Pada 27 Mei 1942, seorang lelaki dalam perjalanan ke Istana Prague. Ianya satu lagi hari biasa baginya tetapi tidak bagi dua bakal pembunuhnya, Jozef Gabcik dan Jan Kubis. Tarikh ini tidak akan dilupakan bagi mereka berdua kerana itulah hari di mana Reinhard Heydrich bakal menemui Penciptanya. Siapa sebenarnya Heydrich dan mengapa mereka mahukan individu ini mati?

LATAR BELAKANG

Dibaptiskan sebagai Roman Katolik, Heydrich lahir pada 7 Mac 1904 di Halle an der Salle, sebuah bandar tidak jauh dari bandar Leipzig. Bapanya, Bruno seorang penyanyi opera dan merupakan pengarah konservatori muzik di Halle yang ditubuhkan oleh beliau pada tahun 1901. Semasa kecil, Heydrich dibesarkan dengan muzik dan berbakat sebagai pemain selo di mana bapanya berharap beliau boleh meneruskan kariernya dalam bidang muzik. Namun apabila Perang Dunia Pertama (WWI) tercetus, Heydrich mendafarkan diri dalam Tentera Laut Jerman (Kriegsmarine) pada 30 Mac 1922, kurang sebulan selepas menyambut ulang tahun kelahirannya ke-18.

Semasa berkhidmat dalam Kriegsmarine, Heydrich bertanggungjawab untuk isyarat dan komunikasi. Namun, beliau tidak bertahan lama di situ selepas mencetuskan skandal meninggalkan anak perempuan seorang pegawai tinggi yang telah dijanjikan untuk berkahwin dengan Heydrich untuk bersama seorang wanita, Lina von Osten yang kemudian dikahwininya. Berang dengan tindakan beliau, pegawai tersebut mengadu kepada mahkamah tentera dan selepas penghakiman, mendapati Heydrich telah mencemarkan reputasi pegawai Kriegsmarine atas tindakannya dan memaksanya meletak jawatan.

NAZI & SCHUTZSTAFFEN (SS)

Lina von Osten boleh dianggap sebagai seorang penyokong tegar Nazi. Heydrich pada mulanya langsung tidak berminat dengan politik tetapi selepas diperkenalkan dengan Heinrich Himmler, ketua Schutzstaffen (SS) melalui von Osten dan seorang kawan keluarga, semua itu berubah. Himmler tertarik dengan cadangan beliau berkenaan penubuhan sayap perisikan dalam SS, satu perkara yang turut dipertimbangkan oleh Himmler. Berikutan itu, Himmler membawanya masuk ke dalam SS pada Ogos 1931 dan Heydrich diberi tugas membentuk sayap perisikan SS iaitu Sicherheitsdienst (SD). Menjelang Januari 1933, SD menjadi agensi perisikan paling berpengaruh dalam parti Nazi di bawah pimpinan beliau. Timbalan ketua parti Nazi, Rudolf Hess menamakan SD satu-satunya agensi dibenarkan mengumpul maklumat perisikan dalam Nazi Jerman.

Apabila Himmler dilantik sebagai ketua polis Bavaria, beliau turut membawa Heydrich sebagai timbalannya. Kedua-duanya menstruktur semula pasukan polis di semua wilayah Jerman menjadi satu organisasi, Gestapo. Selepas kepimpinan Sturmabteilung (SA) yang dipimpin Ernst Rohm dihapuskan antara 30 Jun-2 Julai 1934, Heydrich dilantik sebagai ketua Gestapo dan masih mengekalkan jawatannya sebagai ketua SD. Dua tahun selepas itu, selepas dilantik sebagai Ketua Polis Jerman dan Reichsfuhrer SS, Himmler melantik beliau sebagai ketua Pejabat Pusat Polis Keselamatan yang menggabungkan Gestapo dan bahagian siasatan jenayah di bawah satu bumbung. Selepas perang tercetus bila Jerman menyerang Poland, Himmler melantiknya sebagai ketua Pejabat Keselamatan Utama Reich (RSHA). Agensi ini dianggap lebih berkuasa dari mana-mana agensi lain dalam Nazi Jerman. Namun ini memaksa Heydrich menyembunyikan kewujudan organisasi tersebut sehinggalah selepas kematiannya pada tahun 1942. Jika ada surat yang perlu dihantar ke luar, Heydrich hanya menggunakan kepala surat ‘Ketua Polis Keselamatan dan SD’.

PENAHANAN ‘MUSUH-MUSUH NEGARA’

Di bawah Heydrich, polis dan pihak perisikan Nazi Jerman mula mengintip dan menahan mana-mana individu atau organisasi yang dilihat boleh menjadi ancaman kepada Nazi Jerman. Antara organisasi atau individu yang menjadi sasaran mereka ialah parti komunis, anggota gereja Lutheran dan Roman Katolik yang memusuhi Nazi, anggota mazhab lain gereja Protestan seperti Jehovah’s Witness, penyokong parti berhaluan kanan, Freemason dan orang Yahudi. Selain itu, Kripo iaitu polis yang bertugas menjaga ketenteraman sosial turut menahan mana-mana individu yang mempunyai tingkah laku anti-sosial yang boleh menjejaskan Reich. Sasaran mereka ialah kelompok homoseksual, Gipsi dan mana-mana individu yang ada kecenderungan anti-sosial.

Bagi Himmler dan Heydrich, ini saja tidak mencukupi. Mereka percaya penghapusan mana-mana elemen yang menyumbang kepada pertumbuhan individu atau organisasi yang menentang mereka juga patut dihapuskan. Atas sebab itu, mereka mengarahkan penahanan aktivis dan cendekiawan terutama yang beragama Yahudi dan menentang kedudukan Nazi. Ramai mengambil keputusan meninggalkan negara tersebut termasuklah Albert Einstein. Alasan Heydrich ialah kesemua mereka ini mendapat sokongan antarabangsa yang mahu menghancurkan ikatan antara kerajaan Nazi Jerman dengan rakyat. Dan musuh-musuh rekaan ini tidak terhad kepada orang Yahudi, komunis, sosial demokrat dan Freemason saja. Heydrich turut menganggap kepimpinan Britain dan Amerika Syarikat yang menentang sebarang usaha perluasan kuasa Jerman juga patut ditentang. Bagi memastikan keselamatan Jerman terjamin, semua orang Yahudi, Slavik dan Asiatik menurut beliau patut dihapuskan dari muka bumi ini.

Heydrich turut menyokong sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak polis dan SD dalam menyelesaikan soalan Yahudi. Pada tahun 1938, Adolf Eichmann mengetuai satu unit SD untuk mewujudkan satu stesen untuk mengusir keluar populasi Yahudi Austria dan membiayai operasi tersebut dengan memeras wang dari individu-individu berharta komuniti tersebut. Kedua-dua organisasi ini turut bertanggungjawab kepada keganasan Kristallnacht (Night of Broken Glass) di mana 30,000 orang Yahudi ditahan hanya kerana mereka Yahudi. Kemudian, mereka menghantar tahanan-tahanan ini ke kem-kem tahanan dengan harapan mempercepat keputusan mereka untuk berhijrah dan mengurangkan perasaan meninggalkan aset mereka.

EINSATZGRUPPEN

Figure 1: Contoh jenayah perang yang dilakukan Einsatzgruppen iaitu pembunuhan beramai-ramai Babi Yar di Ukraine.

Kagum dengan kecekapan Heydrich yang bersaing dengan kepimpinan tertinggi Nazi dalam menyelesaikan soalan Yahudi, Menteri Udara, Hermann Goring membenarkan beliau merancang pelan penyelesaian untuk soalan Yahudi dalam Nazi Jerman pada 24 Januari, 1939. Selepas Perang Dunia Kedua (WWII) meletus, Heydrich menubuhkan satu kumpulan khas iaitu Einsatzgruppen terdiri daripada anggota SD, SS dan Wehrmacht. Kumpulan ini ditugaskan untuk pelbagai perkara seperti merampas dokumen dan aset, penubuhan operasi perisikan yang berfungsi, pengenalpastian dan penghapusan mana-mana penentang Jerman sama ada nyata atau khayalan semata-mata.

Pada tahun 1938, satu unit Einsatzgruppen dihantar ke Austria dan Sudetenland untuk tujuan pengenalpastian dan menahan musuh, merampas dokumen dan mendapatkan maklumat perisikan. Apabila Adolf Hitler melancarkan operasi menyerang Poland pada 1939, enam unit Einsatzgruppen ikut bersama pasukan utama dan mengenalpasti/menembak mana-mana individu berbahaya termasuk ribuan nasioalis dan pejuang budaya Poland. Mereka turut mengaturkan untuk meletakkan komuniti Yahudi Poland di geto-geto bandar-bandar besar untuk tujuan penghapusan.

Apabila Operasi Barbarossa dilancarkan pada 22 Jun 1941, Heydrich menghantar empat unit Einsatzgruppen untuk membunuh orang Yahudi yang memegang jawatan dalam parti komunis dan kerajaan. Namun, sejak hari pertama operasi dilancarkan, kumpulan ini turut membunuh mana-mana orang Yahudi yang mempunyai umur layak mengangkat senjata. Pada permulaan Ogos 1941, selepas meletakkan populasi Yahudi dalam pusat tahanan atau kem, Einsatzgruppen menggerakkan sejumlah besar polis dan ahli SS dalam operasi-operasi menghapuskan populasi Yahudi di Soviet Union. Ini termasuklah pembunuhan beramai-ramai di gaung Babi Yar di Kiev, Ukraine pada 29-30 September 1941.

Pada 31 Julai 1941, Goring membenarkan Heydrich menggunakan sumber Reich untuk penghapusan orang Yahudi di kawasan kawalan Jerman di Eropah. Pada enam bulan berikutnya, tatkala polis dan SD berterusan menghapuskan populasi orang Yahudi di peringkat wilayah, keretapi pertama yang membawa ribuan penduduk Yahudi Jerman, Austria dan Republik Czech tiba di wilayah Komisariat Ostland (wilayah kawalan Jerman termasuk negara-negara Baltik dan sebahagian besar wilayah Belarus). Mereka ini ditahan dan dikumpulkan oleh pihak polis dan SD sekitar Jerman dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan Keretapi Negara Jerman menyediakan pegawai dan keretapi diperlukan. Sebaik tiba, komander polis dan SD di Ostland akan menembak mereka.

PERSIDANGAN WANNSEE

Figure 2: Contoh surat jemputan Heydrich kepada semua pemimpin tertinggi Nazi seperti ini ditujukan kepada Timbalan Menteri Luar, Martin Luther.

Pada 20 Januari 1942, Heydrich menjemput semua kepimpinan tertinggi Nazi termasuk Hitler, Himmler dan Goring untuk satu persidangan di sebuah vila di Wannsee, sebuah bandar berhampiran Berlin. Di sinilah, beliau membentangkan pelan penghapusan orang Yahudi seluruh Eropah yang dikenali sebagai ‘Final Solution’, pelan yang mendapat sokongan Hitler. Heydrich turut menekankan kerjasama semua agensi kerajaan terlibat untuk memastikan pelan ini dapat dijayakan sebaiknya. Selain itu, kedua-dua Heydrich dan Himmler turut menggunakan persidangan ini untuk memohon satu wilayah ditadbir oleh pihak SS. Mereka mahu menunjukkan SS mampu mentadbir sesebuah wilayah lebih berkesan berbanding pegawai lantikan awam atau pegawai tentera, di mana pegawai-pegawai ini digantikan oleh pegawai-pegawai elit SS selepas Jerman menang dalam WWII.

PENENTANGAN BOHEMIA & MORAVIA

Selepas Jerman menyerang Soviet Union pada musim panas 1941, pejuang-pejuang komunis bangkit dan mula melancarkan tindakan sabotaj di Bohemia dan Moravia. Berang dengan insiden-insiden ini, Hitler menyingkirkan Pelindung Reich, Konstantin von Neurath dan memilih Heydrich sebagai pemangku jawatan tersebut. Pada Oktober dan November 1941, mahkamah khas menjatuhkan hukuman mati ke atas 342 orang dan menyerahkan 1,289 lagi kepada Gestapo. Ini sebagai tindak balas pertama Heydrich terhadap insiden sabotaj ini. Beliau turut menubuhkan geto Theresienstadt pada bulan November, di mana 34,000 orang Yahudi Jerman, Austria dan Czechoslovakia dihantar dari Theresienstadt ke geto Lodz dan Ostland.

Untuk mengelak lebih banyak insiden sabotaj, Heydrich turut menjanjikan gaji dan faedah pekerjaan kepada kelompok petani dan pekerja industri di mana gaji diterima sama dengan gaji pekerja Jerman. Hasilnya, aktiviti sabotaj berkurangan sebanyak 73% dalam tempoh enam bulan dan pada musim bunga 1942, Nazi Jerman berbangga dengan polisi yang dibawa Heydrich di kawasan terebut. Ramai berspekulasi sekiranya wujud jawatan di peringkat awam di Belgium dan utara Perancis, Heydrich pasti akan mengintai peluang untuk merebutnya.

‘SI PERTANDA’ TELAH MATI

Heydrich yang bangga dengan polisi tersebut merasa selamat sehingga enggan mengatur sebarang bentuk konvoi keselamatan untuk mengiringinya dan mahu menaiki kenderaan terbuka. Britain dan kerajaan Czechoslovakia dalam bungan di London mengintai-intai peluang memberi pukulan psikologi kepada Jerman, melancarkan Operasi Antropoid iaitu membunuh Heydrich dan menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk melancarkan pemberontakan sekitar Czechoslovakia.

Figure 3: Salah seorang pembunuh Heydrich iaitu Jan Kubis, seorang perisik Czechoslovakia yang dilatih Britain.

Dan inilah senario apa yang berlaku pada hari itu. Kedua-dua bakal pembunuh Heydrich, Gabcik dan Kubis bersama Josef Valcik yang dilatih oleh Britain menanti dengan sabar kemunculan kenderaan beliau. Apabila kenderaan itu melalui selekoh U tajam, Valcik memberi isyarat dengan cermin. Gabcik cuba menembak kenderaan tersebut dengan submesingan Sten tetapi senjata tersebut tidak berfungsi. Heydrich yang menyangka Gabcik bertindak berseorangan mengarahkan pemandunya berhenti dan beliau mengeluarkan sepucuk pistol untuk menembaknya. Tatkala kenderaan Heydrich berhenti mengejut, Kubis keluar dari tempat persembunyian dan membaling bom anti-kereta perisai pada kenderaan tersebut tetapi terkena pada sisi kenderaan tersebut lalu meletup. Heydrich dan pemandunya berjaya keluar dari kereta dan bersedia membunuh pembunuh-pembunuh ini. Beliau mahu mengejar mereka tetapi tumbang tatkala mahu menembak Gabcik. Gabcik dan Kubis segera melarikan diri sementara sasaran mereka dibawa orang awam ke hospital untuk rawatan.

Figure 4: Keadaan kereta Heydrich selepas dibom oleh Gabcik dan Kubis.

Hasil diagnosis, doktor mendapati diafragma Heydrich bocor akibat terkena serpihan besi dan bulu kuda dari upholsteri kereta terkena limpanya. Selepas Heydrich dibedah, pada mulanya, beliau menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Namun tiba-tiba, Heydrich mengalami jangkitan dalam perut. Selalunya, jangkitan sebegini boleh dirawat dengan penisilin tetapi penisilin tiada dalam simpanan mereka. Para doktor tidak dapat merawat jangkitan septisemia, mengakibatkan suhu badannya meningkat dan mengalami kesakitan berpanjangan. Dan pada 4 Jun 1942, pada jam 9 pagi, lelaki yang digelar sasterawan dan penulis Jerman, Thomas Mann sebagai si pertanda Hitler meninggal dunia.

DENDAM HITLER

Pada 7-8 Jun, keranda Heydrich diletakkan di Istana Prague bagi memberi peluang kepada orang ramai, sesetengah daripada mereka dipaksa memberi penghormatan terakhir. Pada 9 Jun, keranda dibawa ke Berlin dan diletakkan di Parlimen Jerman bagi memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi Nazi untuk melakukan perkara sama. Hitler semasa memberi ucapan eulogi menyifatkan Heydrich sebagai ahli Nazi terbaik, penyokong tegar konsep Reich dan musuh terhebat kepada semua penentang Reich. Bagi Himmler pula, Heydrich dipuji kerana kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi terhadap SS.

Figure 5: Kematian Heydrich mendorong Hitler membalas dendam dan meneruskan legasi Heydrich yang dipersetujui semasa Persidangan Wannsee 1942.

Berikutan itu, Hitler mengancam presiden Czechoslovakia ketika itu, Emil Dacha menghantar jutaan warga Czechoslovakia ke kem-kem tahanan sekiranya semua pembunuh terlibat tidak ditahan. Hitler turut mengarahkan pemusnahan sebuah kampung Bohemia di Lidice. Berikutan arahan tersebut, 172 lelaki antara 14-84 tahun dibunuh sementara rumah-rumah penduduk dibakar. Kaum Hawa dari kampung tersebut dihantar ke kem tahanan Ravensbuck sementara sesetengah kanak-kanak mengalami ditukar identiti mereka kepada Jerman. Baki kanak-kanak ini dihukum bunuh.

Figure 6: Keadaan Lidice selepas rumah-rumah penduduk dibakar dan populasinya dibunuh atau dihantar ke kem-kem tahanan.

Pada 16 Jun, salah seorang anggota konspirasi pembunuhan Heydrich, Karel Curda masuk ke markas Gestapo Czechoslovakia di Istana Pecek dan mendedahkan keluarga-keluarga terlibat yang menyembunyikan Garbacik dan rakan-rakannya. Ramai yang ditahan atas dakwaan bersubahat. Sesetengah yang enggan ditahan mengambil pil sianida dan membunuh diri. Bagi yang ditahan pula, mereka diseksa berjam-jam lamanya sebelum mendedahkan lokasi sebenar mereka.

Pada 17 Jun, 800 anggota SS mengepung Gereja Ortodoks St. Cyril dan Methodius dan mendesak pembunuh-pembunuh yang bersembunyi menyerah diri. Kubis dan beberapa lagi anggota yang berjaga malam mengetahui kehadiran mereka dan melepaskan tembakan. Kedua-dua pihak saling berbalas tembakan selama dua jam sebelum seorang dari mereka mati pada 7 pagi. Kubis dan dua lagi rakannya cedera parah dibawa ke hospital tetapi Kubis mati semasa berada di sana. Gestapo terus memeriksa keseluruhan kawasan gereja dan menjumpai satu pintu rahsia ke ruang bawah tanah.

Selepas disoal siasat, seorang paderi mengaku Gabcik dan tiga lagi anggota konspirasi bersembunyi di situ. Paderi itu dan Curda cuba memujuk mereka keluar tetapi tidak berhasil. Untuk empat jam seterusnya, SS mengepam gas pemedih mata dan air ke dalam ruang tersebut untuk memaksa mereka keluar tetapi gagal. Akhirnya, SS meletupkan pintu masuk ruang tersebut untuk meluaskan pintu masuk. Apabila mereka berjaya masuk, Gabcik dan rakan-rakannya membunuh diri dengan menembak diri mereka. Gabcik dan rakan-rakannya mungkin sudah mati tetapi ianya tidak berakhir di situ saja. 236 orang pensubahat dan individu bertanggungjawab melindungi mereka dihantar kem tahanan Mathausen dan dibunuh di situ.

Pembunuhan Heydrich menyebabkan polisi Nazi Jerman terhadap orang Yahudi semakin radikal. Himmler sendiri menganggap penghapusan orang Yahudi ialah satu legasi Heydrich yang patut diteruskan bersesuaian dengan agenda yang digariskan dalam Persidangan Wannsee 1942. Dan beliau berjanji penghantaran orang Yahudi ini akan diselesaikan dalam tempoh setahun. Dan benar apa yang dijanjikan Himmler. Menerusi operasi yang dipanggil Operasi Reinhard, dua juta orang Yahudi dihantar ke daerah ‘Kerajaan Awam’ di Poland pada tahun 1942 hingga musim luruh 1943 di mana kesemua mereka dibunuh.

SUMBER

  1. United States Holocaust Memorial Museum. Reinhard Heydrich: In Depth. https://www.ushmm.org/wlc/en/article.php?ModuleId=10007406
  2. Apocalypse: The Second World War. (2009). Episod 3: Shock. https://www.youtube.com/watch?v=oMnUrVVJ2jk
  3. Dinning, Rachel. (2017). History Extra. Killing Hitler’s hangman: the dramatic story of Reinhard Heydrich’s assassination. http://www.historyextra.com/article/bbc-history-magazine/killing-hitlers-hangman-dramatic-story-reinhard-heydrichs-1942

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.