Sebelum kedatangan conquistador dari Portugal ke tanah air mereka di hutan Amazon. Bangsa pribumi orang-orang asal hutan Amazon tidaklah sedaif dan se-primitif ini. Kehidupan mereka di zaman dahulu sebelum waktu penjajahan ini tidaklah​ seperti digambarkan oleh rakaman dokumentari yang kita lihat sekarang. Mereka sering digambarkan oleh filem-filem snuff seperti Cannibal Holocaust dan The Green Inferno sebagai kanibal atau pemakan orang yang ganas serta tidak bertamadun. Hakikatnya, mereka tidaklah ganas tetapi amat pemalu dengan dunia luar. Mereka mungkin terpaksa untuk bertindak ganas apabila diancam. Percaya atau tidak, nenek moyang mereka dahulu tidaklah bertelanjang ke sana ke mari dan hanya tahu mengutip hasil hutan dan berburu saja tanpa memiliki sebarang ilmu tentang pertanian.

Sebaliknya sebelum kedatangan Christopher Columbus ke bumi Amerika lebih 500 tahun dahulu. Masyarakat asli pribumi hutan Amazon telah berjaya membentuk sebuah sistem pertanian lestari tanpa merosakkan alam sekitar terutama sekali hutan Amazon yang mereka diami. Tanah-tanih asal hutan Amazon bukanlah sebuah tanah yang subur. Oleh itu hasil kemandirian mereka ini secara lokal genius, mereka berjaya mencipta tanah hitam buatan yang dikenali dalam bahasa Portugis iaitu “terra preta” yang bererti tanah hitam. Tidak seperti petani-petani zaman moden kini, mereka tidak mengaplikasikan teknik slash and burn, sebaliknya mereka menggunakan teknik slash and char yang lebih terancang serta tidak menghapuskan nutrien tanih malahan mengkayakan lagi dengan nutrien hasil dekomposisi bahan organik lain yang dicampur sesuai untuk kegunaan pertanian.

Menggunakan “terra preta”, mereka telah menjalankan kegiatan pertanian seperti bercucuk tanam ubi kayu, jagung, ciku, koko, vanilla, buah gajus, betik, labu, cili, tomato, buah markisa, nanas, durian belanda, kacang tanah, kacang Brazil, kacang buncis, sengkuang, buah acai dan banyak tumbuhan tropika lain yang kita sangka tumbuhan asal Nusantara padahal asalnya dari benua Amerika. Mereka adalah manusia terawal yang menggunakan getah dari pohon getah. Kapas dari pohon kapok (kekabu) juga turut digunakan mereka sebagai mata sumpit untuk dicelup dengan racun katak dan bahan asas untuk dijahit menjadi cawat dan pakaian lain.

Hasil dari kemajuan sistem pertanian ini, mereka berjaya membentuk komuniti terancang sepertimana kaum asli di Mesoamerica iaitu bangsa Olmec dan Maya. Dikatakan pada awal kedatangan penjajah Eropah, terdapat penempatan terancang di sepanjang sungai Amazon. Di pedalaman hutan Amazon juga wujud penempatan berupa kota-kota yang dilindungi tembok-tembok balak serta dihubungkan oleh sistem lebuh raya merentasi kawasan hutan. Malahan juga, dikatakan terdapat jambatan gantung yang dibina merentangi sungai-sungai di sepanjang lebuh raya ini. Seorang pengembara dan veteran Perang Dunia Pertama Inggeris bernama Percival Harrison Fawcett telah beberapa kali mengembara di kawasan pendalaman Brazil ini untuk menjejaki tinggalan kota-kota ini pada awal kurun ke-20.

Sungguhpun mereka amat berjaya membina sistem pertanian terancang tanpa alatan logam, mereka masih belum berjaya menjinakkan haiwan-haiwan asli hutan Amazon seperti kucing Ocelot dan Margay serta juga makanan kegemaran ular Anaconda iaitu spesies tikus gergasi bernama Capybara yang merupakan saudara terdekat tikus belanda (Guinea Pig) yang amat comel.

Namun selepas kedatangan ekspidisi penjajah Portugis dan Sepanyol di lembangan sungai Amazon pada kurun ke-16, mereka bukan saja membawa baju zirah, pedang besi, senjata api dan ubat bedil tetapi juga penyakit berjangkit seperti demam campak dan cacar. Lebih parah lagi berbanding segerombolan penjajah-penjajah Eropah ini, masyarakat pribumi hutan Amazon ini tidak memiliki sebarang imunisasi terhadap penyakit berjangkit dari Hemisfera Timur ini. Akibat kesan dari jangkitan wabak yang mereka tiada imun ini, ramai dari kalangan masyarakat pribumi ini mati serta aktiviti pertanian terganggu dan kota-kota di tengah hutan Amazon ini ditinggalkan sama sekali.

Mereka-mereka yang terselamat terpaksa masuk lebih jauh ke dalam ke dalam kawasan pedalaman untuk mengelakkan diri dari bertembung dengan para penjajah yang membawa wabak penyakit ini. Disebabkan mereka yang terselamat ini amat kecil jumlahnya iaitu terdiri dari sekurang-kurangnya dua atau tiga buah keluarga, segala bentuk aktiviti pertama skala besar seperti yang pernah dijalankan nenek moyang mereka tidak dapat diteruskan sama sekali. Mereka terpaksa bergantung harap menanam secara sara diri kecil-kecilan serta mengutip hasil hutan atau buah-buahan dari ladang-ladang moyang mereka yang telah ditinggalkan.

Dekad demi dekad, kurun demi kurun, kota-kota dan ladang-ladang tinggalan moyang-moyang mereka telah beransur-ansur kembali semula menjadi hutan sehingga bukti-bukti aktiviti manusia sebelumnya dilenyapkan sama sekali. Ini menyebabkan kehidupan keturunan petani-petani kuno ini berubah sama sekali menjadi pencari hasil hutan sama seperti nenek moyang mereka diperingkat awal sebelum memasuki pertanian. Segala ilmu pertanian yang moyang mereka kumpulkan selama ribuan tahun lenyap sama sekali.

Fenomena inilah yang dikenali oleh Luiz Costa, seorang sarjana di Universiti Persekutuan Rio De Janeiro sebagai “agricultural regression” iaitu sebuah adaptasi gaya hidup oleh masyarakat setempat yang merupakan keturunan bekas-bekas petani kuno akibat kesan daripada peristiwa lalu yang menyebabkan mereka terpaksa mencari jalan paling mudah iaitu mengumpulkan hasil hutan untuk dimakan sebagai satu langkah untuk meneruskan kehidupan. Ini kerana menurut kajian terbaru, kegiatan pengumpulan hasil hutan untuk pemakanan bukanlah adaptasi terhadap persekitaran belantara yang murni, sebaliknya sebuah penyesuaian hidup di kawasan hutan yang pada asalnya tanah pertanian. Kehidupan hanya berlegar-legar di kawasan hutan bekas tapak pertanian milik nenek moyang mereka. Sebab itulah tumbuhan yang dijinakkan pada zaman dahulu seperti koko, buah acai dan kacang brazil didapati banyak tumbuh ‘meliar’ di hutan Amazon.

Satu maklumat tambahan yang menarik saya ingin kongsikan pada semua, bagaimana tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan yang saya sebutkan di atas tadi boleh wujud di Asia Tenggara? Jawapannya selepas melawat penempatan petani-petani kuno di lembangan sungai Amazon, para pengembara kolonialis Portugis sebenarnya tidak pulang dengan tangan kosong. Mereka secara tidak sengaja juga menemui alternatif rempah seperti lada hitam yang mereka cari di Melaka iaitu CILI. Cabai merah dan hijau yang mereka temui di lembangan sungai Amazon ini kemudiannya mereka bawa ke jajahan mereka di benua Asia seperti benua kecil India dan Asia Tenggara untuk ditukarkan dengan lada hitam. Sudahnya, tak pasal-pasal orang Asia hari-hari makan cili. Cili juga ditanam di laman serta belakang rumah, bila nak masak baru petik. Sama ada dipotong, ditumbuk, digiling atau dimasukkan terus kedalam makanan dalam bentuk yang asal. Cili tetap cili dengan pedasnya yang masih ramai belum imun serta tahan dari kena cirit.

Satu lagi buah tangan yang mereka bawa dari hutan Amazon adalah buah betik. Buah betik ini amat tinggi khasiatnya serta bagus untuk penghadaman dan pencernaan. Lebih-lebih lagi sebagai pencuci mulut selepas memakan lauk yang mengandungi cili. Kini betik amat mudah didapati di negara kita. Selalunya kalau ada tanah lebih sikit, yang ditanam selain pisang adalah betik.

Yang terakhir pula buah yang amat terkenal dengan kemanisannya iaitu nanas yang menjadi bahan utama lagi Pikotaro iaitu PPAP. Nanas juga dijadikan jus minuman atau pencuci mulut kerana rasa manisnya sebagai peneutral terhadap rasa pedas cili. Nanas juga dijadikan sebahagian bahan masakan mesra cili iaitu laksa dan gulai pajeri.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply