DI bumi Semenanjung Malaysia lebih-lebih lagi di negeri Pahang Darulmakmur cukup terkenal dengan sejenis ikan yang dikenali dengan nama Ikan Patin atau nama saintifiknya Pangasus Sutchi. Ianya merupakan spesis ikan air tawar yang mana habitatnya banyak didapati di kawasan sungai ataupun lombong. Dan siapa tidak kenal dengan menu masakan “Ikan Patin Masak Tempoyak” yang kadangkala harganya cukup mahal untuk menjamahnya.
Itu ceritanya di bumi Semenanjung Malaysia namun jika di Sarawak lain pula halnya kerana di negeri ini ikan patin sehingga sekarang kalau boleh akan cuba dihindari oleh masyarakat Melayu Sarawak kerana beberapa pantang larang yang diwarisi sejak dahulu lagi. Dan di ruangan Borneo Oracle juga pernah diangkat satu artikel mengenai cerita legendanya yang bersangkutan dengan cerita Kumunah, puteri ikan patin.
Rupa-rupanya tanpa penulis sedari bahawa larangan untuk tidak memakan ikan patin sebenarnya turut terpalit di negara Brunei Darussalam atau untuk lebih spesifik bagi mereka yang berketurunan Melayu Brunei. Dan yang lebih menarik lagi untuk Melayu Brunei sememangnya mempunyai cerita lisan yang mengkhusus, mengapa larangan untuk tidak memakannya yang langsung berlainan dengan versi legenda larangan ikan patin bagi Melayu Sarawak. Dek kerana sumpahan itu sehingga sekarang masih lagi berkuatkuasa maka penjualan ikan-ikan patin di Negara Brunei Darussalam tidak pernah mendapat tempat di hati rakyatnya.
Alsahibul hikayat diceritakan suatu waktu dahulu di Negara Brunei Darussalam ada sekumpulan saudagar Melayu Brunei yang ingin bermusafir dan berniaga di negara orang telah memulakan perjalanan mereka dari Teluk Brunei pada waktu itu. Dan bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya sewaktu dahulu kegiatan di perairan Borneo sememangnya sememangnya antara satu episod mimpi ngeri bagi pelayar-pelayar pada waktu itu. Hendak dijadikan cerita, sekumpulan pelayar Brunei ini telah bertembung dengan kapal lanun maka demi survival mereka harus melarikan diri.
Makanya dialihkan haluan kapal menuju ke satu anak sungai yang kecil agar mampu mereka menghindarkan diri dari serangan lanun buat seketika. Namun tanpa mereka ketahui sebenarnya mereka sudahpun memasuki kawasan anak sungai yang cetek sehingga ada satu ketika kapal mereka langsung tidak dapat bergerak. Firasat nakhoda kapal mengatakan mungkin kapal mereka akan boleh memulakan perjalanan kembali apabila air mula pasang namun ternyata ianya satu kenyataan yang meleset sama sekali.
Dari hari berganti minggu dan seterusnya kawasan sungai yang cetek semakin kering kontang dan kapal pelayar Brunei langsung tersekat dan tiada cara untuk belayar ke lautan yang luas.
Lebih menambah derita apabila bekalan makanan dan air bersih semakin berkurangan sehingga ada satu ketika mereka sudah hampir kelaparan dan kehausan. Puaslah dicari di seluruh kawasan sekitar jika ada lopak-lopak air namun langsung tiada malah hendak mencari ungka untuk dijadikan makanan pun payah.
Hinggalah satu ketika, nakhoda kapal menemui satu kawasan mata air. Dek kerana kehausan terus dia cuba menangguk air dengan kedua tapak tangannya namun terhenti seketika kerana rupa-rupanya di dalam mata air itu ada seekor ikan sedang berenang-renang di dalamnya. Menjaga adab itu sentiasa ada pada orang dulu-dulu maka terus nakhoda kapal memohon izin dari si ikan untuk berkongsi air dengannya. Dan alangkah terkejutnya si nakhoda kapal apabila si ikan tersebut mampu berkata-kata yang mana ianya mengizinkan untuk mereka berkongsi air dengan bersyarat.
Syarat yang dikenakan ke atas si nakhoda kapal dan seluruh keturunannya adalah untuk jangan sesekali tersentuh badannya mahupun memakan jenis ikan sepertinya dan sekiranya dilanggar maka akan ada musibah yang menimpa. Maka berjanjilah si nakhoda kapal dengan si ikan patin akan setiap terma dan syarat itu demi untuk menghilangkan kehausan si nakhoda dan seluruh anak kapalnya pada masa itu. Malah hal yang pelik juga berlaku yang mana dari mata air si ikan patin itulah mengalir air yang membuak-buak sehingga seluruh anak sungai yang kering kontang sudah dipenuhi air yang mana akhirnya kapal pelayar Brunei sudah boleh mampu dibawa sehingga ke lautan luas.
Niat mereka yang ingin bermusafir sambil berniaga akhirnya tidak kesampaian kerana mereka sebulat suara untuk pulang ke negeri asal mereka bertemu dengan keluarga. Disamping itu perjanjian antara nakhoda dan anak kapal harus disampaikan kepada keturunan mereka iaitu sumpahan si ikan patin telah berkuatkuasa ke atas mereka. Ianya satu perjanjian antara hidup dengan mati kerana nakhoda dan anak kapal Brunei percaya bahawa jika tidak kerana si ikan patin membantu mereka sudah tentu mereka mati kehausan dan kelaparan.
Begitulah cerita sumpahan si ikan patin versi Melayu Brunei yang telah diceritakan secara lisan oleh seorang warga emas dari negara Brunei Darussalam langsung kepada penulis. Versi Melayu Brunei ini langsung tidak sama dengan cerita legenda sumpahan si ikan patin yang diceritakan oleh penulis di dalam artikel satu waktu dahulu iaitu untuk versi Melayu Sarawak.
Di dalam pada itu bagi mencari kebenaran akan sumpahan ini, penulis turut membuat beberapa semakan berdasarkan cerita benar yang pernah dialami oleh masyarakat Melayu Brunei sebelum ini. Ianya membawa kepada satu cerita di zaman moden yang mana berkaitan dengan satu keluarga Melayu Brunei yang mendiami Kampung Ayer, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam sekarang.
Berdasarkan temubual secara lisan diceritakan pernah terjadi satu musibah yang melanda seorang wanita yang sedang sarat mengandung sekitar tahun 2002. Hendak dijadikan cerita wanita tersebut secara tidak sengaja telah terkuis seekor ikan patin iaitu hasil pancing si suaminya menerusi hujung kakinya. Si suaminya pula bukanlah dari keturunan Melayu Brunei maka si suami tidak mengetahui berkenaan sumpahan si ikan patin tersebut lalu membawa hasil pancingannya pulang ke rumah.
Diceritakan pada malam itu juga, si isteri yang sedang sarat mengandung sedang menanggung azab untuk melahirkan cahayamata mereka. Azab kesengsaraan seorang ibu yang hamil untuk melahirkan ini bukanlah sekejap sebaliknya memakan masa berjam-jam lamanya. Dek kerana tidak tertanggung melihat kesukaran seorang ibu yang hendak melahirkan ini telah membawa kepada keluarganya untuk memanggil seorang bidan kampung bagi membantu beliau.
Bidan kampung sudah tentu mempunyai pengalaman di dalam hal seperti ini telah cuba menyelidiki apakah yang berlaku sebelumnya maka si ibu sempat memberitahu beliau akan perihal dirinya yang terkuis seekor ikan patin di lantai rumah mereka. Makanya tanpa berlengah, bidan kampung tersebut telah mengarahkan ibu mertuanya untuk mencari sekiranya masih ada sisa tulang ikan patin di rumah mereka.
Nasib baik menyebelahi si ibu itu kerana ternyata masih ada sisa-sisa tulang ikan patin dari menu santapan malam mereka. Maka teruslah tulang ikan patin tersebut dibakar bersama kemenyan. Bidan itu meminta si ibu mertua untuk memperasapkan ianya diatas perut wanita yang sarat melahirkan itu. Sementara itu abunya pula dicampurkan dengan minyak kelapa dan dilumur ke seluruh badan wanita tersebut.
Sesuatu yang ajaib berlaku kerana selang beberapa minit kemudian, wanita itu dengan senangnya melahirkan bayinya tanpa perlu menarik nafas yang panjang. Namun sesuatu yang pelik turut disaksikan keluarga itu kerana bayi yang dilahirkan diselaputi lendir yang cukup banyak iaitu diluar dari kebiasaan. Lendirnya pula seperti lendir yang melekit di badan ikan patin.
Jangan ingat cerita sumpahan ikan patin ini terhenti disini kerana sebaliknya nasib yang melanggar pantang larang ini masih lagi mengekori keluarga di Kampung Ayer ini. Ini kerana sejak dihari pertama dilahirkan diceritakan si bayi tidak pernah berhenti menangis. Malah si ibu itu juga mendapat musibah yang sama apabila hilang selera makannya sehingga badan menjadi kurus dan lemah tidak bermaya.
Sekali lagi, kejadian ini menjadi hal yang amat merisaukan bagi keluarga tersebut dan akhirnya membawa kepada mereka berubat secara tradisional dengan seorang dukun. Setelah mendengar cerita sebab musabab akan perihal melanggar sumpahan ikan patin akhirnya dengan bantuan dukun dan izin Allah makanya si ibu dan bayi tersebut itu pulih dengan hanya menggunakan tulang ikan patin sebagai asas pengubatan tradisionalnya.
Inilah antara cerita benar berdasarkan penceritaan lisan dari satu keluarga di Kampung Ayer yang mana menurut mereka sumpahan si ikan patin masih lagi berkuatkuasa sehingga sekarang. Untuk merawatnya bukanlah orang sembarangan yang boleh melakukannya dan tetap ianya berkaitan dengan setiap yang ada pada anggota badan si ikan patin.
Dan menurut cerita lisan ini juga dinyatakan banyak kejadian yang berlaku sekiranya melanggar pantang tersebut malah ada diantara masyarakat Melayu Brunei menjadi gatal-gatal kulit yang teruk hanya terkena percikan darah si ikan patin di pasar. Ada yang menjadi gila kerana memakannya sehingga menjadikan si ikan patin ini langsung dihindari oleh masyarakat Melayu Brunei dari dahulu sehinggalah sekarang di zaman moden ini.
Cerita sumpahan si ikan patin versi Melayu Brunei ini sememangnya amat jarang kita dengar dan ianya juga menjadi salah satu kekayaan cerita rakyat di Pulau Borneo. Pantang memakan ikan patin sememangnya mempunyai versi yang berbeza-beza telahan lagi ianya tidak begitu didokumenkan buat warisan generasi mendatang.
Janganlah pula ada yang akan mengklasifikasikannya sebagai syirik dan sebagainya kerana ini hanya satu perkongsian buat renungan kita bersama. Mungkin perlu ada kajian saintifik yang boleh dilunaskan bagi mencari kesamaan di dalam ketaksamaan agar kita bisa menoktahkan cerita sumpahan si ikan patin bagi Melayu Sarawak mahupun Melayu Brunei itu sendiri. Wallahualam.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
Nota: Artikel ini dituliskan berdasarkan kepada penceritaan secara lisan antara penulis dan seorang warga emas keturunan Melayu Brunei dan keluarganya dari Kampung Ayer, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei pada 5 Disember 2017. Namanya dirahsiakan bagi menghormati permintaan mereka.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih