1 Oktober mungkin sekadar tarikh biasa bagi kita tetapi bagi rakyat Indonesia, 1 Oktober 1965 merupakan satu detik hitam dalam catatan sejarah mereka. Ini kerana pada tarikh tersebut, berlakunya rampasan kuasa oleh Jeneral Suharto atas alasan mengekang cubaan Parti Komunis Indonesia (PKI) dan pihak tentera yang pro-komunis dari merampas kuasa. Akibat dari rampasan kuasa ini, PKI mengalami kehancuran sepenuhnya dan fahaman komunis diharamkan di sana sehingga ke hari ini. Dan rampasan kuasa ini juga membawa kepada pembunuhan beramai-ramai ahli komunis di Indonesia di mana jangkaan mangsa terbunuh oleh seorang pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) bernama Richard Cabot Howland ialah 105,000 orang. Bagaimana semua ini berlaku?
Pada 1 Oktober 1965, satu kumpulan yang menamakan diri mereka Pergerakan 30 September mengumumkan di radio bahawa mereka telah berjaya menggagalkan cubaan rampasan kuasa dan mengukuhkan kedudukan Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno. Pemimpin kumpulan tersebut, Leftenan Kolonel Untung memberi jaminan Sukarno selamat, beberapa jeneral yang terlibat dengan ‘konspirasi’ telah ditahan dan sebuah Majlis Revolusi akan bertindak bagi pihak kerajaan. Bagi warga Indonesia, mereka sedikit tahu siapa jeneral-jeneral yang ditahan ini. Tetapi bagi pihak tentera yang bersekutu dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Jeneral A.H Nasution, tahu salah seorang yang ditahan ialah Jeneral Ahmad Yani. Yani merupakan sekutu Nasution yang tidak bersefahaman dengan Sukarno dan pemimpin PKI, D.N Aidit. Dan pada hari sama cubaan ini berlaku, kesemua jeneral yang diculik ini dibunuh dan dicampak ke dalam telaga buta di Lubang Buaya. Tetapi siapa sebenarnya Pergerakan 30 September ini?
Bila sebut berkenaan pergerakan ini, ramai membuat teori konspirasi melibatkan ramai orang dari Sukarno hinggalah pihak perisikan China. Namun pemain sebenar gerakan ini ialah Untung, D.N Aidit dan sekumpulan pegawai seperti yang didedahkan oleh John Roosa dan Joseph Nevins dalam laporan mereka, ’40 Years Later: The Mass Killings of Indonesia’. Motif kumpulan ini ialah mengetepikan pihak tentera, memperlihatkan mereka seolah-olah musuh kepada Sukarno dan membawa Indonesia lebih berhaluan kiri. Ini sekaligus membawa kepada penguasaan PKI dalam arena politik Indonesia. Dan kebanyakan pemain ini ada sebab tersendiri untuk memulakan rancangan ini. Pada tahun 1965, kuasa politik Indonesia tertumpu kepada Presiden (Sukarno), PKI dan pihak tentera. Di bawah dasar ‘Demokrasi Dipandu’, kuasa presiden sukar dicabar dan pemain-pemain politik perlu merujuk kepada beliau. Namun dengan kesihatan beliau yang semakin merosot, agak sukar mengekalkan keadaan politik sedia ada. Justeru, PKI atau pihak tentera berkira-kira sama ada mendapatkan kuasa sekiranya Sukarno jatuh sakit atau dapatkan kelebihan awal dengan melancarkan rampasan kuasa.
Tidak diketahui sama ada Yani ada merancang rancangan rampasan kuasa pada tahun tersebut tetapi kepimpinan tertinggi tentera mempunyai pelan-pelan kecemasan sekiranya berlaku detik sebegini. Bagi PKI dan Aidit pula, dengan mempergunakan penyokong-penyokong Sukarno, ini dapat mengelak tindak balas negatif dari terkena PKI. Malah rancangan ini sudah didedahkan beliau kepada pemimpin China merangkap sahabatnya, Mao Zedong pada Ogos 1965. Memang benar niat Untung ikhlas mempertahankan Sukarno tetapi secara tidak langsung, beliau menjadi boneka Aidit untuk mendapatkan kuasa politik bagi PKI.
Bagi pihak tentera yang menentang fahaman komunis, kehilangan enam jeneral ini tidak menyebabkan mereka panik. Sebaliknya mereka bertindak pantas melalui peranan bakal Presiden Indonesia, Jeneral Suharto. Suharto ketika itu berperanan sebagai komander pasukan tentera simpanan segera mengambilalih kepimpinan tentera dan mengugut Gerakan 30 September menyerah diri atau berhadapan prospek dibunuh pasukan tentera. Tentera yang pro-komunis segera berundur atau menyerah kalah dan ini membolehkan pihak tentera diketuai Suharto mematahkan cubaan rampasan kuasa ini. Pada 2 Oktober, kebanyakan pemimpin Gerakan 30 September melarikan diri dari Jakarta dan menuju ke destinasi berbeza. Begitu juga Sukarno yang melarikan diri ke Bogor sehari sebelumnya. Sehari selepas itu, pihak tentera berjaya mengeluarkan semua mayat jeneral yang dibunuh termasuk Yani dan mereka diberi pengebumian negara pada 5 Oktober bersamaan dengan Hari Angkatan Tentera Indonesia.
Sukarno sedar situasi yang semakin genting mahu menggantikan Yani dengan seorang lagi jeneral, Jeneral Pranoto sebagai ketua angkatan tentera pada 1 Oktober. Tetapi tindakan beliau ditentang sekeras-kerasnya oleh Suharto dan enggan menyerahkan kuasa kepada Pranoto. Ini ditambah sokongan Nasution kepada beliau, sekaligus memberi tamparan hebat kepada Sukarno kerana kehilangan sokongan tentera. Bagi Aidit sendiri, kegagalan Sukarno menggagalkan harapannya membentuk kerajaan berhaluan kiri dan lebih cenderung ke arah komunisme seperti yang dirancang.
Selepas cubaan rampasan kuasa ini gagal dan pihak tentera menguasai kerajaan, berita pembunuhan jeneral-jeneral oleh Gerakan 30 September menimbulkan kemarahan ramai pihak. Tetapi pihak tentera melihat berita ini sebagai peluang untuk menghapuskan terus PKI. Maka atas sebab ini juga, pihak tentera menyebarkan cerita jeneral-jeneral ini diseksa, ada di antaranya diseksa secara seksual sebelum dibunuh. Ini membawa kepada demonstrasi besar-besaran anti-PKI dan keganasan meletus. Selain itu, jentera propaganda tentera turut mendakwa pembunuhan jeneral-jeneral ini dan rampasan kuasa merupakan permulaan kepada sesuatu yang lebih gila termasuk pembunuhan musuh-musuh parti pada skala yang lebih besar. Inilah yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai ahli PKI antara tahun 1965-1966.
Buktinya, keterangan aktivis pelajar dan bakal menteri kabinet Indonesia, Fahmi Idris. Dalam satu temubual, beliau bercerita, “Kombinasi dua insiden yang mencetuskan kemarahan rakyat ini mendorong ramai termasuk pelajar-pelajar universiti untuk bangkit dan melawan kenaikan harga barang dan PKI. Kami mahu berlawan untuk menjadikan keadaan lebih baik dan lebih penting, mempertahankan ideologi Pancasila dari serangan komunis tetapi kami tidak ada senjata untuk berlawan.” Ini mendorong beliau bertemu dengan ketua Pasukan Khas Tentera (RPKAD, kini dikenali sebagai Kopassus), Kolonel Sarwo Edhie Wibowo di mana beliau menawarkan latihan ketenteraan kepada 10 orang anggota Fahmi termasuk beliau sendiri. Mereka dilatih dan diberi tugas menguruskan pergerakan pelajar, mengenalpasti siapa ahli PKI dan menyerahkan mereka kepada pihak tentera. Ini sebenarnya sebahagian dari peranan Laskar Ampera, sebuah pertubuhan separa tentera yang diketuai beliau semasa belajar di Universitas Indonesia pada tahun 1966. Laskar Ampera bertanggungjawab menahan ahli dan penyokong PKI sebelum menyerahkan mereka kepada pihak tentera, sekaligus membawa kepada tragedi berdarah pada tahun tersebut.
Namun sebelum kita berbicara lebih lanjut berkenaan pasca-rampasan kuasa Suharto, terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab. Pertama, apakah pihak perisikan Barat menipu Aidit? Bukanlah asing dalam kalangan perisikan asing akan kebimbangan mereka berkenaan PKI merampas kuasa sekiranya kesihatan Sukarno merosot dan cubaan mereka yang bertindak awal sebenarnya membawa kepada kemusnahan parti. Sukar menentukan sama ada ia mempengaruhi keputusan Aidit dan perancang Gerakan 30 September tetapi melihat keadaan Jakarta pada tahun 1965, agak sukar untuk mereka berbuat demikian. Ini kerana Jakarta ketika itu merupakan sarang kepada spekulasi dan khabar angin, maka jika Aidit ada menerima maklumat mereka sekalipun, pasti beliau akan menganggap ia satu lagi khabar angin yang tiada asas sama sekali.
Satu lagi persoalan ialah apakah Suharto tahu akan rampasan kuasa ini. Kalau kita teliti perjalanan beliau, Suharto tidak mempunyai sebarang pendirian politik dan pasti tidak akan terlibat dalam sebarang perancangan rampasan kuasa. Jika ada yang kata beliau boleh berbuat demikian atas sebab mempunyai maklumat dalaman, kita tidak perlu ambil pusing pandangan sebegini. Perlu diingat, komander tentera sudah dilatih untuk bertindak pantas dan mampu memberi reaksi lebih baik dari perancang. Sementara perancang pula sukar beradaptasi kerana mereka mahu melaksanakan pelan yang sudah diatur rapi jika situasi tidak memihak mereka.
Bagaimanapun, ada kemungkinan Suharto mempunyai kaitan dengan perancang Gerakan 30 September. Ini didedahkan dalam keterangan Kolonel Abdul Latief, salah seorang ahli gerakan tersebut dan rakan rapat beliau dalam tentera. Dalam keterangannya kepada mahkamah 13 tahun selepas insiden tersebut berlaku, Latief menceritakan beliau bertemu dengan Suharto pada 29 September dan sekali lagi beberapa jam sebelum pasukan pimpinan Untung menculik pemimpin tertinggi tentera termasuk Yani. Dalam pertemuan pertama di kediaman Suharto, kedua-duanya membincangkan kemungkinan pihak tentera melancarkan rampasan kuasa. Pertemuan kedua pula diadakan di sebuah hospital di Jakarta disebabkan anak Suharto, Hutomo dimasukkan ke hospital kerana terkena sup panas. Dalam pertemuan tersebut, Latief memberitahu plot sudah berjalan dan menyangka Suharto memberi sokongan kepada Gerakan 30 September kerana tidak memberi reaksi terhadap laporan tersebut. Namun kenyataan Latief bersifat kabur dan tidak diketahui apa tindakan Suharto atau bagaimana beliau bertindak selepas mendapat laporan berkenaan.
Kejayaan Suharto menghapuskan PKI dianggap majalah Time sebagai berita baik kepada pihak Barat dan mereka juga sebenarnya memainkan peranan dalam pembunuhan besar-besaran ini. Duta Amerika ke Indonesia, Marshall Green menyatakan Washington bersimpati dengan pihak tentera dan mengagumi tindakan mereka. Malah mereka turut membekalkan pistol dan radio kepada Suharto untuk membantunya berhubung dengan pihak tentera yang memburu ahli-ahli PKI. Dan apabila kedutaan Amerika menyerahkan senarai ahli PKI kepada pihak tentera, pihak tentera Indonesia menghargai bantuan mereka. Dendam Amerika Syarikat terhadap Sukarno bukanlah sesuatu yang baru kerana mereka sudah berusaha melakukannya semasa era Presiden Dwight D. Eisenhower melalui perang pemisahan pada tahun 1958. Selepas kegagalan operasi tersebut, mereka menukar fokus kepada menyokong pegawai-pegawai tentera yang anti-komunis untuk membentuk kerajaan bayangan dan menyingkirkan Sukarno dan PKI. Pegawai-pegawai ini menanti masa sesuai untuk bertindak dan peluang tersebut muncul pada 1 Oktober 1965.
Selepas Sukarno diketepikan, Suharto menaiki tampuk pemerintahan dan sebagai ganjaran kepada beliau dan rakan-rakannya, Amerika Syarikat mula menyalurkan dana asing untuk menarik pelaburan ke Indonesia dan mengukuhkan rejimnya. Buktinya, satu mesyuarat Kabinet membabitkan usul menasionalisasikan syarikat minyak Caltex dan Stanvac pada Disember 1965. Selepas mendapat tahu usul tersebut, Suharto datang dengan helikopter dan mengisytiharkan pihak tentera tidak akan berdiam diri dengan usul-usul sebegini. Merasa terancam dengan ugutan beliau, mereka segera menangguhkan usul tersebut untuk tempoh masa yang tidak diketahui. Tetapi itu juga tidak menghalang Suharto dan konco-konconya bertindak kejam ke atas pemimpin kesatuan pekerja di kemudahan-kemudahan yang dimiliki firma-firma Amerika.
Namun langit tidak selalunya cerah. Satu ironi bagi Suharto ialah beliau bertanggungjawab menyingkirkan Sukarno dengan rampasan kuasa dan pada tahun 1998, Suharto terpaksa turun dari tampuk presiden selepas mendapat tekanan ramai. Legasi dari rampasan kuasa selain kebangkitan beliau ialah legasi kekejaman pihak tentera terutama ke atas PKI dan di Timur Timor (Timor Leste) dan kegagalannya menguruskan ekonomi Indonesia yang terlalu bergantung kepada bantuan asing. Di sebalik cubaan kerajaan pasca-Suharto untuk menentukan apa yang berlaku termasuk kekejaman 1965-1966, tentera masih membayangi sistem politik negara tersebut. Ini mengakibatkan buku teks negara tersebut masih menunjukkan Gerakan 30 September sebagai pengganas, tiada pemimpin tentera atau politik era beliau dibicarakan atas dakwaan jenayah perang atau salah guna kuasa dan kerajaan baru Timor Leste mengetepikan tuntutan keadilan bagi rakyatnya yang dibunuh tentera Indonesia dengan melaksanakan polisi berbaik-baik dengan Jakarta. Sementara Washington pula segera memadam semua jejak yang mengaitkan mereka dengan Suharto, supaya dapat menjadikan Indonesia sebahagian daripada negara yang dapat membantunya memerangi keganasan.
SUMBER
1. Roosa, John dan Nevins, Joseph. (2005). Global Research. 40 Years Later: The Mass Killings in Indonesia. https://www.globalresearch.ca/40-years-later-the-mass-killings-in-indonesia/1187
2. Cabot Howland, Richard. (2007). Agensi Perisikan Pusat (CIA). The Lessons of the 30 September affair. https://www.cia.gov/library/center-for-the-study-of-intelligence/kent-csi/vol14no2/html/v14i2a02p_0001.htm
3. Krismantari, Ika, S. Aritonang, Margareth dan Razak, Imanuddin. (2015). The Jakarta Post. Sept. 30, 1965 tragedy: A dark chapter in Indonesian history. http://www.thejakartapost.com/news/2015/09/30/sept-30-1965-tragedy-a-dark-chapter-indonesian-history.html
4. Cribb, Robert. (2015). The Conversation. Behind the coup that backfired: the demise of Indonesia’s Communist Party. https://theconversation.com/behind-the-coup-that-backfired-the-demise-of-indonesias-communist-party-47640
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih