Pemerintahan Nazi Jerman seharusnya bertahan satu milenia tetapi ia hanya bertahan selama 12 tahun. Dalam tempoh tersebut, keganasan dan kekejaman rejim turut disokong dengan penyebaran mitos atau cerita palsu yang bukan saja dipercayai Hitler tetapi juga kepimpinan tertinggi Nazi yang lain. Ada mitos yang sudah diketahui umum tetapi ada juga yang sengaja dibuat semata-mata untuk menjustifikasikan tindakan ganas mereka semasa Perang Dunia Kedua (WWII).
1. TABUT (THE ARK OF THE COVENANT)
Jika anda pernah menonton siri filem pertama Indiana Jones, Raiders of the Lost Ark (1981), anda pasti tahu berkenaan kisah tabut yang mengandungi kepingan kitab Taurat dan mengapa pihak Nazi mahukannya. Dalam filem tersebut, antara sebab pihak Nazi mengejarnya ialah sesiapa yang memiliki tabut tersebut dianggap berkuasa dan tentera yang dimilikinya tidak akan kalah dalam peperangan. Jika anda rasa ini fiksyen, salah sebab inilah apa yang dipercayai kepimpinan tertinggi Nazi. Bagi mereka, sekiranya mereka berjaya memiliki dan memanfaatkan kuasanya, inilah senjata terunggul dalam simpanan mereka. Walaupun tabut dikatakan hilang antara 597-586 Sebelum Masihi dan lokasinya masih lagi menjadi pertikaian dalam kalangan cendekiawan dan sejarawan, tiada sebarang rekod yang menyatakan pihak Nazi Jerman berusaha mencari lokasi sebenar tabut itu.
2. SWASTIKA
Sebelum Adolf Hitler dan Nazi Jerman mencuri lambang swastika untuk jadi sebahagian daripada logo parti mereka, swastika dilihat mengandungi imej positif. Swastika sendiri dalam Bahasa Sanskrit bermaksud gembira/baik. Simbol ini digunakan dalam agama Hindu, Buddha dan Jainisme selama beribu-ribu tahun dan dianggap sebagai simbol India. Pada abad ke-20, ramai orang mengambil lambang swastika sebagai tanda nasib baik dan ada pula yang menggunakannya untuk motif seni bina, rekaan produk atau pengiklanan. Antara syarikat yang menggunakan lambang tersebut ialah Coca-Cola dan Carlsberg. Motif ini juga boleh dijumpai pada pesawat Tentera Udara Diraja Britain (RAF) dan pada 1930-an dan unit tentera Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Pertama (WWI). Namun, apabila Hitler dilantik sebagai Kanselor Jerman, semua itu dihentikan. Bagi Hitler, lambang ini dilihat menyerlah dan menarik perhatian orang ramai di mana lambang itu bermaksud kesucian bangsa Aryan.
3. TERAS BUMI KOSONG (HOLLOW EARTH)
Kepercayaan bahawa teras bumi kosong bukanlah satu perkara asing dan ini bukan diyakini pihak Nazi saja. Pada abad ke-19 dan abad ke-20, teori berkenaan wujudnya sebuah dunia lain dalam teras bumi sudah diceritakan dalam bentuk fiksyen seperti The Narrative of Arthur Gordon Pym of Nantucket (1838, Edgar Allan Poe), A Journey to the Centre of the Earth (1864, Jules Verne) dan pencipta watak Tarzan, Edgar Rice Burroughs menerusi novel At the Earth’s Core (1914). Atas sebab itu, pihak tentera melancarkan beberapa ekspedisi untuk menyiasat sama ada teori tersebut benar atau tidak dan jika ia benar-benar wujud, maka mereka perlu mendapatkan kelebihan strategik. Antara ekspedisi yang dikatakan dihantar Berlin ialah ekspedisi tahunan antara 1926-1943 ke Tibet untuk mencari dan mengekalkan hubungan dengan nenek moyang Aryan mereka di Shambala dan Agharti, dua kota yang dikatakan wujud di bawah Banjaran Himalaya.
4. YAHUDI & ANTI-SEMITISME
Seperti kita sedia maklum, sejarah orang Yahudi ini banyak berkait dengan isu perhambaan dan peminggiran oleh komuniti tempatan terutama di Eropah. Dan tidak seperti kerajaan Islam terdahulu yang menerima mereka, kebanyakan kerajaan pada Zaman Pertengahan Eropah bersikap radikal terhadap mereka. Ini berikutan larangan dalam agama Yahudi yang melarang mereka berkahwin dengan orang bukan Yahudi dan larangan sebegini membawa kepada pelbagai mitos gila berkenaan mereka. Antara mitos yang tersebar pada ketika itu ialah orang Yahudi meracun perigi penduduk tempatan, membunuh kanak-kanak untuk minum darah mereka dan bertanggungjawab kepada penyebaran wabak Maut Hitam (Black Death, 1348-50).
Akibatnya, pada abad ke-12 Masihi, ribuan orang Yahudi mati dibunuh di Perancis, Sepanyol dan England. Kemudian, muncul pula Protokol Zion iaitu rancangan bagaimana orang Yahudi menguasai dunia muncul di Rusia pada tahun 1903 dan menjadi sebahagian daripada rancangan ‘Penyelesaian Terakhir’ Hitler yang dipersetujui dalam Persidangan Wannsee. Hari ini, protokol tersebut masih tersebar luas walaupun ramai termasuk rakan penulis saya, saudara Ayman menyatakan dokumen tersebut adalah palsu.
5. ORDE DUNIA BARU
Ramai penulis teori konspirasi berpandangan rejim Nazi Jerman sebagai permulaan kepada Orde Dunia Baru. Bukti mereka ialah penemuan terma ‘Neordnung’ yang bermaksud orde baru. Namun, maksud sebenar terma tersebut ialah penstrukturan semula sempadan negara-negara Eropah termasuk penglibatan lebih luas bagi empayar Nazi Jerman. Namun jika kita pertimbangkan semua fakta, ada kemungkinan Hitler mahu menubuhkan orde dunia baru versinya dengan empayar Nazi Jerman sebagai ketua negara-negara dunia.
6. HOLY GRAIL
Holy Grail merupakan artifak Kristian di mana dikatakan itulah gelas terakhir yang diminum Nabi Isa a.s sebelum baginda (dikatakan) disalib berdasarkan lukisan Leonardo da Vinci, The Last Supper. Dan artifak ini menjadi teras kepada kisah Raja Arthur di mana baginda mengarahkan Sir Percival mencari artifak tersebut. Dan kisah ini sudah diadaptasi banyak kali dalam pelbagai medium termasuk layar perak seperti siri ketiga Indiana Jones, Indiana Jones and the Last Crusade (1989).
Bagi Hitler sendiri, beliau menganggap cawan tersebut kunci kepada keabadian dan melihatnya bersesuaian dengan naratif bahawa orang Kristian mencuri cawan itu dari orang pagan. Hitler melihat artifak itu seharusnya dikembalikan ke Berlin dan tugas tersebut diserahkan kepada Otto Rahn, seorang pegawai SS merangkap sejarawan yang menjadi inspirasi kepada watak ikonik Indiana Jones yang dilakonkan Harrison Ford. Rahn berusaha mencari artifak tersebut di Eropah dan Timur Tengah namun gagal menemuinya pada akhir WWII.
7. KONTROVERSI BANGSA ARYAN
Hitler dan Nazi mendakwa orang Jerman berasal bangsa Aryan, sebuah bangsa kuat yang mempunyai mata biru, berkulit cerah dan berambut perang. Namun, ini hanyalah satu lagi propaganda Nazi yang mempergunakan sejarah bagi menguatkan naratif pilihan mereka. Aryan ini sebenarnya berasal dari terma Bahasa Sanskrit menerangkan sebuah puak yang menyerang dan mampu menjinakkan kuda yang wujud pada 1700 Sebelum Masihi. Mereka percaya mereka jauh lebih hebat berbanding bangsa yang ditewaskan mereka. Selepas beberapa generasi, mereka mula mengaplikasikan terma itu pada keadaan sosial atau etika yang membawa maksud berkuasa. Tambahan pula, bangsa Medes sebelum itu dikenali sebagai Arii sementara bangsa Parsi yang menggantikan mereka dipanggil Aria iaitu nama lama bagi Parsi. Dan ini satu ironi yang tidak diketahui Hitler dan Nazi, perkataan Aryan ini sebenarnya dimodenkan oleh Max Muller pada abad ke-19 bila cuba menerangkan bangsa ‘Indo-Jerman’ tetapi kemudian mendakwa tidak wujud sebarang bangsa yang dikatakannya.
8. LEMBING TAKDIR (SPEAR OF DESTINY)
Jika anda peminat setia siri televisyen CW dan Warner TV, Legends of Tomorrow, anda pasti sedia maklum dengan objek yang menjadi obsesi Reverse Flash/Eobard Thawne (Matt Letscher), Lembing Takdir. Lembing ini yang dikatakan menikam Nabi Isa a.s semasa baginda disalib. Tidak seperti kuasa menukar takdir seperti yang diceritakan siri tersebut, mitosnya ialah sesiapa yang memiliki lembing tersebut tidak akan dapat dikalahkan. Bukti kepada mitos ini ialah ada 40 pemerintah terdahulu yang pernah memilikinya termasuk Maharaja Rom, Constantine dan Raja Frederick Yang Agung. Hitler yang melihat lembing tersebut pada tahun 1908 di Austria mahu memilikinya dan selepas Austria diilhak pada tahun 1938, lembing tersebut dipindahkan dari Austria ke bandar Nuremberg. Bila lembing tersebut selamat sampai di Jerman, menurut mitos, Hitler melancarkan serangan di Poland. Ironinya, selepas pihak Bersekutu merampas lembing tersebut pada 1945, Hitler (dikatakan) membunuh diri dalam bunker.
9. NOSTRADMUS & HANNS HORBIGER
Parti Nazi mendakwa kebangkitan Hitler sudah diramal oleh Nostradamus dan kesannya, semakin ramai yang menyokong gerakan beliau. Pada masa sama, Hitler turut mempercayai ramalan kosmologi Hanns Horbiger. Horbiger mendakwa banyak bulan dan objek cakerawala yang pernah mengelilingi bumi akan jatuh dan mati. Dan menurutnya, bulan terakhir yang jatuh ke bumi mencetuskan banjir besar dan menghancurkan Atlantis yang dikatakan tanah air bangsa Aryan. Hari ini, sebab sebenar Hitler dan Heinrich Himmler mempercayai dakwaan Horbiger ialah mengekang pengaruh Yahudi dalam bidang sains seperti yang dilakukan pergerakan Deutche Physik.
10. ‘HEIL HITLER’
Kultus personaliti yang dibentuk mengelilingi Hitler menganggapnya sebagai dewa atau penyelamat di mana beliau diberi kuasa membentuk rakyat, memberi laluan kepada bangsa super Aryan dan sebagai pelindung mereka. Dan banyak isi propaganda Joseph Goebbels dibentuk berdasarkan idea-idea ini untuk membentuk perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan rakyat Jerman. Dan Hitler sendiri digambarkan sebagai kuat, memilih agenda kebangsaan, mengembalikan semula sistem dengan cara kuku besi dan menghukum keras mana-mana individu dianggap musuh negara. Majoriti rakyat ketika itu mempercayainya berdasarkan bukti ekonomi Jerman kembali kukuh dalam tempoh beberapa bulan dan sedia mati bersamanya. Dan bagi anggota kultus ini, Hitler ialah spesimen Jerman terbaik dan patut dicontohi. Namun selepas perang meletus dan bila situasi tidak lagi memihak Jerman terutama selepas Kursk dan pendaratan di Normandy, semua itu hanyalah sekadar mitos yang membawa Jerman ke arah kemusnahan.
SUMBER
- Lee, Adrian. (2013). Daily Express. The Nazis’ search for Atlantis and Holy Grail. http://www.express.co.uk/news/world/444076/The-Nazis-search-for-Atlantis-and-the-Holy-Grai
- Storr, Will. (2014). The Telegraph. Hollow Earth conspiracy theories: the hole truth. http://www.telegraph.co.uk/culture/books/10961412/Hollow-Earth-conspiracy-theories-the-hole-truth.html
- Campion, Mukti Jain. (2014). BBC. How the world loved swastikas – until Hitler stole it. http://www.bbc.com/news/magazine-29644591
- Gerber, Hestie Bernard. (2016). Listverse. Top 10 Myths Involving Nazi. https://listverse.com/2012/11/29/top-10-myths-involving-the-nazis/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih