Bila tahun baru menjelang, maka itu juga petanda usia kita bertambah. Dan itu juga petanda bermulanya azam-azam baru sempena tahun baru ini. Dan seperti biasa, saya yakin anda pasti sudah dengar azam-azam ini. Ada yang nak kurus dan bergaya macam Fattah Amin atau Fahrin Ahmad. Ada yang berazam nak bertemu jodoh atau berkahwin, ada juga yang nak gunakan tahun ini peluang untuk hentikan ketagihan atau tabiat buruk. Pendek kata, semua ada azam masing-masing. Tapi adakah anda tahu, sejarah di sebalik azam tahun baru ini?
Sejarah azam tahun baru ini bermula sejak 4,000 tahun lalu dan orang pertama yang melakukannya ialah orang Babylon. Dan mereka juga orang pertama yang meraikan tahun baru berdasarkan catatan sejarah. Namun kita perlu ingat, permulaan tahun Babylon bukan bermula dengan bulan Januari tetapi pada pertengahan Mac. Mereka memilih tarikh tersebut kerana itulah tarikh bermulanya musim tanaman mereka. Pesta agama yang dipanggil Akitu ini diraikan selama 12 hari di mana dalam tempoh tersebut, warga Babylon kembali menyatakan taat setia kepada pemerintah mereka.
Menerusi pesta ini juga, mereka berjanji dengan dewa-dewa mereka untuk membayar semua hutang dan memulangkan semua barang yang dipinjam. Nampak biasa saja janji-janji ini tetapi sejarawan menyifatkan ini sebenarnya pelopor kepada semua azam baru yang kita tahu hari ini. Jika orang Babylon berjaya menunaikan semua janji mereka, dewa-dewa mereka akan memberi rahmat mereka pada tahun berikutnya. Jika mereka gagal berbuat demikian, dewa-dewa mereka akan menimpakan bala kepada mereka, satu perkara yang tidak mahu dihadapi oleh orang-orang Babylon.
Amalan sama turut dilakukan oleh tamadun Rom terutama semasa pemerintahan Julius Caesar. Semasa pemerintahan beliau, Caesar mengubah kalendar Rom dan menetapkan 1 Januari sebagai permulaan tahun baru bermula dari tahun 46 Sebelum Masihi (BC). Januari dinamakan sempena salah satu daripada dewa-dewa Rom, Janus, dewa mempunyai dua muka di mana ia berperanan menjaga pintu-pintu dan gerbang-gerbang. Janus dilihat amat penting menurut orang Rom.
Ini kerana dua muka Janus melambangkan satu muka memandang pada masa silam sementara satu muka lagi melihat masa hadapan. Atas sebab itulah, orang-orang Rom menawarkan korban dan persembahan kepada Janus dan berjanji untuk berkelakuan baik untuk tahun berikutnya. Tetapi tidak ramai tahu bagi memastikan tarikh keramat ditetapkan untuk tahun berikutnya mengikut kemahuan Caesar, beliau membiarkan tahun sebelumnya berterusan untuk 445 hari!
Bagi penganut agama Kristian terutama pada era awal kemunculan agama tersebut, hari pertama tahun baru dianggap peluang untuk mereka merenung kesilapan silam dan berazam untuk menjadi orang yang lebih baik pada tahun akan datang. Pada tahun 1740, pengasas mazhab Methodisme, John Wesley mencipta Covenant Renewal Service di mana ia diadakan pada malam tahun baru atau tahun baru. Ia turut dikenali sebagai waktu pemerhatian malam di mana pada ketika itu, antara program yang diadakan membaca kitab Bible dan menyanyi lagu keagamaan. Tujuan Wesley mencipta program ini ialah memberi alternatif spiritual kepada orang ramai untuk menyambut tahun baru jika mereka tidak menggemari pesta-pesta yang selalunya diadakan untuk meraikan tahun baru. Kini ia amat popular dalam kalangan gereja evangelis Protestan terutama dalam kalangan warga Afrika-Amerika di mana ia diadakan pada malam tahun baru. Waktu itulah, orang ramai yang datang beribadat dan membuat azam sempena tahun baru.
Bagi orang Islam sendiri, takwim kita berbeza dengan takwim biasa. Takwim Islam mengikut takwim peredaran bulan atau takwim Qamari. Bagi penentuan hari pertama tahun baru Islam, ada kisahnya yang tersendiri. Sebelum pewartaan 1 Muharam sebagai tarikh permulaan takwim Hijrah, kebanyakan tahun dicatatkan mengikut peristiwa yang berlaku pada tahun tersebut. Contoh tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w diberi nama Tahun Gajah sempena peristiwa cubaan tentera bergajah Gabenor Yaman, Abrahah memusnahkan Kaabah.
Pada pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab r.a, sahabat nabi merangkap Gabenor Basrah, Abu Musa al-Ashari r.a mengadu kepada beliau kesukaran menentukan mana satu arahan terbaru beliau dari Madinah berikutan ketiadaan tahun dalam arahan tersebut. Keadaan ini mendorong Umar r.a bermesyuarat dengan para sahabat untuk pengenalan tahun bagi orang Islam. Semua bersetuju tahun seharusnya bermula dari tahun penghijrahan Nabi s.a.w dari Makkah ke Madinah tetapi ramai berbeza pandangan berkenaan tarikh pertama tahun tersebut. Ada yang mencadangkan tarikh kelahiran baginda atau tarikh sebenar hijrah sebagai hari pertama tahun Hijrah tetapi ditolak. Kemudian, Uthman bin Affan r.a mencadangkan tarikh pertama tahun itu dimulakan dengan 1 Muharam mengikut adat orang Arab dan cadangan beliau mendapat sokongan semua termasuk khalifah. Dan ini membawa kepada pengenalan kalendar Islam yang kita kenali hari ini.
Walaupun azam tahun baru ini mempunyai akar dari segi tradisi keagamaan, hakikatnya ia sudah jadi amalan biasa dalam dunia hari ini. Jika dahulu manusia berjanji kepada dewa-dewa seperti yang dilakukan dalam beberapa tamadun seperti Rom dan Babylon, kini ia hanya terhad kepada diri mereka sendiri dan kebanyakannya lebih menjurus kepada menambahbaik personaliti atau aspek fizikal masing-masing. Berdasarkan statistik, 45% warga Amerika menyifatkan mereka membuat azam tahun baru tetapi hanya 8% responden saja yang berjaya mencapai azam baru tersebut. Namun, itu masih tidak menghalang ramai orang dari terus berusaha menanam azam dan merealisasikannya sebab kita sudah melakukannya sejak 4,000 tahun dahulu.
Nota Editor: Setiap klik pada setiap iklan dalam instant article akan membantu kelangsungan kami untuk kekal relevan menulis di internet. Terima kasih.
SUMBER
- Pruitt, Sarah. (2015). History. The History of New Years Resolutions. http://www.history.com/news/the-history-of-new-years-resolutions
- Bennett, Howard. (2015). The Washington Post. Why do we make new year’s resolution? https://www.washingtonpost.com/lifestyle/kidspost/why-do-we-make-new-years-resolutions/2012/12/21/08b56a2a-381e-11e2-b01f-5f55b193f58f_story.html?utm_term=.d9856350312e
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih