Di dalam rentetan sejarah Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu iaitu ketika Sarawak dibawah pemerintahan dinasti Keluarga Brooke yang mempunyai 3 rajah putih yang dimulai oleh Rajah James Brooke, Rajah Charles Brooke dan yang terakhir Rajah Charles Vyner Brooke, akan sering kita dengar bagaimana ketiga-tiga rajah ini menggunakan keupayaan kapal-kapal mereka ini menghampiri setiap pelusok pendalaman Sarawak.

Kebanyakan daripada kapal-kapal ini sudah tentu mempunyai kaitan secara langsung di dalam misi meluaskan empayar jajahan Sarawak Kingdom yang pada mulanya hanya seluas Kuching sekarang sehingga menjadi Sarawak Bumi Kenyalang sekarang. Alasan yang sering digunakan oleh Rajah Brooke adalah untuk membanteras lanun sedangkan hakikatnya ketika itu adalah untuk menghalang mana-mana pihak yang bangkit menentang pemerintahannya di Sarawak Kingdom.

Sebagai satu artikel wacana ilmu untuk kali ini Borneo Oracle akan memberi sedikit ruang informasi di dalam kita cuba mengenali beberapa buah kapal yang menjadi “legenda” di dalam memperkatakan keupayaan Rajah Brooke di dalam memastikan pemerintahannya selama lebih 100 tahun di bumi Sarawak Kingdom terus bertahan.

1. H.M.S Royalist
H.M.S Royalist merupakan sebuah kapal sekonyer seberat 142 ton yang telah dibeli oleh James Brooke daripada seorang pelayar berbangsa Inggeris bernama Rev. T.L Lane pada tahun 1834. Pembelian kapal ini adalah hasil daripada wang yang diwarisi oleh James Brooke daripada ayahnya. Kerana ketika itu beliau yang juga seorang tentera British yang mengalami kecederaan teruk akibat berperang di India maka H.M.S Royalist merupakan satu pembelian yang amat penting di dalam usahanya untuk mengembara.

Dengan keupayaan perang iaitu mempunyai meriam 6 pounders serta beberapa kelengkapan perang ringan yang setaraf dengan kapal perang armada laut Diraja British maka H.M.S Royalist adalah satu kapal yang lengkap di dalam serba-serbi. H.M.S Royalist ini juga antara kapal yang mendahului angkatan perang Brooke dan armada British sewaktu menyerang Brunei pada tahun 1843. Dengan kapal H.M.S Royalist ini jugalah, James Brooke menjejakkan kakinya ke bumi Sarawak buat kali pertama ketika Pengiran Bendahara Muda Hashim memohon bantuannya pada tahun 1839. Dikatakan H.M.S Royalist telah dijual oleh James Brooke pada tahun 1844 kepada seorang pengembara Inggeris yang lain.

2. H.M.S Dido
H.M.S Dido pada asalnya merupakan salah satu kapal perang milik angkatan laut Diraja British yang pernah terlibat di dalam perang di India dan juga di China. H.M.S Dido ini merupakan kapal perang yang lengkap di dalam serba serbi ditambah lagi Pegawai Pemerintahnya adalah seorang yang amat dikenali di dalam dunia ketenteraan laut British iaitu Sir Henry Keppel. Apabila Brooke membeli H.M.S Dido ini maka secara automatiknya tenaga Sir Henry Keppel yang juga sahabat baik kepada Brooke juga digunapakai.

H.M.S Dido ini telah banyak digunakan oleh Brooke di dalam memastikan misi mencegah “lanun” di bumi Sarawak contohnya sewaktu memerangi penentangan masyarakat tempatan di Batang Lupar dan banyak lagi. Kekuatan H.M.S Dido ini juga digunakan oleh Brooke untuk menyerang Brunei pada tahun 1843 dan banyak lagi.

3. H.M.S Samarang
H.M.S Samarang pada asalnya merupakan salah satu kapal perang milik angkatan perang Belanda yang kemudiannya dijual kepada angkatan perang Diraja British. Pada mulanya H.M.S Samarang dihantar oleh Kerajaan Mahkota British untuk membuat eksplorasi di bumi Borneo dengan pegawai pemerintahnya bernama Sir Edward Belcher.

Dikatakan ketika di dalam perjalanan H.M.S Samarang menuju ke perairan Brunei telah terkandas dan hampir karam akibat terlanggar batu dan pada ketika itulah Rajah James Brooke telah membantu. Oleh kerana ketika itu H.M.S Royalist sedang mengalami kerosakan yang teruk dan dihantar ke Singapura untuk baikpulih akhirnya pada tahun 1843, James Brooke telah membeli H.M.S Samarang untuk kegunaan kapal perang Sarawak Kingdom.

Setelah pembelian H.M.S Samarang disahkan hanya beberapa waktu akhirnya H.M.S Samarang juga turut serta di dalam angkatan perang James Brooke sewaktu perang dengan Brunei pada tahun 1843. H.M.S Samarang juga berkhidmat dengan Sarawak Kingdom bagi memerangi beberapa siri perang melawan “lanun” di bumi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu.

4. H.M.S Nemesis
H.M.S Nemesis merupakan antara kapal perang Brooke yang paling ke hadapan di antara banyak kapal perang yang dimilikinya. Ini kerana H.M.S Nemesis adalah kapal perang pertama angkatan laut Diraja British yang diperbuat daripada besi. H.M.S Nemesis juga digunakan oleh angkatan laut Diraja British sewaktu perang di China dan dikenali dengan “kapal perang hantu” memandangkan kehadirannya seringkali sukar dijejaki.

Dibina oleh Birkenhead Iron Works pada tahun 1839 di dalam masa 3 bulan, H.M.S Nemesis berat 660 tons dengan menggunakan 2 enjin stim 26 kuasa kuda. Dengan keupayaan senjata yang lengkap iaitu 2 pivot-mounted 32 pounder dan meriam 6 pounder serta mempunyai pelancar roket maka H.M.S Nemesis adalah pelaburan James Brooke yang terbaik pernah digunakan di dalam memperkasakan barisan pertahanan perang Sarawak Kingdom.

5. H.M.S Rainbow
H.M.S Rainbow adalah salah satu kapal perang milik Brooke yang dibeli daripada angkatan tentera laut Diraja British. Ianya adalah satu kapal perang yang menggunakan kaedah Albacore-class wood dengan mempunyai senjata pada setiap sisinya. Sekitar tahun 1857 ianya digunakan sebagai salah satu kapal survei di jajahan Koloni British sebelum dijual kepada Brooke pada tahun 1888 untuk mempertingkatkan keupayaan pertahanan Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu.

H.M.S Rainbow juga banyak digunakan untuk memerangi lanun di bumi Sarawak iaitu ketika pemerintahan Rajah Charles Brooke yang mana ketika itu Sarawak Kingdom mempunyai simpanan tunai yang banyak.

6. H.M.S Jolly Bachelor
Jolly Bachelor sebenarnya bukanlah kapal perang tetapi sebaliknya lebih kepada kapal pengiring kepada H.M.S Dido di dalam setiap siri pelayarannya. Dikatakan kapal Jolly Bachelor dibina oleh pakar pembuat kapal di kalangan etnik tempatan Sarawak. Ianya mempunyai kekuatan 1 meriam 6 pounder. Jolly Bachelor di dalam setiap siri pelayarannya sebagai kapal pengiring sering dikemudi oleh Lietenant Hunt. Kapal pengiring ini dikatakan dilupuskan pada tahun 1843 kerana sudah rosak teruk.

7. H.M.S Dingy
Seperti kapal Jolly Bachelor, H.M.S Dingy juga bertindak sebagai kapal pengiring kepada H.M.S Dido. Ianya tidak dilengkapi dengan peralatan perang tetapi lebih kepada kapal untuk membuat penyelidikan botani apabila H.M.S Dido membuat eksplorasi ke pedalaman Sarawak suatu waktu dahulu. Di dalam H.M.S Dingy ini telah sedia dilengkapi seperti makmal botani bergerak bagi melakukan penyelidikan botani keatas hidupan hutan bumi Sarawak suatu waktu dahulu.

8. H.M.S Sir James Brooke
H.M.S Sir James Brooke merupakan sebuah kapal yang bukan kapal perang sebaliknya mempunyai ciri-ciri peralatan perang memandangkan ianya digunakan untuk perjalanan jauh mengharungi lautan yang luas. Kapal wap ini pernah digunakan oleh mubaligh Kristian Harriet McDougall ke Singapura atas tujuan urusan Kerajaan Sarawak Kingdom oleh James Brooke suatu ketika dahulu.

9. H.M.S Sarawak Cross
H.M.S Sarawak Cross adalah salah satu kapal layar sebenarnya yang mempunyai kekuatan peralatan perang ringan. Ianya dibeli daripada sebuah kelab perahu layar di Britain sebelum dihantar ke Singapura untuk pengubahsuaian. Di awal pemerintahan Rajah Charles Brooke sebagai rajah kedua Sarawak Kingdom, beliau telah menggunakan H.M.S Sarawak Cross untuk melawati ke daerah Kanowit yang ketika itu banyak terdapat kacau bilau apabila ramai penduduk tempatan tidak menggemari sistem cukai baru yang diselaraskan oleh pemerintahan Brooke di bumi Sarawak.

10. H.M.S Maimuna
H.M.S Maimuna merupakan salah satu kapal layar yang dimiliki oleh James Brooke. Ianya tidak mempunyai peralatan perang sebaliknya lebih kepada sebuah kapal layar mewah yang digunakan untuk urusan perniagaan lebih-lebih lagi di dalam berurusan untuk membuat eksplorasi minyak di bumi Miri dengan rakan eksplorasi Sarawak Kingdom iaitu SHELL di Miri. Dikatakan kebanyakan mesyuarat antara pengurusan dengan Rajah James Brooke banyak diadakan di atas kapal layar H.M.S Maimuna ini.

Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mengenali kapal-kapal milik James Brooke samada ianya daripada kapal perang mahupun kapal layar yang pernah gah namanya di dalam kalendar sejarah Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Sudah semestinya banyak lagi kapal-kapal yang tidak diterangkan di dalam artikel ini dan apa yang dinyatakan antara yang paling banyak diperkatakan di dalam jurnal-jurnal sejarah. Semoga ianya dapat menjadi ruang wacana ilmu untuk semua masyarakat Sarawak di dalam mengenal beberapa sejarah yang tidak begitu kita ketahui di dalam kita cuba menyelidiki diri kita sebagai anak Sarawak, Masyarakat Sarawak.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply