Dalam setiap sejarah perang, pasti ada kisah individu-individu yang berani yang mempertahankan nilai kemanusiaan, sekaligus menjadi harapan kepada orang yang ditindas. Semasa Perang Saudara meletus di Amerika Syarikat, keluarga Quaker membebaskan hamba-hamba mereka dan menyediakan laluan bawah tanah untuk hamba-hamba yang mahu melarikan diri ke sebelah utara. Dan semasa Perang Dunia Kedua (WWII) berkecamuk, individu seperti Oskar Schindler dan Raoul Wallenberg bertanggungjawab menyelamatkan orang Yahudi dari menjadi mangsa kekejaman rejim Nazi Jerman. Di China, situasi sama yang berlaku di mana pada ketika itu, muncul seorang individu yang digelar Buddha hidup dari Nanking iaitu John Rabe.
Lahir pada 23 November 1882 di Hamburg, beliau merupakan anak kepada seorang kapten kapal. Selepas menamatkan perantisannya di bandar kelahirannya itu, Rabe memulakan karier perniagaannya dan pernah berkunjung ke Afrika selama beberapa tahun. Pada tahun 1908, beliau bertolak ke China dan antara 1910 hingga 1938, berkhidmat dengan syarikat komunikasi Jerman, Siemens di beberapa bandar seperti Mukden, Peking (Beijing), Tientsin, Shanghai dan akhir sekali, Nanking. Penampilannya yang botak dan bercermin mata, memakai pakaian konservatif dan tali leher kupu-kupu, ini menonjolkan dirinya sebagai seorang lagi ahli perniagaan pertengahan umur Barat di bandar tersebut. Tidak lama selepas tiba di Nanking pada tahun 1931, beliau menjadi tokoh utama dalam kalangan masyarakat Jerman di mana Rabe mentadbir sekolah rendah dan menengah rendah Jerman yang dimilikinya.
Tidak diketahui sama ada Rabe mengetahui kekejaman rejim Nazi terhadap orang yang tidak dikehendaki seperti orang Yahudi, komunis dan Gipsi. Namun pada tahun-tahun di mana Adolf Hitler dan Nazi bangkit berkuasa di Berlin, Rabe menjadi penyokong kuat rejim dan menjadi wakil daerah parti di Nanking. Buktinya, satu ucapan kepada komuniti Jerman pada tahun 1938 di mana beliau menyokong sistem politik Nazi dan memberi dukungan sepenuhnya kepada mereka.
Apabila Perang China-Jepun meletus, seperti kebanyakan orang Barat, Rabe dinasihatkan meninggalkan China lebih-lebih lagi bila tentera Jepun semakin menghampiri Nanking. Namun, Rabe memutuskan untuk kekal dan menjadi ketua Jawatankuasa Zon Keselamatan Nanking. Jepun yang hairan dengan tindakannya menghantar Mejar Oka untuk bertemu dengan Rabe. Oka bertanya, “Kenapa kamu terus kekal di sini? Kenapa kamu mahu mencampuri urusan ketenteraan kami? Apa semua ini pada kamu? Kamu tidak akan kehilangan apa-apa di sini!” Rabe termenung sejenak dan membalas, “Aku tinggal di China selama 30 tahun. Anak-anak dan cucu-cucuku lahir di sini, aku amat gembira dan berjaya di sini. Aku dilayan dengan baik oleh orang China walaupun semasa perang. Jika aku menghabiskan 30 tahun di Jepun dan dilayan sama oleh orang Jepun, aku beri jaminan, sekiranya Jepun mengalami situasi sama seperti China, aku tidak akan meninggalkan mereka.” Kagum dengan jawapan beliau, Oka berundur setapak, menyebut beberapa perkara mengenai kewajipan Samurai dan tunduk tanda hormat kepadanya.
Rabe juga mempunyai sebab peribadi di sebalik tindakannya itu. Rabe merasa bertanggungjawab akan keselamatan pasukan mekanik warga China di bawah seliaannya yang menyelenggara kemudahan seperti turbin loji tenaga, telefon dan jam di setiap kementerian, penggera balai-balai polis dan sebuah mesin sinar X di hospital pusat. Dalam diarinya, Rabe mencatatkan sekiranya beliau meninggalkan Nanking, pasti orang-orang bawahannya itu akan dibunuh atau diseksa.
Apabila Rabe dan ahli-ahli jawatankuasa mahu membentuk zon selamat, mereka mahukan kawasan tersebut bebas daripada sebarang aktiviti ketenteraan. Namun Jepun enggan mengiktiraf zon tersebut sebagai zon neutral. Melihat situasi yang semakin genting, Rabe menghantar telegram kepada Hitler untuk memohon campur tangan Fuhrer untuk memaksa pihak Jepun menerima kewujudan zon selamat di Nanking. Selain Hitler, Rabe turut menghantar telegram kepada Hans Kriebel, seorang jeneral yang pernah menjadi penasihat tentera kepada Chiang Kai-Shek untuk menyokong tujuannya itu.
Pada asalnya, Rabe dan ahli-ahli jawatankuasa mahu menggunakan bangunan-bangunan kosong dalam kawasan tersebut untuk penduduk miskin bandar tersebut. Dan untuk mengelak kebanjiran pelarian, jawatankuasa menampal poster-poster sekitar bandar dan meminta pelarian menyewa rumah dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Namun, apabila zon tersebut dibuka, terlalu ramai pelarian memasuki zon tersebut sehingga mereka berlindung bukan saja dalam bangunan tetapi juga di kawasan laman, parit-parit dan tempat perlindungan bom. Ada juga yang tidur di jalanan sementara tikar-tikar tumbuh ibarat cendawan bersebelahan kedutaan Amerika. Statistik menunjukkan ada 250,000 pelarian dalam zon tersebut.
Pada 12 Disember 1937, kapal-kapal terbang Jepun mula mengebom Nanking. Orang ramai yang panik berusaha mencari tempat perlindungan termasuk di rumah dan sekolah yang dimiliki Rabe. Kasihan dengan situasi mereka, Rabe membenarkan mereka berlindung sambil berharap situasi kembali reda. Namun apabila malam menjelang, serangan Jepun masih lagi berterusan. Dua hari selepas itu, Rabe yang kepenatan mahu tidur seketika dan menyakinkan dirinya situasi di situ tidak akan bertambah buruk. Namun keadaan sebaliknya berlaku. Pada tarikh 12 Disember itulah bermulanya pembunuhan beramai-ramai Nanking, satu peristiwa yang dianggap setaraf dengan Holocaust yang akan berlaku di Eropah pada tahun-tahun berikutnya.
Keesokan harinya, selepas menyaksikan tentera Jepun membunuh orang awam dan menjarah kediaman serta premis perniagaan, Rabe bertemu dengan sekumpulan tentera China yang sedang menuju ke arah kedudukan tentera Jepun. Beliau merayu kepada mereka untuk meletak senjata dan menyertai pelarian di Zon Selamat. Selepas berbincang secara ringkas, mereka bersetuju dengan cadangan Rabe dan mengikutnya ke zon tersebut. Ini disusuli pula dengan kehadiran tentera China yang terperangkap di utara bandar tersebut dan merayu agar dimasukkan dalam zon tersebut. Pada mulanya, mereka menolak permintaan tentera-tentera ini tetapi selepas melihat penderitaan mereka, ahli-ahli jawatankuasa membenarkan mereka masuk dengan syarat mereka meletakkan senjata.
Namun, peluang ini diambil kesempatan oleh Jepun dengan menangkap mereka untuk dihukum. Pihak Jepun mudah mengenali tentera-tentera ini dengan melihat tanda penggunaan senjata api pada tangan mereka. Jika mereka tidak ada tanda tersebut, pihak Jepun akan melihat kesan lebam pada kaki, lebam pada bahu kerana mengangkat beg dan tanda pada dahi dan rambut kerana memakai topi tentera. Buktinya, pada 14 Disember, 1400 orang dikumpulkan untuk dihukum mati. Hakikat sebenarnya kebanyakan mati ialah orang awam yang datang dari pelbagai latar belakang seperti pelombong dan polis.
Berdasarkan statistik, 300,000 rakyat China mati dalam peristiwa tersebut. Ini disokong dengan catatan diari Rabe yang menceritakan setiap hari, sebuah pertubuhan kebajikan Buddha menarik keluar 120 mayat dari satu kolam pada satu-satu masa, sesetengah daripada kolam-kolam ini hilang kerana dipenuhi dengan mayat. Ini turut disokong dengan catatan diari tentera-tentera Jepun yang terlibat dalam peristiwa tersebut dan wartawan-wartawan Jepun yang merasa ngeri melihat keadaan tersebut.
Tidak tahan melihat situasi ini, Rabe bangkit mempertahankan rakyat China yang tertindas terutama golongan wanita satu-satunya senjata yang dimiliki, lambang swastika parti. Setiap kali beliau memandu sekitar Nanking, ada saja yang memintanya berhenti dan membantu mereka menghentikan kegiatan rogol yang dilakukan tentera Jepun. Bila tiba di lokasi yang diperkatakan, Rabe akan menghalau mereka dan pada satu ketika, mengangkat seorang askar yang sedang menindih mangsanya. Beliau mengakui ia satu tindakan merbahaya tetapi itu tidak akan menghalangnya termasuk kematian. Selain itu, Rabe turut memberi perlindungan kepada golongan wanita dan menyediakan satu sistem amaran sekiranya tentera-tentera ini menghampiri kedudukan mereka.
Berikutan statusnya sebagai seorang Nazi, tentera Jepun menghormati, adakalanya takut dengan kehadiran Rabe. Ini diakui sendiri salah seorang ahli jawatankuasa zon selamat, George Fitch yang menulis tindakan Rabe memberi tabik Nazi, menunjukkan simbol swastika yang dimilikinya dan bertanya apa maksudnya, mereka akan segera membatalkan hasrat membunuh dan merogol di Nanking. Pada satu ketika, tatkala tentera-tentera ini asyik merogol dan menjarah, tiba-tiba mereka menjerit “Deutche! Deutche!” dan melarikan diri. Pada satu masa yang lain pula, sekumpulan tentera Jepun menceroboh kediaman Rabe di mana kehadiran mereka disedari oleh beliau. Pada mulanya, salah seorang daripada mereka mengeluarkan sepucuk pistol seperti mahu menembak Rabe tetapi dihentikan apabila menyedari tindakan membunuh seorang Jerman satu kesilapan besar.
Sekiranya pihak Jepun menghormati Rabe, rakyat China amat menyanjunginya, adakala ketika beliau berada di zon selamat, ia akan mencetuskan kekecohan dalam kalangan pelarian. Ribuan pelarian wanita tunduk dan bersujud, merayu agar diberi perlindungan di zon selamat dan mereka lebih rela mati dari menjadi mangsa rogol dan pembunuhan di luar sana. Di tengah-tengah kekecohan ini, Rabe berusaha mewujudkan harapan dalam kalangan mereka. Setiap bayi yang lahir akan diberi wang tunai iaitu lelaki ($10) dan perempuan ($9.50). Bayi-bayi ini juga diberi nama sempena nama beliau dan nama isterinya, Dora mengikut jantina mereka.
Keberanian dan jasa beliau mendapat penghormatan ramai termasuk rakan-rakannya dari jawatankuasa zon selamat. Namun, rejim Nazi Jerman berpandangan sebaliknya. Selepas pulang ke Jerman pada Februari 1938, Rabe menulis surat kepada Hitler dan mendesak kekejaman tentera Jepun dihentikan. Tetapi beliau ditahan oleh Gestapo dan disoalsiasat selama tiga hari serta diarah mendiamkan diri berkenaan kekejaman tentera Jepun di Nanking. Antara tahun 1938 hingga 1945, beliau terus bekerja dengan Siemens dan pernah dihantar bertugas seketika di Afghanistan. Namun apabila perang tidak lagi memihak Jerman, seperti rakyat Jerman lain yang tertekan akibat situasi perang, keluarga Rabe ditimpa kesusahan dan terpaksa makan netel dan sup ok.
Selepas perang berakhir, memandangkan statusnya sebagai ahli Nazi, Rabe perlu melalui proses denazifikasi sekiranya mahu bekerja semula. Apabila petisyen denazifikasi beliau difailkan, petisyen tersebut ditolak dan Rabe terpaksa merayu. Setahun kemudian, petisyen beliau akhirnya diterima selepas pendedahan jasa-jasanya terhadap orang China semasa peristiwa pembunuhan beramai-ramai Nanking. Namun siasatan tersebut terlalu memenatkan bagi dirinya dan Rabe meninggal dunia akibat strok pada tahun 1950. Menurut cucu perempuannya, Ursula Reinhardt, proses denazifikasi yang dilaluinya merupakan satu detik hitam kerana beliau merasakan dirinya dimalukan hanya kerana menyokong rejim Nazi.
Bagi figura-figura yang terlibat dengan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Nanking, sebahagian daripada mereka dihukum mati seperti Leftenan Jeneral Hisao Tani dan Jeneral Iwane Matsui. Sebilangan daripada mereka sudah mati dalam pertempuran atau membunuh diri seperti Isamu Cho semasa Pertempuran Okinawa. Ada juga yang terselamat atas sebab-sebab tertentu seperti Putera Asaka yang mendapat imuniti berikutan statusnya sebagai anggota kerabat diraja Jepun walaupun terlibat dalam operasi di Nanking. Begitu juga dengan Jeneral Yasuji Okamura yang dihukum mati berikutan penglibatannya di Nanking tetapi diselamatkan oleh Kai-Shek yang mengekalkannya sebagai penasihat tentera Kuomintang (KMT). Selepas perang, Jepun menafikan peristiwa Nanking benar-benar berlaku tetapi pada tahun 1995, Jepun memohon maaf secara lisan melalui kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tomiichi Murayama. Ini disusuli pula dengan kenyataan Maharaja Jepun, Akihito yang mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa kekejaman Jepun semasa WWII dan berharap peristiwa tersebut tidak akan berulang lagi.
SUMBER
- Chen, David W. (1996). The New York Times. At the Rape of Nanking: A Nazi Who Save Lives. http://www.nytimes.com/1996/12/12/world/at-the-rape-of-nanking-a-nazi-who-saved-lives.html
- Chang, Iris. (2012). The Atlantic. The Nazi Leader Who, in 1937, Became the Oskar Schindler of China. https://www.theatlantic.com/international/archive/2012/01/the-nazi-leader-who-in-1937-became-the-oskar-schindler-of-china/251525/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih