto dan Tombolo. Hakikat yang kita perlu tahu ialah kedua-dua Bugis dan Makassar merupakan satu unit kebudayaan yang tidak boleh dipisahkan dan dikenali sebagai budaya Bugis-Makassar. Namun di luar Indonesia, orang hanya mengenali Bugis tetapi tidak mengaitkan Makassar dari sudut ini.

Pada abad ke-17, ramai memutuskan untuk berhijrah dari Ujung Pandang kerana tidak tahan dengan dasar monopoli yang diamalkan Belanda dalam perniagaan rempah di Maluku. Makassar pada abad tersebut dikenali sebagai pusat pengumpulan dan perdagangan rempah ke seluruh pelosok Nusantara dan Eropah. Maka tidak hairanlah, Makassar menjadi tumpuan pedagang Eropah bukan saja pedagang Belanda tetapi juga pedagang Sepanyol, Portugal dan England. Akibatnya, pedagang dari Amsterdam ini terpaksa bersaing dengan pedagang-pedagang Eropah lain. Bagi memastikan mereka memonopoli perdagangan rempah, Belanda menawan Makassar pada 16 November 1667 dan meletakkan seorang Gabenor bagi kawasan Sulawesi Selatan dan Tenggara berpangkalan di Makassar. Selain itu, Belanda turut memeterai perjanjian dengan kerajaan Gowa di mana antara isi kandungan perjanjian ialah menghalang mereka menerima pedagang-pedagang Eropah lain dan tidak boleh mengadakan perjanjian dengan kuasa-kuasa Eropah. Ramai berang dengan perjanjian tersebut kerana melihat ia menutup periuk nasi berikutan sebahagian besar daripada mereka berniaga rempah. Enggan membenarkan diri mereka dijajah, sesetengah orang Bugis berlayar bersama ketua mereka untuk membuka petempatan baru. Antara lokasi-lokasi yang dipilih ialah utara Borneo, kawasan pesisir Selat Melaka dan utara pulau Jawa. Buktinya, J.M Gullick dalam bukunya, A History of Selangor 1742-1957 menyatakan orang Bugis sudah membuka petempatan di muara Sungai Klang dan Sungai Selangor seawal tahun 1681 dan ada di antara mereka berlayar sehingga ke sebelah utara Selat Melaka termasuk Kedah dan Acheh.

Kedudukan orang Bugis semakin kukuh apabila lima bangsawan Luwuk bersaudara diketuai Daeng Parani berlayar ke Selat Melaka pada awal abad ke-18 Masihi. Beliau bersama saudara-saudaranya, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Celak dan Daeng Kemasi menjadi pilihan bagi raja-raja Melayu yang terlibat dalam konflik perebutan takhta seperti di Johor, Kedah dan Perak. Di Johor misalnya, apabila Raja Kecil dari Siak mahu menuntut takhta Kesultanan Johor-Riau kerana mendakwa dirinya waris Sultan Mahmud Shah II, baginda menggunakan khidmat mereka dalam kempennya. Namun apabila Raja Sulaiman, putera Sultan Abdul Jalil IV yang digulingkan oleh Raja Kecil mahu merampas semula takhta, khidmat mereka turut digunakan di mana sebagai ganjaran, adik Daeng Parani, Daeng Merewah dilantik sebagai Yamtuan Muda. Dalam kebanyakan konflik, mereka menggunakan daerah-daerah Selangor untuk mengumpul kekuatan dan bilangan pahlawan-pahlawan Bugis dan terus kekal menjadi kubu kuat mereka walaupun berjaya menguasai situasi politik Kesultanan Johor-Riau.

MENGAPA SELANGOR KUBU KUAT BUGIS?

Sehingga abad ke-18, Selangor hanya merujuk kepada kawasan di Sungai Selangor saja. Negeri yang kita kenali hari ini masih belum terbentuk ketika itu dengan namanya saja agak samar-samar dalam rekod sejarah lama. Namun Sejarah Melayu ada menyebut beberapa daerah Selangor seperti Jeram, Jugra, Klang dan Langat menjadi sebahagian daripada Kesultanan Melayu Melaka dan pewarisnya, Kesultanan Johor-Riau.

Jadi kenapa Selangor dipilih orang Bugis sebagai kubu dan petempatan baru mereka? J. Kennedy berpandangan pertama, kawasan kuala-kuala sungai yang berpaya dilihat hampir dengan laluan perdagangan Selat Melaka. Ini sekaligus membantu mereka bergiat secara aktif dalam perniagaan dan perdagangan. Kedua, pemilihan kawasan ini juga bertujuan mengekang cubaan musuh dari menyerang kerana mempunyai kawasan perlindungan semulajadi. Buktinya, pemilihan Kuala Selangor sebagai antara kawasan petempatan Bugis di mana ia terletak di kawasan muara sementara kawasan bukitnya sesuai dijadikan sebagai kubu kerana ia menghadap laut. Dan paling penting, kawasan ini dilihat neutral dan sesuai untuk mereka mengamalkan sistem politik sama seperti di kampung halaman mereka. Walaupun orang Bugis sudah menguasai Kesultanan Johor-Riau tetapi mereka juga lebih suka membina tapak pengaruh mereka tanpa dipengaruhi oleh raja-raja Melayu lain. Selangor dilihat sesuai dengan apa yang mereka mahukan dan ianya tercapai apabila putera Daeng Celak, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan Selangor pertama.

Selain strategik sebagai kawasan laluan dagang, tapak pengaruh sendiri dan terlindung dari ancaman musuh, orang Bugis memilih Selangor kerana ia merupakan tumpuan kepada komoditi bijih timah. Maka tidak hairanlah apabila mereka tiba di Selangor pada awal abad ke-18, mereka mengusahakan lombong bijih timah dan memperdagangkan komoditi tersebut kepada kuasa-kuasa Eropah terutama Britain bagi menyaingi Belanda di Kuala Selangor. Selangor sudah dikenali sebagai pengeluar bijih timah sejak era Portugal lagi dan ia juga berhampiran dengan kawasan perlombongan bijih timah di Perak dan Sungai Ujung, sekaligus membantu pihak Bugis mengumpul dan menjual komoditi tersebut di pasaran.

BUGIS ITU LANUN?

Sekarang, bila kita sebut dakwaan Bugis itu lanun, anggapan tersebut nampak asing dalam kalangan kita tetapi bukanlah asing dalam kalangan orientalis Barat terutama dari Belanda. Contohnya, coretan L.A Mills dalam bukunya, British Malaya (1966), “Lanun ini seorang ahli perniagaan, mahu menjarah dan memperhambakan orang serta lebih berhati-hati dalam serangannya. Kapalnya sebuah ghali kecil dan senjata yang digunakan kecil dan tidak berbaloi.” Jika benar dakwaan ini, maka bagaimana lanun-lanun yang digambarkan oleh orientalis dianggap penyelamat dan wira oleh raja-raja Melayu?

Kita kena lihat peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang abad ke-18. Sepanjang abad tersebut, selain berkhidmat sebagai tentera upahan dalam pelbagai konflik perebutan takhta, mereka juga turut terlibat dalam siri pertempuran dengan Belanda di Selat Melaka. Akibatnya, ini meningkatkan pengaruh orang Bugis di Selat Melaka dan membimbangkan Belanda berkenaan pengaruh mereka dari segi politik dan ekonomi.

Dan kita juga kena ingat berkenaan polisi monopoli Belanda. Belanda mahukan semua kapal yang melalui Melaka mendapatkan surat keizinan dari mereka. Mereka juga tidak teragak-agak meminta raja-raja Melayu menghantar hasil bijih timah ke Melaka di mana mereka akan membeli dengan harga murah. Tindakan ini yang memarakkan lagi api kemarahan raja-raja Melayu kerana melihat Belanda meraih laba dari hasil titik peluh penduduk tempatan. Bukan itu saja, Belanda turut memungkiri apa yang dimeterai dalam perjanjian asal semata-mata untuk meraih laba berlebihan. Ini ditambah dengan dendam orang Bugis terhadap mereka yang masih belum hilang pasca-penawanan Makassar 1667, semua ini merupakan motif terbaik orang Bugis untuk melancarkan serangan ke atas kapal-kapal dagang mereka.

Bukti tindakan orang Bugis ini membuatkan Belanda tidak senang duduk ialah surat Gabenor Melaka ke Betawi. Dalam surat tersebut, gabenor itu memberitahu Selangor melindungi kegiatan pelanunan di mana salah satu kumpulan diketuai oleh Panglima Paree. Kumpulan tersebut menyerang kampung-kampung di Perak sebelum berundur ke Kuala Selangor. Kumpulan tersebut mendapat sokongan pembesar tempatan termasuk Raja Ibrahim, putera Raja Lumu. Penulis Indonesia, H.D Mengemba turut menceritakan dalam catatannya kapal-kapal pedagang Eropah tidak diganggu oleh kapal-kapal Bugis-Makassar sementara kapal Belanda pula akan diganggu tanpa henti oleh kapal-kapal Bugis terutama di Selat Melaka dan Maluku.

Belanda menggelar mereka lanun kerana Belanda berang dengan tindakan Selangor membayar harga lebih mahal bagi bijih timah dan menjadikan Kuala Selangor sebagai pusat pengumpulan bijih timah berbanding Melaka yang dikuasai Belanda. Tambah merungsingkan Amsterdam, orang Bugis dilihat berupaya mencalar ego mereka sebagai antara kuasa besar ketika itu. Buktinya, serangan Raja Haji ke atas kubu mereka di Melaka pada tahun 1784 sebagai tindak balas kepada cubaan mereka menawan Riau. Kegiatan ini berterusan sehinggalah ke pertengahan abad ke-19 semasa era Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor yang keempat. Namun jika kita menggelar bangsa Bugis itu lanun hanya kerana anekdot-anekdot ini adalah tidak tepat walaupun ia dikatakan didalangi oleh anggota kerabat diraja Selangor.

Semasa Perang Klang meletus antara pakatan Raja Abdullah/Tengku Kudin dengan Raja Mahadi, Raja Mahadi dipercayai mendalangi serangan lanun ke atas sebuah kapal milik seorang pedagang dari Negeri-Negeri Selat (NNS) di Kuala Selangor pada tahun 1871. Ini disusuli pula dengan serangan di Kuala Langat pada tahun 1873 yang dikatakan didalangi putera Sultan Abdul Samad, Raja Yaakub. Serangan-serangan ini menjadi bukti diperlukan pihak Britain untuk campur tangan di Selangor. Perlu diingat, walaupun kerabat diraja Selangor ini berketurunan Bugis, mereka mengamalkan budaya Melayu dan bukan budaya asal mereka di tanah Bugis. Malah mereka menganggap orang Bugis yang datang dari Riau itu sebagai orang luas. Ketahuilah, tindakan Raja Mahadi dan Raja Yaakub ini berpunca dari rasa tidak puas hati dengan Britain dan sekutu-sekutu mereka yang menguasai laluan dagang di Selat Melaka.

Sebagai bidasan kepada dakwaan mengarut ini, sejarawan merekodkan antara tahun 1824 hingga 1867, hanya lima kaum saja yang terlibat dengan aktiviti pelanunan di Kepulauan Melayu. Mereka ialah kaum Lanun yang aktif sekitar Pulau Mindanao, Filipina, kaum Balanini yang beroperasi sekitar Laut Sulu, orang Melayu di kawasan Kepulauan Riau-Lingga, orang Cina dan Dayak Laut yang beroperasi di perairan Brunei. Teliti kenyataan ini dan lihat, ke mana perginya bangsa yang dikatakan terlibat dengan aktiviti pelanunan ini? Langsung tiada sama sekali. Orang Bugis tidak terlibat dengan kegiatan tersebut kerana mereka bergiat aktif dalam bidang perdagangan sehingga menjadi antara pedagang paling berjaya di Kepulauan Nusantara. Justeru, dakwaan yang mengatakan bangsa Bugis itu lanun satu kenyataan yang mengarut dan satu pembohongan.

SUMBER

Mohd Bisri, Nurul Huda. (2003). Universiti Malaya. PERANAN KESULTANAN MELAYU BUGIS TERHADAP PERKEMBANGAN ISLAM DI SELANGOR: SUATU KAJIAN SEJARAH.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.