BATANG Kayan itulah satu nama sungai yang lokasinya terletak di Lundu, Sarawak. Sudah semestinya nama sungai ini begitu janggal didengar kerana ramai yang mengetahui bahawa etnik Kayan iaitu salah satu pembentuk Kaum Orang Ulu Sarawak ramai tertumpu penempatannya di Miri, Sarawak. Amat jauh sebenarnya lokasi antara kedua-dua buah tempat ini iaitu satu di selatan Sarawak dan satu lagi di utara Sarawak.
Hakikatnya ada satu cerita yang amat jarang diketahui sejarahnya oleh rakyat Malaysia amnya dan Sarawak khususnya. Dan ditambahlagi sejarah ianya berlaku tidak didokumenkan melainkan menerusi cerita lisan orang tua dulu-dulu. Suku Kayan sebenarnya pernah mendiami kawasan Lundu iaitu diketika Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei sehingga ke pemerintahan Rajah Sir James Brooke.
Menurut penceritaan secara lisan Penghulu Kalong menyatakan bahawa suatu waktu dahulu, masyarakat pelbagai kaum di Sarawak tidak pernah lari daripada sejarah perang saudara. Ianya banyak berkisar kepada niat untuk meluaskan wilayah masing-masing dan membuktikan kekuasaan mereka di satu tempat sehingga orang tempatan ada yang terpaksa mengalah mahupun mengangkat senjata mempertahankan tanah mereka dari didominasi oleh orang luar.
Alkisahnya suatu waktu dahulu pernah berlaku perang saudara antara suku Kayan dengan Orang Undop di Lundu. Sejarah lisan memperkatakan bahawa pada masa itu, suku Kayan telah diburu oleh Orang Skrang dari kawasan Bung Bratak. Dan sememangnya di dalam sejarah kita mengetahui bahawa Orang Skrang pernah melakukan penjarahan di Bung Bratak sehingga memaksa Orang Bidayuh bangun menentang mereka. Dan diceritakan juga suku Kayan turut ada di Bung Bratak tetapi di dalam jumlah yang sedikit.
Akibat daripada serangan dan buruan Orang Skrang menyaksikan suku Kayan yang sedikit ini melarikan diri sehingga ke kawasan Lundu demi survival masyarakat mereka. Namun lain pula jadinya apabila berada di Lundu kerana suku Kayan terlalu bermaharajalela lebih-lebih lagi mereka turut terkenal sebagai antara masyarakat yang gah dengan perang kayau mereka.
Di ketika inilah dikatakan Orang Undop menjadi mangsa kerakusan perluasan kuasa mereka. Mahu tidak mahu Orang Undop yang merupakan antara masyarakat tempatan di Lundu bangun menghunus senjata dan bersatu dengan Orang Sebuyau yang mendiami kawasan persisiran pantai Lundu. Pada masa itulah diceritakan bagaimana kekuasaan mistik Orang Sebuyau banyak membantu kemenangan berpihak kepada mereka.
Tiba pada hari yang ditetapkan maka bersiagalah kesemua pahlawan suku Undop dan suku Sebuyau memerangi Suku Kayan di satu tempat tidak jauh dari Gunung Gading. Jauh sebelum itu diceritakan suku Sebuyau telah menjalankan satu upacara ritual iaitu untuk berhubung dengan Puteri Gunung Gading dan Orang Kayangan bernama Rintaiamis bagi memohon bantuan.
Bermulalah episod yang mana sewaktu pertempuran berlangsung diceritakan air sungai tempat lokasi pertempuran bertukar menjadi satu aliran sungai yang deras. Pada masa itu juga dikatakan pahlawan Undop dan Sebuyau sedang bersiaga di tepi sungai sementara menanti Suku Kayan berperahu masuk ke sungai tersebut. Dengan aliran yang deras secara tiba-tiba itulah, pahlawan Suku Kayan tidak mampu mengawal perahu mereka sehingga ada antara mereka yang terhumban ke dalam sungai dan mati lemas.
Bagi pahlawan suku Kayan yang masih hidup serta berupaya berenang ke tepian sungai pula terpaksa berhadapan dengan pahlawan Undop dan Sebuyau seperti Panglima Geransi Ribut Litap yang dengan mudahnya memenggal kepala mereka lantas bercerai dari badan. Kemudian mayat-mayat yang terbunuh dibuang ke dalam sungai tersebut sehingga air sungai menjadi merah pekat lalu sejak itulah sungai yang tidak bernama itu diberikan nama Batang Kayan. Ianya mengambil bersempena dengan nama mayat-mayat suku Kayan yang bergelimpangan di sungai tersebut.
Sementara itu biarpun sudah reda peperangan, Orang Kayangan masih tetap membantu Orang Undup dan Orang Sebuyau iaitu dengan menyaksikan seluruh kawasan Gunung Gading pada masa itu hilang dari penglihatan manusia. Ini adalah untuk memastikan bahawa keamanan akan terus dikecapi di kawasan tersebut dan bagi mengelak ada lagi saki baki suku kayan dan masyarakat yang lain memulakan peperangan di kawasan mereka.
Oleh kerana adanya perjanjian antara Orang Kayangan bersama Suku Sebuyau itulah menyebabkan daerah itu aman damai dan amat jarang berlaku peperangan perluasan kuasa oleh masyarakat lain walau di ketika perang kayau banyak berlaku di Sarawak.
Inilah antara cerita lisan yang menghiasi dunia perang kayau atau perang perluasan kuasa di kawasan Lundu suatu waktu dahulu. Sehingga ke hari ini masyarakat tempatan masih mempercayai kewujudan unsur-unsur mistik dan supernatural di Lundu.
– CD –
Rujukan:
Artikel ini ditulis melalui sidang temubual yang dilakukan oleh penulis ke atas orang tua-tua suku Iban Sebuyau yang masih lagi mendiami kawasan Lundu, Sarawak.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih