Hubungan akrab di antara penghibur serba boleh Ahmad Daud dengan P. Ramlee bermula sejak mereka masih berada di Pulau Pinang lagi. Malah, Ahmad Daud sendiri menganggap bahawa P. Ramlee adalah gurunya dalam bidang seni. Ini kerana P. Ramlee pernah menjemput Ahmad Daud untuk menganggotai kumpulan Pancha Sitara pada tahun 1961 untuk menggantikan Aziz Jaafar.
Ketika P. Ramlee menghadiri Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) di Singapura pada tahun 1973, beliau mengambil kesempatan untuk melawat rakan-rakannya yang masih tinggal di kawasan perumahan Boon Teck Road. Walaupun Studio Malay Film Productions (MFP) ketika itu telah ditutup hampir 6 tahun, namun para seniman dan seniwati masih dibenarkan untuk tinggal di sana.
P. Ramlee telah menaiki teksi dari hotel tempatnya menginap untuk ke Boon Teck Road. Apabila tiba di sana, beliau berasa sedikit sayu kerana kawasan itulah yang menjadi tempat tinggalnya suatu masa dahulu. Suasana ketika beliau sampai di Boon Teck Road itu juga kelihatan sunyi sepi dan lengang.
P. Ramlee kemudiannya terus menuju ke rumah Ahmad Daud sambil memanggil namanya. Ahmad Daud mengintai terlebih dahulu melalui jendela apabila terdengar suara memanggilnya. Alangkah terperanjatnya beliau apabila melihat P. Ramlee berdiri di hadapan rumahnya sambil tersenyum.
Menurut Ahmad Daud, mereka berbual panjang di hari itu. Dari satu kisah, disambung pula dengan kisah yang lain. Tetapi yang paling banyak yang mereka bualkan ialah kenangan manis ketika sama-sama bekerja di MFP. Setelah beberapa lama, P. Ramlee mengajak Ahmad Daud untuk berkunjung ke rumah-rumah rakan yang lain. P. Ramlee mengajak untuk ke rumah Aziz Jaafar terlebih dahulu.
Ketika mereka berjalan bersama, dengan tiba-tiba P. Ramlee menghentikan langkahnya di sebuah pokok belimbing. Ahmad Daud melihat wajah P. Ramlee berubah sedikit dan beliau bertanyakan kepada Ahmad Daud dengan nada yang serius dalam loghat Pulau Pinang.
“Mat, aku nak tanya sikit kat hang ni.”
“Apa yang abang nak tanya?”
“Pertanyaan ni agak susah juga hang nak jawab, Mat.”
“Apa pula susah nak jawab, bang?”
Ahmad Daud berasa amat berdebar menantikan pertanyaan dari P. Ramlee. Dengan perlahan beliau mendengar P. Ramlee berkata, “La ni kita nak pi rumah kawan-kawan lama. Abang rasa malu juga nak pi rumah depa tu”.
Ahmad Daud bertanya, “Kenapa pula abang nak malu?” sambil merenung wajah P. Ramlee yang kelihatan sayu itu.
Dengan tak semena-mena, P. Ramlee berkata, “La ni abang nak tanya, hang ingat depa lupa aku tak?”
Ahmad Daud sangat terkejut dengan pertanyaan P. Ramlee itu. Beliau sama sekali tidak menyangka bahawa pertanyaan itu keluar dari mulut P. Ramlee sendiri. Beliau kemudiannya dengan tenang menjawab soalan P. Ramlee itu dengan berkata, “Abang, you will be remembered forever, forever and ever..”
Setelah mendengar jawapan daripada Ahmad Daud itu, wajah P. Ramlee kembali ceria. Mereka berdua meneruskan perjalanan ke rumah Aziz Jaafar sambil tersenyum.
Sumber:
1. Dokumentari P. Ramlee (History Channel)
2. P. Ramlee Erti Yang Sakti oleh Ahmad Sarji
3. P. Ramlee The Bright Star by James Harding & Ahmad Sarji
4. P. Ramlee Seniman Agung oleh Ahmad bin Idris (ABI)
5. Mingguan Malaysia, 16 Jun 1990
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih