Kalau bercerita, rasanya tak ternafi yang ancaman ke atas keselamatan dan kedaulatan negara semakin hari semakin dinamik. Perkembangannya menyaksikan garisan halus antara jenayah dan keganasa semakin kabur, terutama dalam senario pasca 9/11. Kalau satu ketika dulu, Malaysia berjaya memenangi peperangan yang dilancarkan oleh pihak komunis, pada hari ini, cabarannya lebih adalah jauh lebih tinggi dengan musuh yang mempunyai kekuatan dan kemampuan yang berlipat-kali ganda. Insiden Lahad Datu bukan insiden ancaman pertama terhadap keselamatan negara sejak berakhirnya tempoh Insurgensi ( 1948-1960), tapi ia menjadi pengingat kepada keperluan mendesak untuk kita sentiasa bersiap-siaga kerana ancaman yang kita lihat menguasai negara-negara lain, menunggu masa saja untuk menjengah sempadan kita.

Meski ia satu kenangan pedih untuk diingati, insiden pada 2013 itu memberikan banyak pengajaran yang bukan saja perlu diambil tahu, tapi juga untuk diambil tindakan. Berturutan daripada insiden tersebut, antara elemen medan yang menjadi titik perbincangan khusus adalah keupayaan kuasa tembakan kita, terutama bagi anggota yang beoperasi di barisan hadapan. Ya, kita punya barisan aset tembakan yang tidak boleh dipertikaikan, tapi pada masa yang sama, terpaksa diakui bahawa kuasa tembakan bagi anggota infantri agak tidak sebanding dengan musuh. Senang cerita, musuh rata-rata guna kaliber 7.62 yang mempunyai kuasa tembakan lebih efektif berbanding dengan pasukan kita yang lebih banyak menggunakan kaliber 5.56mm. Kekurangan itu, sedihnya, telah mengakibatkan kehilangan di pihak kita. Betul, ianya satu suratan takdir, tapi kita diminta supaya berusaha sebelum berserah. Kehilangan itu telah membawa pengajaran berkesan buat kita, dan kuasa tembakan pasukan kita telah mula dipertingkatkan sedikit demi sedikit. Antaranya adalah dengan kemasukan dan pemerolehan senjata dengan kaliber lebih berkuasa bagi anggota infantri.

Antara yang menjadi tambahan adalah raifal SCAR ( Special Operations Forces Combat Assault Rifle) keluaran syarikat FN (Fabrique Nationale) Herstal yang berpengkalan di Belgium. Meski terdapat dalam versi kaliber 5.56mm, versi kaliber 7.62mm lebih menjadi pilihan kita – secara lebih spesifik, model Raifal Tempur / Assault Rifle FN SCAR – H 7.62mm.

Data teknik senjata ini boleh saja diperolehi melalui laman-laman web. Anda boleh google saja, dan anda akan dihidangkan dengan fakta-fakta mengenai raifal tempur yang menjadi pilihan ini. Tetapi, yang saya ingin ceritakan adalah daripada kacamata pandangan penggunaan oleh pasukan kita sendiri. Setakat ini, keampuhannya telah diakui melalui penggunaan oleh salah satu pasukan khas kita di Sabah, setelah pemerolehan dibuat pasca insiden berdarah Lahad Datu.

Pemilihan raifal ini bertitik tolak daripada pengiktirafan yang diperolehinya daripada  pasukan-pasukan khas dunia lain seperti United States Special Operations Command ( USSOCOM ) yang memilihnya sebagai senjata utama  ( primary weapon ) di dalam pengoperasian, kerana  ciri-ciri optimum senjata ini yang mempunyai daya kebolehpercayaan yang maksimum serta kemampuan  memberi impak kecederaan yang maksimum kepada musuh.     Pada awal tahun 2004,  USSOCOM telah mewartakan permohonan untuk mendapatkan satu raifal moden kategori baru yang dinamakan Special Forces Combat Assault Rifles/Raifal tempur pasukan khas, yang dikenali juga sebagai SCAR yang dijuruskan kepada dua jenis kaliber, tetapi kedua-dua jenis raifal moden itu perlu mempunyai komponen yang setara dan bersamaan identiti ergonomiknya. FN Herstal telah mengambil bahagian dalam  persaingan tersebut bersama-sama  pengeluar senjata lain seperti HK, Beretta, Colt, dan SigArms dan  menjalani ujian yang paling ketat sebagaimana yang digariskan oleh pihak USSOCOM.

Daripada peringkat pra-pemilihan sehinggalah ke akhir, proses tersebut termasuk ujian di dua medan peperangan di Afganistan dan Iraq.  FN SCAR telah kekal sebagai pilihan pertama dan hanya satu-satunya pilihan bagi USSOCOM, sehinggalah ke hari ini dengan versi FN SCAR yang digunapakai telah melahirkan versi terkini iaitu versi generasi ke-3. Penilaian oleh USSOCOM mendapati raifal FN Herstal SCAR ini merupakan senjatapi yang mempunyai daya kebolehpercayaan yang maksimum dan berkemampuan mengakibatkan impak kecederaan yang maksimum kepada musuh. Setakat tahun  2015,  FN SCAR ini telah digunakan oleh lebih 20 negara. Malaysia adalah salah satu daripadanya. Antara pengguna-pengguna lain  adalah :

  1. BELGIUM – Federal Police Special Units, Special Forces Group.
  2. AMERIKA SYARIKAT – S. Armed Forces (kesemua cabang USSOCOM), U.S. Marine Corps, U.S. Customs and Border Protection, Office of Air and Marine (OAM) interdiction unit , Los Angeles Police Department (LAPD) SWAT , Richland County Sheriff’s Department SRT
  3. KOREA SELATAN – Republic of Korea Army 707th Special Mission Battalion
  4. JERMAN – German Federal Police counter-terrorist unit GSG 9 , Mobiles Einsatzkommando (MEK) Special Units of the Criminal Investigation Units of the German State Police, Spezialeinsatzkommando (SEK) Special Units of the German State Police
  5. PERANCIS – Recherche Assistance Intervention Dissuasion (RAID) police unit, Commandement des Opérations Spéciales (COS);
  6. NEW ZEALAND – New Zealand Army
  7. SERBIA – Military Police Battalion Cobra
  8. PERU – Grupo de Fuerzas Especiales (GRUFE) of the Peruvian Armed Forces Grupo de Fuerzas Especiales (GRUFE) of the Peruvian Armed Forces, Peruvian Army
  9. MEXICO – Policía Federal and various state police forces
  10. LITHUANIA – Lithuanian Land Force
  11. KENYA – Kenyan Special Forces
  12. CHILE – Chilean Marine Corps

Rasanya, sama seperti pemerolehan-pemerolehan lain, akan ada pihak tertentu yang gatal punggung untuk mempertikaikan pemerolehan ini juga. Menurut mereka, segalanya dibuat atas dasar kroni, rasuah blablabla..janji masyuk. Menurut mereka, pemerolehan sebegini adalah tidak perlu. Zaman Nabi dulu, berperang sekadar menggunakan panah, itupun boleh menang. Tak perlu senjata canggih-canggih, cukup sekadar iman penuh di dada. Tidak pula mereka mahu mengkaji tentang teknologi peperangan zaman Baginda. Tidak juga mahu mereka melihat secara realiti tentang pembangunan teknologi persenjataan Briged Al-qassam yang dijadikan sebagai perbandingan itu. Jadi, adakah pemerolehan raifal ini juga adalah sekadar melalui dasar tengok katalog dan pilih?

Jauh daripada pandangan umum, raifal ini telah melalui satu set penilaian dan ujinilai yang sangat ketat dan memeritkan sebelum ia mula memasuki inventori pasukan kita. Ia dimulakan dengan kajian dokumen, temubual dan tak kurang juga, respon daripada operatif yang telah menggunakan sejumlah raifal ini atas dasar percubaan. Selepas itu, ia diikuti satu siri ujian yang melibatkan 4 elemen iaitu ketahanan, jatuhan, kelasakan dan ketepatan tembakan. Kesemua ujian ini adalah sangat penting untuk menilai samada penggunaan raifal ini bersesuaian dengan keperluan dan realiti pengoperasian di Malaysia sendiri.

Antara ujian paling penting adalah ujian ketahanan. Dalam keadaan cuaca tropika negara dan elemen-elemen yang berkisar sekitar pengoperasian seperti selut dan air masin, sering saja berlaku masalah stoppages atau jem/sekatan pada senjata. Dalam keadaan peperangan, ini bukan sesuatu yang boleh diterima. Bagaimana kaedah-kaedah ujian ini dijalankan, kenalah anda belanja mereka yang menjalankannya ayam golek setahun untuk mereka ceritakan.

Yang penting, dapatan daripada ujian-ujian ini menunjukkan raifal ini mempunyai ketahanan yang tinggi. Ia lulus dan berupaya menembak tanpa halangan di dalam kategori ujinilai ketahanan tanpa sebarang permasalahan. Selepas beberapa puluh kali dijatuhkan pun,  peluru yang terdapat di dalam chamber senjata tidak meletup. Ini memberi jaminan keselamatan yang maksimum kepada operatif / pengguna semasa pengendaliannya. Ujian ketepatan  pada jarak 100 ela memperlihatkan impak tembakan di sekitar radius 1 kaki sekeliling. Recoil/sentakan raifal ini juga adalah lembut dan memberi keselesaan kepada operatif semasa menembak.

Jadi, apakah kelebihan yang membuatkan raifal ini menjadi pilihan?

Daripada segi fleksibiliti, raifal ini mempunyai keupayaan untuk pertukaran pelbagai laras antara saiz 10“ , 13“, 14.5“  atau 16“, malah boleh pula  diintegrasi bersama Pelancar Grenad  40mm yang berupaya menambah kekuatan tembakannya. Sifat generiknya ditambah dengan landas Picantinny yang ada, membolehkan bermacam aksesori tambahan dipasang pada raifal ini – lampu suluh, kamera,  alat bantuan teknik khas siang dan malam  seperti Fire Control Unit/ Unit Kawalan tembakan bagi tembakan 40mm Granade Launcher/ Pelancar Grenad 40mm, Magnifier/ Pembesar pandang, Holosight gadget/ Gajet Holosight dan lain – lain lagi. Tak cukup dengan itu, terdapat juga tambahan landas tepi dan bawah, berguna untuk pemasangan aksesori lain seperti  Red Dot Laser/ laser titik merah,  Front Grip /pemegang hadapan, Handle/ tangkai pemegang dan lain – lain. Dalam erti kata lain, raifal ini boleh diperkembangkan penggunaannya ke tahap maksimum. Bak kata orang, ikut suka hati kita nak tambah apa sekalipun.

Pemasangan pelancar grenad kepada unit raifeal FN SCAR H ( Heavy ) 7.62 x 51mm

Satu lagi faktor penting yang dipertimbangkan yang membuatkan rifal ini menjadi pilihan Malaysia adalah ia senang dibawa. Nampak macam hal kecil, tapi secara realitinya, seseorang anggota perlu mempunyai tahap mobiliti tinggi dalam sebarang keadaan kecemasan. Selaras raifal mempunyai kemampuan menghalang pergerakan keluar masuk kenderaan dan lalu menyebabkan reaksi yang lebih perlahan. Dalam keadaan konflik, setiap saat mampu menentukan hidup mati anggota. Ddalam keadaan ini, SCAR menawarkan kelebihan dek kerana udinya boleh dilipat, menjadikannya lebih pendek dan lebih mudah dipegang dalam keadaan sentiasa sedia. Kuranglah kes raifal sangkut di pintu sewaktu nak turun kenderaan, atau sangkut di pintu kapalterbang masa nak terjun.

Raifal FN SCAR – H (Heavy) 7.62 x 51mm dalam keadaan udi terlipat

Tidak cukup dengan itu, ia juga menawarkan keselesaan kepada penembak dengan udinya itu mempunyai pula kemudahan Perubahan Kesesuaian Udi (Fully Adjustable Butt) dengan 6 titik jarak ubah suai, dan  penampan pipi/cheek rest di dalam 2 kedudukan.

Raifal FN SCAR – H ( Heavy ) 7.62 x 51mm dalam keadaan udi terlipat

Tidak cukup dengan itu, ia juga menawarkan keselesaan kepada penembak dengan udinya itu mempunyai pula kemudahan Perubahan Kesesuaian Udi (Fully Adjustable Butt) dengan 6 titik jarak ubah suai, dan  penampan pipi/cheek rest di dalam 2 kedudukan.

Memahami bahawa tidak semua penembak bertangan kanan, beberapa ciri diubahsuai pada raifal ini untuk menjadikannya ambidextrous atau mampu dioperasikan daripada kedua-dua arah kanan dankiri. Butang Magazine catch/ pelepas kelopak dan Fire Selector/ pilihan tembakan kiri dan kanan membenarkan pengguna/operatif yang bertangan kanan atau kidal mengendalikan senjata ini tanpa perlu melepaskan pistol grip/ pemegang rif. Begitu juga dengan Cocking handle/Tangkai Pencekah dan Magazine Ejection Safe untuk operatif/penembak kidal.

Senjatapi ini mempunyai 3 mod kaedah tembakan iaitu Safe/ selamat (S), Semi Auto/separa auto (I) dan Fully Auto/Automatik sepenuhnya (F). Fire Selector/butang pilihan mod tembakan berada di dalam ruang lingkup 90º iaitu butang (S) di kosong darjah (0º), (I) di paksi 30 darjah (30º) dan (A) di paksi 60 darjah (60º). Ini memudahkan operatif memilih mod tembakan tanpa perlu melepaskan pistol grip/ pemegang, berbanding dengan sebahagian raifal yang lain di mana fungsi pilihan tembakan melibatkan pusingan sebanyak 180 darjah (180º). Pilihan tembakan secara Semi Auto dan juga Automatik memberikan kuasa menggempur dan berkeupayaan melemahkan kekuatan psikologi musuh justeru memecahbelahkan formasi dan perancangan musuh serta struktur pertahanan mereka.

Ketepatan raifal ini dijamin oleh Iron Sight/ pejera besi yang boleh dilaraskan sesuai dengan  jarak tembakan dan kelajuan angin, manakala ketahanannya diasaskan kepada Teknologi pembuatan barrel/ laras adalah menggunakan kaedah Cold Hammer Forge/ Tempaan sejuk dan bahagian dalaman laras dilapisi dengan krom bagi menjamin ketahanan dan ketepatan tembakan. Laras raifal ini didapati  boleh melepasi jangka hayat sekurang-kurangnya 20,000 butir peluru tembakan.

Sistem Pengoperasian Gas dan Piston pula membolehkan senjata ini digunakan di dalam persekitaran maritim, sungai dan paya bakau tanpa sebarang masalah. Sistem gas yang boleh dilaras pada senjata FN SCAR juga menjadikan senjata ini kurang bermasalah kepada jenis-jenis peluru dan laras yang berubah-ubah panjangnya atau bila penyenyap bunyi dipasang padanya. Dengan Low Rate Of Fire/ Kadar tembakan rendah ( 600 RPM), kestabilan dan ketepatan tembakannya dapat dikekalkan walaupun dalam mod tembakan separa auto atau auto penuh. Jika berlaku sekatan di medan pula, ia mudah dibuka untuk diperiksa dan diperbaiki, melibatkan hanya 5 prosedur.

Pengendaliannya tidak jauh berbeza daripada raifal tempur peribadi yang dioperasikan oleh pasukan kita seperti M16 dan M4, yang sedia ada di dalam inventori pasukan. Dengan 90% persamaan komponen dengan Colt M4 , segala komponen ganti senjatapi ini adalah mudah ditukarganti dan memudahkan urusan logistik.

INTEGRASI FN FCU FIRE CONTROL UNIT

Crown jewel bagi raifal ini adalah kemampuannya untuk diintegrasi dengan sistem FN FCU Fire Control Unit, yang merupakan suatu sistem bidikan yang dibangunkan oleh FN Herstal atas keperluan USSOCOM dalam memaksimumkan ketepatan tembakan pertama 40mm HELV M203 Grenade Launcher ke sasaran. Apa kegunaan menatang ni? Senang cerita, ia membantu menganalisis dan merekodkan situasi penggunaan senjatapi, penggunaan dan kerosakannya, dan menyampaikan informasi pertempuran semasa kepada pemerintah peringkat tertinggi sewaktu pertempuran sebenar berlaku dan lokasi senjata berada (jika di intergrasi dengan sistem C4i)

Jadi, adakah ia raifal terbaik bagi pasukan Malaysia?

Walaupun ia mempunyai banyak ciri-ciri penambahbaikan dibandingkan dengan raifal sedia ada, saya tidak mengatakan ia adalah pilihan yang paling sempurna. Tidak ada yang sempurna dalam dunia ni, tak gitu? Tapi, daripada perspektif seorang pengguna, bagi saya, ia satu pilihan yang sangat baik dan sangat tepat dalam persekitaran sedia ada ini. Tidak salah rasanya jika ia diperluaskan sekalipun. Dengan kekangan bajet pertahanan dan keselamatan yang ada, mungkin agak mustahil bagi kita melakukan penggantian besar-besaran berbanding raifal sedia ada, tapi bagi barisan hadapan, iaitu pasukan-pasukan khas, rasanya ia satu pilihan yang tidak boleh diketepikan daripada dipertimbangkan.

Lahad Datu memperlihatkan kepada kita bagaimana kuasa tembakan kita agak ketinggalan berbanding musuh yang menembak dengan niat membunuh, bukan sekadar mencederakan. Tidak dinafikan, peluru 7. 62 yang digunakan tidak begitu praktikal bagi kesemua anggota di medan. Isu logistik adalah pengangkutan peribadi. Perlu diingat, bagi jumlah yang sama, peluru 5. 56mm secara kasarnya 1/3 lebih ringan berbanding dengan peluru 7. 62mm. Di sini, FN SCAR menyediakan pilihan optimum kerana kesmeua ciri yang dimiliki oleh raifal H nya ini, juga terdapat pada model L yang menggunapakai kaliber 5. 56mm.

Semasa insiden pencerobohan Lahad Datu, musuh telah menggunakan kekuatan tembakan senjata daripada peluru 7. 62mm yang mana keupayaan jarak sampai projektilnya lebih jauh berbanding dengan pasukan keselamatan PDRM yang hanya menggunakan kekuatan tembakan daripada peluru 5. 56mm yang jarak sampai projektilnya lebih rendah . Keberkesanan senjata ini telahpun dibuktikan melalui transformasi penggunaan senjatapi oleh keseluruhan pihak pasukan elit Amerika Syarikat sepenuhnya kepada senjata FN Herstal oleh USSOCOM . Ia telah teruji Ini selama 6 tahun mulai tahun 2004 hingga 2010 termasuk diuji keberkesanannya di dalam dua medan peperangan sebenar.

Pasukan keselamatan kita sudah banyak kali membuktikan tekad mereka melangkah ke medan demi jaminan keamanan negara kita, meski dalam keadaan serba kekurangan. Kepada pihak yang membuat keputusan, persetankan dengan puak-puak yang sering membangkang tanpa fikir panjang setiap kali keputusan untuk pemerolehan dibuat. Segala tohmahan mereka tentang rasuah dan sebagainya tak ubah hanya sekadar dengung lalat yang tidak patut dipedulikan. Tuduh, tuduh, buktinya entah di mana. Dengan selamba mereka mengarahkan supaya bajet pertahanan dipotong dan diarahkan kepada perkara lain, lantas menimbulkan isu tentang keperluan penambahan aset yang meruncing bagi pertahanan kita. Tapi mereka ini, sedikit pun tidak pernah ambil tahu tentang keadaan anggota kita yang berada di medan dan mempertaruhkan nyawa mereka, di luar pandangan kita. Maka, wajar sangat rasanya dengungan sebegini diketepikan terus, dan sebaliknya, pemilihan aset terbaik bagi kegunaan pasukan kita diutamakan. . =WRA=

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply