Bila kita berbicara berkenaan White Rajahs atau Dinasti Brooke yang memerintah Sarawak tidak lama dahulu, pasti yang muncul dalam ingatan ialah bagaimana keluarga Brooke boleh berkuasa di negeri Sarawak dan membentuk negeri tersebut sehingga menjadi negeri yang kita kenali hari ini. Ya, mereka mungkin berjasa kepada Sarawak tetapi negeri ini turut menjadi saksi kepada kisah-kisah pelik, aneh dan kejam berkenaan keluarga Brooke. Jadi sebelum saya teruskan, saya harap anda baca dengan hati yang terbuka kerana ini bisa merosakkan fantasi romantisme anda berkenaan mereka.
1. SISI PERIBADI JAMES BROOKE
Saya yakin ramai melihat pengasas keluarga Brooke, James Brooke sebagai seorang pelayar dan pengembara di mana kisah hidupnya menjadi inspirasi kepada cerita pendek Rudyard Kipling, A Man Who Would Be King dan novel Joseph Conrad, Lord Jim. Dan ini turut menarik perhatian pelakon legenda, Errol Flynn untuk cuba mengadaptasi kisahnya di layar perak dengan kerjasama studio Warner Brothers di mana Flynn memegang peranan sebagai Brooke tetapi ianya tidak dapat direalisasikan.
Tapi Brooke turut mempunyai cerita pelik yang tidak diketahui semua orang. Semasa hayatnya, Brooke dikatakan tidak berkahwin dan ramai berspekulasi Brooke sebenarnya homoseksual. Antara khabar yang dilihat menyemarakkan spekulasi ini ialah hubungannya dengan seorang putera Sarawak bernama Badruddin. Dalam diarinya, beliau menulis, “Cintaku kepada dia lebih mendalam dari semua orang yang aku kenal.” Kata-kata ini menyebabkan sesetengah melihatnya sebagai homoseksual atau biseksual. Dalam satu kisah lain, Brooke dikatakan mempunyai hubungan intim dengan cucu Earl of Elgin, Charles T.C. Grant ketika Grant berusia 16 tahun. Tidak diketahui sama ada hubungan tersebut sememangnya intim atau mereka hanya berkawan rapat. Terbaru, penulis biografi beliau, Nigel Barley menemui satu lagi kisah Brooke dikatakan selalu berkunjung ke Totnes, Devon pada tahun-tahun terakhirnya di Burrator, Devon untuk mencari lelaki seperti dinyatakan dalam buku White Rajah. Bagaimanapun Barley tidak menyatakan dari mana sumber kisah tersebut. Sesetengah yang melihat dakwaan ini karut semata-mata dan menyatakan Brooke seorang homo-sosial dan lebih berminat bersama lelaki-lelaki lain dalam aktiviti-aktiviti sosial.
Walaupun Brooke meninggal dunia sebagai seorang bujang, beliau meninggalkan seorang anak luar nikah di mana identitinya dan identiti ibunya tidak dikenalpasti. Anak Brooke ini dibesarkan sebagai Reuben G. Walker oleh seorang suri rumah dari Brighton bernama Frances Walker. Pada tahun 1858, Walker menyedari dirinya mempunyai pertalian darah dengan keluarga Brooke. Buktinya, semasa kerajaan mengadakan bancian di Plumtree, Nottinghamshire pada tahun 1871, rekod menunjukkan nama sebenarnya, George Brooke, berumur 40 tahun dan dilahirkan di Sarawak. George berkahwin pada tahun 1862 dan mempunyai tujuh orang cahaya mata di mana anak sulungnya dinamakan sempena nama bapanya, James. George mati semasa mengembara ke Australia apabila kapal SS British Admiral yang dinaikinya karam pada 23 Mei 1874.
2. BILA BROOKE JADI HAKIM…
Antara peranan Brooke selepas menjadi Raja Sarawak ialah menjadi hakim. Prosiding mahkamah pada hari-hari awal pemerintahannya diadakan di bilik hadapan rumahnya sendiri di Kuching di mana orang utan peliharaannya, Betsy menjadi sebahagian daripada latar belakang mahkamah. Biasanya, prosiding mahkamah ialah tempat di mana kita mencari keadilan dan kebenaran tetapi tidak pada tahun-tahun awal pemerintahan Brooke. Kebanyakan orang tempatan yang hadir menjadikan perbicaraan sebagai medan untuk mereka berjudi di mana mereka bertaruh berkenaan nasib tertuduh.
Dan antara kes paling pelik yang dikendalikan Brooke ialah seekor buaya yang ditangkap kerana membaham seorang penterjemah mahkamah yang terjatuh ke dalam sungai kerana mabuk. Selepas mempertimbang semua hujah pendakwaraya dan peguambela, Brooke menulis penghakimannya dalam diarinya, “Aku memutuskan bahawa dia harus dihukum tanpa sebarang kehormatan dan harus diselesaikan segera. Kepalanya akan dipancung sementara badannya akan dibiarkan terdedah sebagai amaran kepada buaya-buaya lain yang menghuni sungai tersebut.
3. CHARLES BROOKE
Selepas kematian bapa saudaranya, Charles Johnson atau Charles Brooke mengambil alih pemerintahan James dan meneruskan perluasan wilayah Sarawak di mana ia jadi seluas England dan membina kemudahan lebih baik untuk kebajikan rakyatnya. Antara reformasi yang dilakukan Charles ialah menghapuskan perhambaan, membina jalan raya, tali air dan stesen keretapinya sendiri. Dan bagi membantu pegawai-pegawai British membiasakan diri mereka dengan Sarawak, Charles turut menggalakkan mereka tidur dengan wanita-wanita tempatan bagi membantu mereka mempelajari bahasa dan budaya tempatan.
Ini turut diamalkan Charles di mana beliau berkahwin dengan seorang wanita Melayu bernama Dayang Mastiah dan dikurniakan cahaya mata bernama Esca Brooke. Esca kemudian diambil sebagai anak angkat oleh Reverend William Daykin dan menggunakan nama keluarga Brooke-Daykin. Namun Esca bukanlah satu-satunya anak Charles di mana sesetengah sejarawan berpandangan Charles mempunyai ramai anak luar nikah hasil hubungannya dengan ramai wanita tempatan tetapi mereka tidak direkodkan dalam rekod rasmi. Ini bukan sesuatu yang menghairankan kerana sepanjang pemerintahan Charles, beliau jarang ditemani oleh isterinya, Ranee Margaret Alice Lili de Windt kerana isterinya banyak menghabiskan masa di rumah mereka di Ascot dan berusaha mencari jodoh untuk tiga anak lelakinya iaitu Charles Vyner, Bertram dan Henry Keppel Brooke.
4. GELAGAT RANEE SYLVIA
Sylvia Brett bukan orang biasa semasa mengahwini pewaris takhta Dinasti Brooke, Charles Vyner. Beliau merupakan anak kepada Viscount Kedua Reginald Brett, seorang aristokrat dan ahli politik Britain terkenal ketika itu. Namun itu bukan bermakna zaman kanak-kanaknya indah kerana pada usia 12 tahun, Sylvia cuba membunuh diri sebanyak dua kali, pertama dengan makan ikan selayang mentah dan kedua, berbaring bogel atas salji.
Jika anda sangka semua ini berubah selepas Sylvia mengahwini Charles Vyner, anda salah. Apabila Sylvia melahirkan anak sulung pasangan ini iaitu Dayang Leonora Margaret, ia membuatkan Charles Vyner kecewa. Ini kerana menurut undang-undang ketika itu, anak perempuan tidak mempunyai hak untuk mengambil alih takhta kerajaan. Setahun selepas itu, abangnya, Bertram dan isterinya, Gladys Palmer mendapat cahaya mata lelaki bernama Anthony Brooke. Bagi Charles Vyner, kelahiran Anthony satu rahmat kerana inilah pewaris takhta Dinasti Brooke jika Sylvia gagal melahirkan anak lelaki. Kerana gembira, beliau mengarahkan meriam ditembak 21 kali. Selepas kelahiran Dayang Leonora, pasangan ini mendapat dua lagi cahaya mata perempuan iaitu Dayang Elizabeth dan Dayang Nancy Valerie tetapi tiada anak lelaki. Kerana itulah, Sylvia menyimpan dendam terhadap Anthony kerana menjadi penghalang antara anak-anaknya dengan takhta Dinasti Brooke.
Maka tidak hairanlah mengapa abangnya menggelarnya versi perempuan bagi watak drama Othello William Shakespeare, Iago. Sementara Pejabat Koloni pula menyifatkannya sebagai seorang wanita merbahaya dan mempunyai pelbagai rancangan bagi memastikan anak-anak perempuannya mendapat takhta Dinasti Brooke serta kasar tingkah lakunya. Dan seperti mana bapa mentuanya, Charles, pasangan suami isteri ini juga turut tidak ketinggalan mempunyai hubungan sulit masing-masing. Walaupun mempunyai taraf sebagai Ranee dan anak kepada seorang bangsawan England, ia langsung tidak mengganggu Sylvia.
Buktinya semasa bapa mentuanya meninggal dunia pada 1917, untuk menunjukkan statusnya sebagai Ranee, Sylvia memakai baju kurung Melayu dan kain sarung berwarna kuning. Beliau turut memakai cekak rambut dibuat dari kulit ular dan menggunakan tongkat berwarna yang dihias dengan rumbai. Dan semasa pertabalan Charles Vyner sebagai Raja Sarawak yang baru, Sylvia berhenti berlabuh di Cape Town selama beberapa minggu dan menggunakan masa tersebut mengadakan hubungan singkat dengan lelaki-lelaki sana. Jika anda sangka perangai ini tidak akan ditiru oleh anak-anak perempuannya, salah lagi. Sylvia selalu menggalakkan mereka keluar dengan pegawai-pegawai kerajaan yang muda di Sarawak. Namun tingkah laku puteri-puteri Charles Vyner yang digelar Puteri Emas, Mutiara dan Baba oleh penduduk tempatan menghiasi ruangan tabloid akhbar Britain dan Amerika Syarikat. Pada dekad 30-an, Sarawak menjadi bahan jenaka berikutan sikap Sylvia dan perangai anak-anak perempuan raja mereka sendiri.
- ANTHONY BROOKE
Kisah Anthony Brooke ini merupakan kisah paling pelik melibatkan Dinasti Brooke. Kelahirannya menjadi punca ibu saudarannya melancarkan pelbagai rancangan untuk menyingkirkannya dari takhta. Namun kebanyakan rancangan Sylvia ini digagalkan bapa saudaranya, Charles Vyner dan bapanya sendiri, Bertram. Jika mengikut tradisi, Bertram seharusnya mengambil alih pemerintahan tetapi Bertram lebih memilih Anthony sebagai orang yang boleh meneruskan pemerintahan Dinasti Brooke. Berikutan itu, Bertram diberi gelaran Tuan Muda sementara Anthony diberi gelaran Raja Muda pada tahun 1939.
Selepas bapanya mengalami gangguan jiwa, sukar baginya menjalankan tugas berdasarkan perjanjian perkongsian kuasa yang diatur bersama abangnya. Berikutan itu, tugas yang disandang Bertram diserahkan semula kepada Charles Vyner. Ini yang membawa kepada perlantikan Anthony sebagai Raja Muda dan ketua kerajaan semasa ketiadaan beliau ketika menjalani cuti tahunannya. Dalam tempoh enam bulan pemerintahan Anthony, beliau melaksanakan pelbagai reformasi termasuk meminda jenayah, perlindungan kaum wanita dan hukuman bagi pemberontakan. Dan semasa ketiadaan Charles Vyner juga, Anthony menyertai suara-suara kerajaan lain yang mahu Britain mengisytiharkan perang terhadap Jerman dan Itali. Reformasinya menarik perhatian Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Shenton Thomas dan Pejabat Koloni Britain.
Selepas Charles Vyner pulang ke Sarawak berikutan tercetusnya perang di Eropah, ramai pegawai mengadu Anthony bersikap sombong, enggan menerima nasihat mereka dan mempunyai kecenderungan mengadili pegawainya berdasarkan horoskop bintang mereka. Pada ketika itu, beliau meninggalkan Sarawak untuk berkahwin dengan Kathleen Hudden. Dalam perjalanan pulang dari destinasi bulan madunya, Sumatera, Anthony mendapat perkhabaran bapa saudaranya telah menyingkirkannya dari posisi Raja Muda. Punca tindakan ini ialah disebabkan tindakan Anthony yang memasang lambang diraja pada kenderaannya dan berkahwin dengan Kathleen yang dianggap orang biasa dan bukan berstatus bangsawan berdasarkan anekdot Sylvia. Namun, Anthony menafikan semua tuduhan tersebut. Kemelut tersebut berakhir di mana Anthony kembali sebagai pegawai daerah dan akan diangkat semula sebagai Raja Muda. Namun pada September 1941, Anthony diusir keluar dari Sarawak oleh Charles Vyner kerana tidak bersetuju dengan pelbagai aspek berkenaan perlembagaan baru Sarawak. Tiga bulan selepas itu, Sarawak jatuh ke tangan Jepun.
Selepas diusir keluar dari Sarawak, Anthony berkhidmat dalam tentera semasa Perang Dunia Kedua dan pada tahun 1944, beliau sekali lagi diangkat sebagai Raja Muda dan ketua kerajaan buangan Sarawak di London untuk melihat apa rancangan Britain untuk Sarawak. Perbincangan yang diadakan terpaksa dibatalkan berikutan niat Britain mahu memasukkan Sarawak sebahagian dari empayarnya ditolak sekeras-kerasnya oleh Anthony. Namun hasrat itu disambut baik oleh Charles Vyner sebagai pertukaran kepada penyelesaian kewangan untuknya dan keluarganya dan pada tahun 1946, Sarawak diserahkan kepada kerajaan Britain. Vyner kemudian menulis surat kepada Anthony di mana beliau sekali lagi digugurkan dari gelaran Raja Muda.
Majoriti rakyat Sarawak termasuk Anthony dan anggota Majlis Negeri menentang sekeras-kerasnya penyerahan Sarawak kepada Britain. Kempen selama lima tahun ini digerakkan dari kediamannya di Singapura. Pada tahun 1948, selepas Gabenor Sarawak, Sir Duncan Stewart dibunuh oleh anggota Rukun 13, Rosli Dhobi, Anthony disiasat oleh agensi perisikan dalam negeri Britain, Perkhidmatan Keselamatan (MI5). MI5 mahu tahu apa rancangan yang diatur Anthony dan rakan-rakannya tetapi tidak menemui apa-apa yang mencurigakan. Selepas gagal menghalang usaha penyerahan Sarawak pada tahun 1951, Anthony menggugurkan semua tuntutannya terhadap Sarawak. Tujuh dekad selepas itu, semasa upacara pengebumian semula Anthony di Sarawak, wakil Suruhanjaya Tinggi Britain di Malaysia mewakili London memohon maaf kepada cucunya, Jason Brooke dan membersihkan namanya dari pembabitan kes bunuh Stewart pada tahun 2013.
Selepas semua ini selesai, Anthony menyertai gerakan New Age Commune dan percaya makhluk asing akan membawa keamanan dunia sejagat. Kepercayaan inilah yang membawa perceraiannya dengan Kathleen. Pada tahun 1973, beliau berkahwin dengan aktivis Sweden, Gita Keiller di mana mereka berdua menubuhkan Operasi Peace Through Unity. Tujuan organisasi ini ialah mempromosikan keamanan, perlindungan alam sekitar dan hak orang asli. Kempen mereka diteruskan sehingga akhir 80-an. Selepas itu, kedua-duanya menetap di bandar Wanganui, New Zealand. Sehingga ke akhir hayatnya, Anthony seorang yang baik dan bersikap pemaaf terhadap anggota keluarganya yang berkonspirasi menyingkirkannya dari mendapat hak warisannya itu. Anthony meninggal dunia pada 2 Mac 2011 pada usia 88 tahun.
SUMBER
- The Telegraph. (2011). Obituari: Anthony Brooke. http://www.telegraph.co.uk/news/obituaries/politics-obituaries/8365045/Anthony-Brooke.html
- Leafe, David. (2011). Daily Mail. The last of the White Rajahs: The extraordinary story of the Victorian adventurer who subjugated a vast swathe of Borneo. http://www.dailymail.co.uk/news/article-1367066/The-White-Rajahs-The-extraordinary-story-Victorian-adventurer-subjugated-vast-swathe-Borneo.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih